June 25, 2014

Dia IDA


Saya tidak ingat bila, mungkin dua bulan lepas, atau mungkin juga tiga bulan yang lepas bila mana secara mendadak Arafat Hambali menghubungi saya menerusi kiriman mesej di WhatApps.
"Bang, adik nak terbitkan buku puisi." 


Kurang lebih setahun yang lalu, saya pernah menghantar 40 karya asal Arafat Hambali kepada pihak bahagian penilaian Institut Terjemahan Buku Malaysia(ITBM) untuk dinilai dan diterbitkan oleh mereka malangnya karya itu ditolak, bukan kerana tidak berkualiti tetapi kerana beberapa masalah teknikal (terutamanya dari segi penggunaan bahasa).
Bertitik tolak dari situ, saya yakin suara hati anak muda ini perlu diberi tempat, perlu dikongsi dan dinikmati.
Dan kini dia muncul lagi, dengan suara hati yang lebih segar, lebih berani tetapi bersantun.


Arafat Hambali,  anak muda yang saya kenal, sering menyantuni saya seperti abang kandungnya sendiri.
"Baguih. Bila? Berapa ketul puisi? Siapa nak terbitkan?"
Saya tidak menunggu lama untuk membalas mesej beliau.

Soal jawab pun berlangsung sehinggalah dia mengirimkan email yang mengandungi puisi karya beliau dan seorang gadis bernama Ida Syamila, bakal suri hidupnya.
Saya mula "bertukang", membetulkan mana yang perlu hinggalah akhirnya saya katakan kepada Arafat, "dik, hang dah boleh lawan dengan Jimadie Shah Othman dah ni. Memang orang Perlis ni ada nafsu pelik dalam berkarya."


Sebelum ini, saya sering meletakkan kumpulan puisi Helo-Helo Kepada Bush karya Jimadie Shah Othman sebagai penanda aras puisi generasi muda. Saya juga bersetuju bila Roslan Jomel menyatakan bahawa "Jim tidak berkecenderungan memberikan sajak puitis. bahasa yang rapi, metafora yang indah dan diksi yang kelihatan diatur agar bernada merdu bertujuan mengganggu artistik pembaca. itu bukan perwatakan sajak-sajak Jim seperti yang dimaklum. itu sajak untuk menambat hati juri sayembara." (Rujuk di sini)
Sewajarnya, Arafat secara sedar atau tidak cuba dan sedang membariskan puisi-puisinya setanding dengan karya Jimadie. Ini bukan puisi untuk sayembara!

"Bang, nak letak tajuk apa?" Dia ajukan soalan kepada saya, ketika proses suntingan hampir selesai.
"Bab-bab tajuk ni abang fail lah!" Saya kurang berbasa basi. Memang jujur saya akui, saya tidak lekas memberi tajuk. 

"Tanya Ida." Cadang saya.
"Baik bang. Dia Ida ok ke bang?" Dia masih lagi mencuba mengumpan saya, untuk memberi idea, mungkin.
"Lantak lah. Ok juga kot. Setuju." Saya beri kata putus, dalam pertimbangan yang tidak selaras neraca akal.

Kemudian, pada satu waktu yang lain, lama setelah saya sudahkan amanah yang diberikan oleh anak muda yang menyanjungi Pak Samad dan Chairil Anwar ini, dia menghubungi saya lagi(perlu diingat, setiap hari kami-termasuk Helmy Samad-akan berhubung), kali ini dengan rasa yang mudah untuk saya fahami.

"Bang, buku sudah siap!"
Ketika itu, dia masih jauh di sana, di hujung Semenanjung Malaysia dengan bersempadankan negara Thailand, sedangkan saya di pusat peradaban manusia(kononnya)Kuala Lumpur,  namun saya menangkap kegembiraan yang dia sampaikan.
Dia mendakap impian, sesuatu yang dia idamkan, ingin ada buku yang mengumpulkan karyanya sendiri. Dan dia sudah boleh tersenyum bangga, sambil mengadap pokok-pokok padi yang mula menghijau.

Memetik ungkapan puisi bertajuk Kehidupan.
"Kehidupan ini terlalu mendesak
untuk sekuntum bahagia
atau sejambak derita
rasanya tetap membuak."

