June 08, 2015

Profesional?


Semasa gua masih bujang, gua menyewa apartment di kawasan Puchong bersama beberapa orang rakan.
Jiran gua, satu keluarga Melayu dengan empat orang anak. Setiap hari-kebiasaannya waktu malam- suara si bapa akan jelas kedengaran, memaki hamun anak-anaknya. Dan kami tidak pernah masuk campur dalam urusan keluarga tersebut walaupun kadang-kadang terdetik juga di dalam hati, apalah salah anak-anak beliau hingga di maki hamun sebegitu rupa.
Suatu hari, gua terserempak dengan ketua keluarga tersebut-bapa-seorang lelaki Melayu dalam lingkungan usia awal 40an. Ketika itu, gua sedang mengikat tali kasut di luar rumah dan dia sedang menghisap sebatang rokok sambil duduk berehat di atas bangku. Tangan kanannya memegang sebiji gelas yang mungkin berisi kopi.
Memandangkan jarak antara kami dekat, maka kami pun berbual secara ringkas.
Katanya dia bekerja di sebuah agensi pelancongan terkemuka. Jika dilihat dari segi luaran, dia boleh dikategorikan sebagai lelaki dalam kumpulan profesional.
"Saya boss untuk cawangan Kuala Lumpur. Ada 12 orang kakitangan. Kalau saya kata A, semua kena buat A. Kita ni kena tegas dengan anak-anak buah, bagi ada rasa takut sikit baru kerja lancar."
Gua hanya mengiyakan saja.
"Kerja apa?" Soal dia setelah melihat gua ralit mengikat tali kasut.
"Biasa-biasa saja, dengan syarikat Jepun." Terang gua.
"Bagus tu. Syarikat Jepun ni bagus. Saya dulu pernah kerja dengan syarikat Jepun. Memang profesional. Sebab tu sekarang cara saya bekerja tidak sama dengan kawan-kawan lain. Saya profesional." Dia melanjutkan perbualan.
Oleh kerana gua dalam keadaan tergesa-gesa, maka perbualan kami cuma tamat di situ begitu saja, tetapi gua rasa ada yang tidak kena.
Kata lelaki tadi, dia profesional.
Bagi pandangan gua, dia tidak profesional. Jika meletakkan diri sebagai seorang yang profesional, dia tidak akan memaki hamun anak-anaknya, tetapi menasihati dengan baik jika anak-anak melakukan kesalahan. Itu profesional.
Maksudnya, sikap profesional yang ada beliau sewaktu bekerja itu dibawa bersama sehingga ke rumah. Ketua yang baik adalah ketua yang mampu mengawal rasa marah. Bukan hanya ketua kepada sekumpulan manusia yang dipanggil pekerja tetapi juga ketua keluarga. Secara dekat, sikapnya bersama keluarga adalah cerminan gaya dia bekerja. Otak gua mengatakan "mampus anak buah dia kena maki kalau buat silap".
Makanya lagi, profesionalnya di mana?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...