June 18, 2008

Situa..si


Situasi 1
Rumah pangsa 2 bilik di tengah-tengah hirup pikuk kenderaan dan teriak ketawa warganya.Seorang ayah termenung di kaki lima rumah sambil merenung ke bawah melihat tempat parking .Motor EX5 buruknya sudah banyak karat dari cat dan sedikit masa lagi dia akan menerima RM150 ehsan dari kerajaan untuk rakyat yang bermotorsikal 250cc ke bawah.Dari dalam rumah,suara anak kecilnya merengek lagi minta sebotol susu dan isteri masih belum berhenti berleter perihal kedai runcit di tingkat bawah yang sudah menaikkan harga ikan dan sayur dengan sesuka hati atas alasan harga petrol sudah naik.Merungut lagi bila tong beras sudah nampak dasarnya.Anak sulungnya pula meradang bila siaran tv sedikit terganggu."Itulah ayah,ada Astro tak nak bayar bil,kan dah kena potong".
Si ayah menggeleng-geleng kepala.Kusut.Ketiga-tiga anak yang bersekolah memberitahu harga tambang bas akan naik mulai bulan depan.Kusut lagi.Pendapatannya masih di takuk lama,tiada apa-apa perubahan.Harga petrol benar-benar membuat dia pening.
"Kalau aku terjun dari tingkat atas ni, dah tentu semua masalah takde" fikirnya pendek.
"Abang, tak nak kerja ke, dah pukul berapa ni"isteri muncul di muka pintu dan dia segera masuk ke dalam rumah mengenakan seragam Security.Jam menunjukkan pukul 6:40 petang dan perlu segera berasak sesak untuk sampai sebelum jam 07:00 petang.
Hidup perlu terus berjalan dan waktu akan sentiasa berputar.


Situasi 2
Rumah teres 2 tingkat di pinggir ibu kota, sedikit sunyi cuma sesekali kedengaran bunyi motor mat rempit berpelesit laju dan hilang,yang tinggal hanya bauan minyak 2T.Di laman rumah, seorang lelaki dalam lingkungan 30an bercekak pinggang sambil memanjang-manjangkan leher meninjau ke rumah sebelah, mengintai kereta baru jirannya-Naza Citra- dia sendiri masih lagi berkereta Proton Waja 1.6 , dalam hatinya terdetik sedikit cemburu.Tapi, bila memikirkan harga petrol sudah naik , rasa cemburu itu pun beransur hilang.Yang penting kini, dia dan isteri juga 2 orang anaknya mampu makan dan hidup sedikit selesa.Saranan supaya berjimat juga perlu di patuhi.Sekarang masa berbelanja mengikut kemampuan dan keutamaan.Malam semalam, isterinya mencadangkan percutian ke Pangkor di batalkan kerana harga minyak yang sudah meningkat."Abah dapat bonus hujung tahun nanti kita pergi yer adik" pujuk si isteri pada anak sulungnya yang bermuka masam setelah di beritahu pembatalan percutian tersebut.Pada dia, utamakan makanan yang enak dari berkereta besar.Tambahan pula, kereta di bawah 2000cc dapat rebet RM625, saguhati dari kerajaan.Jika menukar kereta seperti jiran sebelah, tiada langsung rebet dari kerajaan.Rugi.


Situasi 3
Rumah lot banglo di pinggir bukit berdekatan ibu kota. Kejiranan yang sunyi dan damai.Jarak antara rumah di pisahkan dengan pagar dan harga pagar berkenaan bersamaan dengan sebuah Perodua VIVA.Di tingkat 3 banglo tersebut, seorang lelaki dalam usia hampir pencen dengan perut yang memboyot meninjau-ninjau pemandunya yang asyik membasuh kereta isterinya, sebuah Mini Cooper 1400cc di laman rumah dan Mercedez Benz barunya masih berselimut.Sesekali, pemandu tersebut bersiul dan menari-nari.Lelaki tadi tersenyum sendirian.Dia mendiamkan diri pada kerusi di balkoni.Membelek-belek akhbar dan mendengus panjang bila membaca tajuk utama.”PM Nasihatkan Rakyat Berjimat”.Dia bercakap sendirian “ harga minyak naik semua orang kelam kabut, bantulah kerajaan sikit, ini asyik nak bebankan kerajaan aje,subsidi,subsidi.Tak habis-habis dengan subsidi”.Isterinya yang masih muda dengan baju tidur yang menampakkan semua yang sepatutnya tersembunyi melenggang-lenggang merapati.”Abang, kita batalkan yer trip ke London,harga barang dah naik.Untuk berjimat,I dah book flight dan hotel di Bali”.“Ikut youlah sayang,I tak kisah”dia membalas."You pun kena ingat, jangan lagi nak bershopping kat KLCC, jimat sikit duit tu",gurau lelaki tadi dan si isteri berlalu pergi.
"Betul, kena berjimat, kalau tidak nanti kerajaan juga yang susah" dia masih lagi bercakap sendirian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...