September 21, 2010

Arca

Arca dengan Bujang Berani - Hasil karya Bayu Utomo Radjikin

Aku rapikan semua arca, tersusun pada takah mula.Cantik, berseni dan halus. Di amati lagi, di tekuni mana yang perlu."Ah, cukup semua sifatnya", bisik hati.
Beberapa kali di segarkan dengan keikhlasan dan di sulami dengan kemasan maha tinggi.Mula mengamati, mula teruja menanti apa nanti komennya. Makin berdebar menanti.
Tiba harinya, susunan arca tadi di usung dengan kecermatan,memagari semua lintang pukang.
Berdesup laju angin menggila, menggegarkan tangan yang memjinjing. Lalu, arca tadi terhempas dan berderai.
Aku renung satu persatu serpihannya.Aku punah dengan desupan angin.

August 31, 2010

Merdeka

Jarum jam hampir bertemu dan bertindih sementara cuaca di luar sedikit redup, menemani gelap malam.Beberapa kali saya tersengguk-sengguk, menahan kantuk. Beberapa kali saya membelek kotak Mild Seven "ori" yang hanya tinggal 2 batang rokok di dalamnya. Sebatang yang sudah di persiapkan untuk menjadi juadah sahur. Kopi di dalam gelas masih mengeluarkan aroma,wap panasnya mudah mengapung. Ruang tamu menjadi suram setelah dua putera saya melenyapkan diri bersama mimpi-mimpi mereka.Mimpikan coklat barangkali atau hanya melelehkan air liur basi yang akan melekat di bantal.Isteri, sudah lama merehatkan diri setelah bergelut memasak untuk sahur kami nanti.
Saya menanti detik ini, ketika ribuan manusia sedang menunggu jam berdetik di Dataran Merdeka dan sekumpulan anak muda menjerit MERDEKA bersama ngauman bunyi kapcai berselang-seli riuh-rendah pekikan yang entah apa-apa.Saya bukakan tingkap di ruang tamu seluas mungkin, biarlah angin yang segan itu masuk membelah langsir dan membawa sedikit dingin. Angin itu nanti akan bertingkah dengan putaran kipas siling yang di pusatkan pada kelajuan 3.
Merdeka, entah apa yang kita fahami pada 7 abjad ini. Jelas, laungan Merdeka keramat Tunku Abdul Rahman tidak lagi memenuhi rongga makna yang sepatutnya. Merdeka pada kita barangkali hanya sekadar cuti umum pada 31 Ogos atau membawa anak menonton percikan bunga api menghias gelap malam dan bersesak-sesak menghambat pulang.Esoknya, tercangak mengadap televisyen yang memainkan lagu patriotik. Hari-hari selepasnya, kembali menyarung pakaian mahu ke pejabat, berjabat mesra dengan tugasan yang sedia menanti. Sudah tamatlah kemerdekaan yang kita nantikan itu.Kita pun kembali melakar perancangan untuk persiapan hari raya. Kampung siapa mahu di dahulukan, kampung isteri atau kampung sendiri, baju Melayunya pula warna apa untuk tema tahun ini, mesti sedondon, mesti bergaya walau puasanya ada yang tercicir, walau terawihnya hanya sekadar 10 malam pertama.
Merdeka? Ahh...sudah lupa, sekarang mahu fikirkan pasal raya.
Merdeka, saya mahu memerdekakan satu rasa yang semakin bersarang dalam jiwa. Ianya memetik sifat dan perasaan seorang lelaki yang sedang meneliti telefon bimbit yang sudah lama tidak berbunyi.
"Aku tunggu, untuk di merdekakan jiwa...."

August 30, 2010

"Aku sayang..."

