March 23, 2015

Tulislah!

Berkali-kali saya disarankan untuk menulis sekurang-kurangnya sebuah buku. Apa-apa buku sekalipun, sebagai tanda bahawa saya boleh menulis. Setiap kali saranan itu datang-dari orang yang berbeza-saya masih memberi alasan yang sama.
"Nak tulis amendanya lah!" dan setiap kali selepas menjawab begitu, saya akan berfikir "apa aku nak tulis. Cerpen kah? Novel kah? Atau kumpulan puisi kah?"
Saya pernah menyerahkan tidak kurang dari 80 puisi kepada seseorang untuk dinilai dan dia menghilangkan diri bersama puisi-puisi tersebut. Itu cerita lama, Saya malas ambil tahu. Bukan merajuk tapi saya menerima itu sebagai pengajaran. Jadi jangan disoalkan lagi, saya malas untuk menjawab.

Kemudian datang cadangan, "hang tulis travelog. Sesuai sangat sebab suka berjalan."
Ya, itu saya akui. Saya juga seorang penggemar tulisan berbentuk travelog. Ianya bermula setelah saya membaca The Great Railway Bazaar, tulisan Paul Theroux sekitar tahun 1999 dahulu, barangkali awal dari itu, saya tidak ingat sangat. Kemudiannya kesukaan saya kepada cerita-cerita berbentuk travelog ini menjalar kukuh sehinggalah  pada tahun 2012, saya berhasrat untuk menulis sebuah buku, Travelog Semenanjung. Apa yang saya perlukan adalah sejumlah wang yang mencukupi untuk membiayai perjalanan itu nanti. Selebihnya adalah semangat. Bab semangat ini yang bermasalah sebenarnya. Menjelang 2013, "Travelog Semenanjung" saya itu cuma menjadi bahan bacaaan di blog ini. Boleh rujuk di sini.

Awal tahun ini, datang pula saranan dari seorang rakan untuk saya mengumpulkan tulisan saya di blog ini dan bersama sejumlah besar catatan-catatan yang saya lakukan di media sosial, Facebook terutamanya untuk dijadikan sebuah buku.
"Banyak dah yang buat lagu tu baq hang", kata rakan saya tadi.
Seperti selalu saya jawab "tengoklah." Dan tengoklah saya itu mempunyai pelbagai maksud tersirat. Entahkan jadi entahkan tidak. Harapnya jadi lah. Kalau bersungguh, apa sahaja boleh jadi. Tapi bersungguhkah saya? Saya rasa saya bersungguh dan memang saya mengimpikan begitu.

Menariknya kira-kira dua hari yang lalu saya berjumpa seorang kawan lama. Ketika berbual dia katakan pada saya "kau tengok novel-novel sekarang, tajuk entah apa-apa tapi orang kita baca juga. Asalkan novel cinta, laku. Lepas tu sampai buat filem."
Itu saya akui dan saya juga akui, itu antara penyebab utama saya bencikan novel berunsur cinta. Manakan tidak, semua novel cinta yang ada di pasaran mempunyai tema yang sama. Misalnya teman wanita berkahwin dengan orang lain, kemudian si lelaki bersedih, bawa diri pergi luar negeri, cinta agunglah, kononnya.
Secara spontan saya menjawab "kenapa tidak buat cerita yang di luar kebiasaan? Contohnya selepas teman wanita kahwin dengan orang lain, si lelaki kuatkan semangat dan tulis semula kisah percintaan mereka, Jadikan buku. Sekurang-kurangnya si lelaki boleh jadi popular dan teman wanita tadi menahan malu, sebab kisah-kisah romantik mereka didedahkan kepada orang ramai. Ini tidak, asyik jalan cerita yang sama. Semua happy ending. Bagi la yang sad ending, tidak pun yang horror ending. Love story tapi horror ending."
"Haa, kan kau ada idea. Tulislah macam tu!" Kawan tadi langsung tidak memberi saya peluang.

Begitulah kita memahami, bahawa menulis ini semudah kita belajar ABC.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...