January 27, 2009

Al-Fatihah - ARENAWATI


Selesai solat Subuh dan menelan sebiji ubat selsema warna kuning,saya kembali ke tilam kekabu,melelapkan mata sambil memeluk Syaamil yang masih enak tidur.Isteri pula, sibuk di dapur bersama ibu mentua dan 2 orang adik ipar saya,menyiapkan sarapan pagi.Kelopak mata terasa segan di buka...dan saya kembali terlena.
Saya di kejutkan dengan bunyi "krik-krik" SMS telefon bimbit, kiriman dari seorang rakan ketika jam sudah hampir ke pukul 8:30 pagi.Segera bangun dan mendapati Syaamil sudah hilang dari sisi.Kenikmatan tilam kekabu rumah mentua yang mengkhayalkan di tambah keletihan kerana hari sebelumnya, merasai pengalaman pertama memancing udang di sungai Kuala Selangor.Kepala pula terasa sedikit pusing, kesan dari ubat selsema- di ambil selesai solat Subuh-juga akibat dari pengalaman pertama berjemur memegang batang kail di tengah simbahan panas matahari dan biasan air sungai.
Menggosok-gosok mata sambil terdengar suara Syaamil berbual entah apa dan dengan siapa,saya membaca kiriman SMS tersebut,ringkas sahaja tulisnya "Arenawati dah meninggal, hang dah tau ke?".
Masih lagi dalam fasa separuh sedar, saya bergegas keluar dari bilik dan mencapai "remote"Astro, menekan butang 502-Bernama News-perkara pertama yang perlu di lakukan setiap pagi bangun dari tidur-walaupun di rumah mentua.
Maklumat dari rakan tadi di sahkan tepat.Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Baing atau lebih dikenali sebagai Arenawati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras akibat barah paru-paru.
Yang datang pasti pergi, dan perginya Arenawati meninggalkan satu legasi yang di akui banyak meninggalkan kesannya kepada masyarakat Malaysia.Saya juga sering menyifatkan Arenawati sebagai penulis luar biasa.Luar biasanya Arenawati kerana buah fikiran yang ditumpahkan dari penanya itu adalah hasil strategi perahan keringat pengalaman, kudrat kembara dan penguasaan fakta sejarahnya.Saya sedikit terlewat mengenali Arenawati.Novel pertama beliau yang saya beli,Sukma Angin.Ketika merayau-rayau di Kinokuniya, KLCC sekitar tahun 2001-ketika masih berangan menjadi Malmsteem-dan mencari arah diri.Tulisannya yang membuai, menimbulkan kegilaan untuk saya mendalami novel-novel beliau yang lainnya.
Bermula dengan Sukma Angin,saya mula mengenali Pantai Harapan(dari Popular Bookstore,IOI Mall,Puchong), Busa Hati & Busa Sukma(di beli melalui seorang rakan dari UKM), Warna Sukma Usia Muda(pemberian iklhas sseseorang dari UM) dan yang paling terkini sempat saya baca,Trilogi Armageddon(melepak di MPH Midvalley).Walaupun tidak banyak tulisan dari Arenwati yang sempat saya baca, tetapi
ianya meninggal bekas untuk diri saya,antaranya tulisan beliau di dalam Busa Hati, "Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah."
Begitu juga dengan tagline yang saya gunakan untuk blog ini,yang saya ambil dari novel Sukma Angin, "Sesuatu ada ketikanya,sesuatu ada hadnya.Seseorang pada suatu ketika, dalam suatu keadaan harus menentukan pilihan".
Harus, kita fikirkan....
Al-Fatihah untuk pejuang sastera negara.....Arenawati.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...