Dia sering melantunkan nada yang berbisik indah menyentuh gegendang telinga, mendesup laju ke dasar hati. Begitu banyak Hawa yang sering di sentuh hatinya tatkala dia melaungkan asmara nan indah pada gema suara romantis tanpa ada nakal dan manja.
Dia, lelaki yang sering mengapungkan jiwa si Hawa tanpa ada malu dan segan silu, dia bisikkan "aku sayang...." sedang jiwanya polos tanpa apa-apa makna, tanpa apa-apa tuntutan apatah lagi mendambakan balasan.
Suatu waktu, dia laungkan lagi "aku sayang...", di lontar bersama jiwa yang berserah dan segala rasa yang tertanam di sebalik dada tipis dan leher beruratnya. Dia jelas mahu sampaikan "aku sayang..." dengan segenap upayanya.
Bersambutkah laungannya kali ini?
Atau, jiwa polosnya akan terus kontang dan kaku dan beku dan sepi dan dia akan terus berharap dan berharap dan berharap agar di fahami bahawa kali ini laungannya itu benar-benar ikhlas dan suci.
Lalu dia sendukan semua itu pada dedaun yang meluncur laju ketika di sapa titis embun pada suatu pagi ketika ayam masih lagi di reban dan manusia di belai mimpi indah.
"Aku mahu kau tahu, aku lelaki yang sarat dengan rasa sayang menunggu si Hawa untuk menjamahnya"

August 29, 2010

Waras

Lelaki ini kadang-kadang hilang tenang dalam warasnya. Emosi yang memuncak seakan menuju pada penamat tetapi sekali lagi tenangnya beransur hilang, kewarasan semakin terhakis.
Dia, harus segera mencari waras dan tenang dalam meniti emosi yang semakin memuncak.
Masih mampukah waras dan bertenang bila maruah dan emosi semakin di uji?  Sama ada gagal memahamkan atau kiasan bahasa kurang di mengerti yang maha penting dia harus bertenang mencari waras yang kian surut.

August 24, 2010

Dia Lelaki

" Sayang, kat mana?" Suara Fahmi melagu rindu.

" Kat rumah." Atika menjawab dengan nada yang sedikit terasa getarnya.

"Kenapa bising jer..." sambung Fahmi. Hatinya tiba-tiba bergolak.

" Tv ", jawab Atika.

" Saya rasa awak kat luar, bising lain macam jer.Awak cakap pun macam nak sembunyikan sesuatu..", Fahmi meneka.


"Cuba cakap elok-elok, nak marah-marah apasal! ", suara Atika melambung tinggi,

Fahmi diam, mematikan bicara dengan Atika.Cuaca redup malam dingin membenihkan kecurigaan.
Sebentar tadi, dia berjumpa Atika dan dengan tergesa-tergesa Atika pulang. Alasannya , "mahu balik berehat, penat sangat kerja."

Fahmi meneliti dengan tenang telefon bimbit di tangannya. Butang di tekan, mendail semula Atika. Mahu berbicara dengan selembut mungkin, memujuk kekasihnya.

"Hello...". Tidak berjawab. Tetapi jelas kedengaran suara Atika sedang bercakap sesuatu. Tidak pasti butir bicara tetapi yang pasti bukan dengan Fahmi.Tenggelam timbul suara seorang lelaki dan ngauman bunyi kenderaan.
"You, dah lewat ni...", suara Atika jelas kedengaran.

Fahmi diam. Pekat malam menghempat dadanya. Dia sesak.Dia kecewa.
Dia....masih lagi mengharap.

* Ini episod duka dalam hidup seorang lelaki yang baru sebentar tadi menghubungi saya.Saya rakamkan dalam nada kecewa dari seorang sahabat kepada sahabat. Saya pernah mengalami keadaan yang sama, 9 tahun dulu.Saya faham, dia lelaki yang seperti saya.

August 18, 2010

Ramadhan Kita Ramadhan Mereka

Bazar Ramadhan, Seksyen 13 Shah Alam
"Hari ni menu kita ayam percik, murtabak, sirap bandung, laksa penang dan ayang ada juga belikan nasi beriani kambing, sedap sangat tau..." wanita bertubuh langsing penghasilan dari London Weight Management itu merengek-rengek ketika bercakap di telefon bimbit yang ada tertera lambang "Apple".
Wangian yang sengaja di sembur di leher mengerbangkan nafsu si lelaki yang melintasi beliau.Ahhh...elegan.


 Deir al-Balah, Gaza
Wanita separa usia berjilbab itu menguis-nguis runtuhan pondok tempat berteduhnya yang baru di bedil tentera laknat rejim Israel, dia mengangkat beberapa ketul batu yang memecahkan bekas simpanan gandum.Di raupnya gandum yang bersepahan dengan telapak tangan, di tiup bagi menghilangkan batu-batu kecil dan debu yang bergaul mesra bersama gandum tadi. Azan sudah bergema, umat Islam yang lain sedang menjamah mesra juadah berbuka.Dia, wanita separa usia tadi hanya mampu mengesat air mata.


