December 30, 2010

Aku Pun Mahu Bahagia


Dia tercongok depan pintu besar. Melangut,melilau-lilau mata liar. Sesekali, dia berjalan, mundar mandir di antara jarak enam langkah. Lunyai rumput. Tapak kaki sesekali di hentak-hentak, menghentam rumput yang kian lunyai.
Telefon bimbit di genggam kemas. Dia menyeluk saku seluar jeans Levi's buatan Danok, lalu mengeluarkan sebuah lagi telefon bimbit, lalu memasukkan semula ke dalam saku. Dia meraba-raba saku baju, di keluarkan lagi sebuah telefon bimbit, kosong paparan skrin. Dia cuma mengharapkan salah satu dari tiga telefon bimbitnya tertera perkataan "1 new messages". Cuma satu, tidak lebih dari itu.
"Celaka", perkataan itu terpacul dari bibirnya yang sedia gelap.
Dia melihat jam di tangan, sudah pukul 5 petang, lagi 30 minit penantiannya akan tamat.Ya, akan tamat.Dia membelek lagi jam tangan pemberian Minah Saerah, terbayang kegirangan Minah Saerah sewaktu menyerahkan jam itu padanya tapi dia langsung tidak mengucapkan "terima kasih", cuma dia tersengih tanpa rela.
Hampir seharian dia menunggu di situ, di depan pintu besar pejabat Tan Sri Tiantan dan lagi 30 minit penantian itu akan tamat. Dia mahu mengumpan Minah Saerah dengan segala persembahan pujuk rayu, melutut juga jika perlu.
Dia membelek lagi telefon bimbit yang semenjak tadi sedia di genggam.Lalu menekan butang "Menu",seterusnya ke bahagian "Messaging". Dia menaip pantas di bahagian "new message".
"Sayang, jangan tinggalkan abang..."lalu bersegera menekan butang "send".


Minah Saerah semakin kelam kabut, timbunan kerja tidak langsung di sentuhnya hari itu. Dia membiarkan perasaan terawang-awang tanpa hala tuju. Dia mahu segera tamatkan episod hitam dalam hidupnya yang baru meninggalkan usia 25 tahun 2 bulan yang lalu. Terlalu lama dia derita. Dia wanita muda, punya gaya, punya pesona dan sedikit ilmu bekalan masa depan.Dia punya kerja yang sentiasa di tatang, dia punya hati yang sudah lama mati.Kesilapan lalu banyak mengajar Minah Saerah dan sungguh, sungguh dia sesal dengan kesilapannya menerima si Halim Kalut dalam hidupnya.Dia cuba, terlalu banyak mencuba memberi ruang untuk Halim Kalut untuk berubah. Langsung Halim Kalut tidak hargai,cuma setiap kali dia suarakan impiannya, Halim Kalut akan berubah tapi cuma bertahan untuk dua tiga hari.Selepas itu, Halim Kalut akan kembali kepada perangai lamanya tanpa langsung ingin memahami Minah Saerah.
Minah Saerah mencapai telefon bimbitnya yang menderit bunyi kemasukan "sms"yang di letakkan di atas meja tulis, berhadapan dengan "keyboard"komputer.
"Sayang, jangan tinggalkan abang...".
"Ahh..aku tidak sekali-kali kan menyerah.Kali ini muktamad!". Minah Saerah bersuara dalam hatinya sendiri.
Hari ini sahaja, tidak kurang dari 80 sms dia terima dari Halim Kalut.Cuma satu sahaja di balasnya, itupun secara ringkas. "Bz..."
Minah Saerah berdiri menghadap tingkap, di selaknya langsir dan jelas kelihatan Halim Kalut sedang menunggunya di luar pintu besar.
Seorang rakan sepejabatnya menegur, " Saerah, kesian aku tengok pakwe kau tu, dari pagi tadi dia tunggu depan tu, yang si Security pula langsung tak nak bertolak ansur tak bagi dia masuk".
" Biar le, kali ni aku memang nak lari dari dia.Bukan sehari dua tapi selamanya. Aku dah tak tahan dengan dia le Kadir ", jawap Minah Saerah.
"Kau nak aku tolong alihkan kereta kau ke? Aku boleh minta Security buka kan pintu belakang,kau boleh lalu ikut situ dan terus ke jalan besar." Kadir yang sentiasa ringan tulang itu memberi cadangan.
"Boleh ke Kadir? Tolong yer, aku malas nak jumpa dia."Minah Saerah pantas menghulurkan kunci kereta kepada Kadir.
"Ok, aku park kat belakang stor. Kau turun ikut pintu pantry, terus lalu ikut laluan ke stor, selamat. Dengan Security kau jangan risau, aku boleh kawtim."Kadir mencapai kunci yang di hulur Minah Saerah, pantas dia hilang menuju ke pintu pantry lalu hilang.

Sepuluh minit kemudian Kadir kembali ke pejabat, terus menuju ke arah Minah Saerah yang masih berdiri di tingkap.
"Nah, settle," kunci kereta bertukar tangan.
"Terima kasih Kadir, kau baik sangat dengan aku." Minah Saerah menguntum senyum.

Jarum jam sudah menunjukan jam 5:50 petang. Halim Kalut melangut lagi, meninjau-ninjau kenderaan yang keluar melalui pintu besar pejabat Tan Sri Tiantan. Selalunya 5:40 Minah Saerah akan keluar menggunakan laluan yang sama. Bukan hanya sama, bahkan hanya laluan itu sahaja untuk kenderaan keluar masuk ke pejabat Tan Sri Tiantan.

"Mana ni, tak nampak pun,"bebel Halim Kalut.Dia membelek lagi jam di tangan, lagi 3 minit menghampiri pukul 6:00 petang.
Dia pantas menaip sms.
"Sayang, tak balik lagi ke?"

Minah Saerah memecut laju di lebuhraya, lagi 600 meter dia akan sampai di rumah.Dia gembira hari ini, sekurang-kurangnya dia berjaya melarikan diri dari putar belit Halim Kalut.

Halim Kalut semakin kelam kabut.Dia mundar mandir lagi depan pintu besar pejabat Tan Sri Tiantan.
"Bang, tunggu Saerah ke?" Tegur Kadir yang berhenti betul-betul di depan Halim Kalut.
"A'a, mana dia tak nampak pun."Jawab Halim Kalut.
"Abang tak tau ke, dia dah berhenti kerja.Dengarnya dia dah balik kampung di Sabah, kalau tak silap dia bertolak pagi tadi," Kadir memberi penerangan ringkas.
"Ha!" Terbeliak biji mata Halim Kalut.

Minah Saerah menghempaskan tubuhnya di atas tilam, dia memejamkan mata.
" Aku pun mahu bahagia...."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...