July 07, 2017

Sekolah Apa Nama?

Lama betul gua tidak gunakan blogspot. Rasa pelik lain macam. Dulu-dulu, gua rajin sangat menulis panjang-panjang. Tetapi bila dirasakan, tulis pun bukannya ada orang akan baca, bukannya ada pihak ambil peduli-sudahnya blog bersarang-beralih ke media sosial lain-FB, Instagram dan Twitter-ada juga kutu ambil peduli baca sekerat dua, ada juga menteri bagi maklumbalas sepantas kerdipan mata(terima kasih KJ).

Kenapa gua kembali menulis di blog?
Sebelum lu tanya, gua jawab dululah.
Gua sedang menulis aduan di laman Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan saat untuk memasukkan beberapa keping gambar, melingkup. Maksud gua web yang depa buat macam lahanat. Sepatutnya dipermudahkan. Ini tidak, bila lu klik di tetingkap "Add Image", akan muncul "url" jadah apa yang minta link.
Menyampah punya pasal, gua pun cuba mengingati kembali kata laluan untuk blogspot. Mujurlah dulu-dulu abah gua bagi gua makan banyak kismis, daya ingatan gua sedikit kuat.

Oh, lu mahu tahu kenapa gua buat aduan di Jabatan Pendidikan?
Ini disebabkan masalah Sekolah Kebangsaan Kubang Teduh(SKKT), yakni sekolah rendah tempat gua mula kenal papan hitam(walau hijau) yang dikhabarkan sedang uzur teruk walaupun menteri kita canangkan Malaysia negara maju yang akan ada kapal terbang ulang alik dari Kuala Selangor ke Shah Alam(saja gua merapu).












Itulah. Menteri kita sembang kencang tapi bab bertindak lembab. Kena heboh-heboh barulah ada tindakan.
Gua malas sebenarnya untuk taip panjang-panjang.
Lu tengok sajalah gambar yang gua sertakan ini dan untuk makluman lu, semua gambar yang ada diambil sekitar bulan Jun dan Julai 2017, bukannya tahun 1990.

July 10, 2016

Pernah

Pernah aku berpesan padamu;
jangan pernah lupakan aku.

Pernah juga kau ingatkan aku;
Tuhan memerhatikan perjalanan kita.

Pernah juga kita berkata;
Kita tahu apa yang kita rasa tapi Tuhan sentiasa ada.

Pernahkah kita sedar;
Kita sentiasa ada.

April 12, 2016

Kau Dan Aku

Pernah pada satu hari, dalam terik matahari dan pijarnya panas menyentuh kulit, kau dan aku berbual riang.
Dalam panas seakan di mulut neraka kau bisikkan pada ku bahawa perjalanan ini semakin jauh, semakin dalam dan semakin juga kelam.

Aku bingkas membalas.
Perjalanan ini penuh kerancuan. Galau dengan rasa padamu,  juga sekiranya kau pergi tinggalkan aku.

Kau diam.

Dan kesunyian pun berlabuh. Lama dan membungkam. Sehingga panas tadi bertukar menjadi api. Menggigit kulit, isi dan tulang kita.Aku merenung; kelopak matamu yang gugur. Aku lihat; kau pun merenung dadaku yang terbakar.
Lerai dan bersepai.

January 06, 2016

Hari Ke Enam Bulan Satu Tahun Dua Ribu Enam Belas


Antara perkara jahanam; ingin menulis tapi tak tahu apa yang ingin ditulis. 
Sungguh jahanam!
Seperti inilah. Entah apa gatalnya, saya rasa ingin menulis. Dan saya pun menulis tanpa tahu apa yang ingin saya tulis.

Oklah.
Selamat hari ke enam bulan satu tahun dua ribu enam belas dan usia saya bertambah lagi. Tahun depan-jika belum mati-usia saya sudah empat puluh.

Terima kasih.

September 03, 2015

Kau Di Mana?




Aku cari, kau di mana?
Kau di mana sebenarnya?
Aku di sini.
Antara lapisan mimpi dan bayang hitam.
Itulah aku.

Tapi kau, kau di mana?
Yang aku tahu, kau selalu ada di sini. 
Di sini, lohong hitam yang tak akan kau jumpa.
Dalam aku.

Tapi kau di mana?





