January 31, 2010

Karnival Buku MPH 2010


Karnival Buku MPH 2010, Stadium Melawati Shah Alam, Selangor dari 27-Januari-2010 hingga 01-Februari 2010.
Saya hanya sempat berkunjung pada hari ke-3 karnival tersebut, terburu-buru mengejar masa dan hanya mengambil masa 1 jam untuk memborong 3 buah buku dan terhenti untuk mendapatkan buku ke 4 bila memikirkan Sakura Mengorak Kelopak-Arenawati yang baru di kerjakan 2 hari lepas, masih banyak halaman yang perlu di sudahkan.
1- Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman - Anwar Ridhwan (Dawama)
2- Harga Sebuah Maruah - Azizi Haji Abdullah (Dawama)
3- HAMAS Pejuang Kota Suci Baitulmaqddis - Maszlee Malik (PTS)


Dalam kekalutan kerja yang tidak menampakkan tanda-tanda surutnya, saya yakin ketiga-tiga buku ini akan mengambil masa yang panjang untuk saya habiskan.
Emmm...bernafsu lagi dan kadang-kadang nafsu mampu mengalahkan waktu, insyaallah.

January 12, 2010

Idea Gila

Bicara dengan seorang rakan lama.Kami sama-sama tergilakan Fender Strat.Cuma dia yang berjaya mendapatkan Strat, saya beralih ke Les Paul.
Topik kali ini bukan pada tahap kegilaan gitar lagi.Bukan!
Untuk segelas teh tarik pada jam yang pertama, kami berbual tentang isu kalimah suci.Dia, masih bergegar dengan hujah bernas.Fakta yang tidak mampu di sanggah.Saya terangguk lemah, tanda setuju dan tanda yang saya kurang ilmu dalam perbahasan agama.
"Mamak, teh tarik lagi dua.."laungnya keras.
"Bro, angkat rokok sebatang,wa punya dah abis", sambungnya sedang jari kemas mencengkam sebatang rokok pada celahan jari telunjuk dan jari hantu.
"Wa ingat nak buka pusat asuhan bayi kat sebelah bengkel kereta, then nak juga buka kelas mengaji sebelah jamming studio...lu pikir amacam?"Soalnya.
Saya tersedak.Teh tarik yang baru di teguk terjejer keluar.
"Logik ke bro...?" Dia mengasak lagi.
"Lu punya suka le,duit lu, bukan duit wa.Lu fikir logik, lu buat."Jawap saya sambil mengelap meja-tisu warna pink-yang tersembur teh tarik tadi.
Dia tersengih sambil tangan mencekau kotak rokok saya.Kami diam.Dia masih tersengih.
Saya masih mencari logik idea gilanya tadi.

January 08, 2010

Perang

Dulu masa kecil, saya suka main perang-perang.Senjata utama, batang bemban yang di jadikan sebagai senapang.Tembak pakai mulut, beng!beng!beng!. "Hang mati.." dan si mati akan membalas "mana aci, tak kena pun".Perang tadi mula bertingkat yang selalunya akan di sudahkan dengan adegan bergomol atas tanah.Muka calar-calar, baju sudah tentu comot buruk.Balik rumah, ibu membebel panjang.
Esoknya, main lagi, perang lagi.Tanpa ada rasa jemu.
Sedikit berusia-sekitar 10 tahun- senjata mula bertukar bentuk.Sekeping papan akan di bentuk sekreatif mungkin menjadi seumpama senapang.Papan mestilah tebal, eloknya papan lantai.Selalunya akan di cat dengan warna hitam.Ikat tali menyilang di badan, macam askar bawa M-16 lagaknya.Buatlah bentuk handgrip tangan kiri dan handgrip kanan pada bawah barrel, serta batnya.
Pada penghujung barrel diikat getah lastik sebagai pemantul. Pada pangkal barrel pula diikat dengan getah trigger kayu supaya memantul pada tahap maksimum apabila dipicit trigger yang telah di kepit pada trigger kayu tadi.Pelurunya,buah terung Belanda(terung pipit) sebesar kelinking.
Sekali di tembak ke badan, boleh lebam dan jelas kelihatan 3-4 hari.
Saya memang suka berperang waktu zaman kanak-kanak.
Sekarang, jika di tanya soalan berkaitan perang saya jarang menjawab.Jika di tanya senjata pemusnah apa yang paling di geruni, saya akan cuba berdolak dalik ke topik lain.
Saya benci perang.Jika mungkin di takdir berperang, saya mahu berperang dengan "OTAK".

January 04, 2010

Allah....


Sejak saya mengenal huruf dan boleh membaca, saya telah di ajarkan dan di fahamkan secara jelas, bahawa saya seorang umat Islam yang wajib mengakui bahawa Allah itu Esa, tiada Tuhan selain Allah.Setiap manusia yang mengaku dirinya Islam akan berpegang dengan Keesaan Allah dan tiada agama lain yang suci dan benar melainkan agama Islam.Saya juga percaya dengan sepenuhnya, setiap manusia yang mengakui dirinya seorang penganut agama Islam,yakin dan percaya bahawa Allah itu tidak beranak dan di peranakkan dan tiada sekutu bagiNya.
Sedikit dewasa, saya mula menggali Keesaan Allah melalui bahan bacaan dan ceramah agama.Semakin dalam penggalian ilmu itu, semakin saya mengenaliNya.
Hakikat, bahawa kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an
dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar
sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah SWT yang Maha Agung.

Kenapa pula, secara mendadak "mereka"yang bukan Islam ingin menggunakan nama Allah pada akhbar mingguan mereka?Apa mereka juga meyakini dengan hati bahawa Allah itu Esa?Apa mereka juga mengakui Nabi Muhammad itu kekasihNya?
Atau, mereka cuba memporak peranda akidah umat Islam di Malaysia?

Untuk mendalami dengan lebih jelas tentang isu ini, boleh layari blog Faisal Tehrani

January 01, 2010

2010

Ketika entri ini di tulis, di luar sana kemeriahan percikan bunga api masih belum menemukan tanda reda.Langit di simbahi cahaya yang pelbagai sifat warnanya,gema hasil dari letupan bunga api tersebut memenuhi setiap genap ruang bumi dan alam, mengejutkan kucing dan burung yang sedang enak berehat.Buat seketika, kemeriahan manusia menyambut kedatangan tahun baru 2010 menyedarkan sang haiwan dari kesedapan dingin malam.
2009, di tinggalkan dalam lipatan sejarah yang akan di tulis dalam sebuah diari, di catatkan oleh sang pencerita dan di bukukan oleh penulis.Banyak kenangan yang tidak tertulis, pantas mengapung perasaan yang menginsafkan, walau sejenak.Bumi ini dan segala isinya sering membahagiakan walau sering juga ponggah dan rajuk dan bebal.Aturan alam sudah begitu, yang datang akan pergi dan di sambut lagi,meninggalkan gugus hikmah untuk kita semua fahami.
Kita, akan terus membilang tingkat usia.Kita juga, akan memasang impian yang ingin di teroka dalam 365 hari yang akan datang dan cuba menyempurnakan mimpi-mimpi tentang impian dan cita-cita.
Selamat datang 2010.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...