November 28, 2012

Hujan III


Sekarang musim hujan. Betulkah sekarang musim hujan? Macam tidak percaya. Tapi perlu juga percaya kerana hujan akan selalu turun sebelah petang. Tidak ”percaya hujan turun” tidak sama seperti tidak ”percaya hujan akan turun”. Ada bezanya. Mahu tahu mana bezanya? Ahhh, carilah sendiri. Gunakan otak kamu wahai kawan. Rugi rasanya tidak menggunakan otak dan akal untuk berfikir sedangkan sepanjang hayat, manusia cuma menggunakan 10% sahaja dari otaknya, itu rumusan mengikut teori Albert Einstein. Menurut teori saya, manusia lebih banyak menggunakan lutut daripada menggunakan otaknya. Letak otak pada lutut. Untung-untung boleh bermain bolasepak dengan baik dan mampu mengalahkan Indonesia-angan-angan mengalahkan England sama seperti mimpi mendapat RM1 juta- biar logiklah.


Berbalik pada hujan (sebelum menyimpang jauh pada teori-teori dan falsafah). Saya sebenarnya sukakan hujan. Tidak kiralah bila masanya hujan turun. Pagi, tengahari, petang atau malam- dan menurut mereka yang sudah berkahwin, selalu didoakan supaya hujan sentiasa turun sebelah malam – hujan tetap sama sahaja. Rintik kecil seperti jarum yang memaku bumi kemudian beransur menjadi dentuman yang membingitkan telinga-jika menimpa bumbung zink rumah- tetap juga hujan.

Hujan sering memberi ketenangan kepada jiwa halus saya. Biarlah rintik kecil atau seperti simbahan dari timba, hujan tetap hujan, sesuatu yang mendamaikan. Kerana itulah juga, saya menulis dua entri berkaitan hujan. Boleh di baca di sini dan di sini
Perlu juga di ingat, hujan memberi saya rasa muda yang bukan sedikit kesannya. Rasa muda?

Ya, rasa muda...
Ahhh....jadilah segera dewasa jika mahu tahu apa maksud rasa muda.

November 06, 2012

Gua dan Cita-Cita

      Gua tidak pernah mengidam untuk menjadi seorang kakitangan bahagian sumber manusia di sebuah syarikat yang diasaskan hasil daripada Dasar Pandang Ke Timur. Tidak pernah. Langsung tidak pernah. Gua serius.
      Dulu-dulu, semasa gua masih bersekolah rendah, apabila guru sekolah gua yang kebiasaannya akan nampak serabai selepas jam 10:00 pagi bertanya tentang cita-cita, gua sering menjawab, “saya ada 4 cita-cita”. Satu, mahu menjadi peguam. Dua, mahu menjadi penyanyi sama macam Zainal Abidin(waktu itu beliau bersama Headwind). Ketiga, menjadi polis trafik dan keempat mahu menjadi penyajak (sejak bangku sekolah rendah dan mula pandai bercinta, gua sudah gila akan sajak-sajak Sasterawan Negara Usman Awang). Cerita mahu menjadi penyajak ini bermula apabila gua terjumpa buku Tulang-Tulang Berserakan kepunyaan pak cik gua - seorang posmen - dan gua melunyaikan buku ini; diulang baca setiap malam di serambi rumah datuk gua. Gua juga dipengaruhi cerita Seorang Tua Di Kaki Gunung lakonan Tamam Idris sebelum menjumpai buku itu di perpustakaan sekolah dan gua pinjam tanpa tahu memulangkan.
      Itu cita-cita semasa gua bersekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Kubang Tedoh, yang mana sering menyaksikan gua menjadi Ruud Gullit ketika menyepak bola di padang sekolah - gua masih ingat, setiap petang juga gua akan panjat pagar sekolah untuk mengutip bola yang disepak dan melepasi pagar, menjahamkan tanaman padi. Kebiasaannya, gua akan bermain di posisi penyerang dan tendangan gila gua akan tersasar jauh, sama ada ke atas dan melepasi palang gol meninggi melampaui pagar sekolah atau tersasar ke tepi. Gua bermain menggunakan otak, banyak rehat daripada berlari atau bersembang-sembang dengan penjaga gol pasukan lawan. Gua main “curi ayam” dan dikhabarkan oleh sekumpulan cikgu, “amat berbisa gelecekan dan kuisannya”. Sumpah, ini serius. Jika sekumpulan cikgu itu menipu, maka gua pun menipu tetapi ini cerita serius.
      Semakin membesar, apabila bersekolah menengah, gua sudah mempunyai cita-cita yang lain. Persekitaran dan pengaruh dari buku mendewasakan akal gua, tetapi masih meremajakan fizikal gua. Gua belajar bermain gitar dan berangan-angan menjadi Jimmy Page tetapi pada waktu yang sama gua masih mahu menjadi peguam. Juga mahu menjadi penulis sehingga mencapai tahap sasterawan - dan lebih diutamakan cita-cita menjadi penulis - hingga memaksa gua untuk membaca sekian banyak buku - mendahului daripada pesanan Pak Samad kepada Faisal Tehrani, katanya “ada 5 syarat untuk menjadi seorang penulis. Pertama, membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat juga membaca dan kelimanya menulis.” - gua terus-terusan serius membaca walaupun Pak Samad tidak pernah berpesan kepada gua.
     
