December 22, 2014

Tuhan dan Khayal


Bersungguh dia marahkan Tuhan.
Katanya Tuhan tidak adil, Tuhan menyeksa dia secara terus-terusan.
"Kalau dah tau dia bukan jodoh aku, kenapa Tuhan temukan kami? Saja suka-suka nak seksa jiwa aku?"
"Ok. Kalau aku jumpa dia, aku langgar. Biar mati, biar terburai segala otak penipu dia. Huh!"

Ketika langit mula pucat dan angin sudah menghantar isyarat, dia berjalan pergi. Dia mahu mencari jawapan, kenapa Tuhan tidak menyebelahi dirinya kali ini.
"Tuhan, kau jawablah. Aku tanya ni!" Dia merungut sendirian.

"Tuhan, aku mahu perlakukan dia seperti binatang. Aku akan tembak dia"
Dia diam.
"Ehh, silap-silap. Aku mahu langgar dia sampai terburai segala isi perut. Aku marahkan dia."

Dia pun berjalan lagi. Dari satu daerah ke satu daerah. Dia sepi. Dan sepi selalu menampar kotak ingatannya.
"Aku sayang dia. Aku juga perlukan kau." Bisik kekasih gelapnya.
"Aku cuma sayangkan kau kerana aku tak punya sesiapa lagi." Dia membalas.

"Tuhan, kenapa tidak kau buang segala ingatan ini hah! Kau tanggalkan lah semua ingatan aku. Kenapa terus seksa aku!" Dia menjerit, memekik-mekik kegilaan. Dia marah. Sangat marah.
Dia menyoal, berulang-ulang kali dia menyoal hal yang sama.
Dia tidak jumpa jawapan. Sampai ke akhirnya, sampai ke penghujung masa dia masih tidak jumpa jawapan.

"Aku sayangkan dia. Aku juga perlukan kau", bisikan itu penuh dalam telinganya.
"Kau penipu! Dengan aku, kau kata kau sayang. Dengan dia kau kata kau sayang, dengan dia, dengan dia, dengan dia dan dia dan dia pun kau kata kau sayang! Berapa banyak sayang yang kau ada hah!"
Dia seperti mahu terjun dari tebing tinggi. Biar Tuhan mencabut nyawanya ketika itu juga. Dia mahu terus lenyap dari dunia.
Dan dia....
Masih dalam khayalannya.

December 15, 2014

Selamat Berbahagia

Certot 1 :
DIAM

"Berhenti dari berkata-kata, diam itu lebih baik."
Entah.
Saya tidak pasti siapa yang mengeluarkan ungkapan ini dan saya rasa tindakan berdiam diri adalah senjata paling jahanam yang pernah wujud di bumi Tuhan.
Memang jahanam!
Dalam keadaan marah, ya itu pilihan paling tepat untuk berdiam diri. Tetapi kalau cuma kerana datang bulan pun berdiam diri, memang jahanam betul lah perangai begitu.
Telefon tidak jawab, mesej lagi lah tidak berbalas. Selang sehari dua, kembali bersembang.
"Sorry lah you, mood I kurang baik that why I diam je."
Nampak?
Ada tidak dia fikirkan apa perasaan lelaki itu?
Sedangkan dalam keadaan begitu, macam-macam persoalan mula tumbuh. Matikah dia, hidupkah dia, kena culik kah, kena rogol beramai-ramaikah?
Soalan kecurigaan paling hebat ; dia curang dan tidur di hotel dengan lelaki lain kemudian kena tangkap dengan jabatan agama.
Ehh...
Jangan berburuk sangka lah kawan!Puii lah.
"Mahunya tidak buruk sangka jika kau diam kemudian mahu aku fikirkan yang enak-enak tentang kau."



Certot 2 :

BOSAN
Aku bosan.
Bila aku rasa bosan macam-macam benda yang aku fikirkan. Satunya, yang ini lah, perihal bosan ini lah.
Kadang-kadang bila aku rasa bosan, aku merasakan dunia ini seperti mahu menghempap aku hidup-hidup. Ada baiknya seseorang terus tembak aku. Itu aku rasalah, bila bosan, bila aku rasa amat sunyi.

