December 30, 2008

Selamat Datang 1430

Salam Hijrah.Belum terlambat lagi rasanya untuk mengucapkan selamat datang untuk 1430Hijrah.Dalam beberapa ketika nanti, tahun Masihi 2008 pula akan di lipat ke dalam kantung sejarah, melangkah ke 2009.
1429 Hijrah banyak meninggalkan gugus hikmah untuk kita teladani dan di jadikan pengajaran untuk bekalan 1430 Hijrah.
Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.
Harapnya, Hijrah kali ini memberi perubahan positif yang lebih besar terhadap agama,diri,keluarga dan Malaysia amnya.

December 23, 2008

Cili


Hari Sabtu yang sedikit membosankan, isteri bekerja separuh hari dan saya tiada apa-apa perancangan.Hanya duduk di rumah sambil membaca surat khabar.
Seorang rakan menghubungi melalui talian telefon, mengajak ke Puchong untuk meninjau projek tanaman cili secara komersial yang di usahakan seorang bekas rakan sekerja yang baru "di tamatkan"perkhidmatan kerana usia sudah 55 tahun(pencen le).
Untuk mengisi waktu yang terbuang begitu saja, saya bersetuju mengikut rakan tadi dan sampai di kawasan yang di katakan, hati terpegun.
Hasilnya, bumi Tuhan sentiasa menjanjikan rezeki untuk mereka yang tabah berusaha.Hasil gabungan tradisional dan sedikit teknologi moden, tanaman cili yang di usahakan beliau(yang saya panggil Pakcik),menjanjikan pulangan yang memberangsangkan.
Sebelum pulang, sempat mengutip cili segar untuk bekalan dapur selama seminggu..kah!kah!kah!

Saudagar cili...




* Untuk mereka yang berminat mendapatkan bekalan cili segar, boleh terus berurusan dengan Pakcik Idris di talian 017-2477383

Biru,biru...lu tipu!

Bosan.Perkataan mudah yang mengalir dalam minda yang di turunkan ke paparan “key board”computer.
Benar-benar bosan bila nafsu untuk menulis berada di puncak, tapi hilang puncanya.Entah apa yang ingin dikhabarkan.
Perkara sebegini selalunya berulang dalam rangkap yang sama, di ulang-ulang untuk entah berapa kali.Di tambah lagi dengan sambungan internet yang kerap tergendala, terputus-putus.Kekerapan paparan “no connection”memang menyesakkan, kadang-kadang mudah pula amarah menguasai diri.Sudah kerap benar perkara serupa terjadi dan sudah kerap juga talian khidmat pelanggan pembekal perkhidmatan internet di sergah, kadang-kadang saya menghantar dalam nada yang kasar, nada yang harus di fahami semua orang bahawa seseorang sedang “naik minyak”.Harapkan iklan sahaja yang gah, tetapi pada dasarnya, iklan itu hanya tarikan.Kuasa biru,ahhh…bukan kuasa biru tapi kuasa menipu.Saya pernah mengirim mesej untuk CEO syarikat tersebut yang di kirim melalui bahagian khidmat pelanggan.Kata saya pada lelaki yang menyambut panggilan tersebut “suruh CEO awak resign, dia gagal mengotakan janji yang terpampang di iklan”.Saya faham, amukan begitu hanya untuk mendamaikan jiwa yang sedang memberontak,sia-sia.
Benar-benar kecewa, tambahan pula dalam keadaan sekarang yang amat memerlukan kita pantas bergerak,pantas berfikir dan tekanan kerja yang berada di puncak.Waktu-waktu sebegini, perkhidmatan internet teramat penting untuk saya.Bukan hanya untuk melayari web, tapi juga untuk menyudahkan kerja yang tergendala.
Hairan, untuk entah kali ke berapa juga, rungutan pengguna seperti saya tidak pernah di pedulikan.Hanya setakat “encik, laporan encik sudah kami terima dan pihak kami akan mengambil tindakan susulan”.Telinga sudah lali dengan perkataan dan ayat yang sama, Cuma ulangannya dari suara yang berlainan.
Untuk sekian kalinya, saya masih tertipu….

December 13, 2008

Kampung


Dingin benar-benar mengigit tubuh kerdil yang beralaskan sehelai baju T Pagoda dan berkain pelekat cap Gajah Duduk.Selesai menyiapkan Bencana Tanah Runtuh yang terlebih dulu di taip pada aplikasi Word, kemudian di “copy-paste” ke laman ini, saya segera mendapatkan secawan kopi pekat dan sebatang rokok.Jam yang tergantung kukuh di dinding ruang tamu sudah menunjukkan pukul 02:20 pagi.Nafsu tidur sengaja saya kuncikan agar dapat bertemu Subuh.Harapnya, dapatlah mengerjakan Subuh di surau terdekat, kembali nanti boleh melelapkan mata dan mengisi hari cuti dengan berpeleseran di atas katil.
Hujan mula rintik, mula gugur berdikit.Saya berdiri menghadap tingkap di ruang tamu yang sengaja saya biarkan terbuka.Secawan kopi yang masih terasa panas hingga ke rongga dada di teguk perlahan-lahan, sambil sesekali mencuri ruang menghembus asap rokok.
Hujan yang mulanya hanya rintik, kini mula berderu bunyinya.Kasar menimpa bumi.Lopak-lopak air segera terbentuk di petak-petak parking yang di tinggalkan kosong.Saya masih lagi berdiri di hadapan tingkap, menutup sedikit dengan jendela agar kurang terasa gigitan sejuk.Saya mudah tergugat dengan kenangan ketika berkeadaan begini, sunyi dalam hujan.
Perlahan-lahan, hati di jamah dengan kenangan di kampung.Bila melihat rintik hujan yang semakin kasar, kilatan ingatan mudah membawa saya ke daerah yang menghadiahkan saya sebuah kehidupan. Kampung saya tidak mempunyai hutan.Hanya yang ada, selaut sawah padi dan deretan pokok mangga.Indah.
Di sana, sepak terajang politik tidak pernah di pedulikan.Di sana, walau kaya dengan kemiskinan tapi manusia masih lagi mengenal Tuhannya. Bila tiba musim tengkujuh, lopak air akan bertakung dan kaki akan di penuhi selut hingga ke betis.Anak kecil sudah mengenal mana satu lintah, mana satu pacat.Dan anak kecil juga akan berpesta sakan bila hujan turun.Ibu ayah sudah tidak hiraukan demam selsema, mainlah hujan,sejuk nanti pulanglah anak.
Sungai masih lagi berderu alirnya, walau sesekali airnya keruh berselut.Keli,haruan,puyu dan sepat masih lagi menjanjikan rezeki.Sungai juga tidak pernah poggah hingga pecah tebingnya, jarang juga sungai bebal kerana alirannya.Sungai hanya sesekali naik radang bila air baja dari bendang di lepaskan kerana keli dan sepat hilang dari dasarnya.Tapi rajuk sungai akan segera reda, bila orang kampung turun menebas semak lalang di tebing, menarik keladi dan kangkung dari permukaannya.Sungai akan segera memberi bayang berombak setiap kali matahari memancar cahaya ke permukaan air.Sungai kampung saya sungguh manja.
Kenduri cara kampung,seisi kampung akan berpeluh menyediakan jamuan yang akhirnya di makan sendiri.Lembu atau kerbau akan di sembelih,di lapah dan di jadikan juadah kenduri.Sepakatan masih menebal.Anak muda akan terperosok di sudut paling hujung sambil bersiul membasuh pinggah mangkuk.Upahnya mudah, cuma tembakau dan sekotak rokok yang di bahagi-bahagi.Esoknya, selepas kenduri bertandang lagi, mengemas mana yang perlu.Tuan rumah menyediakan makan tengahari, masih dengan “rapah”kenduri semalam.
Tiba musim menuai, pohon padi yang awalnya menghijau akan bertukar menjadi kuning keemasan dan petani akan tersenyum hingga menampakkan rongaknya gigi.Wang bukan keutamaan, cukuplah sekadar mengalas kehidupan. Semuanya serba indah bila teringatkan kampung.
Jarang benar saya mendengar orang bercerita tentang kampung kelahirannya.Agaknya, mungkin malu.Atau barangkali, sudah terlupa asal usulnya.Benarkah?
Biarlah, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai kampung untuk di kisahkan.Biarlah hujan selalu turun, agar bendang di kampung menghadiahkan rezeki pada petani.
Hujan masih lagi terus menggila dan niat awal untuk berjemaah kian tipis.Mata kian letih….saya mahu tidur dan mimpikan tentang kampung.