Catatan Pengingat : 02-Sept-2015
                                 11:20am



August 05, 2015

Rancanglah

Saya tidak suka untuk mengatakan bahawa saya perancang yang baik. Maksud saya rancangan dari segi kehidupan.
Tetapi memang saya jenis yang suka merancang. Jika ada sesuatu yang ingin saya lakukan, saya akan merancang, kalau pun tidak seteliti mungkin tetapi rancangan dan pelan tindakannya tetap ada.

Perjalannnya mesti begini, waktunya mesti begini, tempatnya, suasananya mesti begini dan begini.
Jika melibatkan orang lain, saya terlebih dulu akan menerangkan rancangan tesebut, berkongsi pandangan terhadap rancangan saya tadi.

Tidak sedikit rancangan saya  yang ditolak dan gagal.
Kecewa?
Tidak. Saya tidak kecewa jika rancangan saya itu dibantah sejak awal. Saya lebih rela begitu.
Tetapi, saya amat kecewa jika perkara yang telah dirancang dan dikongsikan akhirnya terpaksa dibatalkan di saat akhir.
Itu memang mengundang rasa marah yang amat sangat.

Kenapa saya begitu?
Pada saya, pembatalan sesuatu rancangan di saat akhir adalah kesilapan saya mencongak dan melihat keadaan. Saya gagal. Dan kegagalan itu datang dari diri saya sendiri, alpa dan lemah. Saya mengutuk kelemahan diri sendiri dan seboleh mungkin cuba melupakan kegagalan itu tadi. Saya mencongak perkara baru, menyusun dan merancang perkara baru. Saya harus begitu, kuat dan tabah dan redha.

Namun, ada juga beberapa perancangan saya yang digagalkan oleh pihak lain pada saat-saat akhir dan ini amat berat untuk saya terima. Saya timbulkan persoalan, "kenapa baru sekarang?"
Akan ada pelbagai alasan dan memanglah manusia ini kaya dengan alasan dan saya juga bersebab untuk merasa marah dan amat kecewa. Malangnya, saya tidak pandai melahirkan rasa marah itu. Diam saja dan biarkan memakan jiwa.
Saya merancang lagi, barangkali akan gagal, barangkali akan berjaya. Entah, saya tidak tahu kesudahannya tetapi saya sentiasa mengharapkan saya berjaya dan rancangan saya berjaland dengan lancar.
Saya tidak boleh selamanya merasa murung dan gagal. Itu bukan saya.

Jauh di sudut pemikiran saya, saya memahami betapa bagus dan teliti pun perancangan kita, semuanya datang dari Dia. Dia berkehendakkan sesuatu itu jadi, maka jadilah. Begitu sebaliknya.
Tidak dapat tidak, Dia lebih mengetahui tiap sesuatu. Dia mengatur perjalanan, kita menyusurinya.

Tetapi, saya masih berhak untuk bertanya soalan kepada yang menggagalkan rancangan saya tadi.
"Kenapa baru sekarang?"

July 27, 2015

Faham Memahami

Foto : http://someordinarygamers.wikia.com/wiki/File:Shadow-man_(1).jpg

"Saya harap awak dapat faham saya," berkali-kali saya diperingatkan begitu.
"Faham saya", ya. Saya diminta untuk memahami situasi orang lain, terutamanya yang bersangkutan dengan hati dan perasaan.

Selalu juga saya bahaskan dengan diri sendiri. Adakah pelaku itu memahami saya?
Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Dan sering saya enakkan hati saya dengan berkata "dia faham tu."
Saya juga percaya, ramai yang berfikiran dan sering melakukan hal yang sama.

Saya tidak keseorangan. Saya percaya begitu dan dengan kepercayaan yang begitulah saya terus terusan hidup, bergembira dan tidak sedikit juga dengan kepercayaan itu tadi-walaupun terus terusan hidup-saya sakit hati, marah dan kecewa.
Namun, saya diamkan saja kerana Tuhan memberikan saya 'sabar'. Perkara paling payah tetapi mudah. Payah untuk disemai, mudah untuk layu(walau sering saya minta dari Tuhan agar menyemai sabar itu dengan subur).

Sebenarnya begitulah kita semua. Kita-saya percaya kita semua-ada sifat ingin difahami orang lain, mahukan orang lain memahami kita walaupun sebenarnya kita sendiri tidak pernah memahami orang lain, atau cuba dan gagal memahami orang lain. Bahkan, kadang-kadang kita tidak pernah menghargai pengorbanan orang lain-yang cuba memahami kita-kerana kita meletakkan kata "kau tak faham aku."



