December 30, 2010

Aku Pun Mahu Bahagia


Dia tercongok depan pintu besar. Melangut,melilau-lilau mata liar. Sesekali, dia berjalan, mundar mandir di antara jarak enam langkah. Lunyai rumput. Tapak kaki sesekali di hentak-hentak, menghentam rumput yang kian lunyai.
Telefon bimbit di genggam kemas. Dia menyeluk saku seluar jeans Levi's buatan Danok, lalu mengeluarkan sebuah lagi telefon bimbit, lalu memasukkan semula ke dalam saku. Dia meraba-raba saku baju, di keluarkan lagi sebuah telefon bimbit, kosong paparan skrin. Dia cuma mengharapkan salah satu dari tiga telefon bimbitnya tertera perkataan "1 new messages". Cuma satu, tidak lebih dari itu.
"Celaka", perkataan itu terpacul dari bibirnya yang sedia gelap.
Dia melihat jam di tangan, sudah pukul 5 petang, lagi 30 minit penantiannya akan tamat.Ya, akan tamat.Dia membelek lagi jam tangan pemberian Minah Saerah, terbayang kegirangan Minah Saerah sewaktu menyerahkan jam itu padanya tapi dia langsung tidak mengucapkan "terima kasih", cuma dia tersengih tanpa rela.
Hampir seharian dia menunggu di situ, di depan pintu besar pejabat Tan Sri Tiantan dan lagi 30 minit penantian itu akan tamat. Dia mahu mengumpan Minah Saerah dengan segala persembahan pujuk rayu, melutut juga jika perlu.
Dia membelek lagi telefon bimbit yang semenjak tadi sedia di genggam.Lalu menekan butang "Menu",seterusnya ke bahagian "Messaging". Dia menaip pantas di bahagian "new message".
"Sayang, jangan tinggalkan abang..."lalu bersegera menekan butang "send".


Minah Saerah semakin kelam kabut, timbunan kerja tidak langsung di sentuhnya hari itu. Dia membiarkan perasaan terawang-awang tanpa hala tuju. Dia mahu segera tamatkan episod hitam dalam hidupnya yang baru meninggalkan usia 25 tahun 2 bulan yang lalu. Terlalu lama dia derita. Dia wanita muda, punya gaya, punya pesona dan sedikit ilmu bekalan masa depan.Dia punya kerja yang sentiasa di tatang, dia punya hati yang sudah lama mati.Kesilapan lalu banyak mengajar Minah Saerah dan sungguh, sungguh dia sesal dengan kesilapannya menerima si Halim Kalut dalam hidupnya.Dia cuba, terlalu banyak mencuba memberi ruang untuk Halim Kalut untuk berubah. Langsung Halim Kalut tidak hargai,cuma setiap kali dia suarakan impiannya, Halim Kalut akan berubah tapi cuma bertahan untuk dua tiga hari.Selepas itu, Halim Kalut akan kembali kepada perangai lamanya tanpa langsung ingin memahami Minah Saerah.
Minah Saerah mencapai telefon bimbitnya yang menderit bunyi kemasukan "sms"yang di letakkan di atas meja tulis, berhadapan dengan "keyboard"komputer.
"Sayang, jangan tinggalkan abang...".
"Ahh..aku tidak sekali-kali kan menyerah.Kali ini muktamad!". Minah Saerah bersuara dalam hatinya sendiri.
Hari ini sahaja, tidak kurang dari 80 sms dia terima dari Halim Kalut.Cuma satu sahaja di balasnya, itupun secara ringkas. "Bz..."
Minah Saerah berdiri menghadap tingkap, di selaknya langsir dan jelas kelihatan Halim Kalut sedang menunggunya di luar pintu besar.
Seorang rakan sepejabatnya menegur, " Saerah, kesian aku tengok pakwe kau tu, dari pagi tadi dia tunggu depan tu, yang si Security pula langsung tak nak bertolak ansur tak bagi dia masuk".
" Biar le, kali ni aku memang nak lari dari dia.Bukan sehari dua tapi selamanya. Aku dah tak tahan dengan dia le Kadir ", jawap Minah Saerah.
"Kau nak aku tolong alihkan kereta kau ke? Aku boleh minta Security buka kan pintu belakang,kau boleh lalu ikut situ dan terus ke jalan besar." Kadir yang sentiasa ringan tulang itu memberi cadangan.
"Boleh ke Kadir? Tolong yer, aku malas nak jumpa dia."Minah Saerah pantas menghulurkan kunci kereta kepada Kadir.
"Ok, aku park kat belakang stor. Kau turun ikut pintu pantry, terus lalu ikut laluan ke stor, selamat. Dengan Security kau jangan risau, aku boleh kawtim."Kadir mencapai kunci yang di hulur Minah Saerah, pantas dia hilang menuju ke pintu pantry lalu hilang.