Dan mereka yang  berada di sekeliling aku tidak akan pedulikan aku bila aku bosan sebab aku jarang ceritakan masalah kebosanan aku. Takut juga jika nanti kebosanan ini bertukar menjadi penyakit-murung-tetapi bagus juga. Tuhan selalunya ampunkan manusia yang sebegini, murung dan gila.
Dalam keadaan murung dan gila, sekiranya aku serbu majlis pernikahan sesiapa pun-tanpa jemputan-kemudian maki hamun pasangan pengantin atau londehkan seluar depan tetamu, aku tidak akan dipenjarakan. Biar pasangan tersebut malu. Kemudian jerit kuat-kuat yang aku pernah ada hubungan istimewa dengan pengantin wanita. Macam mana?
Paling-paling pun, pengantin lelaki bangun dan terajang aku. Aku tidak kisah, sebab aku boleh dakwa dia serang aku, lelaki gila.
Paling hebat dan kejam, dia cabut keris dan tikam aku. Aku mati. Tetapi fobianya tetamu dan malunya pasangan pengantin sampai ke akhir hayat, Jumpa di Mahsyar nanti aku minta maaf lah.
Hukuman paling hebat, sumbat masuk dalam Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.
Kalau doktor kata aku sihat, sudah boleh keluar. Kemudian aku boleh melalut-lalut tulis novel. Garaplah kisah apa-apa pun. Tambah sikit unsur-unsur cinta. Selalunya buku cinta tiga segi amat laris. Judul haram sampah sotong-sotong pun boleh laku, inikan pula cerita cinta tiga segi mengalahkan agungnya Muntaz Mahal.

November 14, 2014

Saya dan Dia


Kalau diceritakan secara panjang, perjalanan hidup saya bukan seindah apa yang sedang dilihat sekarang.
Pernah ditolak ke tepi, ditekan ke bawah, dilambung ke atas, di tinggal di rampas tetapi semua ini, semua yang digaul
dalam satu perjalanan penuh rencam ini sering memberi makna dalam hidup.
Satunya, mengajar erti hidup. Hidup bukan sesuatu yang mudah tapi tidak amat payah.
Memberi menerima dan redha. Itu pilihan yang kita ada.
Selebihnya, sebagai manusia, saya ada Dia. Dia sentiasa tahu setiap sesuatu dalam diri saya, sehalus zarah sekecil hama.

Duanya, saya menjadi lelaki yang "jantan". Yang tahu dan kenal manusia dan alamnya, dunia dan isinya.
Ada ketikanya, dalam waktu-waktu yang amat meruncing sabar, saya terdiam tanpa mampu berbuat apa. Tetapi, setiap kali
itu juga lah saya sentiasa-bahkan-amat yakin Dia semakin dekat dengan saya. Dia menghantar petanda bahawa Dia masih sayangkan saya.
Saya, tidak perlu lagi menghantar utusan dengan kiriman cacian. Cukup dengan memilih untuk berdiam. Moga akan ada yang faham.

Demi Dia.
Hidup ini suatu perjalanan yang amat mudah jika kita mampu dan yakin bahawa pentas hidup ini tidak selamanya akan kekal dengan rentak yang sama.

Berbahagialah.
Angan-angan itu cuma dakapan sepi dalam jiwa seorang lelaki.

September 04, 2014

Keajaiban 10 Buah Buku



Gua membaca kerana seperti juga C.S. Lewis, gua mahukan satu kepastian yang nyata bahawa bukan gua sahaja yang wujud dalam dunia ini. Gua juga mahu membaca kerana gua mahu tahu tentang keadaan manusia dan suasana segala ceruk rantau di dunia ini. 
Berikut adalah 10 buah buku yang penuh keajaiban.
1.  Daerah Zeni (A.Samad Said) 
Pak Samad berjaya membuka pekung-pekung kemunduran pemikiran yang ada dalam diri gua.
2. Hujan Pagi (A.Samad Said)
Ini antara karya Pak Samad yang gua anggap terbaik selain Salina. Bezanya, Hujan Pagi menyelongkar kemelut dunia kewartawanan sementara Salina merakam getir hidup “manusia” yang semakin hilang kemanusiaan.
3. For Whom The Bell Tools(Hemingway) 
Di baca ketika masih bersekolah(menengah) dan bagaimana kegigihan untuk menyimpan wang baki perbelanjaan harian untuk membeli buku ini dengan harga RM8.00 dari toko buku terpakai di Jalan Sultan Ibrahim, Alor Setar. Hasilnya, gua ‘mengenali’ Robert Jordan dan gerakan gerila.
4. Tetralogi Laskar Pelangi(Andrea Hirata)
Apa lagi yang mampu gua katakan? Andrea Hirata terlalu mengumpan perasaan dan memberi harapan.
5. Old Man And The Sea(Hemingway)
Hemingway lagi? Ini bukan sekadar Hemingway atau cerita Santiago yang belayar sendirian di Teluk Mexico tetapi bagaimana seorang budak sekolah terhegeh membaca buku usang yang dibeli dengan harga RM5.00. Ya, gua beli dari toko buku yang sama ketika mendapatkan For Whom The Bell Tools. 
6. A House for Mr Biswas(VS Naipaul)
Ini bukanlah buku pertama tulisan Naipaul yang gua baca. Gua terlebih dulu mengenali Naipaul lewat Among The Believers (buku ini adalah mengenali pengembaraannya ke negara-negara Islam di luar tanah Arab. Ada disebutkan tentang Anwar Ibrahim). Tetapi A House for Mr Biswas(tentunya watak Mohun Biswas) merakam getir hidup manusia dalam mencari kebebasan.
7. Sukma Angin(Arenawati) 
Merakam kegigihan bangsa Melayu dalam bidang pelayaran. Seterusnya memahamkan gua bahawa bangsa bukanlah suatu ukuran untuk mencapai kejayaan.
8. 1515(Faisal Tehrani)
Lama sebenarnya gua disedut masuk ke dalam novel ini. Berdamping dengan Tun Nyemah Mulya hingga gua percaya dengan sepenuhnya bahawa Tun Nyemah Mulya itu wujud dan pernah berada di Melaka. Faisal Tehrani memang jahat!
9. The Great Railway Bazaar(Paul Theroux)
Kegilaan membaca buku-buku yang bersifat travelog telah membuat gua percaya bahawa dunia ini penuh dengan kegilaan yang tidak disangka. Umpamanya, ketika membaca buku ini, Theroux telah melahirkan kemarahan beliau terhadap undang-undang yang tidak masuk akal(dia ditahan dan disoal siasat oleh imigresen Singapura dalam perjalanannya ke Malaysia, kerana rambutnya panjang seperti seorang hippy).
10. Ranjau Sepanjang Jalan(Shahnon Ahmad)
Apa lagi yang mahu gua katakan? Sebagai seorang lelaki yang hidup dan membesar dalam sebuah keluarga yang hidup atas hasil penanam padi, Ranjau Sepanjang Jalan seakan rakaman kehidupan keluarga gua.

