January 21, 2013

Duka Seorang Peng'vapor'



Kepada Menteri Jaga Kesihatan, Menteri Jaga Wang dan Pie Em,
Apakah salahnya hingga mahu diharam menatang vapor itu? Gua sebahagian dari  *peng'vapor'. Ingin gua tegaskan, peng'vapor’ bukanlah golongan kapurkan duit syarikat atau duit kerajaan untuk bina banglo atau beli kereta mewah atau bawa girlfriend pergi dating di luar negeri kerana takut kantoi dengan isteri.
Peng'vapor' cumalah sekelompok rakyat yang ingin berjimat dan sebagai alternatif untuk menggantikan rokok sambil menyedut asap ala-ala rokok di kedai mamak, dalam rumah, tepi jalan, dalam kenderaan dan kerap juga di dalam tandas.
Dan gua percaya sekarang ini, taukeh Japan Tobacco sedang duduk berteleku memikirkan kerugian yang terpaksa di tanggungnya kerana gua sudah tidak membeli lagi Mild Seven ’ori’.
Ahak, itu lahanat nama Shahrulrock sudah menyebabkan aku rugi RM20.40 sehari atau RM612.00 sebulan atau RM7446.00 setahun atau RM74,460.00 selama 10 tahun. Rabak poket aku kerana mamat ni.”
Gua rasa, itulah yang sedang difikirkan oleh taukeh Japan Tobacco sekarang ini. Ada kemungkinan, beliau akan menusuk pedang pendek merobek jantung sendiri.

Salahkah kami wahai Menteri Jaga Kesihatan, Menteri Jaga Wang dan Pie Em?
Jika dikatakan ’vapor’ itu haram, maka mintalah bijak pandai agama mengeluarkan fatwa, mintalah juga mereka merumuskan penjualan arak di Seven Eleven, kelab malam, kedai ubat dan di Pulau Langkawi itu haram. Atau barangkali, mereka tidak perasaan ribu ribuan atau mungkin juta jutaan penganut Islam di Malaysia yang meneguk arak? Sungguhlah, gua percaya mereka tidak perasaan kerana mereka tidak ke kelab malam atau ke Pulau Langkawi. Tidak mengapa. Boleh dimaafkan kerana mereka tidak tahu.

Berbalik kepada isu vapor ini wahai Menteri Jaga Kesihatan;
Gua ingin tahu, apakah alasan logik ianya diharamkan? Adakah kerana ianya mengandungi bahan berbahaya untuk kesihatan? Jika bahaya, gua juga sudah lali dengan poster-poster yang memaparkan paru-paru legam dan janin merengkok kerana bahana bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) "kamar mati” dan banyak lagi yang terisi di dalam rokok. Itu gua sudah arif dan gua tahu, Menteri Jaga Kesihatan yang sentiasa nampak seperti baru lepas mandi itu lagilah arif.
Persoalannya, kenapa lu luluskan rokok untuk dijual dan dihisap, baik lelaki dan wanita?
Muncul juga dikepala otak gua, belum ada lagi golongan peng'vapor’ yang mati terbabas akibat mabuk vapor.Yang sering ada, mati terbabas akibat mabuk arak ketika kembali dari disko. Mungkin suatu hari nanti, lu bimbangkan jika ada laporan muka depan akhbar Harian Metro dengan tajuknya, "Seorang Pemuda Mati Kemalangan Akibat Tercekik Vapor Ketika Memandu”.
Wah, begitu sensasi dan ke'sensasian' ini gua amat percaya akan mengatasi sensasinya berita artis wanita tidak berseluar dalam ketika Anugerah Seri Angkasa.