Nota :
Dia IDA diterbitkan oleh Bawah Pohon Rendang
Prakata oleh Pyanhabib Rahman, ulasan oleh Roslan Jomel dan Aisyah Rais
80 buah sajak + CD yang memuatkan 10 buah sajak
Harga RM 25:00 tidak termasuk pos.
Untuk tempahan boleh berhubung di nombor 011-1437 3539 dan pembayaran boleh dijelaskan melalui akaun CIMB 10050007884206 atas nama Cik Majidah Syamila.

June 24, 2014

Melakar Kata


Kira-kira empat tahun yang lalu, saya pernah melakar draf awal untuk sebuah cerpen, atau mungkin bila dikembangkan boleh menjadi satu novel. Kira-kiranya begitulah.

Draf yang saya lakarkan itu mengisahkan percintaan terlarang di antara seorang wanita muda yang sudah berkahwin secara senyap-senyap(dia sembunyikan dari pengetahuan ahli keluarganya) dengan seorang lelaki yang juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, usia kurang lebih 13 tahun. Mudahnya, wanita muda ini menjadi isteri kedua.

Dia seorang wanita muda yang energetik, mempunyai kelulusan tinggi dan cantik paras rupanya(saya membayangkan dia manja, romantis, mempunyai bibir seseksi Angelina Jolie, tubuhnya sedikit berisi seperti Ziela Bakarin dan suara yang meluluhkan hati).

Untuk menambahkan rasa, saya mengaitkan pula wanita muda tadi dengan seorang lelaki yang juga turut mempunyai seorang isteri dan ketika itu saya masih memikirkan sama ada lelaki itu mempunyai anak atau tidak.
Dia membandingkan lelaki yang baru dikenali itu dengan suaminya, kesanggupan lelaki itu untuk melayan setiap kemahuan, mendengar dengan penuh teliti setiap luahan perasaan dan dia merasa lebih "wanita" bila bersama lelaki tadi.

Wanita muda ini terpaut, atau dalam kata lainnya layu dipangkuan kekasih gelapnya, lalu memahat janji untuk hidup bersama, dalam apa cara sekali pun.
Dan si lelaki itu pula dengan sepenuh hati menyintai wanita tersebut. Dia cuba memberi segala yang terbaik walau dia sendiri tahu wanita ini masih bersuami.

Dan seperti hal-hal yang lain, saya mudah diresapi perasaan. Akhirnya saya hanya membiarkan draf ini berdebu tetapi saya masih lagi ingat dengan kukuh setiap perincian yang ingin saya lakarkan, menjalinkan patah kata dengan taburan perasaan. Hingga sampai kepada satu titik, saya katakan kepada diri sendiri, "apa lagi yang mahu ditulis?". Saya kontang ilham.

Itu cerita empat tahun yang lalu.

Sekarang, saya dalam proses mencari bahan untuk kembali menulis, mencatatkan sesuatu yang saya rasakan perlu. Dengan lebih bijak juga saya cuba lari dari sesuatu yang berperasaan, cuba mengangkat sisi kehidupan manusia yang hilang tujuan hidup, pencarian antara dunia dan Tuhan.

Mahu juga saya katakan bahawa tulisan itu nanti tidak terlalu Islamik-saya bukan penggemar karya Habiburrahman El Shirazy-tetapi saya mahu menjadi seperti Robert Penn Warren yang menulis All the King's Men.
Bagaimana pemenang anugerah Pulitzer ini melakarkan kehidupan manusia yang sering berhubung dan mengakui bahawa semua tindakan akan mempunyai akibat dan adalah mustahil bagi seseorang individu untuk berdiri menyendiri dan cuma menjadi pemerhati dalam kehidupan.

Begitulah impian saya-untuk menulis-merakam-dan tidak berimpian untuk menang apa-apa anugerah tetapi lebih kepada catatan sebagai pengingat.

June 23, 2014

Catatan Pengingat

Foto Kredit : Ikhsan Google
Saya ingin mencatatkan segalanya tentang diri saya, pengalaman pahit manis saya, dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya lalu dibukukan.
Itu impian saya sebenarnya.

Saya ingin menjadikan catatan itu suatu pengingat betapa saya pernah hidup dan dikurnia pelbagai rasa, dihadiahkan dengan pelbagai pengalaman. Tidak sedikit dari pengalaman itu mengajar saya erti hidup, erti memberi dan menerima.

Kegembiraan saya, kedukaan saya, semua itu saya akan tumpahkan, saya akan jalinkan agar ianya mewakili sifat diri saya yang sebenarnya.
Segala yang tersembunyi, segala yang saya rahsiakan(?) akan cuba saya coretkan. Saya mencuba menitipkan keikhlasan maha tinggi.
Itu kehendak saya, yang bertahun saya simpan.

