July 29, 2013

Dunia Perubahan Kita

Catatan ringkas untuk mereka yang pernah dan masih bekerja bersama saya ;
Dalam banyak perkara, kita selalu katakan kita ini muafakat. Luarannya begitu, nampak kuat, kukuh dan kejap.
Hakikat yang sedang kita sembunyikan, muafakat kita ini umpama kuih puding. Nampak padat tetapi amat mengiurkan.
Kita sebenarnya sedang memotong puding tersebut, bukan untuk memenuhi nafsu kita tetapi untuk menjahanamkannya. Dan kita merasakan bahawa kita sedang membahagikan puding tersebut, secara adil dan sama rata. Memanglah sama rata, sama rata yang cuma kita sahaja fahaminya. Sama rata, sama rata seperti tahun-tahun terdahulu, ketika kita masih jahil tentang muafakat. Sampai sekarang pun, kita masih lagi jahil tentang muafakat.

Tanpa berselindung, kita katakan lagi, kita mahu perubahan dan berteriak bersama-sama, kononnya untuk perubahan.
Apa yang sudah dan sedang kita usahakan untuk perubahan?
Tiada.
Hanya teriakkan sahaja, untuk memperlihatkan bahawa suara kita adalah suara perubahan tetapi sebenarnya kita sedang mengoyak-ngoyak muafakat dan langsung tidak pernah memahami erti perubahan yang kita laungkan itu.
Karenah kita dengan ego, "aku boss kau siapa" bukan melambangkan perubahan. Tingkah laku kita yang tidak percaya pada "memberi"peluang kedua bukanlah langkah bijak dalam mendepani erti perubahan.
Itu kemusnahan. Itu lubang kubur yang sedang kita gali untuk sama-sama masuk dan beradu di dalamnya.
Itulah cara kita sebenarnya. Mahu muafakat agar sama-sama terjun ke lubang kubur itu.

Ada baiknya, kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang, dengan kekuatan ego. Bijak dalam dunia kita sendiri. Umpama cerita katak dan tempurung.
Ohhh...itu cerita katak dekad lalu. Cerita katak dekad baru, selari dengan perubahan adalah cerita seekor katak yang menjadikan katak lain sebagai batu lonjatan untuk ke seberang sana.
Itu lebih baik dari cerita katak di bawah tempurung.

Kita sebenarnya ada pembimbing, walau kekadang waktu dia hidup dalam dunia muafakat dan perubahannya sendiri dan hanya percaya pada diri sendiri, ideanya lebih bernas dari idea orang lain. Tetapi, sekurang-kurangnya dia ada semangat, untuk menuju ke arah perubahan dan bernaung di bawah kemuafakatan yang tulen.
Itulah dunia kita. Dunia yang kita ciptakan untuk kita sahaja. Dunia bila mana kita mengangkat sijil sebagai pemboleh ubah keseluruhan sistem dan corak kehidupan kita dalam bekerja. Dunia perubahan kita.

July 22, 2013

Ramadhan

Ketika saya menulis catatan ini, Ramadhan sudah masuk hari yang ke 13.

Apa yang ingin saya sampaikan adalah, Ramadhan sentiasa menghadirkan ujian yang pelbagai sifat, kebanyakkan tidak pernah ramah dengan saya.

Umpamanya, Ramadhan 1432, saya di singgahi tonsil, demam menggugat separuh dari Ramadhan saya. Alasannya mudah, saya kekurangan air dalam badan dan tonsil amat suka dalam keadaaan begitu. Saya diserang radang tonsil atau dalam bahasa saintifiknya Tonsillitis
Ini bukan kali pertama saya diserang penyakit ini, tetapi ianya adalah sakit berulangan, sejak tahun 2008 lagi. Pernah dinasihatkan untuk membuang tonsil tersebut, tetapi saya sering degil-tidak bertempat-hakikatnya saya takut.

Ramadhan 1433H
Sekali lagi tonsil mahu bergurau. Kali ini lebih hebat. Saya bertarung melawan kepedihan tekak hampir seminggu, kemudiannya di temani demam panas mencecah ke 40 Celcius hampir 2 hari. Waktu itu, saya hanya memikirkan anak-anak. Bagaimana jika itu adalah Ramadhan terakhir saya? Saya cuba berfikiran seenak mungkin dan berdoa moga saya di pertemukan lagi dengan Ramadhan untuk tahun mendatang.
Alhamdullilah, menjelang pertengahan Ramadhan, saya sudah mula melangkah berterawih. Benar, Dia Maha Mendengar.
Pada penghujung Ramadhan, saya berkesempatan berbuka puasa bersama Abang Helmy Samad dan Pak Cik Uthaya Sankar SB sambil ‘berbincang urusan dunia akhirat’ dan menjamah beriani gam.
Sungguh, beriani gam di Pak Njang Beriani Gam Seksyen 13 Shah Alam amat memaut hati saya. Saya kembali ke kedai tersebut pada hari selepasnya.
Saya cuba, merasa nikmat Ramadhan yang semakin bersisa.

Ramadhan 1434H
Ini sesuatu yang tidak di duga. Saya disahkan mengidap gastrik tahap kronik. Untuk makluman, sudah hampir enam bulan saya di serang gastrik tetapi masih mampu bertahan-dengan ubat-dan amalan permakanan.
Permulaan puasa, saya cuba rempuh kesakitan. Hari kedua, pun begitu juga, walau dalam payah.

Hari ketiga dan keempat, saya terbaring lesu, ketika pulang ke Kuala Selangor. Saya cuba untuk tidak mengalah. Sekurang-kurangnya untuk mengumpan kekaguman pada putera sulung saya, Mohd Syaamil Asyraf yang mula belajar berpuasa.

Hinggalah ke hari kelima, ketika jam hampir ke pukul 7 petang, segala saki baki sahur akhirnya memenuhi ruang tamu rumah saya. Kesakitan akibat gastrik memulas-mulas isi perut, seperti ada lembaga yang menyeluk dan mencubit isi perut saya ketika itu.

Esoknya, seawal jam 8 pagi saya dan isteri sudah berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Setelah menunggu hampir sejam akhirnya doktor wanita yang ramah mesra memaklumkan bahawa gastrik saya sudah memasuki tahap kronik dan perlu di lakukan ujian Endoskopi untuk memeriksa apakah lagi yang sebenarnya sedang terjadi di dalam perut dan usus saya.

Saya diberikan ubat-ubatan yang perlu dimakan ketika sahur, supaya boleh berpuasa seperti biasa dan dinasihatkan juga agar tidak berpuasa sekiranya kesakitan itu datang secara tiba-tiba. Juga, di bekalkan dengan senarai panjang pantang larang-pedas dan masam terutamanya- saya digalakkan meminum susu ketika berbuka.

Terawih?
Ini antara ibadat kesukaan saya.Jangan di tanya sudah berapa kali saya berterawih.Saya yakin, Dia tahu setiap sesuatu.

Semoga Ramadhan yang masih bersisa ini mampu saya tunaikan dengan aman dan damai. Dan saya sering mengingatkan diri sendiri agar tidak menjadi ’arab’ ketika Ramadhan.

Begitulah saya sentiasa mendoakan moga Ramadhan ini mampu memberi ingatan kukuh dalam jiwa saya. Saya perlu lebih dekat kepadaNya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...