Menteri Jaga Wang dan Pie Em;
Apakah pengharaman ini kerana gua dan golongan peng'vapor' menyebabkan negara kerugian berbilion-bilion pendapatan dari cukai rokok?
Itu pun antara persoalan utama yang tumbuh dalam kepala otak gua, tambahan pula PRU13 semakin dekat dan lu semua tentu mahu menggunakan wang untuk membayar taukeh kedai pencetak poster dan baju T, juga sebagai sumbangan ikhlas untuk orang-orang kampung di Melele, Pida 7, Bunuk Susu, Olak Jeram, Dabong, Kapalai, Mataking, Kuala Hilir Oya, Kampung Jemoreng dan lain-lain kawasan pedalaman di Malaysia.
Gua faham. 
Kerajaan mana ada pendapatan sendiri, maka cukailah pendapatan yang ada. Jika gua dan peng'vapor' tidak lagi membeli rokok, ada kemungkinan tanah-tanah hutan yang menghijau terpaksa botakkan, sama seperti hutan Pedu di Kedah sekarang ini.
Sungguh sedih sekali dan lu perlu percaya, gua hampir menitis airmata bila mengenangkan semua malapetaka ini.

Menteri Jaga Kesihatan, Menteri Jaga Wang dan Pie Em,
Gua dan kelompok peng'vapor' bukanlah perompak wang negara atau penjual dadah. Kami cuma mahu menikmati vapor sambil bersantai tanpa risau di sapa SB.
Jika arak itu haram, itu kami semua tidak hairan. Tetapi jika menghisap vapor itu haram, maka kami amat hairan.



Nota :
*Peng’vapor’ : Golongan penghisap vapor

January 02, 2013

Hujan Petang Awal Januari

Hujan petang awal Januari
sewaktu aku tidak punya apa-apa lagi
sewaktu hayatku diburu mereka
aku cuma ada doa
dan
harapan

Hujan petang awal Januari
mereka akan terus memburuku
kerana mereka sendiri tidak tahu
yang sakit hanyalah aku.

December 31, 2012

Azam

"Apa azam lu tahun ni?" Tanya sahabat baik saya pada petang terakhir tahun 2012. 
Sahabat saya itu, seorang lelaki yang senyap. Dia lelaki terakhir di dunia yang akan saya nikahi jika takdirnya saya ini seorang wanita.
Dia memaut tangkai gelas yang di dalamnya terisi teh tarik. Teh tarik itu juga adalah teh tarik terakhir yang sempat diteguknya, untuk tahun 2012. Halkumnya naik turun.

"Apa gila lu tanya gua macam tu?" Saya soal kembali.

"Bukan ke azam lu tiap-tiap tahun mahu berhenti merokok?" 
Eh, dia kembali menyoal, tidak langsung menjawab soalan dari saya.

Berhenti merokok? Itulah antara azam yang tidak mungkin lagi saya jadikan azam kerana saya tahu, isteri akan gelakkan saya. Itu pasti. 


"Azam gua? Kalau gua cakap gua mau kawin lagi satu, lu sanggup tumpangkan gua bermalam kat rumah lu?"

Dia terkekek ketawa.

"2013 ni gua berazam nak beli banglo lima tingkat. Tingkat satu dan dua, gua jadikan ruang keluarga. Tingkat tiga, gua jadikan studio muzik, siap karaoke. Senang lu nak nyanyi. Tingkat empat gua buat balai pameran lukisan dan foto, siap ada studio untuk proses gambar dari kamera gua. Tingkat lima, gua jadikan ruang solat dan mini perpustakaan." Terang saya.

"Apasal lima tingkat? Lu beli banglo tujuh tingkat ke, lapan tingkat ke." Cadang sahabat saya.

"Rukum Islam ada lima je boii. Jadi banglo pun lima tingkat je. Ikut syariat." Saya tidak mati akal untuk mematikan usikan sahabat tadi.
Dia hanya tersenyum. Memahami gurauan saya.

"Gua malas nak berazam." 
Saya mencapai rokok di atas meja dan asap berkepul-kepul di ruang udara. Asap terakhir dari ruang rongga tekak, saya hembuskan ke muka sahabat saya tadi dengan doa, "Ya Allah, Kau bukakanlah hati sahabatku untuk sama-sama merokok seperti aku. Amin..."

Semenjak saya baligh dan sudah pandai mengayat 'awek', saya tidak pernah lupa untuk memasang azam setiap kali menjelang tahun baru tetapi untuk tahun 2013 azam saya adalah "untuk tidak berazam".