December 11, 2008

Bencana Tanah Runtuh....



Pagi itu, bangun dari tidur , seperti pagi-pagi yang lainnya, saya akan membuka siaran Astro 502,Bernama TV.Mahu melihat telatah dunia dan isinya, terutamanya telatah manusia dengan nafsunya.Yang gila berpolitik dengan putar belitnya, yang bertuankan wang dengan cereka ekonominya dan manusia melarat dengan deritanya.Semua himpunan sesi pagi ini, satu hidangan untuk saya mematangkan fikiran dan bekalan untuk saya menjengah ketengah-tengah putaran bumi yang sentiasa menyajikan pentas sementara, sebelum kita sama-sama di jemput ke SANA.
Pagi itu, sisipan berita bingkas menyentak jiwa yang baru terjaga, meleraikan mamai yang mengkhayalkan minda.Berita tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan beberapa jiwa terkorban, tertimbus di dalam tanah dan runtuhan kediaman benar-benar mengejutkan di pagi itu.Baru beberapa hari lalu, tanah runtuh telah meranapkan sebuah banglo di kawasan Ulu Yam.
Hati sebak bila mengenangkan nasib mangsa yang di landa malapetaka.Terutamanya umat Islam yang akan merayakan Aildiladha.Terkenangkan juga nasib anak-anak kecil yang kehilangan laman untuk bermain, nasib mereka yang kehilangan kediaman dan harta benda, bahkan mereka yang kehilangan jiwanya. Ahh….pilunya hati.
Saban hari selepas itu, tanah runtuh yang membadai kawasan elit ini menguasai semua media massa , baik di kaca tv atau pun di halaman surat khabar, sehingga menenggelamkan cerita kekalahan pasukan bolasepak kebangsaan di Kejohanan Bolasepak Piala Suzuki.Saya lemas, dengan sensasi yang di berikan media.Lemas juga dengan telatah pemimpin politik yang meninjau mangsa dan menjanjikan sesuatu untuk menutupi kesilapan lalu yang kadang-kala di susuli dengan pertuduhan siapa yang bersalah.Kemanisan janji itu, tidak dapat melupuskan kesedihan dan trauma yang di tanggung semua mangsa runtuhan, agaknya.
Terlihat juga, mangsa-mangsa yang mula menyalahkan pihak berkuasa dan beriya-iya mahu menyaman pihak bertanggungjawab dan beberapa kerat “orang kaya”yang marah-marah, kononnya pihak berkuasa, terutamanya RELA yang tidak membantu mengusung memindahkan harta benda mereka.Pyan Habib menulis dengan lebih lantang lagi perihal manusia begini dalam blognya.
Media juga seakan terlupa nasib keluarga Roslan Mohd Jalil dan Azizan Madon yang kehilangan rumah dan juga dua orang anak mereka di Ulu Yam Perdana, juga akibat rempuhan tanah runtuh beberapa hari sebelumnya.
Dan kata seorang rakan, yang memberikan pendapatnya berkaitan peristiwa tanah runtuh ini mula terimbas kembali.Katanya “kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”.

“Terlintas di fikiran, betapa ponggahnya bumi terhadap manusia dan isinya.
Dulu, kawasan Bukit Antarabangsa adalah kawasan hijau, kawasan untuk tadahan air.Di rasakan, Allah mencipta segala isi bumi dengan fungsi tertentu dan setiap ciptaan itu di datangkan dengan azimat dan matlamatnya. Bila manusia mula meneroka segala isi alam, sehingga terlupa pada matlamat asalnya, maka dengan sendirinya alam mula bersuara.Alam mula menghantar isyarat untuk semua manusia.Kita, sebagai makhluk Allah yang berakal, seharusnya menjawab segala pertuduhan alam ini dengan penuh rasa tanggungjawab.Bukannya dengan menyalahkan si anu itu, si anu ini.Kita mengimpikan kediaman yang mewah di pinggir atau di lereng bukit, lantas mencantas segala semak lalang yang memejalkan tanah, menebang semua pokok hingga tercabut banir dan akarnya yang mencengkam bumi, menenggelamkan semua lorong-lorong air hujan semata-mata mahukan sebuah banglo dan kondo.Tamaknya manusia.Rakusnya nafsu.
Setelah di hantarkan Allah mesej melalui alam, kita masih lagi berdegil, masih lagi berkata “aku tak bersalah, alam yang kejam”.
Firman Allah di dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud “betapa di zahirkan, di tampilkan, di nampakkan “fasad” kerosakan di muka bumi, lantaran akibat perbuatan tangan manusia sendiri”
Sekali lagi, mana perginya akal?
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan belanjakanlah harta kamu di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”.
Mari, kita sama-sama beruzlah.

December 06, 2008

Rokok....layan!



Anda faham mesej gambar di atas?

Merokok boleh membunuh.Itu kata iklan.
Itu juga yang tertulis pada sebelah tepi setiap kotak rokok.Semua manusia yang boleh membaca dan melihat faham bahana merokok.
Kerajaan, setiap kali pembentangan belanjawan, akan menaikkan cukai rokok, agar rakyat kurang atau berhenti terus dari menghisap rokok.Setiap kali juga, perokok akan bersungut,harga rokok makin mahal.
Tetapi, berapa orang yang berhenti merokok?

Aku???
Aku sekarang sedikit kurang merokok, dari 30 batang sehari ke 20 batang sehari.

Berhenti merokok??
Ohhh....tidak!
"Pekerja syarikat rokok nak makan apa?"
"Penanam tembakau pun nak bagi anak bini makan..."

November 16, 2008

Resah...

* Rumah yang hampir siap....siapa tuannya?

