April 17, 2014

Media alternatif perlu berani, adil


 "Menjelang PRU-12, media alternatif yang banyak mengutarakan isu korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa berjaya mempengaruhi peratusan undi dan secara langsung juga menelanjangkan isu-isu yang “disembunyikan” oleh media arus perdana."
Di sesetengah negara maju, media alternatif (portal berita dalam talian) mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh golongan minoriti. Impak daripada tulisan-tulisan yang tersiar di media alternatif ini mampu menyedarkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara bukan sahaja dimonopoli oleh golongan majoriti. Secara tradisinya juga, media alternatif dilihat sebagai suara kumpulan minoriti.
Berbicara dalam konteks Malaysia, media alternatif telah banyak membuka mata masyarakat yang selama ini disogokkan dengan berita dari media arus perdana. Menjelang PRU-12, media alternatif yang banyak mengutarakan isu korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa berjaya mempengaruhi peratusan undi dan secara langsung juga menelanjangkan isu-isu yang “disembunyikan” oleh media arus perdana.
Apa yang berlaku juga merupakan petanda bahawa media altematif wujud sebagai medium penting dalam penyampaian maklumat secara adil kepada masyarakat.
Saya merupakan antara ribuan, bahkan mungkin antara jutaan pembaca tegar sumber berita dari media alternatif ini. Pada saya, media alternatif lebih adil, jujur, berani dan sentiasa memberikan maklumat yang saya perlukan.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati ada beberapa isu semasa yang seolah-olah terlepas pandang dan tidak mendapat liputan oleh media-media alternatif di negara kita. Antaranya adalah krisis air di Lembah Klang dan juga isu yang melibatkan lukisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) yang heboh diperkatakan orang sejak awal bulan ini.
Saya antara individu yang terlibat secara langsung dalam isu air ini, sama ada sebagai pengguna domestik atau di tempat kerja saya. Saya mengikuti dengan rapat setiap perkembangan tentang isu air ini dan kebanyakan sumber berita datangnya dari media arus perdana.
Saya tertanya-tanya, mana laporan, ulasan, kritikan, kupasan dan analisis berani dari media alternatif dalam isu ini? Malangnya sehingga kini, wartawan dan kolumnis di media alternatif masih gagal mengetengahkan isu maha penting ini. Mereka diam, seolah-olah isu air hanya isu terpencil dan tidak memerlukan pendedahan. Mungkin mereka beranggapan rakyat (pembaca) tidak perlu tahu.
Begitu juga dengan pendedahan terbuka oleh Uthaya Sankar SB mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Pak Samad semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel ‘Sungai Mengalir Lesu’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.
Selesai sahaja majlis tersebut, isu ini heboh diperkatakan di rangkaian media sosial (Facebook dan Twitter). Keesokan harinya, beberapa media alternatif juga turut memaparkan berita yang sama. Malangnya momentum ini tidak berpanjangan. Tiada seorang pun wartawan dari media alternatif yang membuat temuramah dengan Pak Samad atau dengan Uthaya yang menjadi ‘whistleblower’ dalam isu ini. Akhirnya isu penting berkaitan periuk nasi seniman ini hanya dibualkan secara sinis di Facebook dan Twitter.
Seolah-olah media sosial sudah mengambil alih peranan media alternatif dalam isu-isu ini. Apakah media alternatif yang selama ini saya kagumi kerana wartawan dan editornya yang menyiarkan berita berani, adil dan telus serta memaparkan segala kepincangan, secara tiba-tiba memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu penting seperti ini?
Memetik tulisan oleh Chris Arton di dalam artikelnya bertajuk ‘A Reassessment of The Alternative Press’ yang antara lain menggariskan kriteria media alternatif adalah “penerbitan yang memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali”. Maka saya berharap dalam masa terdekat, akan ada laporan yang berani di media alternatif berhubung isu air dan lukisan Pak Samad.


Nota: Tulisan ini turut tersiar di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider


March 21, 2014

Monolog I

Dalam sedar, saya tahu di sisi Tuhan kita ini banyak salah dosanya. Terlalu banyak yang Dia beri, terlalu sedikit yang mampu dibalas.

Saya berusaha, mencari dan menemukan titik-titik halus itu agar bersatu, membentuk garisan panjang, terpanjang dan kekal hingga dunia ini nanti bergulung-gulung umpama kapas ketika Israfil meniup Sangkakala.
Dan saya tidak minta lebih dari yang dia mampu kerana dia juga memohon dari Dia, untuk dunia kami. Begitulah saya redha, tetapi tidak semata-mata menyerah pada takdir.

