March 28, 2015

"Nak tulis apa?"

"Nak tulis apa?" Selalu sangat hal yang satu ini tersangkut dalam kepala saya. Saya tidak pernah pedulikan. Banyak hal lain lagi yang ingin saya fikirkan, yang memang memerlukan kepantasan otak saya untuk berfikir dan itu menuntut banyak ruang dan tenaga otak saya. Jadinya untuk mengelak dari pembaziran tenaga otak, saya jarang mahu memikirkan "nak tulis apa?"

Saya cuma mahu menulis. Dari hal sekecil peristiwa dalam jamban(kata kawan saya, hal paling besar adalah dalam jamban, itu penting sangat katanya) hinggalah pergelutan Najib Razak dengan sekumpulan pendesak. Saya menulis di merata-rata. Dari dalam diari(yang menjadi tabiat saya), Facebook, Twitter, blog, kertas kosong, aplikasi Word dan sekian-sekian tempat yang membenarkan saya menulis-sah atau tidak-asalkan saya dapat menulis. Dan saya tidak pernah menghasilkan barang sebuah buku pun-walaupun saya suka menulis-itu ironinya.

Kenapa saya menulis?
Sebab saya tidak punya banyak kawan yang sudi mendengar apa yang ingin saya ceritakan. Telinga mereka kadang-kadang hanya mahu mendengar hal-hal yang mengasyikkan sahaja sementara cerita saya kadang-kadang tidak ubah seperti gaya kepengarangan Fyodor Dostoevsky(Anton Chekhov pernah menuduhnya sebagai penulis yang tidak ada gaya penulisan yang baik tetapi saya tetap juga meminati Crime and Punishment).

Gamaknya mungkin, kalau suatu hari nanti manusia diharamkan dari menulis, manusia-manusia seperti saya akan mengangkat berbakul-bakul dosa, dosa ke rana melanggar arahan jangan menulis.

March 27, 2015

Abah

Kata dia "kalau lembu pecah amanah, itu kira ok lagi. Tapi kalau orang pecah amanah, patutnya dia jadi lembu. Sebab itu Allah ciptakan lembu tanpa akal. Kalau dia berakal, dia lagi hebat dari manusia yang pecah amanah."
"Dia" itu, bapa saya. Yang saya panggil abah.

Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah merasa puas menasihati saya dan setiap nasihat itu datang dalam keadaan yang berbeza-beza. Ketika bersarapan pagi contohnya. Dia tidak perlukan masa yang khusus untuk bersembang dengan saya, sejak saya masih menetap bersama keluarga hinggalah saya sendiri sudah berkeluarga. Setiap kali bersembang, dia akan selitkan nasihat. Setiap kali itu juga dia akan berkata "Shahrulnizam bin Abd Hamid, dengar ni abah nak kata."
Itu kelebihan abah. Dia mampu memecahkan topik dengan gelungsur yang menarik. Dari satu topik ke satu topik lain dan setiap topik itu bersahut-sahutan, saling berpaut dan seperti yang saya katakan tadi, akan ada nasihat dan selalunya nasihat itu sebagai penutup sesi sembang kami anak beranak.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, kami semakin kurang bersembang. Satunya kerana saya jarang balik kampung dan abah bukan lelaki akrab teknologi. Telefon bimbit masih bukan barangan keperluan bagi abah walaupun berkali diingatkan agar membawa telefon bimbit ke mana-mana yang dia pergi. Rimas, katanya.

Abah seorang yang suka hal-hal berkaitan seni. Dia pandai kayu. Memang itu kemahiran semulajadi yang ada pada abah dan kemahiran itu tidak ada pada saya. Kerana minat beliau dalam seni, maka setiap kali dia menasihati atau ingin menyampaikan sesuatu perkara, gaya percakapannya amat memikat walaupun dia tidak pernah membaca puisi karangan Pablo Neruda. Sungguh. Dia mengatur ayat satu persatu-satu dan dituturkan dengan antonasi suara yang mempersona. Dia akan pastikan saya mendengar katanya. Sungguhlah juga, memang saya akan mendengar.