August 22, 2014

Selamat Kembali MH17


Duka mendakap jiwa, kukuh dan tegar.
Duka juga meragut kasih, membenam penuh segala cinta
Ada kasih yang terlerai, ada rindu yang tertangguh

Hari ini, dalam bahang zat suria
ketika keranda kalian diusung hiba
kami sama-sama menahan sebak, menahan rasa penuh duka.

Pada jiwa-jiwa yang telah lama kembali kepada Tuhan,
pada saat bedilan azab menampar pintu kapal terbang ;
kami mengutus doa dan harap agar kalian semua bersemadi aman di sana.

Pada jiwa-jiwa yang telah kembali ke Al-Barzakh ;
kami tidak ingin menangis.


Shah Alam
22-Ogos-2014

July 18, 2014

Syukur Simpati Buat Palestin



Kadang-kadang timbul juga pertanyaan dalam kepala otak saya.
“Apa yang kita buat untuk membantu mereka di Palestin, setelah kurang lebih 60 tahun hak mereka dirampas?”
Barangkali bagi kita yang sedang hidup di sebuah negara yang aman ini(?), cerita Gaza, cerita Palestin hanya cerita biasa kerana kita beranggapan mereka sudah lama mengalaminya, perkara luar biasa bagi kita sudah menjadi biasa buat mereka lalu menganggap semua itu sudah takdir bagi mereka. Atas alasan itu, kita pun meneruskan hidup seperti biasa.

Mereka juga tahu sakit, mereka juga tahu derita, mereka juga ada jiwa, ada rasa dan tahu menangis bila insan yang mereka sayang dibunuh kejam, hancur robek tubuhnya ditembak dibom. Bagaimana jika kita yang hadapi situasi ini?

Sungguh malang nasib mereka. Sudahlah seluruh dunia meminggirkan mereka, kita ini-yang kononnya ada ada rasa kemanusiaan-hanya mampu melihat, hanya mampu bersedih dan sesekali berdoa moga Tuhan melindungi mereka. Sekali lagi pertanyaan itu muncul, “apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka?”

Lebih malang lagi apabila ada dikalangan kita tidak memilih untuk berdoa apatah lagi mengirim simpati kerana berpendapat “mereka bukan dari kalangan kita”, maka agama apa yang tidak mengajar penganutnya tentang kemanusiaan?
Pernahkah kita terfikir jika suatu hari nanti datang orang asing halau kita dari negara yang kita duduki ini, mereka rampas rumah kita, mereka bunuh anak-anak kita.
Pernah terfikir semua itu?

Hari ini hari mereka, entah esok lusa hari kita. Kerana itu, dalam bersyukur kita mesti berwaspada.
Bersyukur dan bersimpati. 

