October 20, 2008

Tragedi Pemikiran Melayu


Tulisan ini adalah dari pandangan Ungku Aziz, pemikir Melayu.Kerap kali, tulisan yang sebegini membangunkan minda kita yang tertidur dan lalai.Harapnya, dari tulisan panjang ini dapatlah kita menceduk dan menilai siapa kita, bangsa yang sudah 51 tahun merdeka tetapi seringkali alpa dan berpegang dengan prinsip "tak pa".

* Terima kasih untuk pengendali http://sahabatmantap.wordpress.com



Tragedi Pemikiran Melayu
Oleh: Profesor Diraja Ungku Aziz
Kalau ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.
Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class. Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah.
Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu. Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?
Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik. Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.
Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi. Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London.
Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.
Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.
Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.
Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini. Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.
Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah. Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu, akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.
Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka? Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu. Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang.
Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.
Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumahtangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.
Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif. Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.
Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak. Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.
Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama. Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun PAS, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.
Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.Tetapi itulah minda Melayu sekarang.
Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.
* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.

October 18, 2008

Secebis kisah......

Selalunya, bila berhenti menulis untuk seketika, kerungsingan untuk memulakan kembali tulisan itu sentiasa ada walaupun banyak cerita yang ingin di kongsi tapi cetusan idea kadang-kadang terhenti,tersekat-sekat dan sangkut pada takat yang tertentu. Menyorot kembali beberapa ketika yang terlepas, antaranya pasukan Kedah membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua berturut-turut dan saya kehilangan suara menjerit gembira di Stadium Bukit Jalil sedangkan isteri di rumah masam mencuka, Selangor tewas tanpa di duga.

