December 11, 2008

Bencana Tanah Runtuh....



Pagi itu, bangun dari tidur , seperti pagi-pagi yang lainnya, saya akan membuka siaran Astro 502,Bernama TV.Mahu melihat telatah dunia dan isinya, terutamanya telatah manusia dengan nafsunya.Yang gila berpolitik dengan putar belitnya, yang bertuankan wang dengan cereka ekonominya dan manusia melarat dengan deritanya.Semua himpunan sesi pagi ini, satu hidangan untuk saya mematangkan fikiran dan bekalan untuk saya menjengah ketengah-tengah putaran bumi yang sentiasa menyajikan pentas sementara, sebelum kita sama-sama di jemput ke SANA.
Pagi itu, sisipan berita bingkas menyentak jiwa yang baru terjaga, meleraikan mamai yang mengkhayalkan minda.Berita tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan beberapa jiwa terkorban, tertimbus di dalam tanah dan runtuhan kediaman benar-benar mengejutkan di pagi itu.Baru beberapa hari lalu, tanah runtuh telah meranapkan sebuah banglo di kawasan Ulu Yam.
Hati sebak bila mengenangkan nasib mangsa yang di landa malapetaka.Terutamanya umat Islam yang akan merayakan Aildiladha.Terkenangkan juga nasib anak-anak kecil yang kehilangan laman untuk bermain, nasib mereka yang kehilangan kediaman dan harta benda, bahkan mereka yang kehilangan jiwanya. Ahh….pilunya hati.
Saban hari selepas itu, tanah runtuh yang membadai kawasan elit ini menguasai semua media massa , baik di kaca tv atau pun di halaman surat khabar, sehingga menenggelamkan cerita kekalahan pasukan bolasepak kebangsaan di Kejohanan Bolasepak Piala Suzuki.Saya lemas, dengan sensasi yang di berikan media.Lemas juga dengan telatah pemimpin politik yang meninjau mangsa dan menjanjikan sesuatu untuk menutupi kesilapan lalu yang kadang-kala di susuli dengan pertuduhan siapa yang bersalah.Kemanisan janji itu, tidak dapat melupuskan kesedihan dan trauma yang di tanggung semua mangsa runtuhan, agaknya.
Terlihat juga, mangsa-mangsa yang mula menyalahkan pihak berkuasa dan beriya-iya mahu menyaman pihak bertanggungjawab dan beberapa kerat “orang kaya”yang marah-marah, kononnya pihak berkuasa, terutamanya RELA yang tidak membantu mengusung memindahkan harta benda mereka.Pyan Habib menulis dengan lebih lantang lagi perihal manusia begini dalam blognya.
Media juga seakan terlupa nasib keluarga Roslan Mohd Jalil dan Azizan Madon yang kehilangan rumah dan juga dua orang anak mereka di Ulu Yam Perdana, juga akibat rempuhan tanah runtuh beberapa hari sebelumnya.
Dan kata seorang rakan, yang memberikan pendapatnya berkaitan peristiwa tanah runtuh ini mula terimbas kembali.Katanya “kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”.

“Terlintas di fikiran, betapa ponggahnya bumi terhadap manusia dan isinya.
Dulu, kawasan Bukit Antarabangsa adalah kawasan hijau, kawasan untuk tadahan air.Di rasakan, Allah mencipta segala isi bumi dengan fungsi tertentu dan setiap ciptaan itu di datangkan dengan azimat dan matlamatnya. Bila manusia mula meneroka segala isi alam, sehingga terlupa pada matlamat asalnya, maka dengan sendirinya alam mula bersuara.Alam mula menghantar isyarat untuk semua manusia.Kita, sebagai makhluk Allah yang berakal, seharusnya menjawab segala pertuduhan alam ini dengan penuh rasa tanggungjawab.Bukannya dengan menyalahkan si anu itu, si anu ini.Kita mengimpikan kediaman yang mewah di pinggir atau di lereng bukit, lantas mencantas segala semak lalang yang memejalkan tanah, menebang semua pokok hingga tercabut banir dan akarnya yang mencengkam bumi, menenggelamkan semua lorong-lorong air hujan semata-mata mahukan sebuah banglo dan kondo.Tamaknya manusia.Rakusnya nafsu.
Setelah di hantarkan Allah mesej melalui alam, kita masih lagi berdegil, masih lagi berkata “aku tak bersalah, alam yang kejam”.
Firman Allah di dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud “betapa di zahirkan, di tampilkan, di nampakkan “fasad” kerosakan di muka bumi, lantaran akibat perbuatan tangan manusia sendiri”
Sekali lagi, mana perginya akal?
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan belanjakanlah harta kamu di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”.
Mari, kita sama-sama beruzlah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...