July 02, 2014

Musim dan Waktu


Musim panas pun tiba lagi. Ketika bahang matahari menukar lopak-lopak air menjadi kering dan menampakkan warna tanah yang mula merekah. Musim ini juga cuaca mudah menggila, hilang susun aturnya.Tabiinya berubah-ubah dari lurus kepada songsang dan songsang kepada lurus.
Untuk seminggu dua, lopak-lopak air itu akan merekah, kontang dan gersang dan kemudiannya terisi semula dengan air yang menderu turun dari langit setelah di hantarkan guruh dan petir sebagai tanda awal. Air akan mula mencelah di sebalik rekahan tanah, menggembirakan isi perut bumi yang sebelumnya kontang dan hampir mati kepanasan. Tetapi perlu juga diingat, ada kala musim boleh bertukar gila, segila mahunya tanpa boleh disekat-sekat lagi.
Ini pusingan alam. Aturan Dia. Ini musim.
Musim berganti walau kekadang songsang.

Musim tidak seperti waktu.
Waktu tidak pernah menipu dan mendustakan sejarah. Yang sering tertipu, menipu dan lupa pada sejarah adalah kita.
Kita barangkali akan kekal mengingati sesuatu yang indah, yang membahagiakan untuk tempoh yang panjang. Imbasan itu akan di putar-putar pada ruang khayal sendiri,akan tersenyum sendiri. Akan di ingatkan juga tarikh dan waktu lalu dengan kuat cuba mengingatkan juga suasana ketika itu, cuaca ketika itu-panas terik dan peluh yang memercik- atau debaran jantung yang mencapai tahap maksimum.
Begitulah, kita hanya akan mengingati sesuatu yang ingin kita ingat walaupun peristiwa itu berlaku 2 tahun lepas, pada tarikh yang sama, pada waktu yang sama dan dalam persekitaran cuaca yang sama.
Dan kita akan terus hidup dengan kenang-kenangan tadi. Membasahkan fikiran dengan perkara yang manis dan indah. Kita berkhayal, berhalusinasi untuk merasakan kita masih berada dalam kesyahduan, dalam kehidupan yang enak-enak sedangkan kita sebenarnya sedang bertarung untuk terus hidup, melunakkan kehidupan dengan angan.

Seperti juga musim, hingga ke satu tahap, bila khayalan itu sudah tepu kita akan menyalahkan semua perkara, semua hal yang menjadikan kita begini hatta kepada Tuhan.
Tergamak kita marahkan Tuhan hanya kerana impian kita tidak terlaksana, hanya kerana apa yang kita angankan itu Tuhan tidak tunaikan.

Lalu kita pun kembali bertarung, antara musim dan waktu. Untuk terus hidup, untuk yang enak dan lunak walau sebenarnya kita sedang berkhayal.


July 01, 2014

Ramadhan lawan Aidilfitri

Ketika saya menaip catatan ini, Ramadhan sudah masuk hari yang ketiga, maknanya kurang lebih 27 hari lagi kita akan merayakan Aidilfitri.
Ada sahabat saya kata, Aidilfitri pesta makanan. Sebulan berpuasa, kita menahan lapar dan dahaga. Sewaktu Aidilfitri semua lapar dan dahaga itu diraikan semahu mungkin.
Bagi saya, itu pembohongan paling nyata.
Kenapa?
Tidak perlu membaca buku tulisan Wyne W.Dyer untuk memahami teori ini. Senang saja.
Sehari, berapa RM kita belanjakan untuk juadah berbuka? Katakanlah, RM20, untuk sekali hadap. Semuanya diborong dari Pasar Ramadhan.
Kalau tidak penuh meja, bukan Melayu Malaysia lah namanya.
Jadi, apa perlu lagi pesta makanan semasa Aidilfitri jika sepanjang Ramadhan pun sudah berpesta makanan.
Dan Pasar Ramadhan yang sememangnya mewah dengan pelbagai jenis makanan cuma wujud di bulan Ramadhan.
Ada juga yang menyifatkan Aidilfitri sebagai medan bersedih.
Mahunya tidak, anak memohon ampun dengan ibu bapa. Kemudian ucapkan "mohon ampun maaf", sudahnya bapa atau ibu akan peluk anak, menangis. Sedih sebab anak jujur dan tanda sayangkan anak.
Macam adegan layar perak.
Aidilfitri hari gembira tetapi kita suka selitkan dengan adegan sedih-sedih.
Apa sudah jadi?

Ini persoalan yang tumbuh dalam kepala gua kerana merasakan pengertian Ramadhan dan Aidilfitri sudah disalah tafsir oleh Melayu Malaysia.

June 25, 2014

Dia IDA


Saya tidak ingat bila, mungkin dua bulan lepas, atau mungkin juga tiga bulan yang lepas bila mana secara mendadak Arafat Hambali menghubungi saya menerusi kiriman mesej di WhatApps.
"Bang, adik nak terbitkan buku puisi." 