Sepuluh minit kemudian Kadir kembali ke pejabat, terus menuju ke arah Minah Saerah yang masih berdiri di tingkap.
"Nah, settle," kunci kereta bertukar tangan.
"Terima kasih Kadir, kau baik sangat dengan aku." Minah Saerah menguntum senyum.

Jarum jam sudah menunjukan jam 5:50 petang. Halim Kalut melangut lagi, meninjau-ninjau kenderaan yang keluar melalui pintu besar pejabat Tan Sri Tiantan. Selalunya 5:40 Minah Saerah akan keluar menggunakan laluan yang sama. Bukan hanya sama, bahkan hanya laluan itu sahaja untuk kenderaan keluar masuk ke pejabat Tan Sri Tiantan.

"Mana ni, tak nampak pun,"bebel Halim Kalut.Dia membelek lagi jam di tangan, lagi 3 minit menghampiri pukul 6:00 petang.
Dia pantas menaip sms.
"Sayang, tak balik lagi ke?"

Minah Saerah memecut laju di lebuhraya, lagi 600 meter dia akan sampai di rumah.Dia gembira hari ini, sekurang-kurangnya dia berjaya melarikan diri dari putar belit Halim Kalut.

Halim Kalut semakin kelam kabut.Dia mundar mandir lagi depan pintu besar pejabat Tan Sri Tiantan.
"Bang, tunggu Saerah ke?" Tegur Kadir yang berhenti betul-betul di depan Halim Kalut.
"A'a, mana dia tak nampak pun."Jawab Halim Kalut.
"Abang tak tau ke, dia dah berhenti kerja.Dengarnya dia dah balik kampung di Sabah, kalau tak silap dia bertolak pagi tadi," Kadir memberi penerangan ringkas.
"Ha!" Terbeliak biji mata Halim Kalut.

Minah Saerah menghempaskan tubuhnya di atas tilam, dia memejamkan mata.
" Aku pun mahu bahagia...."