Resah kian berpintal, kian bertingkat dan mengalirkan gemuruh yang menggoncang tubuh.Kenapa begini resah duhai hati...
Sejak akhir-akhir ini, tidur malam saya mudah terganggu.Kerap kali terpaksa bangun, menyalakan sebatang rokok dan segelas air kosong.Cuba tidur kembali tetapi kerap kali juga, kedegilan mata menghambat hingga larut malam bertemu Subuh.Untuk mengisi kekosongan antara larut malam dan Subuh, saya selalunya menemani Syaamil, melihat tidurnya yang nyenyak sekali.Membelai rambutnya yang sedikit perang dan beberapa kali merengek-rengek, segera di hulurkan botol susu yang tersedia dalam bekasnya.Menjelang Subuh, dia akan bangun dan menghadiahkan senyuman untuk saya jadikan semangat sepanjang hari.Jarang benar dia menangis setelah bangun dari tidur.
Siangnya , mata mula letih kerana tidur yang terganggu pada malamnya.
Beberapa kali menguap dan segera di kuakkan dengan segelas kopi panas.
Isteri mengatakan saya semakin lesu akhir-akhir ini dan menyarankan berjumpa doktor.Untuk menyedapkan hati isteri dan mengelakkan beliau dari berleter panjang,saya berjumpa doktor tetapi alhamdulillah, katanya “encik sihat,cuma penat sikit dan tak cukup rehat”.Sambungnya lagi, “encik perlu banyak berehat”.Haa…tak cukup rehat?Dan aku perlu berehat……Zzzzzzz…zzZZZZZzzzzzz….
Ada benarnya saya tidak cukup rehat.Balik kerja, sekitar jam 7:00 malam.Maghrib,kemudiannya seperti rutin antara makan malam dan siaran tv.Terbabas hingga ke kedua-dua jarum jam bertemu.
Waktu di rasakan sentiasa menghambat antara sedar dan tidak.Kita yang mengejar waktu atau waktu yang mengejar kita?Ah, serabut. Atau mungkin juga kerana otak yang sentiasa memikirkan perkara yang bukan-bukan.Tersantak dari realiti hingga ke mimpi.Otak menjalar, membawa minda merentasi sempadan di luar kewarasan akal.Atau mungkin juga, saya terlebih berfikir?
Barangkali.Ya, barangkali.Berfikir perkara yang tidak sepatutnya tidak perlu.Contohnya, memikirkan kehidupan seorang sahabat yang di kenali secara tidak langsung melalui sidang interview.Sahabat tadi, segera bertukar menjadi sedikit akrab walaupun perhubungan itu secara dasar sahaja.Tetapi, kenapa perlu memikirkan sahabat tadi?Adakah kerana usianya yang mencecah 30 tahun tetapi masih lagi dengan status "single" dan wajah manjanya yang keanak-anakkan?Sungguhkah kerana saya memerlukan sahabat sebagai ganti untuk seorang lagi sahabat akrab yang berhijrah ke Australia dan hilang tanpa berita?Sahabat yang baru di kenali ini melalui kehidupan sosial yang sedikit memberangsangkan perasaan ingin tahu.”Ah, pedulikan dia”, kata minda.Tetapi hati pula berkata “jangan, dia perlukan sahabat untuk mengubati kecewa cinta 9 tahun”."Tetapi, dia mempunyai kehidupan yang sempurna,berjawatan dan bergaji besar,", kata minda."Bahagiakah dia?",tanya hati.Perebutan antara hati dan minda ini mampu meletihkan dan mengalir laju melemahkan saraf.Mungkin juga dia perlukan seorang sahabat yang boleh mengisahkan kehidupannya yang mengesankan pada satu sisi yang berbeza dengan diri saya.
Cerita-cerita yang sebegini bukannya cerita baru untuk saya.Mengubati dan menyembuhkan hati wanita yang terluka juga bukan perkara baru dalam pengalaman hidup yang menjangkau ke usia 32 tahun ini.Rentetan yang sebegitu banyak mengajar saya erti hidup, erti sahabat dan lebih menghargai cinta dengan isteri.Sahabat...mampukah pula sahabat memahami saya?
Apa yang penting, menjelang Disember, saya perlukan rehat yang cukup agar 2009 di sambut dengan semangat dan keazaman yang tinggi.2009 perlu di jana dengan idea baru.
Kehidupan sudah pasti perlu di rubah,perlu di gubah.Dan ingat kata doktor tadi “encik perlu banyak berehat”.
Usahlah resah duhai hati,Tuhan tahu setiap perlakuan dan gerak hati.

Animations - dove-02

November 10, 2008

Melayu....

Dekad ini, terasa benar keperitannya untuk bergelut dan berpaut pada budaya dan bahasa Melayu yang kian terhakis.Banyak sekali yang mengatakan dirinya Melayu,tetapi semakin teranjak lesu.
Dekad ini juga, manusia semakin bijak menabur janji, kononnya memperjuangkan Ketuanan Melayu sedangkan bahasa Melayu yang harus di martabatkan itu pun berterabur dan semakin kabur.
Apa lagi yang tinggal untuk kita,Melayu?
Siapa lagi yang mengaku dia "pejuang Melayu"?

Sepatah dari puisi Melayu-Usman Awang
"Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

November 04, 2008

Melayang-layang.....


Siang tadi, ketika tekanan kerja berada di puncak, saya meluangkan diri ke sudut rehat, mencari secawan kopi dan menyedut asap rokok sambil membiarkan fikiran melayang-layang,melayang-layang tapi kembali di sambar agar ianya tidak segera hilang dan terbang.Ada sedikit ketenangan yang menyapa.
Tiba-tiba, seorang rakan yang kurang mesra datang dan duduk di sebelah saya, membiarkan beberapa kerusi yang lainnya kosong.Dia tersenyum dan saya mengangguk tanda menyapa.
"Rajin hang tulis blog”.Dia memulakan bicara.
“Saja, duduk rumah tak tau nak buat apa”, jawab saya.
“Macam-macam hang tulis”, sambungnya lagi.
“Eyer,apa-apa yang melintas, aku tulis la”.
Dan perbualan kami tamat di situ, ketika beberapa orang yang lainnya memenuhkan kerusi yang ada.Saya bingkas bangun,memadamkan rokok kedua yang cuma separuh sempat di hisap, kopi yang masih berbaki dan segera masuk semula ke pejabat.
Menyiapkan beberapa tugasan sambil sesekali memerhati jarum jam.
Sesekali juga, terpandang gelagat ketua jabatan yang terhingut-hinggut mencuba tempat duduk baru(bukan kerusi tapi pangkat).
Cukup masa, saya mengemas meja yang sedikit berselerak dan menulis beberapa tugasan penting untuk esoknya pada selembar kertas kosong dan menampal kertas tadi pada skrin komputer agar saya tidak lupa.
Kembali ke rumah, selepas makan malam yang enak, fikiran pun melayang-layang kembali dan saya mencatatkannya begini..............................
"Saya secara dasarnya, akan menulis apa-apa sahaja yang terlintas dan sempat di tangkap dan di muatkan ke minda.Bagi saya, menulis itu adalah satu ketenangan buat diri saya yang rajin bercerita.Walaupun, seringkali tulisan itu berbalik-balik, compang camping dan sumbing di sana sini.Tapi, sekurang-kurangnya, saya melahirkan apa yang ada dalam hati kecil saya, yang dapat saya lihat dan saya nikmati secara lahiriah.Semua ini adalah rakaman kehidupan yang sempat saya kecapi sebagai manusia kerdil yang di bumi Allah.
Kadang-kadang yang lainnya, tulisan itu melalut(bukan mencarut),membawa saya jauh dari apa yang ingin saya catatkan pada awalnya.Terumbang ambing di antara kemalasan menaip dan keinginan untuk menemukan penyudahnya.
Saya juga, bukanlah bermimpi atau mengidam menjadi penulis sastera yang mampu bercerita sehalus mungkin seperti Pak Samad Said atau Arenawati atau kekadang melahirkan radang seperti Azizi Hj Abdullah atau Shahnon Ahmad, jauh sekali untuk menyulam ayat seperti Usman Awang.Saya hanya mengutuskan apa yang terakam di minda dan mencatatkannya mengikut kesesuaian dan kemahuan saya sendiri.
Pernah juga, seorang rakan sekerja yang saya hormati kerana ketokohan kepimpinannya menyatakan bahawa saya ini penulis politik songsang.Dan saya menafikan tanggapan sekeras-kerasnya kerana saya tidak menyokong mana-mana parti politik secara membuta tuli.Saya rasa, saya akan menyokong mana-mana parti atau individu yang resmi hidupnya adalah bersih dan jauh dari rasuah,menjaga amanah kemerdekaan,menghindari Islam dari terusik dengan pemodenan, tahu dan faham apa itu Melayu dan hak Melayu juga mentadbir Malaysia secara aman dan makmur dan sejak kebelakangan ini saya sering resah dengan mainan politik Malaysia yang semakin hanyut dari tujuan asalnya.Hala tuju Melayu di rasakan semakin longlai dan semakin samar.UMNO,PKR dan PAS seharusnya memikirkan semua itu, bukannya manusia sekerdil saya, awak atau kita.
Dengan itu, saya menyifatkan tulisan saya ini lahir dari naluri ingin menyampaikan dan tidak pernah juga saya mengharapkan sesiapa untuk mengunjungi dan mengulang baca blog saya.Cuma, sebagai manusia, saya amat berterima kasih dan bersyukur kerana ada beberapa insan yang sudi singgah dan membaca tulisan saya di blog ini.Secara langsungnya, saya perlu peka dan patuhi setiap aturan tulisan agar ianya dapat di fahami, di mengerti dan jika ada satu dua tulisan yang dapat di ambil sebagai penunjuk dan perkongsian kehidupan, itu adalah suatu penghormatan untuk saya."