Kurang lebih setahun yang lalu, saya pernah menghantar 40 karya asal Arafat Hambali kepada pihak bahagian penilaian Institut Terjemahan Buku Malaysia(ITBM) untuk dinilai dan diterbitkan oleh mereka malangnya karya itu ditolak, bukan kerana tidak berkualiti tetapi kerana beberapa masalah teknikal (terutamanya dari segi penggunaan bahasa).
Bertitik tolak dari situ, saya yakin suara hati anak muda ini perlu diberi tempat, perlu dikongsi dan dinikmati.
Dan kini dia muncul lagi, dengan suara hati yang lebih segar, lebih berani tetapi bersantun.


Arafat Hambali,  anak muda yang saya kenal, sering menyantuni saya seperti abang kandungnya sendiri.
"Baguih. Bila? Berapa ketul puisi? Siapa nak terbitkan?"
Saya tidak menunggu lama untuk membalas mesej beliau.

Soal jawab pun berlangsung sehinggalah dia mengirimkan email yang mengandungi puisi karya beliau dan seorang gadis bernama Ida Syamila, bakal suri hidupnya.
Saya mula "bertukang", membetulkan mana yang perlu hinggalah akhirnya saya katakan kepada Arafat, "dik, hang dah boleh lawan dengan Jimadie Shah Othman dah ni. Memang orang Perlis ni ada nafsu pelik dalam berkarya."


Sebelum ini, saya sering meletakkan kumpulan puisi Helo-Helo Kepada Bush karya Jimadie Shah Othman sebagai penanda aras puisi generasi muda. Saya juga bersetuju bila Roslan Jomel menyatakan bahawa "Jim tidak berkecenderungan memberikan sajak puitis. bahasa yang rapi, metafora yang indah dan diksi yang kelihatan diatur agar bernada merdu bertujuan mengganggu artistik pembaca. itu bukan perwatakan sajak-sajak Jim seperti yang dimaklum. itu sajak untuk menambat hati juri sayembara." (Rujuk di sini)
Sewajarnya, Arafat secara sedar atau tidak cuba dan sedang membariskan puisi-puisinya setanding dengan karya Jimadie. Ini bukan puisi untuk sayembara!

"Bang, nak letak tajuk apa?" Dia ajukan soalan kepada saya, ketika proses suntingan hampir selesai.
"Bab-bab tajuk ni abang fail lah!" Saya kurang berbasa basi. Memang jujur saya akui, saya tidak lekas memberi tajuk. 

"Tanya Ida." Cadang saya.
"Baik bang. Dia Ida ok ke bang?" Dia masih lagi mencuba mengumpan saya, untuk memberi idea, mungkin.
"Lantak lah. Ok juga kot. Setuju." Saya beri kata putus, dalam pertimbangan yang tidak selaras neraca akal.

Kemudian, pada satu waktu yang lain, lama setelah saya sudahkan amanah yang diberikan oleh anak muda yang menyanjungi Pak Samad dan Chairil Anwar ini, dia menghubungi saya lagi(perlu diingat, setiap hari kami-termasuk Helmy Samad-akan berhubung), kali ini dengan rasa yang mudah untuk saya fahami.

"Bang, buku sudah siap!"
Ketika itu, dia masih jauh di sana, di hujung Semenanjung Malaysia dengan bersempadankan negara Thailand, sedangkan saya di pusat peradaban manusia(kononnya)Kuala Lumpur,  namun saya menangkap kegembiraan yang dia sampaikan.
Dia mendakap impian, sesuatu yang dia idamkan, ingin ada buku yang mengumpulkan karyanya sendiri. Dan dia sudah boleh tersenyum bangga, sambil mengadap pokok-pokok padi yang mula menghijau.

Memetik ungkapan puisi bertajuk Kehidupan.
"Kehidupan ini terlalu mendesak
untuk sekuntum bahagia
atau sejambak derita
rasanya tetap membuak."

Nota :
Dia IDA diterbitkan oleh Bawah Pohon Rendang
Prakata oleh Pyanhabib Rahman, ulasan oleh Roslan Jomel dan Aisyah Rais
80 buah sajak + CD yang memuatkan 10 buah sajak
Harga RM 25:00 tidak termasuk pos.
Untuk tempahan boleh berhubung di nombor 011-1437 3539 dan pembayaran boleh dijelaskan melalui akaun CIMB 10050007884206 atas nama Cik Majidah Syamila.

June 24, 2014

Melakar Kata


Kira-kira empat tahun yang lalu, saya pernah melakar draf awal untuk sebuah cerpen, atau mungkin bila dikembangkan boleh menjadi satu novel. Kira-kiranya begitulah.