December 18, 2012

Malam Itu....

 Sudah beberapa kali saya cuba untuk tidur pada malam itu. Berbaring, pejamkan mata dan bisikkan pada hati bahawa saya sedang bersantai di suatu tempat yang indah, mendakap malam dan dinginnya suhu. Saya teroleng-oleng dengan dunia yang diciptakan sendiri. Rembesan asid hidroklorik di dalam perut saya amat berbisa sekali. Bahagian ulu hati teramat pedih, serangan asid yang tidak terkawal yang secara ganas menyerang mencengkam segala isi perut. Saya memujuk untuk berdamai tetapi asid hidroklorik ini langsung tidak memahami erti kompromi. Nah, selain masakan pedas, tekanan juga akan menyebabkan gastrik bertindak keterlaluan terhadap dinding perut.
   Akhirnya, saya mengalah. Dunia yang saya ciptakan - yang indah dan dingin itu - tidak berjaya menipu diri saya, diri saya sendiri. Gastrik dan tekanan menghalau jauh dunia halusinasi saya.
   Saya kembali bangun. Membuka pintu bilik tidur dan menuju ke dapur. Segelas air kosong diteguk lalu kembali ke bilik bacaan. Menekan suis lampu dan kembali disimbahi cahaya. Saya menuju ke rak buku, memegang kemudian meletakkan semula. Nafsu membaca saya hilang. Saya seakan benci melihat buku-buku yang tersusun di rak. Sungguh benci bila saya sendiri sedar yang bacaan saya nanti hanya sekadar mampu memenuhi retina mata, hanya barisan ayat-ayat yang ditulis oleh penulis. Isinya? Persetankan, semuanya hilang, gagal ditangkap kotak ingatan saya. Tindakan sebegitu, hanya membuang masa saya yang semakin hampir ke penghujung. Bukankah, perjalanan panjang ini kian pendek?
  Saya mencapai kotak rokok yang terletak diatas meja bacaan, lalu menyumbat sebatang ke bibir. Dengan pantas, tangan menggapai pemetik api yang terletak bersebelahan kotak rokok tadi lalu menyalakannya. Asap berkepul-kepul keluar dari rongga mulut. Puas.
  Pemetik api dicampak kasar ke atas meja lalu terpelanting ke sudut paling tepi dan tertampan sebuah buku karya Ismail Kadare ; The Successor. Buku itu lama diam di situ,tidak langsung terusik. Malas - saya sering meningatkan anak-anak bahawa malas adalah hasutan syaitan - dan saya sendiri sedang malas.
  Malam itu, ketika jarum jam yang bertindih antara satu sama lain sudah lama terpisah, saya hanya merenung melepasi tingkap. Mata saya terpaku pada deretan lampu jalan tetapi fikiran saya merawang jauh, menembusi atmosfera dan alam jagat nyata. Khayal saya, menyelinap masuk ke perdu hati dan menggoncang jiwa. Rasa marah, menyesal dan entah apa-apa perasaan yang bersifat busuk dan jahat memenuhi fikiran saya.
   Saya bayangkan, jika waktu itu saya ada mesin perentas waktu. Saya mahu masuk ke dalam mesin tersebut dan kembali kepada waktu sebelumnya - jam 8:00 malam yang mencengkam - membetulkan segala kesilapan atau keceluparan saya. Malangnya, saya bukanlah sahabat kepada  Dr. Emmett "Doc" Brown. Saya hanya seorang lelaki yang sering melakukan kesilapan dan memohon maaf - itupun jika permohonan maaf saya diterima - jika tidak saya mesti (?) bersedia menerima padahnya. Seorang sahabat saya pernah menyampaikan pesan, " kesilapan yang kita lakukan dengan Tuhan, tidak pernah Tuhan berkecil hati tetapi kesilapan kita dengan insan, akan memakan masa yang lama untuk dilupakan".  Dan malam itu, ketika bunyi cengkerik seakan irama merdu, saya sungguh menyesal kerana mengeluarkan kata-kata yang pada saya hanyalah sekadar ungkapan. Si penerimanya, mungkin tidak memaafkan saya lagi.
  Malam itu juga, saya hanya ingin merasa indahnya saat bermimpi kerana esok hari saya perlu berdepan dengan realiti.