October 20, 2008

Tragedi Pemikiran Melayu


Tulisan ini adalah dari pandangan Ungku Aziz, pemikir Melayu.Kerap kali, tulisan yang sebegini membangunkan minda kita yang tertidur dan lalai.Harapnya, dari tulisan panjang ini dapatlah kita menceduk dan menilai siapa kita, bangsa yang sudah 51 tahun merdeka tetapi seringkali alpa dan berpegang dengan prinsip "tak pa".

* Terima kasih untuk pengendali http://sahabatmantap.wordpress.com



Tragedi Pemikiran Melayu
Oleh: Profesor Diraja Ungku Aziz
Kalau ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.
Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class. Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah.
Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu. Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?
Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik. Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.
Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi. Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London.
Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.
Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.
Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.
Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini. Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.
Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah. Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu, akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.
Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka? Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu. Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang.
Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.
Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumahtangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.
Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif. Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.
Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak. Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.
Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama. Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun PAS, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.
Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.Tetapi itulah minda Melayu sekarang.
Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.
* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.

October 18, 2008

Secebis kisah......

Selalunya, bila berhenti menulis untuk seketika, kerungsingan untuk memulakan kembali tulisan itu sentiasa ada walaupun banyak cerita yang ingin di kongsi tapi cetusan idea kadang-kadang terhenti,tersekat-sekat dan sangkut pada takat yang tertentu. Menyorot kembali beberapa ketika yang terlepas, antaranya pasukan Kedah membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua berturut-turut dan saya kehilangan suara menjerit gembira di Stadium Bukit Jalil sedangkan isteri di rumah masam mencuka, Selangor tewas tanpa di duga.

Datangnya Ramadhan, kemudiannya ke Syawal.Dan menjelang Syawal, saya sedikit sibuk.Beberapa tugasan yang perlu segera di langsaikan sebelum cuti panjang menyambut Aildilfitri kerap kali membataskan waktu untuk membaca, apatah lagi untuk melayari laman web.Ramadhan kali ini benar-benar sendat dan membuatkan diri terasa benar keletihan, apatah lagi setelah menjamah juadah berbuka puasa.Perut yang pada mulanya kosong, mula terasak dengan aneka juadah sehinggakan rakaat Maghrib menjadi semakin azab.Setelah berehat dan menikmati Buletin Utama dan sesekali beralih ke Berita Bernama, masa pula pantas membawa ke terawih yang terasa berat untuk di lepaskan.Kembali dari terawih, membuka beberapa lembar akhbar harian, mata mula kantuk dan perlu segera di jamu dengan bantal dan tidur yang enak sebelum bangun mengalas perut, bersahur.
Rutin di antara tugasan harian sebagai pekerja dan tuntutan Ramadhan benar-benar membuatkan diri terasa sibuk.Barangkali, inilah ujian dariNya.Apapun, syukur kerana Ramadhan kali ini tidak tergugat dengan karenah kesihatan yang berbagai.
Ketika Ramadhan semakin hampir ke penghujung, isteri mula sibuk dengan persiapan Aildilfitri.Sepasang baju Melayu warna coklat untuk saya dan Syaamil, juga sedikit biskut untuk di bawa pulang ke Kuala Selangor dan kampung saya di Kedah.Sederhana tetapi bermakna.
Sehari menjelang raya dan sebelum pulang ke Kuala Selangor, malamnya saya sempat merayau-rayau dengan seorang rakan di “Uptown”Seksyen 24 Shah Alam.Buah tangan yang di bawa pulang, sedikit memeranjatkan isteri esoknya.Bukan baju atau sepatu, tetapi sebuah buku yang sudah lama ingin di beli tetapi tidak pernah bersua di toko buku.Ketika rakan saya sibuk mencari dan menguji beberapa jenis mangga dan anak kunci, saya teralih ke gerai yang menjual buku agama dan terjumpa “Ahmadinejad – Singa Baru Dunia Islam.”Tanpa banyak persoalan, wang di hulur dan buku ini bertukar tuan.Kata isteri esoknya “boleh buat khutbah hari raya”. Kali ini, saya menyambut Aildilfitri di kampung isteri, Kuala Selangor.Kegersangan untuk merasa ketupat pulut dari air tangan ibu sentiasa menghambat sepanjang hari raya pertama.Mungkin tekak saya belum serasi dengan lemang dan ketupat nasi.Saya lebih berselera menikmati ketupat pulut daun palas yang di cicah dengan kari daging.
Hari raya ke-2, seawal jam 7 pagi saya bertolak balik ke Alor Setar sebelum singgah di Ipoh untuk beraya dengan bapa saudara, seorang anggota polis yang banyak berjasa juga isterinya seorang guru yang rajin bercerita. Ibu juga menelefon beberapa kali sepanjang perjalanan kami merentasi sempadan 3 buah negeri, beberapa kali juga talian terputus akibat tiada liputan atau isyarat yang kurang jelas di sesetengah kawasan sepanjang lebuhraya Utara Selatan.Kembali menelefon ibu, dan kedengaran pula suara riuh gelak ketawa.Rupanya, ibu berada di Majlis Perjumpaan Keluarga Tok Nai Din, asal usul keturunan saya yang di warisi dari arwah nenek.Tahun lepas, walaupun nenek meninggal dunia seminggu sebelum Aildilfiti, ibu tetap juga bertandang ke majlis perjumpaan keluarga besar ini yang kebiasaannya di adakan pada hari raya ke-2 dan tradisi ini jarang sekali di lepaskan nenek semasa hayatnya ada.Rata-rata, kaum keluarga dari keturunan Tok Nai Din tidak pernah bertemu, hanya perjumpaan tahunan inilah tempat pertemuan dan bertukar cerita.Dari tidak mengenali sesiapa, ianya beransur dan bertingkat lalu mengeratkan ikatan silaturahim dan semakin erat dari tahun ke tahun.Saya sendiri samar-samar tentang asal usul Tok Nai Din.Apapun, wujud juga perasaan bangga kerana rata-rata yang datang dari keturunan Tok Nai Din tidak pernah berfikiran sempit tentang status dan darjat setiap ahli keluarga yang bertemu di majlis perjumpaan ini.
Alhamdullilah, perjalanan pulang ke Alor Setar lancar dan kami sekeluarga sampai ketika jarum jam menghampiri pukul 4 petang.
4 hari berada di kampung,mengunjungi beberapa saudara terdekat dan mendengar cerita tentang hasil padi yang tidak menjadi dan merasa betapa saya terasa benar kehilangan nenek,hanya sempat membaca Al-Fatihah di pusaranya, saya pulang ke Shah Alam pada hari raya ke 5, ketika berpusu-pusu kenderaan dari Utara menghala pulang ke ibu kota.Bertolak dari Alor Setar ketika Subuh masih muda dan berasak dengan ratusan(barangkali ribuan)kenderaan yang menghurungi setiap hentian sepanjang lebuhraya, saya selamat juga sampai di Shah Alam setelah penat memandu selama hampir 8 jam.Berehat dan esoknya perlu kembali ‘punch card”masuk kerja!
Hambatan kerja tidak menghalang dari saya dan isteri untuk menganjur rumah terbuka.Secara kecilan, kerana saiz rumah yang sedikit sempit, kami menganjurkan rumah terbuka pada raya ke-10 dan sambutannya membuatkan mee kari dan lontong tidak bersisa.