December 26, 2010

Hanya Dia

“Kau tahu Raudah, aku semakin lupa dia”.
Wajah Ayu membungkam, murung dan kelopak mata yang sering di warnakan biru itu semakin hilang serinya.
“Kau ada orang lain Ayu?” Raudah mengacuh soalan. Cermin matanya di angkat sedikit, menjungkit.Di renungnya wajah Ayu. Satu persatu di halusi. Wajah rakan baiknya yang sedikit masa lalu selalu membenihkan bahagia.Alis mata Ayu nampak semakin sembab.Dalam diam, Raudah risau.
Ayu diam. Gerak tari angin yang meniup puluhan daun kering berpusar-pusar, lalu menerbang beberapa helai daun kering yang terhimpun di laluan pejalan kaki berhadapan tasik.
“Aku cuma ada Amir. Khairul cuma kawan, tidak lebih dari seorang kawan.”
Raudah bersuara.Suaranya sedikit berubah.Sudah ada sedikit esak.
“Aku tengok kau selalu keluar dengan Khairul”, Raudah cuba mengumpan.
“Cuma kawan, kan aku dah cakap”.
“Yelah, mungkin kau tak sedar yang perasaan kau sudah terumbang-ambing”, Raudah mengasak lagi.
“Aku tahu apa yang aku buat Raudah,”jawab Ayu.
“Aku memang rapat dengan Khairul, dia juga pernah berterus terang yang dia sayangkan aku tapi dia boleh terima bila tahu aku tunangan orang,” sambung Ayu lagi.
“Kita ni perempuan Ayu, hati kita cuma satu dan tak mungkin kita mampu menyayangi dua orang lelaki dalam satu masa. Kau sayang Khairul?” Raudah membetulkan lagi cermin matanya.Tudung putih yang di pakainya di kipas-kipas, habuk mudah hinggap dan mengotorkan tudung putih itu.
“Entah le Raudah, aku sendiri tak pasti perasaan aku pada Khairul”, jawab Ayu. Dia merenung permukaan tasik yang teroleng-oleng airnya.
“Yang aku tahu, aku langsung tak berperasaan pada Amir sekarang. Sudah banyak kali aku tolak permintaannya untuk berjumpa.Aku tahu, Amir semakin rindukan aku, tetapi aku tak mampu berterus terang pada Amir sekarang,aku buntu Raudah. Kau rasa aku kena buatan orang ke Raudah”.  Ayu mula meluahkan.
" Keluarga kau tak suka Amir kan," tanya Raudah lanjut,
"Mak aku, kau kenal mak aku kan?" Hanya itu yang mampu di jawab Ayu.
Semenjak Ayu dan Amir berkawan lagi, memang ibu Ayu tidak berapa bersetuju dengan pilihan anak bongsunya itu.Mengenangkan cuma Ayu sahaja anak perempuan yang dia ada, dengan berat hati ibunya tetap menerima dengan berat hati.



* Untuk edisi penuh...tungguuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu.......




December 15, 2010

Mohon Kasihan

Ini bukan cerita dongeng purbakala, ini bukan juga cerita karut alam maya. Jauh sekali minta di jauhkan syak dan buruk sangka. Niat cuma satu, dan Yang Maha Esa tahu segala-galanya.


Paparan The Star, 16-Disember-2010, muka surat N31

KUALA LUMPUR: Five-year-old Pavan Subramaniam went for treatment for diarrhoea in late October and was found to have third stage acute lymphoblastic leukaemia.Berita penuh boleh di baca di sini

Saya dengan rendah hati, dengan segala kekurangan diri yang ada, ingin memohon kepada yang ada, ingin menyeru kepada sesiapa yang singgah membaca di blog ini agar sudilah kiranya menghulur semampu yang ada untuk bantuan bagi meringankan beban seorang sahabat saya, Subramaniam M.Packirisamy yang sedang berusaha mengumpulkan RM200,000.00 bagi menampung kos rawatan anak lelaki beliau, Pavan Subramaniam yang berusia 5 tahun. Anak kesayangan Subramaniam ini sedang menderita penyakit Acute Lymphoblastic Leukeamia.
Sebarang pertanyaan atau bantuan, boleh langsung menghubungi Subramaniam di talian 016-2778188

December 12, 2010

Kenangan

Seputar peristiwa yang kita rangkum dalam ingatan itulah kita namakan kenangan.Kadang-kadang, ada kenangan yang sengaja kita ulang dan jelmakan semula dalam sektor minda yang hanya kita saja faham.

Kenangan-kenangan tadi akan bersatu dalam ruang hidup, mempelbagaikan ragam yang sentiasa di ingati kesannya. Ada masa-masa tertentu, kita akan termenung mengingatkan bagaimana kenangan itu, perilaku dan bentuknya, masa dan keadaan juga suasananya.

Ada juga kenangan yang langsung tidak mahu kita ingat, puas mengikis dari sisi minda tetapi kenangan itu tetap degil, tetap kukuh di minda dan selalu pula menjelma biarpun seboleh mungkin mahu saja di tutup jendela ingatan pada ingatan itu.