December 17, 2012

Kami


Kami ketawa, kemudian bercerita
Kami ketawa lagi, hingga hilang sudah suara
Kami membisu, kemudian bertentang mata.
Kami kembali ketawa.

Dunia kami ;
ada rasa
ada jiwa
ada kasih
ada cinta

Dalam kami ;
walau sering ketawa
walau sering bercerita
walau sering bersuara
masih ada tebalnya luka.

December 14, 2012

Senja


Pintu senja yang terbuka, menjemput malam untuk beradu
kasih dan syahwat pun bertemu
Begitu dijanjikan, begitulah yang dirindukan.

November 28, 2012

Hujan III


Sekarang musim hujan. Betulkah sekarang musim hujan? Macam tidak percaya. Tapi perlu juga percaya kerana hujan akan selalu turun sebelah petang. Tidak ”percaya hujan turun” tidak sama seperti tidak ”percaya hujan akan turun”. Ada bezanya. Mahu tahu mana bezanya? Ahhh, carilah sendiri. Gunakan otak kamu wahai kawan. Rugi rasanya tidak menggunakan otak dan akal untuk berfikir sedangkan sepanjang hayat, manusia cuma menggunakan 10% sahaja dari otaknya, itu rumusan mengikut teori Albert Einstein. Menurut teori saya, manusia lebih banyak menggunakan lutut daripada menggunakan otaknya. Letak otak pada lutut. Untung-untung boleh bermain bolasepak dengan baik dan mampu mengalahkan Indonesia-angan-angan mengalahkan England sama seperti mimpi mendapat RM1 juta- biar logiklah.


Berbalik pada hujan (sebelum menyimpang jauh pada teori-teori dan falsafah). Saya sebenarnya sukakan hujan. Tidak kiralah bila masanya hujan turun. Pagi, tengahari, petang atau malam- dan menurut mereka yang sudah berkahwin, selalu didoakan supaya hujan sentiasa turun sebelah malam – hujan tetap sama sahaja. Rintik kecil seperti jarum yang memaku bumi kemudian beransur menjadi dentuman yang membingitkan telinga-jika menimpa bumbung zink rumah- tetap juga hujan.

Hujan sering memberi ketenangan kepada jiwa halus saya. Biarlah rintik kecil atau seperti simbahan dari timba, hujan tetap hujan, sesuatu yang mendamaikan. Kerana itulah juga, saya menulis dua entri berkaitan hujan. Boleh di baca di sini dan di sini
Perlu juga di ingat, hujan memberi saya rasa muda yang bukan sedikit kesannya. Rasa muda?

Ya, rasa muda...
Ahhh....jadilah segera dewasa jika mahu tahu apa maksud rasa muda.