Walaupun dalam suasana Aildilfitri, beberapa peristiwa negara tidak pernah saya tinggalkan.Episod kurang ajar HINDRAF di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri,juga mungkin kekadang terasa lucu bila Ketua Menteri Melaka "tersilap" atau menyangka Shah Rukh Khan dari salasilah Sultan Mansur Shah kerana gelaran Datuk yang yang akan di anugerahkan kepada warga India itu,tidak lupa juga Anwar Ibrahim dengan mainan politik "bom jangka" menjadikan Malaysia semakin meriah dengan aneka ragam isinya,Pak Lah yang tergesa-gesa menukar portfolio dari Menteri Kewangan ke Menteri Pertahanan ketika ekonomi dunia semakin meruncing membuatkan saya semakin mengingati tulisan Peter Drucker dalam bukunya, “Post Capitalist Society”. Tulisnya “that knowledge has become the recourses, rather than recourses, is what makes our society post capitalist. It changes, fundamentally, the structure of society. It creates new social dynamics. It creates new politics.
Keadaan ekonomi juga desakan dari akar umbi UMNO telah membuatkan Pak Lah bersegera untuk berundur dari politik.Harapan saya secara peribadi, biarlah Malaysia ini mengalami perubahan dari struktur pemerintahannya juga seboleh mungkin mengekalkan dasar “buy British last” yang di asaskan oleh Tun Dr.Mahathir.Pemimpin masa depan Malaysia perlu mengemukakan gagasan besar mengenai politik antarabangsa atau menelanjangi kepuraan kuasa besar.Pemimpin masa depan Malaysia juga perlu menyatakan pandangan secara berterus terang tanpa ada rasa takut terhadap kuasa kapitalis atau sesekali mencabar negara yang bangga dengan status “superior’.Saya menunggu untuk melihat pemimpin masa depan yang seberani dan selantang Tun Dr.Mahathir, yang telah mengisi kekosongan yang di tinggalkan pemimpin dunia ketiga seperti Tito,Nehru,Nasser atau Sukarno juga Nyerere.Pemimpin Malaysia harus kembali bersuara di pentas antarabangsa setelah 5 tahun membisu.Kita barangkali sebuah negara kecil, tetapi kita perlukan pemimpin yang beridealisme dan lantang bersuara, bukan hanya untuk pembangunan Malaysia dan rakyatnya tetapi juga sebagai suara untuk negara Asia.Kita juga perlu menghindari dari memilih pemimpin yang kuat mengadu dan mengharap belas kasihan dari negara luar,terutamanya dari negara Barat.Malaysia wajib di urus tadbir mengikut acuan budaya Timur, tatasusila bangsa yang bersantun dan beradab.Yang merimaskan saya, apakah nanti akan ada pemimpin Malaysia yang akan di ingati seperti rakyat Turki mengingati dan menganjungi Mustapha Kamal Attarturk.Sebuah negara maju dan moden tetapi rakyatnya kian menjauhkan diri dari Islam.Moga di jauhkan Allah segala malapetaka itu.Aminnnn.....



*p/s

Tiba-tiba teringatkan pula perbualan saya dengan seorang rakan,penyokong kuat parti "mata lebam"yang menyifatkan penahanan seorang ADUN Perak oleh BPR sebagai tidak berasas walaupun ADUN tersebut "tersalah cakap" tentang rasuah seks.
Kata rakan tadi"apa pasal talak tahan itu olang yang kasi free itu pompuan,dia pun manyak salah.Itu olang yang ambik itu pompuan talak salah.Itu benda,sapa-sapa mesti angkat punya laaa,itu ADUN bukan malaikat maaa".Sambungnya lagi , "lu pun, kalau wa kasi free pompuan, musti lu pun angkat juga,bukan?"
Saya menjawab antara dengar dan tidak "lu cakap itu parti anti rasuah, tak makan rasuah.Tapi bila lu cakap, saya ada sikit paham la.Lagi satu, saya punya agama cakap,itu benda cuma boleh buat dengan isteri saja tau,kalau bukan dengan isteri, nanti tuhan marah,dosa besar".
Rakan saya tadi ternganga....

lu pikir le sendiri!!!

October 17, 2008

CERITA MALAYSIA


ANWAR IBRAHIM......
LU BOLEH DIAM?

HINDRAF.......
LU TOLONG HORMAT MELAYU!

PAK LAH.....
MASA SUDAH SAMPAI!

BIARKAN MALAYSIA DENGAN NAFAS KELEGAAN!
AKU MAHU AMAN!!!!!

August 23, 2008

Kembali....

Hampir sebulan mendiamkan diri dari menulis apa-apa.Kejemuan ada ketikanya mudah masuk ke dalam jiwa.Ada masa juga naluri minta di lontarkan barang sepatah dua kata buat menyedapkan hati yang mudah bergoncang.
Secara kebetulannya juga, saya belum lagi menyambung perkhidmatan internet di rumah baru dan keterbatasan ini menambahkah kejemuan dan memustahilkan saya untuk menulis.Ada baiknya juga begitu kerana secara langsungnya, saya berkesempatan membaca beberapa buah buku yang telah lama di beli.
Namun, setiap kali menonton berita di televisyen atau membaca akhbar naluri ingin bercerita itu sentiasa ada, sentiasa mematuk-matuk tangkai hati.
Untuk menyimpulkan semua itu, saya senaraikan perkara-perkara seputar yang menarik hati saya.

1- Olimpik Beijing 2008
- Kekaguman pada Usain Bolt dari Jamaica memecahkan 3 rekod dunia.Seperti yang di ketahui ramai, Jamaica bukanlah sebuah negara maju tetapi kegigihan dan semangat rakyatnya telah mewarnai olahraga di Beijing 2008.USA, terkankang dan pulang longlai.
- Malaysia akhirnya hampa untuk membawa pulang sebutir emas tapi secara peribadi saya menghormati dan kagum dengan daya juang Lee Chong Wei.