Datangnya Ramadhan, kemudiannya ke Syawal.Dan menjelang Syawal, saya sedikit sibuk.Beberapa tugasan yang perlu segera di langsaikan sebelum cuti panjang menyambut Aildilfitri kerap kali membataskan waktu untuk membaca, apatah lagi untuk melayari laman web.Ramadhan kali ini benar-benar sendat dan membuatkan diri terasa benar keletihan, apatah lagi setelah menjamah juadah berbuka puasa.Perut yang pada mulanya kosong, mula terasak dengan aneka juadah sehinggakan rakaat Maghrib menjadi semakin azab.Setelah berehat dan menikmati Buletin Utama dan sesekali beralih ke Berita Bernama, masa pula pantas membawa ke terawih yang terasa berat untuk di lepaskan.Kembali dari terawih, membuka beberapa lembar akhbar harian, mata mula kantuk dan perlu segera di jamu dengan bantal dan tidur yang enak sebelum bangun mengalas perut, bersahur.
Rutin di antara tugasan harian sebagai pekerja dan tuntutan Ramadhan benar-benar membuatkan diri terasa sibuk.Barangkali, inilah ujian dariNya.Apapun, syukur kerana Ramadhan kali ini tidak tergugat dengan karenah kesihatan yang berbagai.
Ketika Ramadhan semakin hampir ke penghujung, isteri mula sibuk dengan persiapan Aildilfitri.Sepasang baju Melayu warna coklat untuk saya dan Syaamil, juga sedikit biskut untuk di bawa pulang ke Kuala Selangor dan kampung saya di Kedah.Sederhana tetapi bermakna.
Sehari menjelang raya dan sebelum pulang ke Kuala Selangor, malamnya saya sempat merayau-rayau dengan seorang rakan di “Uptown”Seksyen 24 Shah Alam.Buah tangan yang di bawa pulang, sedikit memeranjatkan isteri esoknya.Bukan baju atau sepatu, tetapi sebuah buku yang sudah lama ingin di beli tetapi tidak pernah bersua di toko buku.Ketika rakan saya sibuk mencari dan menguji beberapa jenis mangga dan anak kunci, saya teralih ke gerai yang menjual buku agama dan terjumpa “Ahmadinejad – Singa Baru Dunia Islam.”Tanpa banyak persoalan, wang di hulur dan buku ini bertukar tuan.Kata isteri esoknya “boleh buat khutbah hari raya”. Kali ini, saya menyambut Aildilfitri di kampung isteri, Kuala Selangor.Kegersangan untuk merasa ketupat pulut dari air tangan ibu sentiasa menghambat sepanjang hari raya pertama.Mungkin tekak saya belum serasi dengan lemang dan ketupat nasi.Saya lebih berselera menikmati ketupat pulut daun palas yang di cicah dengan kari daging.
Hari raya ke-2, seawal jam 7 pagi saya bertolak balik ke Alor Setar sebelum singgah di Ipoh untuk beraya dengan bapa saudara, seorang anggota polis yang banyak berjasa juga isterinya seorang guru yang rajin bercerita. Ibu juga menelefon beberapa kali sepanjang perjalanan kami merentasi sempadan 3 buah negeri, beberapa kali juga talian terputus akibat tiada liputan atau isyarat yang kurang jelas di sesetengah kawasan sepanjang lebuhraya Utara Selatan.Kembali menelefon ibu, dan kedengaran pula suara riuh gelak ketawa.Rupanya, ibu berada di Majlis Perjumpaan Keluarga Tok Nai Din, asal usul keturunan saya yang di warisi dari arwah nenek.Tahun lepas, walaupun nenek meninggal dunia seminggu sebelum Aildilfiti, ibu tetap juga bertandang ke majlis perjumpaan keluarga besar ini yang kebiasaannya di adakan pada hari raya ke-2 dan tradisi ini jarang sekali di lepaskan nenek semasa hayatnya ada.Rata-rata, kaum keluarga dari keturunan Tok Nai Din tidak pernah bertemu, hanya perjumpaan tahunan inilah tempat pertemuan dan bertukar cerita.Dari tidak mengenali sesiapa, ianya beransur dan bertingkat lalu mengeratkan ikatan silaturahim dan semakin erat dari tahun ke tahun.Saya sendiri samar-samar tentang asal usul Tok Nai Din.Apapun, wujud juga perasaan bangga kerana rata-rata yang datang dari keturunan Tok Nai Din tidak pernah berfikiran sempit tentang status dan darjat setiap ahli keluarga yang bertemu di majlis perjumpaan ini.
Alhamdullilah, perjalanan pulang ke Alor Setar lancar dan kami sekeluarga sampai ketika jarum jam menghampiri pukul 4 petang.
4 hari berada di kampung,mengunjungi beberapa saudara terdekat dan mendengar cerita tentang hasil padi yang tidak menjadi dan merasa betapa saya terasa benar kehilangan nenek,hanya sempat membaca Al-Fatihah di pusaranya, saya pulang ke Shah Alam pada hari raya ke 5, ketika berpusu-pusu kenderaan dari Utara menghala pulang ke ibu kota.Bertolak dari Alor Setar ketika Subuh masih muda dan berasak dengan ratusan(barangkali ribuan)kenderaan yang menghurungi setiap hentian sepanjang lebuhraya, saya selamat juga sampai di Shah Alam setelah penat memandu selama hampir 8 jam.Berehat dan esoknya perlu kembali ‘punch card”masuk kerja!
Hambatan kerja tidak menghalang dari saya dan isteri untuk menganjur rumah terbuka.Secara kecilan, kerana saiz rumah yang sedikit sempit, kami menganjurkan rumah terbuka pada raya ke-10 dan sambutannya membuatkan mee kari dan lontong tidak bersisa.