November 06, 2012

Gua dan Cita-Cita

      Gua tidak pernah mengidam untuk menjadi seorang kakitangan bahagian sumber manusia di sebuah syarikat yang diasaskan hasil daripada Dasar Pandang Ke Timur. Tidak pernah. Langsung tidak pernah. Gua serius.
      Dulu-dulu, semasa gua masih bersekolah rendah, apabila guru sekolah gua yang kebiasaannya akan nampak serabai selepas jam 10:00 pagi bertanya tentang cita-cita, gua sering menjawab, “saya ada 4 cita-cita”. Satu, mahu menjadi peguam. Dua, mahu menjadi penyanyi sama macam Zainal Abidin(waktu itu beliau bersama Headwind). Ketiga, menjadi polis trafik dan keempat mahu menjadi penyajak (sejak bangku sekolah rendah dan mula pandai bercinta, gua sudah gila akan sajak-sajak Sasterawan Negara Usman Awang). Cerita mahu menjadi penyajak ini bermula apabila gua terjumpa buku Tulang-Tulang Berserakan kepunyaan pak cik gua - seorang posmen - dan gua melunyaikan buku ini; diulang baca setiap malam di serambi rumah datuk gua. Gua juga dipengaruhi cerita Seorang Tua Di Kaki Gunung lakonan Tamam Idris sebelum menjumpai buku itu di perpustakaan sekolah dan gua pinjam tanpa tahu memulangkan.
      Itu cita-cita semasa gua bersekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Kubang Tedoh, yang mana sering menyaksikan gua menjadi Ruud Gullit ketika menyepak bola di padang sekolah - gua masih ingat, setiap petang juga gua akan panjat pagar sekolah untuk mengutip bola yang disepak dan melepasi pagar, menjahamkan tanaman padi. Kebiasaannya, gua akan bermain di posisi penyerang dan tendangan gila gua akan tersasar jauh, sama ada ke atas dan melepasi palang gol meninggi melampaui pagar sekolah atau tersasar ke tepi. Gua bermain menggunakan otak, banyak rehat daripada berlari atau bersembang-sembang dengan penjaga gol pasukan lawan. Gua main “curi ayam” dan dikhabarkan oleh sekumpulan cikgu, “amat berbisa gelecekan dan kuisannya”. Sumpah, ini serius. Jika sekumpulan cikgu itu menipu, maka gua pun menipu tetapi ini cerita serius.
      Semakin membesar, apabila bersekolah menengah, gua sudah mempunyai cita-cita yang lain. Persekitaran dan pengaruh dari buku mendewasakan akal gua, tetapi masih meremajakan fizikal gua. Gua belajar bermain gitar dan berangan-angan menjadi Jimmy Page tetapi pada waktu yang sama gua masih mahu menjadi peguam. Juga mahu menjadi penulis sehingga mencapai tahap sasterawan - dan lebih diutamakan cita-cita menjadi penulis - hingga memaksa gua untuk membaca sekian banyak buku - mendahului daripada pesanan Pak Samad kepada Faisal Tehrani, katanya “ada 5 syarat untuk menjadi seorang penulis. Pertama, membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat juga membaca dan kelimanya menulis.” - gua terus-terusan serius membaca walaupun Pak Samad tidak pernah berpesan kepada gua.
     