Hal-hal sebegini amat membezakan saya dan abah. Saya seorang yang berterus terang dalam banyak hal. Kalau saya mahukan sesuatu, saya akan kata "saya nak". Abah tidak, dia akan bercerita dan membawa kita jauh, dia berkehendakkan kita faham secara alami. Abah ibarat Daniyal Mueenuddin dan saya seperti gubahan padat karangan Elizabeth Strout.

Dalam apa keadaaan sekalipun, saya tetap anak "abah" yang kini dipanggil "abah".
Bukan senang sebenarnya untuk menyalin Abdul Hamid bin Hasim ke dalam jiwa "abah" yang sedang saya galas. Insya Allah, saya sentiasa mencuba.


March 23, 2015

Tulislah!

Berkali-kali saya disarankan untuk menulis sekurang-kurangnya sebuah buku. Apa-apa buku sekalipun, sebagai tanda bahawa saya boleh menulis. Setiap kali saranan itu datang-dari orang yang berbeza-saya masih memberi alasan yang sama.
"Nak tulis amendanya lah!" dan setiap kali selepas menjawab begitu, saya akan berfikir "apa aku nak tulis. Cerpen kah? Novel kah? Atau kumpulan puisi kah?"
Saya pernah menyerahkan tidak kurang dari 80 puisi kepada seseorang untuk dinilai dan dia menghilangkan diri bersama puisi-puisi tersebut. Itu cerita lama, Saya malas ambil tahu. Bukan merajuk tapi saya menerima itu sebagai pengajaran. Jadi jangan disoalkan lagi, saya malas untuk menjawab.

Kemudian datang cadangan, "hang tulis travelog. Sesuai sangat sebab suka berjalan."
Ya, itu saya akui. Saya juga seorang penggemar tulisan berbentuk travelog. Ianya bermula setelah saya membaca The Great Railway Bazaar, tulisan Paul Theroux sekitar tahun 1999 dahulu, barangkali awal dari itu, saya tidak ingat sangat. Kemudiannya kesukaan saya kepada cerita-cerita berbentuk travelog ini menjalar kukuh sehinggalah  pada tahun 2012, saya berhasrat untuk menulis sebuah buku, Travelog Semenanjung. Apa yang saya perlukan adalah sejumlah wang yang mencukupi untuk membiayai perjalanan itu nanti. Selebihnya adalah semangat. Bab semangat ini yang bermasalah sebenarnya. Menjelang 2013, "Travelog Semenanjung" saya itu cuma menjadi bahan bacaaan di blog ini. Boleh rujuk di sini.

Awal tahun ini, datang pula saranan dari seorang rakan untuk saya mengumpulkan tulisan saya di blog ini dan bersama sejumlah besar catatan-catatan yang saya lakukan di media sosial, Facebook terutamanya untuk dijadikan sebuah buku.
"Banyak dah yang buat lagu tu baq hang", kata rakan saya tadi.
Seperti selalu saya jawab "tengoklah." Dan tengoklah saya itu mempunyai pelbagai maksud tersirat. Entahkan jadi entahkan tidak. Harapnya jadi lah. Kalau bersungguh, apa sahaja boleh jadi. Tapi bersungguhkah saya? Saya rasa saya bersungguh dan memang saya mengimpikan begitu.

Menariknya kira-kira dua hari yang lalu saya berjumpa seorang kawan lama. Ketika berbual dia katakan pada saya "kau tengok novel-novel sekarang, tajuk entah apa-apa tapi orang kita baca juga. Asalkan novel cinta, laku. Lepas tu sampai buat filem."
Itu saya akui dan saya juga akui, itu antara penyebab utama saya bencikan novel berunsur cinta. Manakan tidak, semua novel cinta yang ada di pasaran mempunyai tema yang sama. Misalnya teman wanita berkahwin dengan orang lain, kemudian si lelaki bersedih, bawa diri pergi luar negeri, cinta agunglah, kononnya.
Secara spontan saya menjawab "kenapa tidak buat cerita yang di luar kebiasaan? Contohnya selepas teman wanita kahwin dengan orang lain, si lelaki kuatkan semangat dan tulis semula kisah percintaan mereka, Jadikan buku. Sekurang-kurangnya si lelaki boleh jadi popular dan teman wanita tadi menahan malu, sebab kisah-kisah romantik mereka didedahkan kepada orang ramai. Ini tidak, asyik jalan cerita yang sama. Semua happy ending. Bagi la yang sad ending, tidak pun yang horror ending. Love story tapi horror ending."
"Haa, kan kau ada idea. Tulislah macam tu!" Kawan tadi langsung tidak memberi saya peluang.