Draf yang saya lakarkan itu mengisahkan percintaan terlarang di antara seorang wanita muda yang sudah berkahwin secara senyap-senyap(dia sembunyikan dari pengetahuan ahli keluarganya) dengan seorang lelaki yang juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, usia kurang lebih 13 tahun. Mudahnya, wanita muda ini menjadi isteri kedua.

Dia seorang wanita muda yang energetik, mempunyai kelulusan tinggi dan cantik paras rupanya(saya membayangkan dia manja, romantis, mempunyai bibir seseksi Angelina Jolie, tubuhnya sedikit berisi seperti Ziela Bakarin dan suara yang meluluhkan hati).

Untuk menambahkan rasa, saya mengaitkan pula wanita muda tadi dengan seorang lelaki yang juga turut mempunyai seorang isteri dan ketika itu saya masih memikirkan sama ada lelaki itu mempunyai anak atau tidak.
Dia membandingkan lelaki yang baru dikenali itu dengan suaminya, kesanggupan lelaki itu untuk melayan setiap kemahuan, mendengar dengan penuh teliti setiap luahan perasaan dan dia merasa lebih "wanita" bila bersama lelaki tadi.

Wanita muda ini terpaut, atau dalam kata lainnya layu dipangkuan kekasih gelapnya, lalu memahat janji untuk hidup bersama, dalam apa cara sekali pun.
Dan si lelaki itu pula dengan sepenuh hati menyintai wanita tersebut. Dia cuba memberi segala yang terbaik walau dia sendiri tahu wanita ini masih bersuami.

Dan seperti hal-hal yang lain, saya mudah diresapi perasaan. Akhirnya saya hanya membiarkan draf ini berdebu tetapi saya masih lagi ingat dengan kukuh setiap perincian yang ingin saya lakarkan, menjalinkan patah kata dengan taburan perasaan. Hingga sampai kepada satu titik, saya katakan kepada diri sendiri, "apa lagi yang mahu ditulis?". Saya kontang ilham.

Itu cerita empat tahun yang lalu.

Sekarang, saya dalam proses mencari bahan untuk kembali menulis, mencatatkan sesuatu yang saya rasakan perlu. Dengan lebih bijak juga saya cuba lari dari sesuatu yang berperasaan, cuba mengangkat sisi kehidupan manusia yang hilang tujuan hidup, pencarian antara dunia dan Tuhan.

Mahu juga saya katakan bahawa tulisan itu nanti tidak terlalu Islamik-saya bukan penggemar karya Habiburrahman El Shirazy-tetapi saya mahu menjadi seperti Robert Penn Warren yang menulis All the King's Men.
Bagaimana pemenang anugerah Pulitzer ini melakarkan kehidupan manusia yang sering berhubung dan mengakui bahawa semua tindakan akan mempunyai akibat dan adalah mustahil bagi seseorang individu untuk berdiri menyendiri dan cuma menjadi pemerhati dalam kehidupan.

Begitulah impian saya-untuk menulis-merakam-dan tidak berimpian untuk menang apa-apa anugerah tetapi lebih kepada catatan sebagai pengingat.

June 23, 2014

Catatan Pengingat

Foto Kredit : Ikhsan Google
Saya ingin mencatatkan segalanya tentang diri saya, pengalaman pahit manis saya, dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya lalu dibukukan.
Itu impian saya sebenarnya.

Saya ingin menjadikan catatan itu suatu pengingat betapa saya pernah hidup dan dikurnia pelbagai rasa, dihadiahkan dengan pelbagai pengalaman. Tidak sedikit dari pengalaman itu mengajar saya erti hidup, erti memberi dan menerima.

Kegembiraan saya, kedukaan saya, semua itu saya akan tumpahkan, saya akan jalinkan agar ianya mewakili sifat diri saya yang sebenarnya.
Segala yang tersembunyi, segala yang saya rahsiakan(?) akan cuba saya coretkan. Saya mencuba menitipkan keikhlasan maha tinggi.
Itu kehendak saya, yang bertahun saya simpan.

Seboleh mungkin, biarlah hasilnya nanti mampu mendekatkan pembaca dengan penulisnya-begitu-saya impikan dan saya sendiri kurang yakin kemampuan saya untuk melakarkan keseluruhan kehidupan saya.
Ada beberapa perkara-mungkin-perlu saya sembunyikan, ianya lebih bersifat peribadi.
Dan ada saranan dari seorang sahabat agar saya turut mencatatkan pengalaman saya mencari "sesuatu" selama sembilan tahun, pengalaman saya sebelum sembilan tahun itu sendiri dan apa yang saya pelajari dari "sembilan tahun" itu.
Saya katakan pada beliau, "pencarian selama sembilan tahun, dan pengalaman lima tahun sebelum bermulanya sembilan tahun itu tidak setanding pengalaman mendakap bermesra dengan "rasa" selama empat tahun terakhir ini. Tidak sama. Sembilan tahun ditambah lima tahun yang menjadikan semuanya empat belas tahun tidak mampu menandingi sesuatu yang aku "rasa" selama empat tahun, terakhir."