March 04, 2014

Pekerja Bukan Robot, Boss Bukan Tuhan

We need people who can actually do things. We have too many bosses and too few workers.
-Andy Rooney-

Ini satu persoalan yang sering berlegar di fikiran saya.
Kadang-kadang orang bawahan terlalu takut untuk melontarkan pendapat, terlalu takut untuk melahirkan apa yang mereka rasa, kerana apa?
Adakah kerana menganggap “boss” adalah “tuan”?
Atau “boss” sendiri menganggap diri sebagai “tuan” yang maha hebat hingga tidak langsung ada kesilapan?

Lalu, bertitik tolak dari keresahan dan kacau bilau yang bergaul dalam kepala maka si kerdil ini(orang bawahan) menuang segala kekacauan tadi di sini(media sosial).
Adakah ini juga satu kesalahan?
Apakah setelah menandatangani kontrak kerja, maka hak manusia merdeka itu terus dinafikan? Hingga segala roh kebebasan mereka dirantai?

Dalam kekacauan fikiran, saya tanyakan pada diri sendiri.
"Siapa sebenarnya yang belum merdeka?"

 

January 30, 2014

Angan

Kita mencipta sekian banyak angan.
Secara perlahan, angan itu kita jalin. 
Menjadi gugusan, impian, harapan dan doa.

December 04, 2013

Astro


"Kalau takde Astro, nak tengok tv macam mana. Kiri kanan rumah ni haa, semua orang pasang Astro. Mau tak mau, kena pasang juga. Aku ambil pakej paling murah."
Sesi perbualan bersama seorang sahabat saya ini berlangsung empat bulan yang lalu. Dia tinggal di Kuala Kubu Bharu. Bekerja sebagai penjual kelapa. Pendapatannya hanya cukup makan dan sekolahkan anak seramai tiga orang. Isteri beliau pula berniaga nasi lemak dan kuih muih, warung depan rumah.
Nampak?
Betapa Astro mempengaruhi kehidupan manusia di Malaysia.


"Takde Astro, rasa macam hilang dunia." 

Nah! 
Lagi hebat tanggapan.

Walaupun harga pakej Astro mengalami peningkatan mendadak, sedang perkhidmatannya masih lagi tidak menampakkan perubahan, pelanggan tetap membayar caj bulanan setiap bulan. Termasuklah saya.

Pasanglah Astro Beyond pun, siaran Astro tetap "dok macam tu juga" bila tiba waktu hujan. Kalau hujan seminggu, seminggu jugalah anak-anak main Ultraman.
Baguslah juga, jimat bil elektrik. Tetapi bayaran bulanan tetap juga sama, tidak ada apa-apa perubahan.
Buatlah berapa banyak laporan sekali pun, Astro tetap tidak peduli. 
Pada mereka, "Astro always right." 
Kebal. Hatta, pemerintah sekalipun tidak berjaya menggugat keegoan Astro.

Dan, pagi tadi saya terima satu panggilan dari talian 03-21824466. 

Suara awek tetapi saya tidak pasti cun atau tidak.
"Boleh saya bercakap dengan Encik Shahrul."

Selamba saya jawab, sambil betulkan duduk, "yer saya bercakap."

"Encik ada pasang Astro di Apartment Vista Lav**d*r kan?" Tanya awek.

Nah!
Astro dan Vista Lav**d*r adalah satu musibah buat saya. Sebabnya, kerap sangat ada pemungut hutang dari Astro akan hubungi saya minta jelaskan bayaran tertunggak.
Kali terakhir saya dihubungi, lima bulan yang lalu. Dan saya terangkan, yang lapan tahun lalu memang saya pernah tinggal di sana dan seorang sahabat saya, nama hampir sama dengan nama saya telah pasangkan Astro pada kediaman kami, yang dikongsi bayarannya.

Belum sempat saya jelaskan pada awek tadi, dia terus bercakap, "encik bayarlah hutang tu, dah lama sangat tertunggak. Orang lain pun berhutang juga, tapi boleh bayar. Encik tak malu ke tak bayar hutang Astro ni?"

Saya rasa macam nampak muka awek tadi. Dan kaki saya menggeletar. Kasut PUMA warna kuning seperti mahu singgah di muka awek. Ruang pejabat yang sentiasa dingin dengan suhu tidak lebih dari 25 darjah celcius sudah rasa membahang. Saya tarik nafas dalam-dalam.