Begitulah kita memahami, bahawa menulis ini semudah kita belajar ABC.




March 20, 2015

Catatan Dari Facebook : Amanah dan Ibadah

Gua pernah menjadi pekerja yang menjadikan pejabat dan kerja sebagai perkara nombor satu dalam hidup, menghabiskan lebih dari 100 jam seminggu di pejabat.
Ingat, lebih dari 100 jam seminggu, maksudnya Sabtu dan Ahad pun gua berkampung di pejabat.
Apa yang gua dapat?
Gua dapat pendapatan yang setimpal dengan apa yang gua korbankan.
Apa pula yang gua korbankan?
Keluarga, terutamanya anak-anak. Gua sering merasakan bahawa pengorbanan itu dilakukan demi mereka, demi keluarga dan anak-anak, juga sebagai tiket untuk gua meletakkan diri sebagai pekerja yang baik, taat dan mampu menyelesaikan masalah syarikat.
Hinggalah sampai kepada satu tahap bila gua merasakan anak-anak gua sudah tidak mempedulikan diri gua bila gua pulang ke rumah.
Mungkin, mungkin pada mereka gua ini bukan sesiapa, cuma seorang lelaki yang mereka panggil "abah", tidak lebih dari itu.
Bertitik tolak dari situ, gua mula hilang satu nikmat, yang gua percaya tidak akan mampu gua ulangi lagi.
Nikmat untuk melihat anak-anak membesar, memberi mereka panduan dan asuhan juga nikmat paling utama, mendekatkan mereka dengan Tuhan. Gua mahu mengajar mereka apa itu Alif, Ba, Ta dan menjadi imam kepada mereka setiap kali masuk waktu solat, sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak.
Akhirnya, gua memilih mereka namun sama sekali tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pekerja.
Anak adalah amanah, kerja adalah ibadah.
Apa guna gua beribadah jika gua lalai menjaga amanah?

--------------

Saya di SINI

Catatan Dari Facebook : Malaysia dan Piala Dunia

https://www.facebook.com/shahrulnizam.ahamid
Kurang lebih 29 tahun lepas, pasukan YAMAHA FC dari Jepun datang ke Malaysia untuk perlawanan bolasepak persahabatan menentang pasukan Selangor.
YAMAHA FC ketika itu adalah pasukan bolasepak terkuat di Jepun. Ibarat macam Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Manchester City lah walaupun bolasepak di Jepun ibarat permainan kriket di Malaysia.
Kena titik 3-1 dengan Selangor, mereka balik ke Jepun dan sambung kerja pasang badan motorsikal Yamaha.
Dan kurang lebih 20 tahun selepas itu, pasukan Jepun beraksi di Piala Dunia, bukan sekali dua boii.
Pasukan bolasepak Malaysia pula di mana?
Terima gaji lumayan, hidup bermewah-mewah, popular macam selebriti layar perak, kontroversi mengalahkan Kim Kardishan tapi bila main macam ayam berak kapur.
Hero kampung, paling hebat hero kelompok ASEAN.
Puiiiii lah puiiii!!
FAM?
Itu lagi lah jahanam!
Presiden dari kalangan pangkal nama ada 'Tunku', tegur sikit kena gam, tegur sikit kena siasatan, akhirnya pasukan bolasepak Malaysia "pusing-pusing dok tang tu".
Punggah!
Akhirnya rakyat Malaysia cuma jadi tukang sorak bila tiba musim Piala Dunia.
Sokong Jepun, sokong Korea Selatan sedangkan kurang lebih 30 tahun lepas kedua-dua pasukan ini pasukan belasahan untuk pasukan Malaysia.