2- Pilihanraya Kecil Permatang Pauh
- Senak lagi!
- Anwar Ibrahim masih lagi mendabik dada dan bercita-cita menjadi PM.Tindakan Wan Azizah melepaskan Permatang Pauh bagi membolehkan Anwar bertanding di lihat sebagai pengorbanan si isteri yang teramat setia bagi memudahkan laluan Anwar ke Putrajaya.Yang menyeronokkan saya, Anwar cuma jaguh kampung.Faham??
- BN, dalam gundahnya cuba menabur sebanyak mungkin janji dan budi.Seperti selalu,pak menteri sudah hilang kot dan tali lehernya.Surau dan pondok usang sentiasa di perlihatkan.Aduhhh.....penipu !
- Yang menyedihkan, Melayu lupa diri.Bergaduh sesama sendiri semata-mata menunjangi parti masing-masing.

.....................lu pikirlah sendiri.
Saya akan kembali menulis dalam masa terdekat.

July 31, 2008

Pindah...




- Saya akan berpindah ke Bandaraya Shah Alam, ke tengah-tengah jerit dan riuh kenderaan juga penghuninya yang tidak pernah letih mengejar rezeki -

Ini mungkin tulisan saya yang terakhir yang di tulis dalam bilik kecil kediaman saya di Taman Bukit Subang.Minggu ini juga minggu terakhir saya menikmati teh tarik dan roti canai atau kekadang bertukar selera menikmati sebiji capati berkuah kari kambing di restoran mamak berhampiran rumah.Minggu ini juga, mungkin minggu terakhir saya berjemaah Maghrib di Surau Al-Amin, Taman Bukit Subang dan mendengar laungan azan “Semerah Padi”yang keluar dari tekak Bilal Ishak.
Perasaan sedih dan sayu mudah bertamu setiap kali saya berdiri di jendela bilik kecil ini,menghadap parking dan memerhati bintang yang segan berkelip.Di jendela ini, kerap kali perasaan saya tertumpah.Naluri kelakian saya kerap bercerita di birai tingkap ini.Saya bercerita dalam diri sendiri, tanpa suara.Selalunya, saya berdiri menghadap tingkap yang terbuka sambil menghembus asap rokok.Dalam kepala, berbagai cerita yang ada dan cerita-cerita itu akan keluar bersama asap rokok yang menerobos keluar melalui tingkap.
Banyak kenangan di kediaman Taman Bukit Subang ini.Bagaimana susahnya saya dengan isteri bergerak ke tempat kerja kerana kereta tersadai di bengkel.Mujur seorang rakan yang pemurah sudi menumpangi saya dan isteri ke tempat kerja masing-masing dan petangnya terpaksa pulang menaiki teksi dengan tambang yang sengaja di lipat gandakan..Malamnya pula. saya merasa bagaimana perasaan saya meruntun ketika mendukung Syaamil yang ketika itu berusia 2 bulan melintasi beberapa blok pangsapuri dalam hujan renyai sambil isteri memayungi dari basah hujan, ketika mengambil Syaamil pulang dari rumah pengasuhnya.Esoknya, Syaamil demam dan saya gagal lagi untuk membawanya ke klinik kerana tiada kenderaan. Pengangkutan awam langsung tiada dan untuk mengelak dari peristiwa ini berulang, saya membeli sebuah motorsikal sebagai persediaan jika kereta tersadai lagi di bengkel.
Di rumah ini juga, saya dan isteri banyak berkongsi cerita,gelak tawa yang akhirnya isteri melahirkan Syaamil.Semuanya bermula di sini.Kasih saying kami bercambah, juga di sini.Kasih sayang yang tertumpah pada Syaamil juga bermula di sini.Melihat Syaamil yang hanya mampu menggerak-gerakkan kepala kiri kanan, tangan yang mencakau angin, melihatnya tanpa henti mencuba merangkak yang seringkali berakhir dengan tangis dan akhirnya sekarang berjalan sambil melambai tangan mengucapkan ‘bye”.
Aduh…perit benar untuk meninggalkan rumah ini.Walaupun tidak seluas mana, tapi ianya bermakna.Bukan saja pada saya, tetapi juga pada keluarga mentua saya.Seorang saudara terdekat sebelah ibu mentua saya yang terpisah hampir 10 tahun, akhirnya dapat di temui di sini.Rupanya, jiran yang sering menegur setiap kali saya pulang dri kerja itu saudara sebelah ibu mentua!
Dan , rumah bernombor 04-02-27 hanya akan menjadi kenangan…..

July 26, 2008

Pesta Buku Selangor 2008

Awal pagi, sekitar jam 08:30 lagi saya sudah bersiap,mengenakan jeans lusuh dan t-shirt putih,sambil menghabiskan sebatang rokok sambil menunggu isteri yang sedang sibuk menyiapkan anak, berbedak dan sedikit kalut ketika menyarungkan pakaian.Syaamil memang begitu sejak kebelakangan ini, kerap kali berperang dengan ibunya selepas mandi kerana dia terlalu sukakan air dalam dingin pagi.
Hampir jam 09:00 pagi, kami bertiga menjengah sarapan di restoran mamak.Saya dan isteri masing-masing memesan sebiji roti telur setiap seorang dan teh tarik untuk saya, sementara isteri pula cukup senang meneguk teh ais.
Habis bersarapan dan membaca beberapa helai muka surat Berita Harian, sekali lagi dalam keributan, kami terus menuju ke Pesta Buku Selangor 2008 yang di adakan di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Sampai di sana sekitar jam 10:30 pagi dan kebanyakkan gerai telah menjadi tumpuan orang ramai. Saya mengambil peluang menjelajah ke beberapa gerai sambil membelek buku-buku, sambil mendukung Syaamil.Banyak sekali yang ingin di beli, tetapi bila memikirkan saya masih mempunyai 4 buah buku yang belum terusik, keinginan itu terpaksa di lupakan. Isteri pula sibuk ke gerai yang menjual buku dan bahan pembelajaran kanak-kanak.Beberapa buku kanak-kanak dan vcd pembelajaran, yang saya kira dibelinya untuk Syaamil di kendong bersama.
Sampai di gerai GB Enterprise, saya terpandang buku tulisan Farish Nor , Di Balik Malaysia: dari Majapahit ke Putrajaya ,yang baru saja di beli secara "online" minggu lepas dan sedikit terkilan kerana GB Enterprise menawarkan 30% diskaun untuk buku tersebut.Hati pun berkata “ambil hang, kelam kabut sangat nak beli,kan dah rugi”.
Saya cuma membeli sebuah buku dari GB Enterprise , Merdeka Rakyat & Keadilan tulisan Syed Husin Ali, sambil mendengar isteri berkata “ sejak bila sokong PKR ni?” Jawap saya – sengih- tanpa suara.
Berjalan lagi dan singgah di sebuah gerai yang mempunyai seorang wakil jualan yang cantik berbaju kurung.Memegang Hati Muda Bulan Muda : Kumpulan Cerpen, 1954-1992 / A. Samad Said ; diselenggarakan oleh Othman Puteh yang di susun bersama beberapa buku keluaran DBP.Memandang-mandang , ambil, letak.Saya kalah.Akhirnya Hati Muda Bulan Muda bertukar tangan bila wang di hulurkan.
Saya berkesempatan singgah di gerai Al-Ameen,sambil membelek-belek(belek lagi!) novel Faisal Tehrani juga meluangkan masa yang panjang di gerai PTS.Beberapa buku terbitan Wira Bukit juga ada di gerai PTS.Lalu teringatkan abang Helmy Samad.Mana pula gerai Wira Bukit?
Pantas jari menekan butang menu di telefon bimbit.Masuk ke ruangan “Messages”, lalu menaip “ Wira Bukit tak sertai Pesta Buku Selangor ke?”.
Hampir sejam kemudian, sambil menikmati hidangan tengahari-nasi padang- telefon saya berderik berbunyi, ada pesanan sms yang masuk. Dari abang Helmy.”Tak.PTS wakil kami.Anda tak ke sana?”.Kemudiannya saya menjawab ringkas, “saya sekarang di pesta buku.Sempat singgah di gerai PTS”.