      Percaya atau tidak, gua mencuri membaca kumpulan cerpen Debu Merah karya Shahnon Ahmad di dalam tandas rumah gua! Serius. Memang ini serius, bukan dongengan seperti filem Magika atau dunia khayal Avatar yang menjadi mahakarya James Cameron.
Gua selitkan buku ini di bahagian atas yang terselindung dengan susunan bata-bata dan dibalut dengan plastik mengelakkan daripada disimbahi hujan. Gua diam lama di dalam tandas, cuma untuk menyudahkan buku ini dalam naratif singkat. Akhirnya, disudahkan dalam masa enam hari sebelum dipulangkan kepada tuannya, seorang saudara perempuan sebelah ibu; gua panggil Mak Su Yah (sekarang Cikgu Aishah). Dia rajin membaca kerana desakan aliran Sastera sistem persekolahan ketika itu.
      Gua juga diperkenalkan dengan Daerah Zeni, juga oleh Mak Su Yah. Ini buku pertama Pak Samad yang gua baca, ketika berusia belasan tahun (sebelum gua menadah harap keputusan SRP).
      Gua disedut masuk ke dalam Daerah Zeni, tenggelam dan timbul semula dengan lakaran cerita yang membuatkan gua percaya katak itu bodoh kerana melanggar tin kosong di kawasan landasan kereta api. Sampai ke hari ini, kelakuan katak yang melanggar tin kosong itu membayangi diri gua dan Daerah Zeni.
      Satunya, azab gua disebat dengan rotan sebesar kelingking oleh abah yang berjaya mengesan gua sedang membaca Daerah Zeni yang disembunyikan di dalam buku Sejarah Tingkatan 2. Abah memang tidak suka apabila gua membaca novel, cerpen atau apa-apa bahan bacaan selain daripada buku teks sekolah. Gua juga tidak pernah didatangi mimpi yang membawakan bayangan bahawa abah akan menghadiahkan gua novel atau kumpulan cerpen. Abah bukanlah si Doraemon yang akan memenuhi setiap impian Nobita.
      Dua, kerana itulah satu-satunya buku Pak Samad yang belum lagi memenuhkan rak buku di rumah gua. Ya, gua amat serius. Gua mahu menyediakan satu rak buku khusus untuk menempatkan karya-karya Pak Samad - siapa lagi yang mahu meraikan Sasterawan Negara @ Sasterawan Rakyat jika bukan diri pembaca. Pemerintah? Oh, pemerintah lebih mengagungkan penerima Anugerah Seri Angkasa atau pencapaian penyanyi pada malam Anugerah Industri Muzik. Di Malaysia, kita perlu menerima realiti bahawa anugerah Sasterawan Negara bukanlah tiket untuk diraikan dengan seenak-enaknya. Bahkan, janganlah mengidamkan kewujudan Muzium Penulis seperti megahnya Dublin Writers Museum.
      Mujurlah, dalam keghairahan gua bersajak untuk memikat awek atau membaca novel dan cerpen, keputusan SRP gua amat cemerlang.. Gua, lelaki genius yang mahu merobek tangkai hati wanita di sekolah. Wah, gua lelaki elegan dengan kemabukkan falsafah yang dipinjam kata dari buku sastera.
      Hasil keputusan cemerlang dalam SRP - dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu kecuali mata pelajaran Bahasa Inggeris - telah menyaksikan gua berjalan kaki hampir 15 kilometer dari sekolah untuk pulang ke rumah bagi membayar “niat” lulus cemerlang, gua ditempatkan di sebuah sekolah berasrama yang dipenuhi dengan pelajar maha rajin berotak pintar. Gua semakin tercabar kerana dijajah kemahuan. Gua masih mahu menjadi peguam, atau seorang penulis tetapi dipaksa keras untuk belajar aliran Sains. Nah. Kediktatoran abah terserlah walau sebenarnya abah pengamal dan penyokong demokrasi fahaman Tun Dr. Mahathir. Gua redah dengan marah. Gua memberontak tetapi tidak menghentak kepala sesiapa pun. Gua menjahamkan impian abah untuk melihat gua menjadi manusia pertama dari bumi Malaysia mereka lakar enjin F1 untuk Petronas. Gua sebenarnya bukan bengap, tetapi seperti yang gua katakan tadi, gua memberontak - ya gua memberontak kerana terpaksa belajar sesuatu yang bukan daripada minat gua.
      Semasa di sekolah berasrama inilah gua dihasut oleh diri sendiri untuk menjadi penggemar karya sastera dari Barat. Gua mencabar diri membaca karya Ernest Hemingway dan dengan wang saku yang dihulur abah pada setiap minggu, juga lebihan daripada belian rokok Dunhill, gua berjaya membeli For Whom the Bell Tolls dengan harga RM8.00 dari sebuah toko buku terpakai di Jalan Sultan Ibrahim, berhampiran pejabat Pos Besar di Bandar Alor Setar. Gua berendam lama, mendalami jati diri Robert Jordan dan gerakan gerila di Sepanyol. Akhirnya, gua berbangga kerana menjadi pelajar lelaki pertama dari sekolah itu yang membaca dan mempersembahkan sifat keilmuwan berfahaman tinggi kepada seorang guru Bahasa Inggeris yang berangan menjadi sami Buddha.
