August 31, 2010

Merdeka

Jarum jam hampir bertemu dan bertindih sementara cuaca di luar sedikit redup, menemani gelap malam.Beberapa kali saya tersengguk-sengguk, menahan kantuk. Beberapa kali saya membelek kotak Mild Seven "ori" yang hanya tinggal 2 batang rokok di dalamnya. Sebatang yang sudah di persiapkan untuk menjadi juadah sahur. Kopi di dalam gelas masih mengeluarkan aroma,wap panasnya mudah mengapung. Ruang tamu menjadi suram setelah dua putera saya melenyapkan diri bersama mimpi-mimpi mereka.Mimpikan coklat barangkali atau hanya melelehkan air liur basi yang akan melekat di bantal.Isteri, sudah lama merehatkan diri setelah bergelut memasak untuk sahur kami nanti.
Saya menanti detik ini, ketika ribuan manusia sedang menunggu jam berdetik di Dataran Merdeka dan sekumpulan anak muda menjerit MERDEKA bersama ngauman bunyi kapcai berselang-seli riuh-rendah pekikan yang entah apa-apa.Saya bukakan tingkap di ruang tamu seluas mungkin, biarlah angin yang segan itu masuk membelah langsir dan membawa sedikit dingin. Angin itu nanti akan bertingkah dengan putaran kipas siling yang di pusatkan pada kelajuan 3.
Merdeka, entah apa yang kita fahami pada 7 abjad ini. Jelas, laungan Merdeka keramat Tunku Abdul Rahman tidak lagi memenuhi rongga makna yang sepatutnya. Merdeka pada kita barangkali hanya sekadar cuti umum pada 31 Ogos atau membawa anak menonton percikan bunga api menghias gelap malam dan bersesak-sesak menghambat pulang.Esoknya, tercangak mengadap televisyen yang memainkan lagu patriotik. Hari-hari selepasnya, kembali menyarung pakaian mahu ke pejabat, berjabat mesra dengan tugasan yang sedia menanti. Sudah tamatlah kemerdekaan yang kita nantikan itu.Kita pun kembali melakar perancangan untuk persiapan hari raya. Kampung siapa mahu di dahulukan, kampung isteri atau kampung sendiri, baju Melayunya pula warna apa untuk tema tahun ini, mesti sedondon, mesti bergaya walau puasanya ada yang tercicir, walau terawihnya hanya sekadar 10 malam pertama.
Merdeka? Ahh...sudah lupa, sekarang mahu fikirkan pasal raya.
Merdeka, saya mahu memerdekakan satu rasa yang semakin bersarang dalam jiwa. Ianya memetik sifat dan perasaan seorang lelaki yang sedang meneliti telefon bimbit yang sudah lama tidak berbunyi.
"Aku tunggu, untuk di merdekakan jiwa...."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...