June 29, 2015

Meriam Tanah


Ketika kejadian itu, gua kurang ingat berapa usia gua. Mungkin 10 tahun, mungkin 11 tahun.
Yang paling gua ingat, ketika itu bulan puasa dan gua buat meriam tanah belakang rumah datuk gua.

Buat bagi elok, gua guna enam biji tin Milo bersaiz 1.5 kilogram yang gua buang bahagian bontot, korek tanah dan tanam bagi kemas. Gua tinggalkan satu tin untuk dijadikan takung karbaid, jadi bontotnya gua tidak buang, cuma gua tebuk di bahagian tepi tin itu sebagai lubang pencucuh. Bahagian hujung meriam, gua pastikan tidak terkambus, kalau terkambus, jahanam!

Sebagai pelengkap, gua timbus tin-tin Milo tadi dengan tanah, injak-injak supaya tanah padat dan kalau meletup, tin-tin Milo tidak berganjak, kejap dan kukuh.

Meriam sudah siap.
Masalah utama pun datang. Karbaid mahu beli dari mana?
Kedai paling dekat yang ada jual karbaid, berjarak kurang lebih 10 kilometer dari rumah gua, Kedai Runcit Ah Meng Gunung Keriang. Sah-sah abah gua tidak benarkan gua pergi.

Penyelesaiannya, gua rembat karbaid yang nenek gua gunakan untuk peram buah nangka.
Nenek peram buah nangka dalam besen besar, sesuai dengan saiz nangka.
Karbaid dibungkus dengan kertas surat khabar dan diletakkan di tengah-tengah dasar besen.
Gua rembat seketul besar. Sebagai ganti dan takut kalau-kalau kantoi, gua gantikan dengan batu sebesar penumbuk. Gua bungkus kemas, sama macam nenek bungkus karbaid.
Kalau nenek tengok, tentu dia ingat karbaidnya tidak terusik.

Makanya gua pun letupkan meriam tanah yang gua buat. Hebat bukan main.
Sehari, dua hari, tiga hari.
Masuk hari ke empat, ketika hampir waktu berbuka puasa, nenek perambat gua dengan penyapu lidi.

Rupanya strategi gua-gantikan karbaid dengan batu besar penumbuk-sudah kantoi.
Buah nangka yang nenek peram, empat hari tak masak-masak.

June 08, 2015

Profesional?


Semasa gua masih bujang, gua menyewa apartment di kawasan Puchong bersama beberapa orang rakan.
Jiran gua, satu keluarga Melayu dengan empat orang anak. Setiap hari-kebiasaannya waktu malam- suara si bapa akan jelas kedengaran, memaki hamun anak-anaknya. Dan kami tidak pernah masuk campur dalam urusan keluarga tersebut walaupun kadang-kadang terdetik juga di dalam hati, apalah salah anak-anak beliau hingga di maki hamun sebegitu rupa.
Suatu hari, gua terserempak dengan ketua keluarga tersebut-bapa-seorang lelaki Melayu dalam lingkungan usia awal 40an. Ketika itu, gua sedang mengikat tali kasut di luar rumah dan dia sedang menghisap sebatang rokok sambil duduk berehat di atas bangku. Tangan kanannya memegang sebiji gelas yang mungkin berisi kopi.
Memandangkan jarak antara kami dekat, maka kami pun berbual secara ringkas.
Katanya dia bekerja di sebuah agensi pelancongan terkemuka. Jika dilihat dari segi luaran, dia boleh dikategorikan sebagai lelaki dalam kumpulan profesional.
"Saya boss untuk cawangan Kuala Lumpur. Ada 12 orang kakitangan. Kalau saya kata A, semua kena buat A. Kita ni kena tegas dengan anak-anak buah, bagi ada rasa takut sikit baru kerja lancar."
Gua hanya mengiyakan saja.
"Kerja apa?" Soal dia setelah melihat gua ralit mengikat tali kasut.
"Biasa-biasa saja, dengan syarikat Jepun." Terang gua.
"Bagus tu. Syarikat Jepun ni bagus. Saya dulu pernah kerja dengan syarikat Jepun. Memang profesional. Sebab tu sekarang cara saya bekerja tidak sama dengan kawan-kawan lain. Saya profesional." Dia melanjutkan perbualan.
Oleh kerana gua dalam keadaan tergesa-gesa, maka perbualan kami cuma tamat di situ begitu saja, tetapi gua rasa ada yang tidak kena.
Kata lelaki tadi, dia profesional.
Bagi pandangan gua, dia tidak profesional. Jika meletakkan diri sebagai seorang yang profesional, dia tidak akan memaki hamun anak-anaknya, tetapi menasihati dengan baik jika anak-anak melakukan kesalahan. Itu profesional.
Maksudnya, sikap profesional yang ada beliau sewaktu bekerja itu dibawa bersama sehingga ke rumah. Ketua yang baik adalah ketua yang mampu mengawal rasa marah. Bukan hanya ketua kepada sekumpulan manusia yang dipanggil pekerja tetapi juga ketua keluarga. Secara dekat, sikapnya bersama keluarga adalah cerminan gaya dia bekerja. Otak gua mengatakan "mampus anak buah dia kena maki kalau buat silap".
Makanya lagi, profesionalnya di mana?