Saya sedang bermenung, menggali dan memanggil kenangan-kenangan yang ada untuk di muat turun dalam naskah manuskrip, cuba berkhayal sehalus mungkin tetapi selalu saja khayalan tadi di sambar resah yang akan memadamkannya dari dunia halusinasi saya.

Saya cuba menyambar sebanyak mampu kenangan yang tumbuh, tetapi pantas juga patah setelah jari menekan "keyboard". Penat.Yang tinggal hanya jari yang masih lagi terkial-kial menunggu turunnya ilham dari langit(mungkin!), kelak nanti jari akan berlari riang di atas "keyboard" setelah ilham dari langit mencanak datang.

Tanpa di minta, entah apa sifat dan kenangan yang ada, jari pantas menekan huruf-huruf di "keyboard", lalu lahirlah ;
"Setelah 6 bulan yang penuh payah, setelah 6 bulan yang menyaksikan banyak air mata yang tertumpah, setelah 6 bulan merasa erti bahagia, aku rakamkan segala rasa sayang dan cinta yang tidak mungkinkan hilang.
Perit getir,selindung sulit, marah dendam, rindu sayang dan segala rasa yang di anugerahNya membuatkan aku ; Si lelaki yang mengharapkan pengertian cinta yang di bela ini mengapung dan membentuk zarah-zarah kecintaan yang akan melekat kukuh di dadamu, bertangkai dan berpaksi pada setiap urat nadimu...."


Sesudah menyiapkan catatan(suka di namakan begitu), saya mula gusar jika catatan ini nanti akan meninggalkan kesan dan syak yang bukan-bukan sedangkan catatan ini cuma lahir dari sisi ingatan yang kosong kenangannya, langsung tidak termasuk dalam ruang yang menempatkan kenangan tetapi lebih kepada khayalan saya sendiri. Saya cuba mencari apa warasnya meletakkan "6 bulan" itu, tetapi setelah menyiapkan catatan ini, saya masih lagi tertanya-tanya, "apa pengalaman yang aku dapat 6 bulan lalu?" Seterusnya, penerapan nilai kasih sayang yang di lahirkan seakan menampakkan suatu sindiket yang bersifat nakal memuncungkan kecurangan.
Sama seperti sebelumnya, hanya kosong, tiada langsung apa-apa catatan yang mampu mengingatkan saya akan perjalanan 6 bulan lalu.
Tetapi, yang lebih membimbangkan saya adalah penerimaan pembaca- terutamanya yang dekat dengan kita- apa nanti kata mereka, apa nanti perasaan mereka? Penafian sahaja belum tentu mampu memuaskan hati. Ahhh...barangkali perlu bersumpah?
 Bergerak dari situ, saya mula akur bahawa ruang hidup seorang penulis akan bermula dengan khayalan yang bertingkat-tingkat, memisahkan diri dengan dunia nyata semata-mata untuk melahirkan seribu satu perasaan yang terselindung.Radang, suka, tawa, duka akan di apungkan lalu di kias dalam nada yang berbeza tetapi berjejak.

Nota untuk dia yang cintai :
"Abang cuma menulis, berpandukan pada perasaan yang tiba-tiba lahir tanpa apa-apa kenangan.Maafkan abang jika catatan ini menimbulkan syak yang pelbagai resahnya."

December 07, 2010

Maal Hijrah 1432

Salam Maal Hijrah, moga dalam kekalutan dan keributan kita masih lagi di beri ruang buat mencari bekalan untuk ke SANA.
Usia bukanlah bilangan waktu tetapi bilangan kesedaran....

December 05, 2010

Aku


Aku mahu terus...
      Melayang....
               Lapang....
                       Senang....
Pada waktu-waktu yang senggang...

Aku mahu tahu....
              Siapa aku...
                     Siapa kamu......
Siapa kita?

Aku perlu...
         Sayang...
              Rindu....
Setiap saat dalam hidupku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...