Sahabat tadi diam.
Sungguh, dia tidak mengerti.
Biarlah, masing-masing tahu apa masing-masing rasa.

Terdetik juga dalam hati saya untuk membiarkan segalanya(pengalaman hidup saya) berakhir begitu saja tanpa ada apa-apa catatan.
Tetapi, muncul pula suatu rasa yang lain dalam diri saya.
"Apa yang kau mahu tinggalkan untuk mereka pelajari?"

Itu.
Pertanyaan itu meyakinkan saya bahawa saya perlu tinggalkan sesuatu.
Sesuatu yang sekian lama tersembunyi dan memerlukan satu catatan sebagai pengingat.

June 12, 2014

Ini Bumi-Nya



Seorang sahabat yang sedang berada di Padang, Sumatera Barat Indonesia mengirimkan beberapa keping gambar.
Antaranya ketika beliau di Rumah Kelahiran Buya Hamka yang terletak di Maninjau.

Tanpa disedari, kiriman gambar tersebut segera mengetuk hati, ia menjalarkan rasa rindu yang amat sangat.
Sungguh.
Kilatan ingatan saya kembali ke sana, ke daerah yang pernah saya jejaki lewat Oktober 2013, ketika kita di Malaysia baru sehari dua selesai menjamah daging korban, ketika mana anak-anak di Pesantren Daarul Muwahhidin yang terletak di Batu Sangkar sedang menadah penuh harap-ilmu dan doa-dalam pencarian mereka mengenal Tuhan dan memberi makna dalam kehidupan.

Banyak sekali pengalaman yang saya kutip dari sana, terutamanya dari ustaz-ustaz berhati mulia yang menuang segala apa yang ada ke dalam jiwa anak-anak di pesantren, rukun yang mereka patuhi, damai yang mereka resapi dan keikhlasan mereka dengan Ilahi.
Mereka menumpahkan segalanya, hatta seluruh hidup ke jalan itu, ke jalan Allah Yang Satu.
Dan kemiskinan bukan menjadi satu bebanan tetapi suatu nikmat yang mereka raikan dengan tabah dan redha juga syukur yang tidak pernah ada noktahnya.



Begitulah, Padang di Sumatera Barat terlalu mudah meruntun jiwa.
Ia bukan sekadar sebuah kawasan, tapi sebuah "mini syurga" yang dikirimkan Tuhan buat saya mengenal manusia dan kemanusiaan maha padat.

Ini bumi-Nya.



Terima kasih kerana mencampakkan rasa rindu, terima kasih kerana memberi nilai tambah dan rasa insaf, terima kasih kerana mempertemukan dengan Ustaz Jel Fathullah, Ustaz Abu Ibrahim Al Khalil, Ustaz Kamrianto, Ustaz Abdullah dan sebahagian lagi insan yang berada dan sedang berjuang di Pesantren Daarul Muwahhidin di Batu Sangkar(dan sekarang ini sedang sibuk menyiapkan Pesantren Daarul Muwahhidin di Padang Panjang), juga kiriman rasa terima kasih kepada pejuang dan ustaz-ustaz di Pesantren Buya Hamka, Maninjau.

Insya Allah.
Tuhan mengatur pertemuan.