Walaupun dalam suasana Aildilfitri, beberapa peristiwa negara tidak pernah saya tinggalkan.Episod kurang ajar HINDRAF di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri,juga mungkin kekadang terasa lucu bila Ketua Menteri Melaka "tersilap" atau menyangka Shah Rukh Khan dari salasilah Sultan Mansur Shah kerana gelaran Datuk yang yang akan di anugerahkan kepada warga India itu,tidak lupa juga Anwar Ibrahim dengan mainan politik "bom jangka" menjadikan Malaysia semakin meriah dengan aneka ragam isinya,Pak Lah yang tergesa-gesa menukar portfolio dari Menteri Kewangan ke Menteri Pertahanan ketika ekonomi dunia semakin meruncing membuatkan saya semakin mengingati tulisan Peter Drucker dalam bukunya, “Post Capitalist Society”. Tulisnya “that knowledge has become the recourses, rather than recourses, is what makes our society post capitalist. It changes, fundamentally, the structure of society. It creates new social dynamics. It creates new politics.
Keadaan ekonomi juga desakan dari akar umbi UMNO telah membuatkan Pak Lah bersegera untuk berundur dari politik.Harapan saya secara peribadi, biarlah Malaysia ini mengalami perubahan dari struktur pemerintahannya juga seboleh mungkin mengekalkan dasar “buy British last” yang di asaskan oleh Tun Dr.Mahathir.Pemimpin masa depan Malaysia perlu mengemukakan gagasan besar mengenai politik antarabangsa atau menelanjangi kepuraan kuasa besar.Pemimpin masa depan Malaysia juga perlu menyatakan pandangan secara berterus terang tanpa ada rasa takut terhadap kuasa kapitalis atau sesekali mencabar negara yang bangga dengan status “superior’.Saya menunggu untuk melihat pemimpin masa depan yang seberani dan selantang Tun Dr.Mahathir, yang telah mengisi kekosongan yang di tinggalkan pemimpin dunia ketiga seperti Tito,Nehru,Nasser atau Sukarno juga Nyerere.Pemimpin Malaysia harus kembali bersuara di pentas antarabangsa setelah 5 tahun membisu.Kita barangkali sebuah negara kecil, tetapi kita perlukan pemimpin yang beridealisme dan lantang bersuara, bukan hanya untuk pembangunan Malaysia dan rakyatnya tetapi juga sebagai suara untuk negara Asia.Kita juga perlu menghindari dari memilih pemimpin yang kuat mengadu dan mengharap belas kasihan dari negara luar,terutamanya dari negara Barat.Malaysia wajib di urus tadbir mengikut acuan budaya Timur, tatasusila bangsa yang bersantun dan beradab.Yang merimaskan saya, apakah nanti akan ada pemimpin Malaysia yang akan di ingati seperti rakyat Turki mengingati dan menganjungi Mustapha Kamal Attarturk.Sebuah negara maju dan moden tetapi rakyatnya kian menjauhkan diri dari Islam.Moga di jauhkan Allah segala malapetaka itu.Aminnnn.....



*p/s

Tiba-tiba teringatkan pula perbualan saya dengan seorang rakan,penyokong kuat parti "mata lebam"yang menyifatkan penahanan seorang ADUN Perak oleh BPR sebagai tidak berasas walaupun ADUN tersebut "tersalah cakap" tentang rasuah seks.
Kata rakan tadi"apa pasal talak tahan itu olang yang kasi free itu pompuan,dia pun manyak salah.Itu olang yang ambik itu pompuan talak salah.Itu benda,sapa-sapa mesti angkat punya laaa,itu ADUN bukan malaikat maaa".Sambungnya lagi , "lu pun, kalau wa kasi free pompuan, musti lu pun angkat juga,bukan?"
Saya menjawab antara dengar dan tidak "lu cakap itu parti anti rasuah, tak makan rasuah.Tapi bila lu cakap, saya ada sikit paham la.Lagi satu, saya punya agama cakap,itu benda cuma boleh buat dengan isteri saja tau,kalau bukan dengan isteri, nanti tuhan marah,dosa besar".
Rakan saya tadi ternganga....

lu pikir le sendiri!!!

October 17, 2008

CERITA MALAYSIA


ANWAR IBRAHIM......
LU BOLEH DIAM?

HINDRAF.......
LU TOLONG HORMAT MELAYU!

PAK LAH.....
MASA SUDAH SAMPAI!

BIARKAN MALAYSIA DENGAN NAFAS KELEGAAN!
AKU MAHU AMAN!!!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...