Sudah beberapa kali saya cuba untuk tidur pada malam itu. Berbaring, pejamkan mata dan bisikkan pada hati bahawa saya sedang bersantai di suatu tempat yang indah, mendakap malam dan dinginnya suhu. Saya teroleng-oleng dengan dunia yang diciptakan sendiri. Rembesan asid hidroklorik di dalam perut saya amat berbisa sekali. Bahagian ulu hati teramat pedih, serangan asid yang tidak terkawal yang secara ganas menyerang mencengkam segala isi perut. Saya memujuk untuk berdamai tetapi asid hidroklorik ini langsung tidak memahami erti kompromi. Nah, selain masakan pedas, tekanan juga akan menyebabkan gastrik bertindak keterlaluan terhadap dinding perut.
Akhirnya, saya mengalah. Dunia yang saya ciptakan - yang indah dan dingin itu - tidak berjaya menipu diri saya, diri saya sendiri. Gastrik dan tekanan menghalau jauh dunia halusinasi saya.
Saya kembali bangun. Membuka pintu bilik tidur dan menuju ke dapur. Segelas air kosong diteguk lalu kembali ke bilik bacaan. Menekan suis lampu dan kembali disimbahi cahaya. Saya menuju ke rak buku, memegang kemudian meletakkan semula. Nafsu membaca saya hilang. Saya seakan benci melihat buku-buku yang tersusun di rak. Sungguh benci bila saya sendiri sedar yang bacaan saya nanti hanya sekadar mampu memenuhi retina mata, hanya barisan ayat-ayat yang ditulis oleh penulis. Isinya? Persetankan, semuanya hilang, gagal ditangkap kotak ingatan saya. Tindakan sebegitu, hanya membuang masa saya yang semakin hampir ke penghujung. Bukankah, perjalanan panjang ini kian pendek?
Saya mencapai kotak rokok yang terletak diatas meja bacaan, lalu menyumbat sebatang ke bibir. Dengan pantas, tangan menggapai pemetik api yang terletak bersebelahan kotak rokok tadi lalu menyalakannya. Asap berkepul-kepul keluar dari rongga mulut. Puas.
Pemetik api dicampak kasar ke atas meja lalu terpelanting ke sudut paling tepi dan tertampan sebuah buku karya Ismail Kadare ; The Successor. Buku itu lama diam di situ,tidak langsung terusik. Malas - saya sering meningatkan anak-anak bahawa malas adalah hasutan syaitan - dan saya sendiri sedang malas.
Malam itu, ketika jarum jam yang bertindih antara satu sama lain sudah lama terpisah, saya hanya merenung melepasi tingkap. Mata saya terpaku pada deretan lampu jalan tetapi fikiran saya merawang jauh, menembusi atmosfera dan alam jagat nyata. Khayal saya, menyelinap masuk ke perdu hati dan menggoncang jiwa. Rasa marah, menyesal dan entah apa-apa perasaan yang bersifat busuk dan jahat memenuhi fikiran saya.
Saya bayangkan, jika waktu itu saya ada mesin perentas waktu. Saya mahu masuk ke dalam mesin tersebut dan kembali kepada waktu sebelumnya - jam 8:00 malam yang mencengkam - membetulkan segala kesilapan atau keceluparan saya. Malangnya, saya bukanlah sahabat kepada Dr. Emmett "Doc" Brown. Saya hanya seorang lelaki yang sering melakukan kesilapan dan memohon maaf - itupun jika permohonan maaf saya diterima - jika tidak saya mesti (?) bersedia menerima padahnya. Seorang sahabat saya pernah menyampaikan pesan, " kesilapan yang kita lakukan dengan Tuhan, tidak pernah Tuhan berkecil hati tetapi kesilapan kita dengan insan, akan memakan masa yang lama untuk dilupakan". Dan malam itu, ketika bunyi cengkerik seakan irama merdu, saya sungguh menyesal kerana mengeluarkan kata-kata yang pada saya hanyalah sekadar ungkapan. Si penerimanya, mungkin tidak memaafkan saya lagi.
Malam itu juga, saya hanya ingin merasa indahnya saat bermimpi kerana esok hari saya perlu berdepan dengan realiti.
No comments:
Post a Comment