May 08, 2013

BOLA KAMPUNG

Dulu, masa gua umur belasan tahun dan tinggal di kampung, gua memang ’hardcore’ bolasepak dan di kampung gua memang ada satu pasukan bolasepak yang akan redah masuk bertanding mana-mana pertandingan anjuran kampung lain. Pertandingan ini dipanggil "lig bola"- mengambil singkatan league atau liga – selalunya di adakan secara kalah mati dan mengikut peringkat umur. Ada bawah 15 tahun, 18 tahun dan juga terbuka.

Pasukan bawah 18 tahun kampung gua-sudah tentu gua bertindak sebagai pertahanan- antara pasukan yang bukan calang-calang hebatnya, kalau tidak menjadi johan kami tetap masuk separuh akhir.

Mahu dijadikan cerita-agar sesuai dengan musim berpolitik sekarang ini- pasukan bawah 18 tahun kampung gua masuk bertanding dalam satu "lig tujuh sebelah" untuk peringkat umur bawah 18 tahun. Pasukan yang menang akan mendapat sebuah trofi dan wang sebanyak RM150.00(zaman itu, RM150.00 boleh buat modal pergi Pulau Pinang beli seluar bundle 4 helai atau ulang alik Alor Setar selama seminggu, campur makan mee tonggek Pekan Rabu). Pendaftaran pasukan dikenakan RM20.00 Wang untuk pendaftaran, dikutip dari setiap pemain. Satu pasukan mesti ada 10 pemain. 7 pemain utama dan 3 pemain simpanan. Setiap seorang kena sumbang RM2.00-simpan duit sekolah atau ambil upah cabut rumput dalam petak sawah-semuanya tiada masalah.
Pasukan kami diundi bagi menentukan pasukan mana akan kami lawan pada perlawanan pertama.
"Konpom, kita menang first game." Ketua pasukan kami merangkap jurulatih dan pengurus penuh keyakinan sewaktu memaklumkan yang kami akan bermain pada perlawanan ketiga menentang pasukan "underdog".
Semua pemain bersemangat.Perlawanan pun akan di mulakan.....

Ketika pasukan lawan masuk ke padang, ketua pasukan sempat memberi amaran.
"Bek kena jaga striker nombor 8. Badan besar tu". Gua angguk-angguk tanda faham.
"Tak dapat bola, aku rembat kaki," gua berkata dalam hati.

"Keeper depa tinggi tu. Kita kena tembak bola leret. Dia nak turun badan lambat sikit," pemain penyerang memberi pendapat dan masing-masing hanya diam tanda bersetuju.

Ketika wisel perlawanan di tiup, kami bersemangat. Hantaran-hantaran jauh menguasai padang. Bermain secara 7 sepasukan kena ada strategi mantap. Pemain tidak digalakkan menyimpan bola terlalu lama, kurangkan main skil sebaliknya banyak melakukan hantaran secara tepat.
Pemain tengah mengatur strategi sementara pertahanan pula tidak lekang mata memerhati pergerakan pemain pasukan lawan.

Separuh masa pertama, masih tiada jaringan.
"Awat hang tak berpeluh pun." Pemain penyerang seakan tidak berpuas hati melihat jersi yang gua pakai tiada kesan peluh.
"Dah bola tak mai." Gua jawab pendek.
Betullah, hampir tiada langsung serangan dari pihak lawan.
Baiklah, masuk semula ke padang untuk separuh masa kedua.

Jentera serangan sentiasa melepaskan tendangan pada gol pasukan lawan tetapi hingga tamat separuh masa kedua, pintu gol pasukan lawan tidak juga mampu dibolosi. Hampir 70% permainan dikuasai pasukan kami. Bayangkan, gua yang bertindak sebagai pertahanan masih boleh bersembang dengan penjaga gol-rancang mahu makan ais kacang dan bihun sup selepas habis perlawanan, itu belum lagi di ambil kira berapa banyak rumput temucut yang sempat gua cabut- memang kurang sangat serangan dari pihak lawan.

Akhirnya, perlawanan terpaksa di tentukan dengan sepakan penalti.

"Ni kali pertama kita menang penalti ni," ketua pasukan penuh yakin yang kami akan menang dengan penentuan sepakan penalti, tiga kali percubaan.

Mahu tahu apa yang terjadi?

Kami kalah dengan jaringan 2-3! Memang betul-betul gampang!

Sepakan terakhir dari penyerang utama kami melepasi palang gol. Semua pemain tunduk diam dan pasukan lawan bersorak gembira. Siapa yang tidak suka jika boleh mengalahkan pasukan pilihan seperti pasukan kami.

Masing-masing tidak berpuas hati. Gua nampak muka pengjaga gol pasukan lawan seperti guni beras yang boleh disepak terajang.

"Mana aci lagu ni. Striker dengan keeper depa mesti lebih umur. Kita buat bantahan. Mai duit sorang sikit. Nak buat bantahan kena bayaq RM20. Sat lagi dapat balik la duit ni sebab memang aku rasa depa tipu pemain, selit pemain lebih umur 18 tahun."
Ketua pasukan gua tidak berpuas hati terhadap kekalahan tersebut dan kami bersetuju untuk membuat bantahan rasmi. Jika benar seperti dakwaan beliau bahawa pasukan lawan menyenaraikan pemain yang melebihi umur 18 tahun, secara automatik kemenangan mereka akan dibatalkan dan kami akan dianggap sebagai pemenang untuk perlawanan pertama tersebut.

Bantahan pun dibuat.

Setelah penganjur melakukan pemeriksaan dan siasatan dijalankan, didapati pasukan lawan menepati syarat-syarat seperti yang ditetapkan dan kami juga hilang wang bantahan.

Impian mahu makan ais kacang dan bihun sup juga lebur kerana duit yang sepatutnya gua gunakan untuk makan sudah diberi kepada ketua pasukan sebagai pembayaran untuk bantahan rasmi.

Waktu itu, gua tidak pula terfikir,"kenapa tak bantah masa mula nak main tadi."

Celaka!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...