July 15, 2009

Sibuk...


Isteri pernah bersuara ketika sama-sama menikmati “Char Kow Teow” di TTDI Shah Alam pada satu petang di hujung minggu.
“ Abang keluar rumah jam 6:30 pagi, balik jam 7:00 petang.Lepas Isyak kembali ke tempat kerja, pulang semula jam 12:00 malam.” Terhenti sebentar bicaranya bila seorang wanita tua menyapa kami sambil tangan kanannya menghulur sebungkus keropok ikan parang.Isteri menolak dengan senyuman.
“ Sampai bila nak kerja macam ni, usia makin meningkat, badan makin lemah. Sabtu pula,jarang-jarang ada di rumah,asyik sangat dengan kerja”.Dia merenung muka saya dengan kedutan yang penuh tanda tanya.
Saya membisu,menghembus asap rokok dan mendongak-dongak melihat awan yang mula pekat.Persoalan itu terhenti di situ dan tidak pernah saya jawap sehingga kini.

Saya sebenarnya masih terkial mencari ruang senggang, ruang yang agak selesa untuk saya berehat dan menenangkan diri, setelah agak lama tersantak mengejar jejeran kerja yang tidak pernah surut.Tidak langsung surut, mudah di sebut begitu.
Mencongak beberapa tugasan yang hampir siap dan menunggu tugasan lain , mungkin hingga November saya akan tersadai di bangku kerja menghadap skrin komputer dan berperang dengan “dateline” yang sentiasa sahaja di rasakan singkat. Otak sering kali penat dan selalunya di turuti dengan tubuh yang mendadak naik turun julat kesihatannya.Baru sembuh dari tonsil yang membengkak, di susuli pula selsema yang mencanak datangnya.Masih juga gagahi ke tempat kerja, kerana masih berhutang dengan tugasan yang perlu segera di langsaikan.Kata-kata perangsang dari Encik Rafi yang sentiasa tersemat kukuh, “setiap kerja perlu ikhlas." Seikhlas manakah saya bekerja? Entah…hanya Dia yang tahu segala sesuatu yang berpadu dalam jiwa saya.

Hati pula mudah terseliuh bila terkenangkan bicara isteri yang semakin risau dengan kesibukan saya ,barangkali juga dia kecewa dengan ketaksuban saya pada kerja.
Bahagiakah mereka? Entah…saya sudah berusaha membahagiakan mereka dengan segenap upaya dan sentiasa saya manfaatkan ruang yang semakin kecil ini dengan kasih sayang yang tidak pernah lekang dari tangkai hati.

Seperti kata-kata NorziatiMR “Saya perlu berubah, harus berubah. Saya tidak sibuk, tetapi punya kerja yang perlu di selesaikan dengan tenang. Bolehkah?”

July 08, 2009

Lupusnya PPSMI


Siaran Buletin Utama jam 8:00 malam, saya terlalu sibuk menjamu selera dan beberapa kali juga terpaksa menepis tangan Syaamil yang pantas menyambar sudu,mengocakkan kuah kari pekat yang masih hangat.
Telinga sesekali mengamati butir bicara si penyampai berita dan hanya sempat menangkap "PPSMI di mansuhkan" tanpa sempat memahami apa isinya.Kekalutan di meja makan menggagalkan saya untuk memamah isi berita yang di sampaikan.
Saya hanya memahami, PPSMI DI MANSUHKAN.Itu sudah cukup melunakkan telinga dan membangkitkan kesegaran dalam jiwa.
Yang jelas, pejuang bahasa Melayu boleh bernafas lega.Tahniah.
Kejayaan untuk umat Melayu.
Saya sempat menyalin rentetan kontroversi PPSMI dari laman Malaysiakini.com untuk sama-sama kita "kenangkan".

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...