Seboleh mungkin, biarlah hasilnya nanti mampu mendekatkan pembaca dengan penulisnya-begitu-saya impikan dan saya sendiri kurang yakin kemampuan saya untuk melakarkan keseluruhan kehidupan saya.
Ada beberapa perkara-mungkin-perlu saya sembunyikan, ianya lebih bersifat peribadi.
Dan ada saranan dari seorang sahabat agar saya turut mencatatkan pengalaman saya mencari "sesuatu" selama sembilan tahun, pengalaman saya sebelum sembilan tahun itu sendiri dan apa yang saya pelajari dari "sembilan tahun" itu.
Saya katakan pada beliau, "pencarian selama sembilan tahun, dan pengalaman lima tahun sebelum bermulanya sembilan tahun itu tidak setanding pengalaman mendakap bermesra dengan "rasa" selama empat tahun terakhir ini. Tidak sama. Sembilan tahun ditambah lima tahun yang menjadikan semuanya empat belas tahun tidak mampu menandingi sesuatu yang aku "rasa" selama empat tahun, terakhir."

Sahabat tadi diam.
Sungguh, dia tidak mengerti.
Biarlah, masing-masing tahu apa masing-masing rasa.

Terdetik juga dalam hati saya untuk membiarkan segalanya(pengalaman hidup saya) berakhir begitu saja tanpa ada apa-apa catatan.
Tetapi, muncul pula suatu rasa yang lain dalam diri saya.
"Apa yang kau mahu tinggalkan untuk mereka pelajari?"

Itu.
Pertanyaan itu meyakinkan saya bahawa saya perlu tinggalkan sesuatu.
Sesuatu yang sekian lama tersembunyi dan memerlukan satu catatan sebagai pengingat.

June 12, 2014

Ini Bumi-Nya



Seorang sahabat yang sedang berada di Padang, Sumatera Barat Indonesia mengirimkan beberapa keping gambar.
Antaranya ketika beliau di Rumah Kelahiran Buya Hamka yang terletak di Maninjau.

Tanpa disedari, kiriman gambar tersebut segera mengetuk hati, ia menjalarkan rasa rindu yang amat sangat.
Sungguh.
Kilatan ingatan saya kembali ke sana, ke daerah yang pernah saya jejaki lewat Oktober 2013, ketika kita di Malaysia baru sehari dua selesai menjamah daging korban, ketika mana anak-anak di Pesantren Daarul Muwahhidin yang terletak di Batu Sangkar sedang menadah penuh harap-ilmu dan doa-dalam pencarian mereka mengenal Tuhan dan memberi makna dalam kehidupan.

Banyak sekali pengalaman yang saya kutip dari sana, terutamanya dari ustaz-ustaz berhati mulia yang menuang segala apa yang ada ke dalam jiwa anak-anak di pesantren, rukun yang mereka patuhi, damai yang mereka resapi dan keikhlasan mereka dengan Ilahi.
Mereka menumpahkan segalanya, hatta seluruh hidup ke jalan itu, ke jalan Allah Yang Satu.
Dan kemiskinan bukan menjadi satu bebanan tetapi suatu nikmat yang mereka raikan dengan tabah dan redha juga syukur yang tidak pernah ada noktahnya.



Begitulah, Padang di Sumatera Barat terlalu mudah meruntun jiwa.
Ia bukan sekadar sebuah kawasan, tapi sebuah "mini syurga" yang dikirimkan Tuhan buat saya mengenal manusia dan kemanusiaan maha padat.

Ini bumi-Nya.



Terima kasih kerana mencampakkan rasa rindu, terima kasih kerana memberi nilai tambah dan rasa insaf, terima kasih kerana mempertemukan dengan Ustaz Jel Fathullah, Ustaz Abu Ibrahim Al Khalil, Ustaz Kamrianto, Ustaz Abdullah dan sebahagian lagi insan yang berada dan sedang berjuang di Pesantren Daarul Muwahhidin di Batu Sangkar(dan sekarang ini sedang sibuk menyiapkan Pesantren Daarul Muwahhidin di Padang Panjang), juga kiriman rasa terima kasih kepada pejuang dan ustaz-ustaz di Pesantren Buya Hamka, Maninjau.

Insya Allah.
Tuhan mengatur pertemuan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...