September 27, 2007

Cerita Abah 2


Hitam berlenggang-lenggang depan abah.Mengangkat-angkat ekornya,seakan meminta laluan.Sampai di depan pintu,terus melompat ke tanah,melangkaui tangga yang anak tujuh.Jatuh ke tanah,terus hilang sebalik pokok bunga raya.Abah memerhati dari atas,sambil melunjur kaki yang mula kebas,punggung di esak ke tepi,memberi ruang pada bukaan kain untuk di tusuki angin.
Secawan kopi yang mula sejuk di teguk lagi.Pahitnya melekat lekat di atas lidah dan meluncur laju melalui kerongkong.Abah mengesat cebisan kopi yang menumpang di hujung misai.

September 04, 2007

Cerita Abah..


Abah merenung ke luar tingkap,memandang pokok padi yang sudah menguning.Kilatan duit secekak hasil padi,terpampang pula gambar bangunan Pejabat Pos Besar Alor Setar dan Pekan Melayu,juga sepiring mee tonggek di kaki lima Pekan Rabu.Abah tersenyum,suka.Rokok daun yang sudah terpadam apinya di buang keluar,jatuh ke lopak air yang berselut.Abah senyum lagi.Ada kebahagiaan bila memandang pokok padi yang menguning dan buah padi yang sudah kembung-kembung isinya.Abah tidak lupa bersyukur pada Allah kerana tahun ini,di jauhkanNya segala setan penyakit padi,di halauNya burung kedidi dan ketam jahanam.Tidak seperti tahun lepas,bila dekat waktu menuai,pokok-pokok padi yang menguning,perlahan-lahan bertukar menjadi hitam,perlahan-lahan hingga semuanya menyembam ke bumi dan rakus di telan air.Orang kata,padi kena bom!...
bersambung......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...