"Cik, apa nama penuh orang tu?" 

Saya soal awek tadi sambil cuba kawal suara, supaya ada nada macam pembaca berita.

"Eh. Nama encik sendiri pun tidak ingat?" Awek tadi seakan menyindir.

"Saya tanya, boleh jawab tak. Apa nama penuh." Saya tinggikan sedikit nada suara.

"Shahrul A*w*r bin Abdullah." Jelas sekali suara awek tadi.

"Cik silap orang. Tu bukan saya tu. Dah banyak kes dah saya kena. Dengan Astro pun saya pernah jelaskan sebelum ni. Sebab tu Astro dah lama tak hubungi saya. Saya ingat Astro dah faham. Laporan di Astro pun saya sudah buat."
Saya cuba beri penjelasan.

Tahu apa yang terjadi?
Sewaktu saya sedang beri penjelasan, awek tadi asyik bercakap "alah, ni alasan ni. Bayar lah hutang Astro. Bosanlah kami, asyik kena call minta hutang je. Hutang memang kena bayarlah."

Saya tarik nafas dalam-dalam. Pandang kiri kanan. Semua rakan pejabat gua sedang tunduk sopan buat kerja masing-masing.

Kemudian talian terputus.

Sungguh.
Astro bukan sekadar cekik darah bahkan sudah jadi ah long.
Yang lebih musibat lagi, kakitangan Astro memang tidak pernah belajar hal-hal berkaitan Khidmat Pelanggan.
Macam jahanam!


Dan Astro tetap kebal!

November 13, 2013

Aman

Saya tidak pernah impikan hidup yang enak-enak pun. Cumanya, saya selalu berdoa moga hidup saya, dan insan yang berada bersama saya sentiasa aman.
Sejak kecil lagi, saya memang impikan begitu. Keenakan hidup akan membuatkan saya mudah lupa. Begitulah juga pesan abah.

Abah juga begitu.
Dia cuma mahu aman dalam hidupnya, tiada keributan yang ketara, yang mampu menggoncang kenikmatan hidup yang sedang dia layari sekarang. Dia, sejak melangkah ke usia awal 60an ini sudah semakin aman, dia cuba meresap sebanyak mungkin zat-zat dari Tuhan. Memang abah aman, dari mata kasar saya.

Begitulah sebenarnya yang saya cari sekarang.
Aman
Ingat, "keenakan hidup akan membuatkan kita lupa. Pada Dia dan DIA."

Jeriji

Aku mahu lepas
dan bebas.

November 12, 2013

Hak


Pasang surut
Tenggelam timbul
Susah payah

Hidup ini kita yang tentukan
Hak kita
Untuk merasa bahagia.

'Tut..tut....tut...tuttttt...."


'Tut..tut....tut...tuttttt...."

Begitulah penamat untuk perbualan yang berlangsung tidak sampai 10 minit di antara saya dengan seorang lelaki yang secara mendadak menghubungi saya melalui panggilan telefon.

Lelaki itu, dalam sangkaan saya mungkin sekitar usia 30an, kurang lebih dari usia saya. Dia melulu memberi salam.
"Assalamualaikum tuan. Saya Ha**m dari syarikat Ukh**h Travel and Tours. Saya nak tawarkan peluang percutian untuk tuan sekeluarga."

Saya tidak sempat menjawab salam, dia lebih dahulu memberi penerangan. Saya pasang telinga.

"Nombor telefon tuan terpilih sebagai nombor bertuah. Digi sudah maklumkan kami, tuan antara pengguna yang setia. Jadi kami nak tawarkan peluang tuan bercuti di Gold Coast bersama keluarga selama 4 hari 5 malam. Penginapan dan tiket penerbangan kami sediakan. Itu pun tuan cuma perlu jelaskan 10% saja."

"Kejap lah encik. Bagi peluang saya bercakap boleh?"
Saya menaikkan nada suara, agar berpeluang untuk saya bercakap.

"Ya, ada apa soalan tuan?"

Saya menarik nafas, paling dalam.
"Ni, saya tak pernah guna Digi, saya cuma gunakan Maxis sejak dulu-dulu. Encik mamai ke?"

Talian terputus.

Nampak?
Mahu menipu pun perlulah gunakan akal.
Yer dak?

Bahagia


Kita berlumba, mencari bahagia.
Walau pahit, kita redah juga.

Kerana setiap manusia percaya,
bahagia adalah kenikmatan dalam hidup.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...