February 27, 2008
SPR-Tukang Cabut Nyawa
Saya selalunya jarang atau boleh di katakan kurang berminat dengan corak politik Malaysia walaupun secara dasarnya sejak kecil lagi saya di besarkan dalam keluarga yang berpegang kuat dan bersemangat memperjuangkan politik,terutamanya UMNO.Saya selalu juga memberi alasan bahawa politik ini lebih bersifat "memperkayakan"dari sifat yang sepatutnya "memperjuangkan".Secara langsung,dunia politik itu sendiri yang membuatkan saya menolaknya.Harus di akui,dengan cuaca politik jugalah kita di merdekakan.Saya terima hakikat ini.Dalam waktu-waktu yang mana suhunya semakin memuncak kerana Pilihanraya Umum ke 12,saya ikut terkena bahangnya dan sebagai seorang rakyat Malaysia yang di beri hak untuk memilih pemimpin negara, saya turut merasakan kewajipan mengundi adalah suatu ruang dan peluang yang amat berharga.Walaupun saya di besarkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai kepatuhan yang kuat kepada parti pemerintah,saya sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan parti mana yang harus di pangkah semasa hari pengundian.Abah pula selalunya akan menasihati saya agar membuat pilihan yang tepat,bukan hanya untuk diri sendiri tapi jua untuk generasi masa depan. Untuk mengesahkan lokasi mengundi kali ini,siang tadi(26-Feb-2008)saya menghubungi ibu di kampung bagi mengesahkan kepulangan saya,di samping itu juga meminta ibu mempersiapkan “jerut maman” kesukaan saya. Ketika galak bercerita,saya sempat bertanya ibu perihal datuk yang bersemangat tinggi setiap kali tibanya pilihanraya.Ibu mengkhabarkan bahawa datuk kecewa.Tetapi mengapa?Cerita dari ibu,datuk kecewa kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih yang baru di keluarkan untuk tahun 2008,ibu menyifatkannya sebagai kesilapan teknikal dari Suruhanjaya Pilihan Raya.Saya kurang berpuas hati dan membuat panggilan ke Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya di talian 03-88856602 dan bercakap dengan Cik/Puan Effa pada tanggal 26-Feb-2008 jam 12:20 tengahari dan di maklumkan bahawa nama datuk telah di keluarkan dari senarai daftar pemilih kerana telah meninggal dunia pada 1966,sebelas tahun sebelum saya di lahirkan. Setelah agak lama bertegang leher,saya di syorkan untuk menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya untuk membuat semakan status diri datuk.Maklumat yang saya perolehi dari JPN sedikit membuatkan saya tersenyum.Jauh di hujung talian,kakitangan JPN mengesahkan bahawa datuk saya masih dalam status "aktif"(masih hidup)!Saya kembali menghubungi SPR namun tiada maklumbalas dan secara langsungnya datuk saya yang berusia 74 tahun telah “dikapankan” oleh SPR ketika beliau berusia 42 tahun lagi.Peranan Pengerusi SPR,Tan Sri Dato’Seri Hj Ab.Rashid bin Ab.Rahman(PSM,SPDK,PNBS,DCSM,DPMK,DMSM,JSM,KMN) bolehlah di sifatkan sebagai “pencabut nyawa”, kerana tindakan kakitangan beliau atau beliau sendiri yang berupaya “mematikan”orang yang masih hidup.Segala tanggungjawab ini mesti dan wajib di pikul oleh beliau selaku ketua untuk sebuah organisasi yang di amanahkan oleh negara dan perlu bebas dari sebarang hasutan atau gangguan Badan Eksekutif seperti yang termaktud dalam Perkara 14 Perlembagaan Negara.Jika di ajukan soalan,saya rasa jawapan yang akan di berikan berkemungkinan “kesilapan sewaktu mengemaskini data” atau mungkin jua “kami menggunakan data yang di perolehi dari JPN”.Apa akan berlaku sekiranya pihak SPR “tersilap”atau “terlupa” memasukkan daftar pemilih untuk Pak Lah atau Khairy Jamaludin?Saya sudah muak dengan alasan yang dikatakan berpunca kerana “human error”ini,sedangkan SPR bukanlah sebuah pertubuhan kecil seperti persatuan penduduk,tetapi ianya adalah sebuah suruhanjaya yang di amanahkan negara bagi memastikan sistem pilihanraya berjalan dengan adil dan telus. Saya mula terimbas tindakan BERSIH yang mengadakan demontrasi jalanan pada 10-Nov-2007.Pada mulanya,saya menyifatkan tindakan ini sebagai melampau kerana tujuan utamanya adalah untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihanraya di Malaysia. Saya juga turut sama mengecam tindakan oleh BERSIH ini.Bagi saya,ianya adalah suatu tindakan bodoh dan jelas sama sekali bertentangan dengan budaya rakyat Malaysia.Apakah kita perlu di ingatkan semula episod hitam REFORMASI?Apakah sistem pilihanraya yang sedia ada masih lagi tidak memuaskan hati golongan pembangkang?Persoalan ini akhirnya terjawab,bila SPR mematikan datuk saya.Saya mula menerima tindakan pertubuhan BERSIH membantah,saya juga mula menerima tindakan Mohd Sabu mengoyakkan surat bantahan di ibu pejabat SPR dan juga sudah boleh menerima bahawa SPR hanyalah sebuah nama yang meletakkan slogan "cekap dan telus"sebagai syarat sahaja.Kesilapan-kesilapan yang sebeginilah yang menyebabkan KEADILAN berani bertindak,PAS mula melalak,DAP pula kuat berteriak.BN?BN ternganga - nganga hingga menampakkan anak tekak!Saya sedar,datuk saya cuma seorang petani,bukannya seorang Dato’Seri,tetapi dari undi si petani tua inilah Dato'Seri beristeri lagi!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment