December 13, 2008
Kampung
Dingin benar-benar mengigit tubuh kerdil yang beralaskan sehelai baju T Pagoda dan berkain pelekat cap Gajah Duduk.Selesai menyiapkan Bencana Tanah Runtuh yang terlebih dulu di taip pada aplikasi Word, kemudian di “copy-paste” ke laman ini, saya segera mendapatkan secawan kopi pekat dan sebatang rokok.Jam yang tergantung kukuh di dinding ruang tamu sudah menunjukkan pukul 02:20 pagi.Nafsu tidur sengaja saya kuncikan agar dapat bertemu Subuh.Harapnya, dapatlah mengerjakan Subuh di surau terdekat, kembali nanti boleh melelapkan mata dan mengisi hari cuti dengan berpeleseran di atas katil.
Hujan mula rintik, mula gugur berdikit.Saya berdiri menghadap tingkap di ruang tamu yang sengaja saya biarkan terbuka.Secawan kopi yang masih terasa panas hingga ke rongga dada di teguk perlahan-lahan, sambil sesekali mencuri ruang menghembus asap rokok.
Hujan yang mulanya hanya rintik, kini mula berderu bunyinya.Kasar menimpa bumi.Lopak-lopak air segera terbentuk di petak-petak parking yang di tinggalkan kosong.Saya masih lagi berdiri di hadapan tingkap, menutup sedikit dengan jendela agar kurang terasa gigitan sejuk.Saya mudah tergugat dengan kenangan ketika berkeadaan begini, sunyi dalam hujan.
Perlahan-lahan, hati di jamah dengan kenangan di kampung.Bila melihat rintik hujan yang semakin kasar, kilatan ingatan mudah membawa saya ke daerah yang menghadiahkan saya sebuah kehidupan. Kampung saya tidak mempunyai hutan.Hanya yang ada, selaut sawah padi dan deretan pokok mangga.Indah.
Di sana, sepak terajang politik tidak pernah di pedulikan.Di sana, walau kaya dengan kemiskinan tapi manusia masih lagi mengenal Tuhannya. Bila tiba musim tengkujuh, lopak air akan bertakung dan kaki akan di penuhi selut hingga ke betis.Anak kecil sudah mengenal mana satu lintah, mana satu pacat.Dan anak kecil juga akan berpesta sakan bila hujan turun.Ibu ayah sudah tidak hiraukan demam selsema, mainlah hujan,sejuk nanti pulanglah anak.
Sungai masih lagi berderu alirnya, walau sesekali airnya keruh berselut.Keli,haruan,puyu dan sepat masih lagi menjanjikan rezeki.Sungai juga tidak pernah poggah hingga pecah tebingnya, jarang juga sungai bebal kerana alirannya.Sungai hanya sesekali naik radang bila air baja dari bendang di lepaskan kerana keli dan sepat hilang dari dasarnya.Tapi rajuk sungai akan segera reda, bila orang kampung turun menebas semak lalang di tebing, menarik keladi dan kangkung dari permukaannya.Sungai akan segera memberi bayang berombak setiap kali matahari memancar cahaya ke permukaan air.Sungai kampung saya sungguh manja.
Kenduri cara kampung,seisi kampung akan berpeluh menyediakan jamuan yang akhirnya di makan sendiri.Lembu atau kerbau akan di sembelih,di lapah dan di jadikan juadah kenduri.Sepakatan masih menebal.Anak muda akan terperosok di sudut paling hujung sambil bersiul membasuh pinggah mangkuk.Upahnya mudah, cuma tembakau dan sekotak rokok yang di bahagi-bahagi.Esoknya, selepas kenduri bertandang lagi, mengemas mana yang perlu.Tuan rumah menyediakan makan tengahari, masih dengan “rapah”kenduri semalam.
Tiba musim menuai, pohon padi yang awalnya menghijau akan bertukar menjadi kuning keemasan dan petani akan tersenyum hingga menampakkan rongaknya gigi.Wang bukan keutamaan, cukuplah sekadar mengalas kehidupan. Semuanya serba indah bila teringatkan kampung.
Jarang benar saya mendengar orang bercerita tentang kampung kelahirannya.Agaknya, mungkin malu.Atau barangkali, sudah terlupa asal usulnya.Benarkah?
Biarlah, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai kampung untuk di kisahkan.Biarlah hujan selalu turun, agar bendang di kampung menghadiahkan rezeki pada petani.
Hujan masih lagi terus menggila dan niat awal untuk berjemaah kian tipis.Mata kian letih….saya mahu tidur dan mimpikan tentang kampung.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
puitis..
saya pun mahu tidor
salam bro. ak slalu p mandi kt pusat akuatik tu. ngehngeh...
nk tnya je,mana blh dpt buku 'kasut baru rubina tu tima kaseh
akarcommunity.blogspot.com
Johan,
Kasut Biru Rubina , saya dapatkan dari silverfishbooks.com
salam.unkel turut berasal drpd salasilah tok nai din?sama juga saya brdsarkn apa yg ayah saya bgtau la. moga kita dpt kekalkan salasilah ini.menarik snggoh post unkel.
akusindalolo.blogspot.com
Post a Comment