December 13, 2006

Mencari akar umbi


Minggu lepas,ketika saki baki kepenatan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih lagi tebal,saya telah menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif : Karya dan Gaya Penulisan Abad 21 di Dewan Bahasa dan Pustaka.Ini bukanlah bengkel yang pertama saya hadiri,jadi suasana bengkel itu sendiri seakan tidak mendatangkan apa apa kepada saya,hanya setakat hadirkan diri dan memamah setiap ucapan dan kertas kerja.
Ketika berhenti rehat dan menikmati hidangan nasi mamak dan kari pekat ,seorang rakan penulis bercerita dengan saya pengalamannya dalam dunia kreatif ini,dunia yang mana pendapatan adalah sesuatu yang kurang “perlu”,lebih kepada kepuasan mengupas dan melepaskan apa berbuku di hati.Sesekali dia berkata “bidang yang kita masuki ini,adalah suatu pencarian rezeki yang jujur,ikhlas dan rezekinya turun dari langit”.Saya anggguk,mengiyakan sahaja kata katanya.Habis sepinggan nasi dan jari yang masih bersalut bauan kari kami masuk semula ke dalam dewan,hingga sesi demi sesi tamat.
Ketika dalam perjalanan pulang,saya kembali berfikir tentang pengalaman dalam bidang penulisan ini,seterusnya khayalan khayalan itu membawa saya kembali ke tapak asal saya,detik permulaan yang menemukan saya dengan bidang sastera.
Tersenyum seketika,walaupun saya sedari ada mata yang memandang,mungkin sedikit pelik melihat saya tersenyum sendirian di dalam gerabak komuter.
Jika diimbas minat saya dalam bidang sastera,memamg jelas saya mendapat pengaruh yang kuat dari bapa saya,juga dari bapa saudara sebelah ibu saya.Bapa saya gemar membaca,susunan buku yang berterabur dan berdebu di ruang tamu rumah kami di kampung tradisi(yang di kelilingi saujana pohon padi),cukup untuk mengertikan saya minatnya tetapi pemikiran seorang kanak kanak seperti saya hanya menafsir bahawa itu hanya minat bapa yang sia sia,tak akan kemana.
Perihal bapa saudara sebelah ibu(yang saya panggil Ngah) juga banyak mempengaruhi diri saya.Beliau seorang posmen(sekarang seorang pengurus kanan bahagian Pos Laju di Alor Setar).Semasa kecil,saya selalu melihat beliau membaca puisi dan menulis puisi walaupun ketika itu saya sedikit kalut memikirkan tujuan beliau menulis puisi.
Semasa saya di darjah empat,kekerapan melihat bapa membaca buku dan Ngah menulis puisi mula menjadi suatu ikutan saya,mula menjadi minat saya.Saya cuba berlagak sendirian membaca puisi,mempraktikkannya seperti yang di lakukan Ngah.Akhirnya,hasil dari latihan yang kosong ini,saya selalu mewakili sekolah rendah untuk pertandingan deklamasi puisi.Hinggalah saya telah memenangi tempat pertama untuk suatu pertandingan deklamasi puisi antara sekolah di daerah saya.Bapa pula selalu memberi semangat,selalu menemani saya kemana mana pertandingan deklamasi puisi sambil ibu pula sibuk menyediakan pakaian yang sesuai untuk dekmalasi puisi walaupun kami keluarga yang miskin,ibu sanggup membeli dan menjahit pakaian , bergantung kepada tema puisi yang akan saya baca. Saya mula mencuri curi membaca buku buku dari koleksi bapa ketika usia menginjak ke 13 tahun.Saya masih ingat novel pertama yang saya baca “Seorang Tua Di Kaki Gunung”karya Azizi Hj.Abdullah.Waktu itu,cara dan gaya garapan Azizi banyak menpengaruhi corak penulisan saya,sehingga di gelar “penulis”oleh guru yang mengajar Bahasa Malaysia ketika itu.Sering kali,karangan karangan saya menjadi rujukan rakan rakan sekelas dan sering pula menerima pujian dari guru.....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...