Hasil daripada pengulangan gua yang akan terus ke bandar Alor Setar pada setiap hujung minggu - juga kecekapan gua keluar masuk asrama pada waktu malam - gua berjaya mendapatkan Old Man And The Sea dengan harga RM5.00; juga dari toko buku terpakai yang sama. Sekali lagi, sama seperti Santiago yang belayar bersendirian di Teluk Mexico, gua berjaya mengumpan kekaguman kepada guru Bahasa Inggeris tersebut. Gua, anak murid beliau yang pertama membaca Old Man And The Sea dan juga mendahului diri beliau sendiri.
Sejak itu, gua sering membaca, apa-apa sahaja bahan bacaan yang tidak berunsur “sekolah” tetapi lebih terarah kepada bidang sastera. Gua memunggah khazanah yang menghuni rak-rak buku di perpustakaan sekolah, mencari segala macam bahan bacaan untuk memenuhi tuntutan nafsu gua juga untuk dilampiaskan menjadi jalinan ayat-ayat cinta untuk menjebak dara. Sehinggakan Kelapa Nan Sebatang dan Keris Laksaman Bentan gua hadam dan lebih arif daripada pelajar aliran Sastera. Gua sering mahu mencuba menjadi penyajak, tetapi sering diketepikan kerana peranan gua yang aktif dalam aktiviti perobohan pagar sekolah dan contengan abstrak pada dinding tandas. Gua budak nakal yang penuh dengan jiwa halus dan berseni, berkarya melalui luahan marah.
      Seingat gua, pada penghujung Tingkatan 4, gua diberi peluang mendeklamasikan sajak - setelah berjaya memujuk guru pembimbing dengan sekotak rokok Gudang Garam hitam - di pentas gah di dewan sekolah pada malam perpisahan pelajar, terutamanya untuk rakan-rakan yang akan menduduki SPM dan STPM sebelum mereka meninggalkan zaman persekolahan. Gua menggunakan peluang sebaik mungkin, sepertimana Marco Van Basten yang tidak pernah mengecewakan lorongan kemas dari Frank Rijkaard. Pada akhir bait-bait puisi itu, gua memejamkan mata dan melantunkan ayat-ayat terakhir dengan begitu ikhlas. Tepukan bergema. Gua membuka mata. Lampu sorot memancar tepat kepada gua. Gua diberi sorotan dan lampu pentas dipadamkan. Guru-guru bangun dan bertepuk.
      Gua, lelaki yang menjadi buruan warden asrama akhirnya menghantar makna hidup melalui bait puisi yang diterima hebat para pendengar yang terdiri daripada pelajar pintar hasil didikan guru hebat di sebuah sekolah berorentasikan kecemerlangan berasaskan moto “Ilmu Panduan Hidup”.
      Itu, kali terakhir gua mendeklamasikan puisi di sekolah itu. Tahun selepas itu? Gua menjadi gitaris yang mengalunkan salam perpisahan dengan lagu Sweet Child O Mines dari pentas yang sama - pentas yang gua gunakan untuk memahamkan rakan dan guru bahawa dalam jiwa gua ada seni yang tersembunyi.
      Begitulah, keakraban gua dengan buku sehingga membenihkan impian gua untuk menjadi penulis dan melupuskan sama sekali harapan gua untuk menjadi peguam, juga harapan abah untuk menyaksikan sekurang-kurangnya gua menjadi Jurutera Carigali Petronas dan membaham ganas royalti rakyat Kelantan.
      Impian-impian yang wujud dari dunia khayalan ini bercambah, sebelum gua sedar dalam diri gua ada kekurangan-kekurangan nyata. Contohnya, gua mudah bosan untuk menaip dan sering kali benih-benih ilham itu akan turut terhapus, sama seperti hilangnya kepulan asap rokok yang menderu deras hilang setelah dilepaskan ke udara.
      Akhirnya, gua tersadai di kerusi empuk dan berdepan dengan pelbagai ragam pekerja yang sentiasa mahu dilayan bagai raja -sedangkan gua juga seperti mereka - mahu semuanya mudah dan senang. Gua bergelut antara sifat ketua yang mahu menyenangkan hati semua pihak dan adil pada semua - sering gua persoalkan intergritinya juga - dan memaut hati pengurusan peringkat tinggi.  Gua hanya makan gaji - masuk jam 08:00 pagi tetapi pulang tidak menentu. Syukurlah, gua masih mampu membaca walau waktu sering cemburu. Sering kali, dalam kesibukan itu, gua masih berpeluang memetik gitar walau jari sering pedih dan sakit.
      Jauh di dalam lubuk hati, gua masih mahu menjadi penulis, walaupun yang membacanya hanya diri gua. Gua menulis, kerana gua bukanlah pelukis yang menjadikan kanvas sebagai pentas luahan.
      Ya, gua mahu terus meluahkan kerana gua mahu menjadi seperti manusia-manusia lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...