Kaki mula lenguh dan mata mula layu setelah nasi memenuhi ruang perut.Syaamil pula mula meragam. Isteri lantas mengajak pulang, ketika jam menghampiri ke pukul 01:00 petang. Dalam perjalanan untuk mengambil kereta yang di letakkan di SACC Mall(bersebelahan Komplek PKNS), saya sempat menjenguk abang Helmy Samad yang sedang menikmati teh tarik bersama beberapa rakan(keluarga) di Only Mee.Cuma sempat berbual tidak sampai 20 patah perkataan kerana Syaamil mula menunjuk lagak “hero”nya.Saya beralah, segera pulang.
Pesta buku ini tidaklah semeriah Pesta Buku Malaysia yang di anjurkan di PWTC saban tahun, syarikat yang menyertai pesta ini pun tidaklah seberapa , tetapi dalam serba kesederhanaan itu, keterujaan pengunjung tetap ada. Ini menunjukkan yang masyarakat sekarang sudah mula menggemari buku dan dahagakan ilmu.Pesta buku yang sebegini, seharusnya di angkat menjadi salah satu rutin wajid dalam calendar Malaysia. Keterbukaan media cetak adalah sesuatu yang maha penting bagi memartabatkan bangsa dan seterusnya membolehkan rakyat menjadi bangsa Malaysia yang berilmu.



July 18, 2008

DEBAT...hebat???

"Debate is masculine, conversation is feminine"
-Amos Bronson Alcott-
Idea untuk mengadakan debat antara Menteri Penerangan, Shabery Chek pada awalnya di lihat seakan gagal dan wujud juga sedikit kebimbangan jika debat ini di batalkan pada saat-saat akhir memandangkan situasi Anwar Ibrahim yang bergelut dengan isu seks luar tabii.Akhirnya, dengan kerjasama AgendaDaily, debat antara Shabery Chek dan Anwar Ibrahim ini berjaya juga di sempurnakan.Shabery juga pada mulanya di nasihatkan agar membatalkan debat ini oleh golongan pro Pak Lah-mungkin bimbang seandainya Shabery terkapai dan lemas dalam hujah Anwar-tetapi di atas semangat "revolutionist", Shabery berkeras dan debat yang julung kali di adakan di Malaysia di pancarkan secara langsung di kaca televisyen.Datuk Johan Jaafar mencari pengantara dan dua orang panel di beri peluang untuk memberikan soalan kepada pendebat.Saudara Zulkifli Sulong mewakili Anwar Ibrahim dan Dr.Nordin Kadri mewakili Shabery Chek. Nah, gelanggang di sediakan dan pertarungan pun bermula!
Saya suka mengatakan bahawa Anwar Ibrahim masih lagi mempunyai pesona selaku pemidato hebat.Setiap butiran yang disampaikan malam itu, jelas menepati intipati "Hari Ini Memerintah: Esok Minyak Turun".Hujah Anwar sepanjang 3 segmen itu di bebankan dengan fakta,walaupun jika di perhalusi lagi fakta-fakta tersebut boleh di sangkalkan ketulenan dan keikhlasannya.Namun, debat di tangan Shabery tidak berupaya menepis kuisan fakta dari Anwar. Jelas kelihatan , Shabery lebih suka menceritakan siapa Anwar- dari mempertahankan kerajaan- walaupun rata-rata audiens yang berada di dewan tersebut juga yang menonton di televisyen sudah kenal dan arif tentang peribadi Anwar.Shabery berulang kali menegaskan kenaikan harga minyak adalah di sebabkan kenaikan ketara harga petrol di pasaran dunia tanpa menegaskan langkah-langkah yang di ambil oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat apatah lagi untuk menurunkan harga petrol.Anwar pula, dengan gayanya yang sentiasa memukau melemparkan hujah-hujah yang mampu membuat pengundi atas pagar memberi undi untuk beliau jika Anwar masih berkesempatan untuk menjadi calon pilihanraya.Tidak saya nafikan, hujah Anwar malam tersebut sedikit membuat saya ternganga, apakah betul ini langkah yang bijak untuk saya mengatakan Anwar seorang pakar ekonomi? Anwar juga nakal dalam hujahnya.Antara yang masih kukuh di minda saya adalah gurauan kasarnya terhadap kerajaan yang kedekut untuk mengeluarkan RM1 billion bagi menurunkan harga minyak sekitar RM0.50 sen tetapi cukup ikhlas membantu Perwaja dengan jumlah RM13 billion. Dan usikan ini juga gagal dinafikan oleh Shabery.Kesimpulannya, Shabery gagal dalam misinya untuk menghantar mesej kepada rakyat dan mempertahankan agenda kerajaan.Apatah lagi beliau tenggelam dengan hujah-hujah dari Anwar Ibrahim.Dalam keadaan ini, Shabery dengan jelas memaparkan bahawa beliau tidak melakukan kajian dalam isu debat ini kerana beliau gagal untuk memberi petunjuk yang jelas ataupun yang kabur kepada rakyat tentang rasionalnya kenaikan harga petrol.Yang sering diperkatakannya hanyalah akibat kenaikan harga petrol di pasaran global dan Anwar pula dengan tangkas memberi petunjuk baru keupayaan dan perancangannya untuk menurunkan harga petrol seandainya kerajaan yang ada sekarang tumbang kepada Pakatan Rakyat.Apapun, dalam situasi yang sebegini sesak, kerajaan memerintah sekarang mempunyai kelebihan kerana Anwar secara langsung telah memberi idea-ideanya untuk difikirkan dan di terjemahkan oleh kerajaan.Tetapi, mahukah pihak kerajaan menerima cetusan idea dari pembangkang, di tambah lagi manusia tersebut bernama Anwar ibrahim.Secara positifnya pula, debat kali ini memperlihatkan kecendurangan Shabery Chek dan pemerintah memberi ruang kepada pembangkang untuk mengutarakan pendapat secara terus kepada rakyat.Kongkongan media sedikit terlerai di tangan Shabery Chek.Dalam aspek ini, Shabery memang berjaya.Harapnya, dengan debat ini nanti akan membuka sedikit ruang untuk media agar lebih bebas berbicara dan melontarkan idea.
Dalam debat ini mungkin sukar untuk menafsirkan siapa pemenangnya(walaupun Shabery teruk di lanyak).Seandainya di tanya kepada pihak pro pemerintah, sudah tentu jawapannya "Shabery hebat,bijak".Jika di ajukan pula soalan yang sama kepada penyokong Pakatan Rakyat, jawapannya mungkin berbunyi "Anwar memang power,lembik Shabery kena". Saya juga turut di hujani dengan sms dan panggilan telefon dari beberapa orang rakan, memberi pendapat dan tak kurang juga cemuhan.Seorang rakan yang pantas menelefon juga ketawa sakan bila Shabery terpinga-pinga mencari jawapan apabila di asak soalan oleh Zulkifli Sulong tentang RM4.2 billion yang di jimatkan oleh kerajaan ketika gelombang RM0.30 sen melanda Malaysia.Untuk menutup "ketidaktahuan"(lebih afdal dari perkataan bodoh), dengan sikap profesionalnya, dia mengalih kepada penceritaan hikayat hidup manusia bernama Anwar Ibrahim.Mudah.Tepukan pun bergema di sebelah penyokong BN.SMS dari Abang Helmy Samad "Shaberi macam tak wujud", ringkas tapi bermakna.Seorang rakan rapat menghantar sms berbunyi"malu aku, menteri kita tak tau apa-apa".Dan seorang rakan yang lain juga menghantar sms berbunyi"Shabery tu bodoh!!".Ini adalah pendapat masing-masing, pendapat dan luahan yang lahir dari kepala otak mereka yang berakal.Untuk memberi sedikit keadilan kepada kedua-dua belah pihak, saya sisipkan komen dari beberapa orang ahli politik.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan debat malam tadi sebagai sesuatu yang positif untuk memberi ruang kepada pembangkang memberikan pendapat mereka. "Bagi saya Anwar telah memberi fakta-fakta yang meyakinkan dari aspek ekonomi," katanya.
Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) pula berpendapat bahawa Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya. "Anwar pula dilihat sentiasa mahu ke depan dengan mengemukakan cadangan yang bernas," katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berpendapat debat yang diadakan malam tadi adalah sesuatu yang menarik sehingga mampu menarik pelbagai lapisan penonton untuk melihatnya. Beliau berkata Ahmad Shabery telah mengemukakan hujah yang baik mengenai dasar-dasar kerajaan. "Hujahnya disertakan dengan begitu banyak fakta mengenai apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan fakta yang dikemukakan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan. Katanya, apa yang dinyatakan oleh Anwar itu sememangnya telahpun dilaksanakan oleh kerajaan termasuk mewujudkan jaringan sosial dan membantu rakyat yang susah.
Tun Dr.Mahathir menulis dalam blognya www.chedet.com.
"Saya harus mengucapkan tahniah kepada Kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Badawi kerana membenarkan debat antara Pembangkang dan Kerajaan, khususnya antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Shabery Cheek.Ia bukanlah satu pertandingan yang adil. Shabery sangat kurang pengalaman didalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan didalam keadaan tertekan.Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar."
Jadi...lu pikir le sendiri...