-----------

Saya di SINI

Catatan Dari Facebook : Kisah Nabi Ibrahim dan Burung Kecil

https://www.facebook.com/shahrulnizam.ahamid
Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, ada seekor burung kecil comel yang menonton peristiwa itu, lalu terus terbang berulang-alik mencari air. Burung kecil itu menyedut dan mengisi air di dalam paruhnya lalu dilepaskannya ke atas unggun api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Itulah yang dilakukannya berulang-ulang kali.
Perbuatan burung kecil itu diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain, lantas bertanya kepada burung kecil itu.
"Mengapakah kamu bersusah-payah berulang-alik mengambil air, sedangkan kamu tahu api besar yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan sedikit air yang kamu siramkan itu?"
Lalu dijawab oleh burung kecil, "Walaupun aku tahu aku tidak berupaya memadam api tersebut, namun aku mesti berusaha untuk menegakkan kebenaran atas kemampuan yang terdaya oleh diriku sendiri, Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak!"
Nampak?

Catatan Dari Facebook : Beruntungnya Gua

https://www.facebook.com/shahrulnizam.ahamid
Kalau ditanyakan apa hobi gua, ambil masa jugalah mahu jawab.
Gua pernah cuba kayuh basikal. Beli punya lah mahal, kayuh tiga bulan saja. Kemudian gantung basikal sebab masalah lutut gua makin teruk.
Beralih kepada kamera, masalahnya suka tukar-tukar. Pernah guna Canon, Nikon dan sekarang ada koleksi Olympus.
Pun begitu juga, senasib dengan basikal bezanya gua ambil juga gambar, ikut mood sendiri.
Gua rasa hobi gua paling kental adalah membaca. Beli buku satu hal. Membaca satu hal.
Dan ini hobi paling lama, sejak gua bersekolah.
Mahunya tidak, kenangan kena rembat dengan tali pinggang abah masih kekal sampai ke hari ini.
Ceritanya, gua baca novel Daerah Zeni yang diselitkan dalam buku Sejarah Tingkatan 1.
Begitulah, semuanya tidak pernah kekal kecuali ingatan dan kenangan yang menyakitkan.
Kesakitan itu jugalah yang menyedarkan gua bahawa dunia ini besar tetapi semakin luas bila kita menghabiskan masa dengan membaca.
Gua ada pilihan, sama ada mahu melihat dunia melalui lensa kamera atau melihat dunia melalui buku.
Beruntungnya gua kerana Tuhan mengurniakan keupayaan untuk melihat.
"Terima kasih Tuhan.
Terlalu banyak yang Kau beri, terlalu sedikit yang mampu aku balas."

Catatan Dari Facebook : Boikot dan Syaamil

https://www.facebook.com/shahrulnizam.ahamid
Harap dapat sama-sama faham kenapa Syaamil boikot McDonald's.
Jika Syaamil yang usianya 7 tahun itu pun boleh melancarkan boikot terhadap produk McDonald's dan Coca Cola sejak 2 tahun lepas dan sungguh, gua tidak pernah memaksa atau mendidik Syaamil tentang hal boikot ini tetapi kenapa kita-remaja dewasa-tidak mampu melakukannya?
Mulakan dengan sesuatu yang mudah, contohnya kandungan gula yang amat tinggi dalam air Coca Cola, ini punca utama kencing manis.
Jadi, jangan minum. Gantikan dengan teh tarik, contohnya.
Begitu jugalah dengan isu rokok. Gua perokok tegar dan sedang berusaha untuk mengurangkan bilangan rokok dan berhenti.
Yang penting, kita berusaha.
Jangan pedulikan apa kata orang kerana kekuatan yang sebenar adalah diri kita. Jihad paling besar adalah melawan nafsu jahat yang ada dalam diri sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...