April 17, 2014

Media alternatif perlu berani, adil


 "Menjelang PRU-12, media alternatif yang banyak mengutarakan isu korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa berjaya mempengaruhi peratusan undi dan secara langsung juga menelanjangkan isu-isu yang “disembunyikan” oleh media arus perdana."
Di sesetengah negara maju, media alternatif (portal berita dalam talian) mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh golongan minoriti. Impak daripada tulisan-tulisan yang tersiar di media alternatif ini mampu menyedarkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara bukan sahaja dimonopoli oleh golongan majoriti. Secara tradisinya juga, media alternatif dilihat sebagai suara kumpulan minoriti.
Berbicara dalam konteks Malaysia, media alternatif telah banyak membuka mata masyarakat yang selama ini disogokkan dengan berita dari media arus perdana. Menjelang PRU-12, media alternatif yang banyak mengutarakan isu korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa berjaya mempengaruhi peratusan undi dan secara langsung juga menelanjangkan isu-isu yang “disembunyikan” oleh media arus perdana.
Apa yang berlaku juga merupakan petanda bahawa media altematif wujud sebagai medium penting dalam penyampaian maklumat secara adil kepada masyarakat.
Saya merupakan antara ribuan, bahkan mungkin antara jutaan pembaca tegar sumber berita dari media alternatif ini. Pada saya, media alternatif lebih adil, jujur, berani dan sentiasa memberikan maklumat yang saya perlukan.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati ada beberapa isu semasa yang seolah-olah terlepas pandang dan tidak mendapat liputan oleh media-media alternatif di negara kita. Antaranya adalah krisis air di Lembah Klang dan juga isu yang melibatkan lukisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) yang heboh diperkatakan orang sejak awal bulan ini.
Saya antara individu yang terlibat secara langsung dalam isu air ini, sama ada sebagai pengguna domestik atau di tempat kerja saya. Saya mengikuti dengan rapat setiap perkembangan tentang isu air ini dan kebanyakan sumber berita datangnya dari media arus perdana.
Saya tertanya-tanya, mana laporan, ulasan, kritikan, kupasan dan analisis berani dari media alternatif dalam isu ini? Malangnya sehingga kini, wartawan dan kolumnis di media alternatif masih gagal mengetengahkan isu maha penting ini. Mereka diam, seolah-olah isu air hanya isu terpencil dan tidak memerlukan pendedahan. Mungkin mereka beranggapan rakyat (pembaca) tidak perlu tahu.
Begitu juga dengan pendedahan terbuka oleh Uthaya Sankar SB mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Pak Samad semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel ‘Sungai Mengalir Lesu’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.
Selesai sahaja majlis tersebut, isu ini heboh diperkatakan di rangkaian media sosial (Facebook dan Twitter). Keesokan harinya, beberapa media alternatif juga turut memaparkan berita yang sama. Malangnya momentum ini tidak berpanjangan. Tiada seorang pun wartawan dari media alternatif yang membuat temuramah dengan Pak Samad atau dengan Uthaya yang menjadi ‘whistleblower’ dalam isu ini. Akhirnya isu penting berkaitan periuk nasi seniman ini hanya dibualkan secara sinis di Facebook dan Twitter.
Seolah-olah media sosial sudah mengambil alih peranan media alternatif dalam isu-isu ini. Apakah media alternatif yang selama ini saya kagumi kerana wartawan dan editornya yang menyiarkan berita berani, adil dan telus serta memaparkan segala kepincangan, secara tiba-tiba memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu penting seperti ini?
Memetik tulisan oleh Chris Arton di dalam artikelnya bertajuk ‘A Reassessment of The Alternative Press’ yang antara lain menggariskan kriteria media alternatif adalah “penerbitan yang memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali”. Maka saya berharap dalam masa terdekat, akan ada laporan yang berani di media alternatif berhubung isu air dan lukisan Pak Samad.


Nota: Tulisan ini turut tersiar di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider


March 21, 2014

Monolog I

Dalam sedar, saya tahu di sisi Tuhan kita ini banyak salah dosanya. Terlalu banyak yang Dia beri, terlalu sedikit yang mampu dibalas.

Saya berusaha, mencari dan menemukan titik-titik halus itu agar bersatu, membentuk garisan panjang, terpanjang dan kekal hingga dunia ini nanti bergulung-gulung umpama kapas ketika Israfil meniup Sangkakala.
Dan saya tidak minta lebih dari yang dia mampu kerana dia juga memohon dari Dia, untuk dunia kami. Begitulah saya redha, tetapi tidak semata-mata menyerah pada takdir.

March 04, 2014

Pekerja Bukan Robot, Boss Bukan Tuhan

We need people who can actually do things. We have too many bosses and too few workers.
-Andy Rooney-

Ini satu persoalan yang sering berlegar di fikiran saya.
Kadang-kadang orang bawahan terlalu takut untuk melontarkan pendapat, terlalu takut untuk melahirkan apa yang mereka rasa, kerana apa?
Adakah kerana menganggap “boss” adalah “tuan”?
Atau “boss” sendiri menganggap diri sebagai “tuan” yang maha hebat hingga tidak langsung ada kesilapan?

Lalu, bertitik tolak dari keresahan dan kacau bilau yang bergaul dalam kepala maka si kerdil ini(orang bawahan) menuang segala kekacauan tadi di sini(media sosial).
Adakah ini juga satu kesalahan?
Apakah setelah menandatangani kontrak kerja, maka hak manusia merdeka itu terus dinafikan? Hingga segala roh kebebasan mereka dirantai?

Dalam kekacauan fikiran, saya tanyakan pada diri sendiri.
"Siapa sebenarnya yang belum merdeka?"

 

January 30, 2014

Angan

Kita mencipta sekian banyak angan.
Secara perlahan, angan itu kita jalin. 
Menjadi gugusan, impian, harapan dan doa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...