August 16, 2010

Bebas Tetapi Terikat

Entri ini sebetulnya di paparkan sebelum menjelang Ramadhan, seharusnya begitu. Tetapi, dek kesulitan mengimbangi masa di antara tugasan dan mengemaskini blog Masterji, saya terlupa untuk memuat naik entri ini. Aduss...saya belum menghidap penyakit alzemia lagi, bukan.
01-Ogos-2010, tengahari yang melepaskan segala wap panas yang menggelakkan ubun-ubun, saya keseorangan di gerabak komuter yang padat dari Shah Alam ke KL Sentral. Hari ini, Ahad yang sunyi walau bingit menggigit, saya mahu melepaskan amukan jiwa seorang lelaki dengan segala macam tekanan hidup, saya mahu melepaskan amarah, rindu, dendam dan segala yang bersarang di jiwa lewat usia 33 tahun yang meruntun naluri lelaki dengan jiwa tidak pernah mengaku kalah ini.
Saya perlu begini, berperasaan begini untuk merenggangkan beberapa tekanan hidup. Saya mahu bebas tetapi terikat. Ya, saya perlu terikat dengan tanggungjawab yang di galas ketika menjabat mesra tangan untuk kali pertama melafazkan "aku terima nikahnya..." Itu ikatan yang saya simpulkan mati. Tamat.Noktah. End!

Saya menginjakkan kaki ke gedung buku, pertama di MPH Midvalley ketika sekumpulan anak muda berpeleseran berpegangan tangan lelaki dan wanita melintasi saya sambil bergelak manja. Ahhh..saya pernah lalui semua itu,.Bezanya, mereka belum merasai bebanan menggalas Les Paul atau Yamaha Brass Nouveau Snare. Saya bersila, setelah mendapatkan beberapa himpunan buku/novel. Lama membelek. Akhirnya ke Starbuck, mencicip secawan cappuccino dan 6 batang Mild Seven.Lega.Kembali lagi ke MPH, masih membelek-belek dan perasaan bosan cepat menjengah.

Mahu segera ke Central Market. Hari ini saya mahu merasai perit getir usia remaja menjadi buskers di Central Market.Saya suka merasai saat-saat begitu.
Akhirnya, Central Market saya jejaki juga. Saya mahu menghirup damai yang berkecamuk bersama aliran manusianya di sini. Akhirnya saya lelah, penat memerhati manusia mundar mandirnya yang seakan menghidupkan Jakarta dan Kathmandu di bumi Kuala Lumpur.

Menyeberang jalan, saya segera ingin ke Kinokuniya KLCC. Banyak cereka hidup saya tersembunyi di celahan 2 menara megah tunjang Kuala Lumpur itu.
Saya melangkah lembut, membiarkan mata melintasi deretan kedai di KLCC, saya santakkan hati ke Kinokuniya. Akhirnya, deretan susunan buku yang mengaburi mata seorang lelaki. Aku suka!!!! Berdentum perasaan ini di dalam jiwa saya. Saya suka begini.Hidup di kelilingi buku.Saya terperap lama di Kinokuniya, hingga akhirnya tekak terasa kering. Turun ke bawah, mendapatkan sebotol air mineral dengan ongkos RM5.00 dan menjadikan ruang taman di simbahi panas dan pancuran air sebagai hamparan jiwa yang menenangkan saya hingga akhirnya menemukan Asar di sana.

Saya menghabiskan hari Ahad 01-Ogos-2010 dengan suatu bentuk kebebasan yang sering saya tuntut bertahun lamanya. Saya , ingin lagi merasai saat-saat begini untuk bulan-bulan akan datang. Ingin bebas, tetapi terikat pada yang "Satu.."

" Aku ingin hidup, ingin merasai saripati hidup....."

July 30, 2010

Aku Mahu...

 Aku mahu,
Hingga sampai detik itu kau masih menunggu aku
Aku mahu,
Jika nanti suatu waktu, kita kan terus bersama seperti dulu
Aku mahu,
Kau damai di sampingku walau getir menjengah selalu
Aku mahu,
Kau tahu aku kan sentiasa menemani di sepanjang hidupmu.....









Nota :
Untuk resah dan rindu yang semakin ligat berputar, ku tujukan pada "dia" dan "dia"....

