November 16, 2008

Resah...

* Rumah yang hampir siap....siapa tuannya?

Resah kian berpintal, kian bertingkat dan mengalirkan gemuruh yang menggoncang tubuh.Kenapa begini resah duhai hati...
Sejak akhir-akhir ini, tidur malam saya mudah terganggu.Kerap kali terpaksa bangun, menyalakan sebatang rokok dan segelas air kosong.Cuba tidur kembali tetapi kerap kali juga, kedegilan mata menghambat hingga larut malam bertemu Subuh.Untuk mengisi kekosongan antara larut malam dan Subuh, saya selalunya menemani Syaamil, melihat tidurnya yang nyenyak sekali.Membelai rambutnya yang sedikit perang dan beberapa kali merengek-rengek, segera di hulurkan botol susu yang tersedia dalam bekasnya.Menjelang Subuh, dia akan bangun dan menghadiahkan senyuman untuk saya jadikan semangat sepanjang hari.Jarang benar dia menangis setelah bangun dari tidur.
Siangnya , mata mula letih kerana tidur yang terganggu pada malamnya.
Beberapa kali menguap dan segera di kuakkan dengan segelas kopi panas.
Isteri mengatakan saya semakin lesu akhir-akhir ini dan menyarankan berjumpa doktor.Untuk menyedapkan hati isteri dan mengelakkan beliau dari berleter panjang,saya berjumpa doktor tetapi alhamdulillah, katanya “encik sihat,cuma penat sikit dan tak cukup rehat”.Sambungnya lagi, “encik perlu banyak berehat”.Haa…tak cukup rehat?Dan aku perlu berehat……Zzzzzzz…zzZZZZZzzzzzz….
Ada benarnya saya tidak cukup rehat.Balik kerja, sekitar jam 7:00 malam.Maghrib,kemudiannya seperti rutin antara makan malam dan siaran tv.Terbabas hingga ke kedua-dua jarum jam bertemu.
Waktu di rasakan sentiasa menghambat antara sedar dan tidak.Kita yang mengejar waktu atau waktu yang mengejar kita?Ah, serabut. Atau mungkin juga kerana otak yang sentiasa memikirkan perkara yang bukan-bukan.Tersantak dari realiti hingga ke mimpi.Otak menjalar, membawa minda merentasi sempadan di luar kewarasan akal.Atau mungkin juga, saya terlebih berfikir?
Barangkali.Ya, barangkali.Berfikir perkara yang tidak sepatutnya tidak perlu.Contohnya, memikirkan kehidupan seorang sahabat yang di kenali secara tidak langsung melalui sidang interview.Sahabat tadi, segera bertukar menjadi sedikit akrab walaupun perhubungan itu secara dasar sahaja.Tetapi, kenapa perlu memikirkan sahabat tadi?Adakah kerana usianya yang mencecah 30 tahun tetapi masih lagi dengan status "single" dan wajah manjanya yang keanak-anakkan?Sungguhkah kerana saya memerlukan sahabat sebagai ganti untuk seorang lagi sahabat akrab yang berhijrah ke Australia dan hilang tanpa berita?Sahabat yang baru di kenali ini melalui kehidupan sosial yang sedikit memberangsangkan perasaan ingin tahu.”Ah, pedulikan dia”, kata minda.Tetapi hati pula berkata “jangan, dia perlukan sahabat untuk mengubati kecewa cinta 9 tahun”."Tetapi, dia mempunyai kehidupan yang sempurna,berjawatan dan bergaji besar,", kata minda."Bahagiakah dia?",tanya hati.Perebutan antara hati dan minda ini mampu meletihkan dan mengalir laju melemahkan saraf.Mungkin juga dia perlukan seorang sahabat yang boleh mengisahkan kehidupannya yang mengesankan pada satu sisi yang berbeza dengan diri saya.
Cerita-cerita yang sebegini bukannya cerita baru untuk saya.Mengubati dan menyembuhkan hati wanita yang terluka juga bukan perkara baru dalam pengalaman hidup yang menjangkau ke usia 32 tahun ini.Rentetan yang sebegitu banyak mengajar saya erti hidup, erti sahabat dan lebih menghargai cinta dengan isteri.Sahabat...mampukah pula sahabat memahami saya?
Apa yang penting, menjelang Disember, saya perlukan rehat yang cukup agar 2009 di sambut dengan semangat dan keazaman yang tinggi.2009 perlu di jana dengan idea baru.
Kehidupan sudah pasti perlu di rubah,perlu di gubah.Dan ingat kata doktor tadi “encik perlu banyak berehat”.
Usahlah resah duhai hati,Tuhan tahu setiap perlakuan dan gerak hati.

Animations - dove-02

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...