      Percaya atau tidak, gua mencuri membaca kumpulan cerpen Debu Merah karya Shahnon Ahmad di dalam tandas rumah gua! Serius. Memang ini serius, bukan dongengan seperti filem Magika atau dunia khayal Avatar yang menjadi mahakarya James Cameron.
Gua selitkan buku ini di bahagian atas yang terselindung dengan susunan bata-bata dan dibalut dengan plastik mengelakkan daripada disimbahi hujan. Gua diam lama di dalam tandas, cuma untuk menyudahkan buku ini dalam naratif singkat. Akhirnya, disudahkan dalam masa enam hari sebelum dipulangkan kepada tuannya, seorang saudara perempuan sebelah ibu; gua panggil Mak Su Yah (sekarang Cikgu Aishah). Dia rajin membaca kerana desakan aliran Sastera sistem persekolahan ketika itu.
      Gua juga diperkenalkan dengan Daerah Zeni, juga oleh Mak Su Yah. Ini buku pertama Pak Samad yang gua baca, ketika berusia belasan tahun (sebelum gua menadah harap keputusan SRP).
      Gua disedut masuk ke dalam Daerah Zeni, tenggelam dan timbul semula dengan lakaran cerita yang membuatkan gua percaya katak itu bodoh kerana melanggar tin kosong di kawasan landasan kereta api. Sampai ke hari ini, kelakuan katak yang melanggar tin kosong itu membayangi diri gua dan Daerah Zeni.
      Satunya, azab gua disebat dengan rotan sebesar kelingking oleh abah yang berjaya mengesan gua sedang membaca Daerah Zeni yang disembunyikan di dalam buku Sejarah Tingkatan 2. Abah memang tidak suka apabila gua membaca novel, cerpen atau apa-apa bahan bacaan selain daripada buku teks sekolah. Gua juga tidak pernah didatangi mimpi yang membawakan bayangan bahawa abah akan menghadiahkan gua novel atau kumpulan cerpen. Abah bukanlah si Doraemon yang akan memenuhi setiap impian Nobita.
      Dua, kerana itulah satu-satunya buku Pak Samad yang belum lagi memenuhkan rak buku di rumah gua. Ya, gua amat serius. Gua mahu menyediakan satu rak buku khusus untuk menempatkan karya-karya Pak Samad - siapa lagi yang mahu meraikan Sasterawan Negara @ Sasterawan Rakyat jika bukan diri pembaca. Pemerintah? Oh, pemerintah lebih mengagungkan penerima Anugerah Seri Angkasa atau pencapaian penyanyi pada malam Anugerah Industri Muzik. Di Malaysia, kita perlu menerima realiti bahawa anugerah Sasterawan Negara bukanlah tiket untuk diraikan dengan seenak-enaknya. Bahkan, janganlah mengidamkan kewujudan Muzium Penulis seperti megahnya Dublin Writers Museum.
      Mujurlah, dalam keghairahan gua bersajak untuk memikat awek atau membaca novel dan cerpen, keputusan SRP gua amat cemerlang.. Gua, lelaki genius yang mahu merobek tangkai hati wanita di sekolah. Wah, gua lelaki elegan dengan kemabukkan falsafah yang dipinjam kata dari buku sastera.
