July 26, 2008

Pesta Buku Selangor 2008

Awal pagi, sekitar jam 08:30 lagi saya sudah bersiap,mengenakan jeans lusuh dan t-shirt putih,sambil menghabiskan sebatang rokok sambil menunggu isteri yang sedang sibuk menyiapkan anak, berbedak dan sedikit kalut ketika menyarungkan pakaian.Syaamil memang begitu sejak kebelakangan ini, kerap kali berperang dengan ibunya selepas mandi kerana dia terlalu sukakan air dalam dingin pagi.
Hampir jam 09:00 pagi, kami bertiga menjengah sarapan di restoran mamak.Saya dan isteri masing-masing memesan sebiji roti telur setiap seorang dan teh tarik untuk saya, sementara isteri pula cukup senang meneguk teh ais.
Habis bersarapan dan membaca beberapa helai muka surat Berita Harian, sekali lagi dalam keributan, kami terus menuju ke Pesta Buku Selangor 2008 yang di adakan di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Sampai di sana sekitar jam 10:30 pagi dan kebanyakkan gerai telah menjadi tumpuan orang ramai. Saya mengambil peluang menjelajah ke beberapa gerai sambil membelek buku-buku, sambil mendukung Syaamil.Banyak sekali yang ingin di beli, tetapi bila memikirkan saya masih mempunyai 4 buah buku yang belum terusik, keinginan itu terpaksa di lupakan. Isteri pula sibuk ke gerai yang menjual buku dan bahan pembelajaran kanak-kanak.Beberapa buku kanak-kanak dan vcd pembelajaran, yang saya kira dibelinya untuk Syaamil di kendong bersama.
Sampai di gerai GB Enterprise, saya terpandang buku tulisan Farish Nor , Di Balik Malaysia: dari Majapahit ke Putrajaya ,yang baru saja di beli secara "online" minggu lepas dan sedikit terkilan kerana GB Enterprise menawarkan 30% diskaun untuk buku tersebut.Hati pun berkata “ambil hang, kelam kabut sangat nak beli,kan dah rugi”.
Saya cuma membeli sebuah buku dari GB Enterprise , Merdeka Rakyat & Keadilan tulisan Syed Husin Ali, sambil mendengar isteri berkata “ sejak bila sokong PKR ni?” Jawap saya – sengih- tanpa suara.
Berjalan lagi dan singgah di sebuah gerai yang mempunyai seorang wakil jualan yang cantik berbaju kurung.Memegang Hati Muda Bulan Muda : Kumpulan Cerpen, 1954-1992 / A. Samad Said ; diselenggarakan oleh Othman Puteh yang di susun bersama beberapa buku keluaran DBP.Memandang-mandang , ambil, letak.Saya kalah.Akhirnya Hati Muda Bulan Muda bertukar tangan bila wang di hulurkan.
Saya berkesempatan singgah di gerai Al-Ameen,sambil membelek-belek(belek lagi!) novel Faisal Tehrani juga meluangkan masa yang panjang di gerai PTS.Beberapa buku terbitan Wira Bukit juga ada di gerai PTS.Lalu teringatkan abang Helmy Samad.Mana pula gerai Wira Bukit?
Pantas jari menekan butang menu di telefon bimbit.Masuk ke ruangan “Messages”, lalu menaip “ Wira Bukit tak sertai Pesta Buku Selangor ke?”.
Hampir sejam kemudian, sambil menikmati hidangan tengahari-nasi padang- telefon saya berderik berbunyi, ada pesanan sms yang masuk. Dari abang Helmy.”Tak.PTS wakil kami.Anda tak ke sana?”.Kemudiannya saya menjawab ringkas, “saya sekarang di pesta buku.Sempat singgah di gerai PTS”.

Kaki mula lenguh dan mata mula layu setelah nasi memenuhi ruang perut.Syaamil pula mula meragam. Isteri lantas mengajak pulang, ketika jam menghampiri ke pukul 01:00 petang. Dalam perjalanan untuk mengambil kereta yang di letakkan di SACC Mall(bersebelahan Komplek PKNS), saya sempat menjenguk abang Helmy Samad yang sedang menikmati teh tarik bersama beberapa rakan(keluarga) di Only Mee.Cuma sempat berbual tidak sampai 20 patah perkataan kerana Syaamil mula menunjuk lagak “hero”nya.Saya beralah, segera pulang.
Pesta buku ini tidaklah semeriah Pesta Buku Malaysia yang di anjurkan di PWTC saban tahun, syarikat yang menyertai pesta ini pun tidaklah seberapa , tetapi dalam serba kesederhanaan itu, keterujaan pengunjung tetap ada. Ini menunjukkan yang masyarakat sekarang sudah mula menggemari buku dan dahagakan ilmu.Pesta buku yang sebegini, seharusnya di angkat menjadi salah satu rutin wajid dalam calendar Malaysia. Keterbukaan media cetak adalah sesuatu yang maha penting bagi memartabatkan bangsa dan seterusnya membolehkan rakyat menjadi bangsa Malaysia yang berilmu.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...