Sejak akhir-akhir ini, terutamanya sejak bulan Jun yang lalu saya kerap pulang ke Kampung Kota Kubang Tedoh, Gunung Keriang Alor Setar Kedah. Hati seperti di tarik-tarik untuk pulang ke sana.
Walaupun 453km itu di rasakan amat jauh dan memakan kudrat, saya rasa ada satu kegembiraan yang menanti di sana. Terutamanya sikap anak-anak. Kebebasan untuk mereka.
Bukan lagi kenikmatan jeruk maman, perut lembu rebus dan cicah air asam.
Saya, seperti juga bapa yang lain, sentiasa mahukan anak hidup dengan aman dan riang. Saya cuba cari ruang dan peluang untuk memberi mereka kenikmatan itu-keriangan-yang hanya mereka sahaja yang faham.
Syaamil contohnya; sampai saja di kampung dia akan meluru ke arah sebatang pokok rambutan berhampiran sungai. Panjat, kemudian turun. Berulang-ulang.Sesekali bila penat, dia akan bersantai di atas buaian yang di ikat pada dahan pokok rambutan tadi. Rafi'e juga begitu.
Cuma, Rafi'e perlukan pengawasan tahap maksimum. Saya perlu risau akan sungai yang hampir dengan pokok rambutan tadi.
Dia suka malahan akan cuba mencelup kakinya ke gigi air.
Begitulah keriangan yang mereka idamkan dan saya cuba hadam.
Keriangan mereka di kampung yang hanya ada sawah padi ini tidak sama dengan keriangan pulang ke Kuala Selangor. Saya akui itu. Saya sendiri melaluinya.
Pada saya, biarlah mereka mengalami pengalaman yang berbeza dalam fasa mengenal hidup ini.
Saya?
Saya mungkin tidak seriang zaman kanak-kanak tetapi keriangan anak-anak adalah keriangan buat saya.
Dan, malam tadi Syaamil ajukan pertanyaan buat saya.
"Abah nak bawa kami pi mana cuti nanti? Balik kampung abah nak? Jumpa wan dengan tok, nyang dah sihat? Kaki nyang sakit lagi?"
Saya seperti di kejutkan dengan satu amaran maha besar.
Syaamil, yang usianya baru 6 tahun itu boleh mengingatkan saya akan tanggungjawab saya dengan abah, ibu dan datuk.
Keriangan bukan lagi pada buaian, pokok rambutan atau sungai.
Keriangan sebenar adalah menyerap sifat tanggungjawab pada keluarga.
No comments:
Post a Comment