      Hasil keputusan cemerlang dalam SRP - dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu kecuali mata pelajaran Bahasa Inggeris - telah menyaksikan gua berjalan kaki hampir 15 kilometer dari sekolah untuk pulang ke rumah bagi membayar “niat” lulus cemerlang, gua ditempatkan di sebuah sekolah berasrama yang dipenuhi dengan pelajar maha rajin berotak pintar. Gua semakin tercabar kerana dijajah kemahuan. Gua masih mahu menjadi peguam, atau seorang penulis tetapi dipaksa keras untuk belajar aliran Sains. Nah. Kediktatoran abah terserlah walau sebenarnya abah pengamal dan penyokong demokrasi fahaman Tun Dr. Mahathir. Gua redah dengan marah. Gua memberontak tetapi tidak menghentak kepala sesiapa pun. Gua menjahamkan impian abah untuk melihat gua menjadi manusia pertama dari bumi Malaysia mereka lakar enjin F1 untuk Petronas. Gua sebenarnya bukan bengap, tetapi seperti yang gua katakan tadi, gua memberontak - ya gua memberontak kerana terpaksa belajar sesuatu yang bukan daripada minat gua.
      Semasa di sekolah berasrama inilah gua dihasut oleh diri sendiri untuk menjadi penggemar karya sastera dari Barat. Gua mencabar diri membaca karya Ernest Hemingway dan dengan wang saku yang dihulur abah pada setiap minggu, juga lebihan daripada belian rokok Dunhill, gua berjaya membeli For Whom the Bell Tolls dengan harga RM8.00 dari sebuah toko buku terpakai di Jalan Sultan Ibrahim, berhampiran pejabat Pos Besar di Bandar Alor Setar. Gua berendam lama, mendalami jati diri Robert Jordan dan gerakan gerila di Sepanyol. Akhirnya, gua berbangga kerana menjadi pelajar lelaki pertama dari sekolah itu yang membaca dan mempersembahkan sifat keilmuwan berfahaman tinggi kepada seorang guru Bahasa Inggeris yang berangan menjadi sami Buddha.
Hasil daripada pengulangan gua yang akan terus ke bandar Alor Setar pada setiap hujung minggu - juga kecekapan gua keluar masuk asrama pada waktu malam - gua berjaya mendapatkan Old Man And The Sea dengan harga RM5.00; juga dari toko buku terpakai yang sama. Sekali lagi, sama seperti Santiago yang belayar bersendirian di Teluk Mexico, gua berjaya mengumpan kekaguman kepada guru Bahasa Inggeris tersebut. Gua, anak murid beliau yang pertama membaca Old Man And The Sea dan juga mendahului diri beliau sendiri.
Sejak itu, gua sering membaca, apa-apa sahaja bahan bacaan yang tidak berunsur “sekolah” tetapi lebih terarah kepada bidang sastera. Gua memunggah khazanah yang menghuni rak-rak buku di perpustakaan sekolah, mencari segala macam bahan bacaan untuk memenuhi tuntutan nafsu gua juga untuk dilampiaskan menjadi jalinan ayat-ayat cinta untuk menjebak dara. Sehinggakan Kelapa Nan Sebatang dan Keris Laksaman Bentan gua hadam dan lebih arif daripada pelajar aliran Sastera. Gua sering mahu mencuba menjadi penyajak, tetapi sering diketepikan kerana peranan gua yang aktif dalam aktiviti perobohan pagar sekolah dan contengan abstrak pada dinding tandas. Gua budak nakal yang penuh dengan jiwa halus dan berseni, berkarya melalui luahan marah.
