Seorang sahabat yang sedang berada di Padang, Sumatera Barat Indonesia mengirimkan beberapa keping gambar.
Antaranya ketika beliau di Rumah Kelahiran Buya Hamka yang terletak di Maninjau.Tanpa disedari, kiriman gambar tersebut segera mengetuk hati, ia menjalarkan rasa rindu yang amat sangat.
Sungguh.
Kilatan ingatan saya kembali ke sana, ke daerah yang pernah saya jejaki lewat Oktober 2013, ketika kita di Malaysia baru sehari dua selesai menjamah daging korban, ketika mana anak-anak di Pesantren Daarul Muwahhidin yang terletak di Batu Sangkar sedang menadah penuh harap-ilmu dan doa-dalam pencarian mereka mengenal Tuhan dan memberi makna dalam kehidupan.
Banyak sekali pengalaman yang saya kutip dari sana, terutamanya dari ustaz-ustaz berhati mulia yang menuang segala apa yang ada ke dalam jiwa anak-anak di pesantren, rukun yang mereka patuhi, damai yang mereka resapi dan keikhlasan mereka dengan Ilahi.
Mereka menumpahkan segalanya, hatta seluruh hidup ke jalan itu, ke jalan Allah Yang Satu.
Dan kemiskinan bukan menjadi satu bebanan tetapi suatu nikmat yang mereka raikan dengan tabah dan redha juga syukur yang tidak pernah ada noktahnya.
Begitulah, Padang di Sumatera Barat terlalu mudah meruntun jiwa.
Ia bukan sekadar sebuah kawasan, tapi sebuah "mini syurga" yang dikirimkan Tuhan buat saya mengenal manusia dan kemanusiaan maha padat.
Ini bumi-Nya.
Terima kasih kerana mencampakkan rasa rindu, terima kasih kerana memberi nilai tambah dan rasa insaf, terima kasih kerana mempertemukan dengan Ustaz Jel Fathullah, Ustaz Abu Ibrahim Al Khalil, Ustaz Kamrianto, Ustaz Abdullah dan sebahagian lagi insan yang berada dan sedang berjuang di Pesantren Daarul Muwahhidin di Batu Sangkar(dan sekarang ini sedang sibuk menyiapkan Pesantren Daarul Muwahhidin di Padang Panjang), juga kiriman rasa terima kasih kepada pejuang dan ustaz-ustaz di Pesantren Buya Hamka, Maninjau.
Insya Allah.
Tuhan mengatur pertemuan.
No comments:
Post a Comment