July 14, 2010

Lelaki Yang Dulu

Lama saya berdiam diri dari menulis blog. Seluruh masa senggang di habiskan dengan membaca beberapa buah buku, di antaranya meletakkan noktah pada The Last Juror tulisan John Grisham dan Advencer Si Peniup Ney tulisan Faisal Tehrani. Masih lagi tertinggal ke belakang 2 buah novel tulisan John Sanford, Chosen Prey dan Wicked Prey. Insyaallah, akan saya susuli semuanya sebelum Ramadhan.Saya juga tidak ketinggalan mengemaskini blog pengurusan di laman blog Masterji untuk di kongsi bersama pembaca. Si peneraju utama pula selalunya akan mengutus sms "dah siap ke Zam..." dan kebiasaannya saya akan menjawab "on the way" sedangkan hakikatnya saya masih lagi melayan karenah di facebook

"Sibukkah saya?" Persoalan ini sentiasa bersarang dalam ruang fikir saya dan sering menerjah ke hati. Sama ada saya benar-benar sibuk atau saya gagal membahagikan masa. Semua, salah saya dan saya akur.
Kegagalan saya untuk memanfaatkan masa-masa yang tersisa bersama keluarga sering meresahkan isteri hingga menyangka saya mempunyai "teman lain". Adusss....saya bukan lelaki sebegitu. Saya mungkin seorang lelaki yang mempunyai taman di dalam hati tetapi cinta dan hati saya untuk "dia". Saya lelaki yang terasuh dengan keperitan dan kegagalan tetapi saya sentiasa sematkan dalam jiwa saya, "jodoh pasti ada", sehinggalah saya bertemu dengan isteri saya sekarang. Saya tidak terlalu lama untuk membuat keputusan melangsungkan perkahwinan.. Dalam tempoh 3 bulan selepas saya kenal, saya membuat keputusan untuk bertunang dan mengejutkan beberapa rakan rapat.
"Lu dah habis fikir ker?
"Ahh..yang nak kawin aku, bukan hang..." saya jawab begitu.
Selepas melalui tempoh pertunangan selama 7 bulan dan sepanjang tempoh itu, tempat pilihan kami untuk "berdating" adalah di rumah kakak ipar saya di Damansara atau langsung saja pulang ke kampung isteri di Kuala Selangor.Indah walau ringkas.
Sesuatu yang menarik dalam perkahwinan saya, setelah melalui acara paling penting dalam hidup saya sebagai seorang lelaki(akad nikah) pada 27-Mei-2006 dan majlis kenduri sebelah isteri di langsungkan pada hari Ahad 28-Mei-2006  keesokan harinya(Isnin) saya memijak tangga pejabat tanpa ada rasa bersalah pada keluarga sebelah isteri. Saya, dalam amukan semangat kerja yang tinggi!
Hari ini, dalam usia perkahwinan yang sudah melampaui usia 4 tahun dan setelah di kurniakan 2 putera(dan Syaamil lahir pada tarikh yang sama saya di nikahkan, cuma perbezaan tahun) saya harus lebih pantas menginjakkan tenaga dan semangat kerja. Saya perlu hidup dan berjuang untuk mereka.
Dalam detik-detik tertentu, percambahan jiwa akan berterusan berlaku tetapi saya masih lagi lelaki yang dulu!

June 12, 2010

Coretan Hati

"Kawan, sungguhkah aku ini si lelaki dengan egois maha tinggi? Sungguhkah aku ini seorang kawan yang membalikkan hati? Sungguhkah itu semua?"

"Kau beri percaya, aku retakkan semuanya. Kau beri resah, aku lebarkan hingga kau pasrah.Aku, si lelaki dengan egois nyata sedang dalam jiwaku tersembunyi kalut yang kuat bergetar. Aku, masih memerlukan percaya yang pernah kau hulur dulu.Aku tidak memerlukan rumpun simpati dari ladang maaf mu, aku cuma perlukan rasa percaya dari kepingan hati remuk yang memukul pantai sabarmu...."

"Dia antara impian yang berbayang. Dia menyelimuti misteri dalam seraut
senyum dan gema tawa manja. Dia, Hawa yang di cetus bukan untuk diri
seorang lelaki seperti aku....dia cuma mimpi-mimpi gersang lewat malamku di tutupi gelap yang kian rebah!"
_Rock Is Artwork_

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...