      Seingat gua, pada penghujung Tingkatan 4, gua diberi peluang mendeklamasikan sajak - setelah berjaya memujuk guru pembimbing dengan sekotak rokok Gudang Garam hitam - di pentas gah di dewan sekolah pada malam perpisahan pelajar, terutamanya untuk rakan-rakan yang akan menduduki SPM dan STPM sebelum mereka meninggalkan zaman persekolahan. Gua menggunakan peluang sebaik mungkin, sepertimana Marco Van Basten yang tidak pernah mengecewakan lorongan kemas dari Frank Rijkaard. Pada akhir bait-bait puisi itu, gua memejamkan mata dan melantunkan ayat-ayat terakhir dengan begitu ikhlas. Tepukan bergema. Gua membuka mata. Lampu sorot memancar tepat kepada gua. Gua diberi sorotan dan lampu pentas dipadamkan. Guru-guru bangun dan bertepuk.
      Gua, lelaki yang menjadi buruan warden asrama akhirnya menghantar makna hidup melalui bait puisi yang diterima hebat para pendengar yang terdiri daripada pelajar pintar hasil didikan guru hebat di sebuah sekolah berorentasikan kecemerlangan berasaskan moto “Ilmu Panduan Hidup”.
      Itu, kali terakhir gua mendeklamasikan puisi di sekolah itu. Tahun selepas itu? Gua menjadi gitaris yang mengalunkan salam perpisahan dengan lagu Sweet Child O Mines dari pentas yang sama - pentas yang gua gunakan untuk memahamkan rakan dan guru bahawa dalam jiwa gua ada seni yang tersembunyi.
      Begitulah, keakraban gua dengan buku sehingga membenihkan impian gua untuk menjadi penulis dan melupuskan sama sekali harapan gua untuk menjadi peguam, juga harapan abah untuk menyaksikan sekurang-kurangnya gua menjadi Jurutera Carigali Petronas dan membaham ganas royalti rakyat Kelantan.
      Impian-impian yang wujud dari dunia khayalan ini bercambah, sebelum gua sedar dalam diri gua ada kekurangan-kekurangan nyata. Contohnya, gua mudah bosan untuk menaip dan sering kali benih-benih ilham itu akan turut terhapus, sama seperti hilangnya kepulan asap rokok yang menderu deras hilang setelah dilepaskan ke udara.
      Akhirnya, gua tersadai di kerusi empuk dan berdepan dengan pelbagai ragam pekerja yang sentiasa mahu dilayan bagai raja -sedangkan gua juga seperti mereka - mahu semuanya mudah dan senang. Gua bergelut antara sifat ketua yang mahu menyenangkan hati semua pihak dan adil pada semua - sering gua persoalkan intergritinya juga - dan memaut hati pengurusan peringkat tinggi.  Gua hanya makan gaji - masuk jam 08:00 pagi tetapi pulang tidak menentu. Syukurlah, gua masih mampu membaca walau waktu sering cemburu. Sering kali, dalam kesibukan itu, gua masih berpeluang memetik gitar walau jari sering pedih dan sakit.
      Jauh di dalam lubuk hati, gua masih mahu menjadi penulis, walaupun yang membacanya hanya diri gua. Gua menulis, kerana gua bukanlah pelukis yang menjadikan kanvas sebagai pentas luahan.
      Ya, gua mahu terus meluahkan kerana gua mahu menjadi seperti manusia-manusia lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...