April 04, 2015

Bebalisme GST


Ini air jagung jenama Jusmate.
Bukan sedap atau tidak yang akan gua ceritakan. Gua akan ceritakan tentang harganya.
Baiklah.
Sebelum 1-April-2015, air ini berharga RM1.90 untuk sebotol. Pagi tadi, gua beli dengan harga RM2.00 dan ya, tanpa GST. Gua tidak tahu harga yang dijual di luar, maksud gua luar dari premis yang gua beli.
Ketika menghulurkan RM2.00 kepada peniaga yang sememangnya gua kenal, gua sempat tanyakan kenapa harga sudah berubah.
"Bukan sesaja naik bang. Pembekal yang letak harga serupa tu. Dia kata harga barang lain sudah naik."
Makanya kalau kita faham, rakyat seperti gua tidak takut "GST", tetapi apa yang ditakuti adalah kesan peningkatan harga barangan akibat GST.
Nampak?
Tidak adil jika gua tanya "mana menteri" sebab mustahil untuk seorang menteri memantau semua benda. Yang menjadi persoalannya, tidakkah menteri-menteri itu berfikir kesan dari perlaksanaan GST? Terutamanya kepada masyarakat yang berpendapatan rendah. Penilaian harus dibuat bukan hanya dengan menjadikan golongan berpendapatan sederhana sebagai tikus makmal tetapi mesti meliputi semua pihak. Makcik Om Pida Tujuh, Haji Zakaria Kampung Melele, Bubudan Oti Majalu Kampung Sinukab dan sekian-sekian kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah yang berada di ceruk-ceruk negeri dan berada dalam kelompok garis kemiskinan.

Ini yang amat menyedihkan kerana golongan-golongan ini yang hidupnya tidak pernah kenal apa itu Facebook, apa itu Windows 7 dan Astro adalah satu kemewahan, akan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. GST dan kesannya tidak bersempadan, ia ibarat pukulan tsunami yang melanda Banda Aceh dan Masjid Raya Baiturrahman bolehlah diibaratkan sebagai penghuni Seri Perdana, Putrajaya.
Jangan menafikan kenaikan kos ini. Menafikan kenaikan kos barangan akibat perlaksaan GST adalah satu fenomena "simulacrum"; kepalsuan realiti yang diangkat mengatasi realiti sebenar. seperti kata Jean Baudrillard.

Masyarakat yang menolak GST bukanlah masyarakat yang menolak kemajuan. Ini perlu difahami, faham dengan terang. Tetapi mereka adalah masyarakat yang merasakan doktrin dari era Tun Mahathir telah lama berlalu. Isu GST bukan lagi isu kepartian dan golongan yang merasakan bahawa masyarakat penentang GST terhasut oleh dakyah pembangkang adalah golongan yang ditandai dengan label 'bebalisme' yang mana menurut Syed Hussien Alatas, golongan bebalisme ini adalah mereka yang tidak malu dengan kesalahan yang dilakukan kerana kebodohannya.

GST adalah isu penindasan golongan kapitalis kepada masyarakat kelas bawahan, masyarakat yang merasakan bahawa pendapatan sedia ada terpaksa di bahagi-bahagikan untuk hari ini, esok dan masa depan. JIka tekanan kerana kenaikan kos barangan semakin meningkat, apa lagi yang akan tinggal kepada masyarakat ini?
Sampai bila mahu diperah kudrat mereka? Sampai bila mahu ditunggang mereka untuk kesenangan sebahagian golongan lain?

Meminjam kata-kata Mutalib Othman, "bangang macam menteri" dan kita jangan terus-terusan hidup bertemankan bangang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...