September 07, 2013

Gagalnya Tanda Putera

Saya tidak mahu melihat filem ”Tanda Putera” dari sudut fakta sejarah. Terlalu banyak yang sudah dibaca berkaitan peristiwa 13 Mei 1969 atau sejarah kehidupan dua orang tokoh yang ditonjolkan menerusi filem ini – Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail.
Saya juga mengelak daripada membaca jalan cerita dan menghadam mesej kerana pada pendapat saya, jika mahu jalan cerita yang hebat dan kemas, bacalah novel. Di dalam novel terkandung teks sementara di dalam filem terisi dengan teks dan subteks.
Filem perlu bergerak dengan teks supaya penonton memahami dengan jelas isi ceritanya dan subteks amat penting untuk membawa penonton meneroka hal-hal yang tersirat menerusi tanda-tanda semiotik.
Sebagai seorang penonton filem yang kritis, saya amat tertarik dengan subteks kerana ia memerlukan keupayaan penonton mentafsir setiap lapisan makna dalam filem.


Selain itu, keutamaan saya juga adalah pada struktur filem, pada kerja kamera dan unsur artistiknya.
Saya menganggap filem sebagai santapan minda dan jiwa, serta menolak filem yang hanya ada teks serta menyampaikan pesan dan pemikiran secara didaktik.
Terus-terang saya dapati filem ‘Tanda Putera’ kosong. Hubung kait antara plot yang berselerak, kerja kamera yang tidak kemas dan tiada unsur artistik yang mencabar keupayaan minda kreatif khalayak penonton.
Saya tidaklah mengharapkan filem ini menjadi puitis seperti filem ‘Pasir Berbisik’ atau ‘Bulan Tersusuk Ilalang’ (kedua-duanya filem dari Indonesia), atau menghantar pelbagai lapisan makna seperti ‘Bunohan’.
Cukuplah jika ‘Tanda Putera’ memberikan cabaran untuk otak saya bekerja, mencari sesuatu yang tersirat di balik kerja kreatif Shuhaimi Baba atau melihat subteksnya.
Sayangnya, sewaktu menonton filem ini di pawagam pada 2 September 2013, otak saya teramat santai, sama seperti saya menonton kartun ‘Kampung Boy’! Saya bosan dan beberapa kali keluar dari panggung untuk bertenang, kemudian masuk semula dengan harapan akan ada babak yang mencabar daya fikir saya. Kosong. Hingga ke akhir, filem ini amat kosong.
Kemudiannya saya terfikir, ”Mana kehebatan filem ini seperti yang dicanangkan media arus perdana?”
Watak Hussein Onn lebih hidup
Struktur naratif yang bergerak dengan pantas amat tidak sesuai dengan filem yang bercorak sejarah. Saya tidak sempat menangkap lapis makna (atau barangkali filem ini terlalu berterus terang?), lalu dari babak ke babak, penonton sekadar dibuai dengan dialog yang melantun dari satu watak ke watak yang lain; remeh dan ringan.
Malah, ada babak-babak tertentu yang saya rasakan tidak memerlukan dialog kerana cukup dengan bahasa tubuh (body language).
Di sini, saya percaya Rusdi Ramli dan Zizan Nin belum mampu menandingi kekuatan lakonan Hasnol Rahmat yang memegang watak sebagai Hussein Onn. Walaupun Hasnol Rahmat sekadar memainkan peranan kecil di dalam filem ini, tetapi karektor yang ditonjolkan beliau amat berkesan. Watak yang kecil tetapi berjaya dibesarkan dengan mainan bahasa tubuhnya.
Banyak sekali visual tempelan yang tidak membawa sebarang konotasi yang jelas pada naratif ”Tanda Putera”.
Ditambah pula dengan penataan cahaya yang terlalu terang; seakan memberikan gambaran bahawa filem ini tidak ada unsur-unsur ketegangan, tiada konflik. Membawa pemahaman bahawa filem ini sekadar sebuah filem santai.
Hei! Ini bukan sebuah filem cinta ala filem-filem arahan Abdul Razak Mohaideen. Ini filem sejarah, perlu kemas, perlu cantik, perlu mengangkat nila seni filem yang tinggi!
Hingga ke penghujung filem, wujud pelbagai pertanyaan dalam minda saya. ”Apa faktor yang menyebabkan Dr Ismail terlalu akrab dengan Abdul Razak?” “Apa yang terjadi dengan mageran?”
Maksudnya dalam konteks teks, filem ini sudah gagal; apatah lagi mahu bercakap tentang subteksnya.
Apa pun, setiap penonton mempunyai takrifan dan pemahaman yang tersendiri dan ia bersifat subjektif.
Sebuah filem merupakan tanggungjawab penuh seorang pengarah, walaupun sesebuah kerja filem itu adalah gumpalan koloborasi fragmentasi dari kerja-kerja pembikin filemnya yang lain; sama ada penulis skrip, sinematografi, pelakon dan sebagainya hinggalah kepada penyunting filem.
Secara mudah, saya simpulkan bahawa ‘Tanda Putera’ adalah filem terburuk yang diarahkan oleh Shuhaimi Baba.

*Tulisan ini tersiar di Free Malaysia Today, ruangan Surat FMT pada 06-Sept-2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...