April 04, 2015

Bebalisme GST


Ini air jagung jenama Jusmate.
Bukan sedap atau tidak yang akan gua ceritakan. Gua akan ceritakan tentang harganya.
Baiklah.
Sebelum 1-April-2015, air ini berharga RM1.90 untuk sebotol. Pagi tadi, gua beli dengan harga RM2.00 dan ya, tanpa GST. Gua tidak tahu harga yang dijual di luar, maksud gua luar dari premis yang gua beli.
Ketika menghulurkan RM2.00 kepada peniaga yang sememangnya gua kenal, gua sempat tanyakan kenapa harga sudah berubah.
"Bukan sesaja naik bang. Pembekal yang letak harga serupa tu. Dia kata harga barang lain sudah naik."
Makanya kalau kita faham, rakyat seperti gua tidak takut "GST", tetapi apa yang ditakuti adalah kesan peningkatan harga barangan akibat GST.
Nampak?
Tidak adil jika gua tanya "mana menteri" sebab mustahil untuk seorang menteri memantau semua benda. Yang menjadi persoalannya, tidakkah menteri-menteri itu berfikir kesan dari perlaksanaan GST? Terutamanya kepada masyarakat yang berpendapatan rendah. Penilaian harus dibuat bukan hanya dengan menjadikan golongan berpendapatan sederhana sebagai tikus makmal tetapi mesti meliputi semua pihak. Makcik Om Pida Tujuh, Haji Zakaria Kampung Melele, Bubudan Oti Majalu Kampung Sinukab dan sekian-sekian kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah yang berada di ceruk-ceruk negeri dan berada dalam kelompok garis kemiskinan.

Ini yang amat menyedihkan kerana golongan-golongan ini yang hidupnya tidak pernah kenal apa itu Facebook, apa itu Windows 7 dan Astro adalah satu kemewahan, akan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. GST dan kesannya tidak bersempadan, ia ibarat pukulan tsunami yang melanda Banda Aceh dan Masjid Raya Baiturrahman bolehlah diibaratkan sebagai penghuni Seri Perdana, Putrajaya.
Jangan menafikan kenaikan kos ini. Menafikan kenaikan kos barangan akibat perlaksaan GST adalah satu fenomena "simulacrum"; kepalsuan realiti yang diangkat mengatasi realiti sebenar. seperti kata Jean Baudrillard.

Masyarakat yang menolak GST bukanlah masyarakat yang menolak kemajuan. Ini perlu difahami, faham dengan terang. Tetapi mereka adalah masyarakat yang merasakan doktrin dari era Tun Mahathir telah lama berlalu. Isu GST bukan lagi isu kepartian dan golongan yang merasakan bahawa masyarakat penentang GST terhasut oleh dakyah pembangkang adalah golongan yang ditandai dengan label 'bebalisme' yang mana menurut Syed Hussien Alatas, golongan bebalisme ini adalah mereka yang tidak malu dengan kesalahan yang dilakukan kerana kebodohannya.

GST adalah isu penindasan golongan kapitalis kepada masyarakat kelas bawahan, masyarakat yang merasakan bahawa pendapatan sedia ada terpaksa di bahagi-bahagikan untuk hari ini, esok dan masa depan. JIka tekanan kerana kenaikan kos barangan semakin meningkat, apa lagi yang akan tinggal kepada masyarakat ini?
Sampai bila mahu diperah kudrat mereka? Sampai bila mahu ditunggang mereka untuk kesenangan sebahagian golongan lain?

Meminjam kata-kata Mutalib Othman, "bangang macam menteri" dan kita jangan terus-terusan hidup bertemankan bangang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...