July 09, 2008

Protes cara PKR


http://protes2008.blogspot.com/2008/07/isu-himpunan-protes-678.html
Protes??
Protes Sejuta Rakyat...baguskan bunyinya?
Tujuan asalnya juga di lihat bagus, memperjuangkan nasib rakyat.
Tetapi, apa sudah jadi?
Protes Sejuta Rakyat tercemar, bukan dengan pancutan air dari pihak polis atau hentaman belantan FRU tapi kerana kebodohan Carburetor Dung iaitu band "underground" yang masih lagi memiliki pemikiran tahap underground.
Hishamudin Rais sebagai individu yang bertanggungjawab membawa masuk hiburan tak kena tempat ke dalam 'protes rakyat' telah menanggung segala kesalahan perilaku biadab anggota kumpulan Carburetor Dung yang kurang memahami agaknya ungkapan beradab dan tatasulila.Tindakan beliau yang memohon maaf secara terbuka sejurus selepas amukan penonton sedikit meredakan suasana tetapi belum mampu membasuh luka dan menampal maruah yang sudah terpokah.Protes tidak perlu melondeh-londeh.
Hasilnya, PAS mengutuk dan sama sekali tidak dapat menerima adegan londeh- melondeh ini, apatah PAS juga perlu menjaga imejnya sebagai pejuang ISLAM di Malaysia.
Khabarnya, banyak sekali ahli PAS yang meninggalkan majlis setelah insiden kelucahan melampau ini berlangsung.Malu...kan,kan, kan?
Bagaimana pula dengan para pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang lain? Siapakah yang harus di pertanggungjawabkan kepada keburukan laku Carburetor Dung selain dari Hishamudin Rais? Dri pemahaman saya dalam konsep 'Leadership' yang di pelajari, di terangkan bahawa "EVERYTHING IS YOUR FAULT", yakni ; sebagai ketua/pemimpin, segala kesilapan atau kesalahan yang di lakukan oleh orang bawahannya/pengikutnya maka secara langsung ketua juga turut bersalah. Jadi,siapa ketua/penganjur Protes Sejuta Rakyat ini? Adakah PKR? Adakah PAS? Adakah DAP? Adakah BN?
Akhirnya BN akan ketawa, DAP tersenyum bangga,PKR terus memberi penjelasan kepada rakyat jelata dan PAS tertunduk malu menutup muka semuanya kerana Carburetor Dung - Mari Jilat Menjilat. (bukan liwat meliwat yer)
Siapa kena jilat?Siapa tukang jilat??
Malas nak layan, lu layan le sendiri...
http://www.youtube.com/watch?v=rwMAGcOx8ms

July 08, 2008

Balik Kampung...

Aku, sama sekali tidak merancang untuk pulang bercuti di kampung dalam masa terdekat ini.Tetapi, pada 04hb-Julai,aku keributan perasaan dan meluapkan rasa tidak berpuas hati terhadap sistem pengurusan di tempat kerja.Puncanya hanya kerana pemilihan kakitangan yang akan terlibat dalam temasya sukan tahunan yang akan di anjurkan pada 05th dan 6th Julai(Sabtu & Ahad).Awalnya, semua kakitangan di bahagian pengurusan di wajibkan supaya hadir secara sukarela bagi membantu urusan pada hari tersebut, tetapi entah mengapa beberapa kakitangan yang sepatutnya juga terlibat terlebih dulu menyelamatkan diri dengan mengambil cuti tahunan sebelum menjelangnya temasya berkenaan dan pihak pengurusan seakan tidak nampak kehodohan perilaku ini, walaupun pengumuman untuk aktiviti ini sudah di umumkan 3 minggu sebelumnya.Sudahnya, tugasan ini di muatkan pada beberapa kerat manusia lurus yang masih ada dan bersedia untuk di tunggangi.
Merasakan diri di pergunakan,aku perlu menzahirkan protes walaupun secara diam. Namun, untuk menjaga hati ketua jabatan yang keras di luar tetapi lembut di dalam, aku memberi alasan- perlu pulang ke kampung untuk urusan peribadi- muktamad !Secara tidak langsung, tindakan aku ini membuatkan beberapa rakan yang turut serta terlibat, menarik muka masam dan aku membuang jauh rasa kasihan pada mereka walaupun hati kecil aku mempunyai perasaan yang sebaliknya.
Dan untuk mengisi kekosongan waktu pada tarikh tersebut, aku membuat keputusan untuk pulang kekampung di Alor Setar, Kedah.Tambahan pula pada 07th Julai pekerja di berikan cuti ehsan dan dapat juga keluarga di kampung melepaskan rindu pada Syaamil yang sudah pandai berjalan. Apatah lagi, isteri pula sememangnya merancang untukbercuti pada hari Isnin,07th Julai.Oleh kerana keputusan yang di lakukan ini dalam keadaan tergesa-gesa tanpa merujuk pada pertimbangan akal, timbul sedikit masalah.Pertamanya, kereta yang tidak di servis, terutamanya tayar depan yang hampir"botak".Begitu juga dengan minyak enjin yang perlu di tukar, sedangkan aku kesuntukan masa.Keduanya , harga petrol yang sudah meninggi dan ini secara tidak langsung akan mengakibatkan poket aku sakit.Jadi, untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, aku membuat keputusan untuk balik ke Alor Setar dengan menaiki bas.Jimat dan sedikit selamat(insyaallah).Tergesa-gesa mencari tiket bas pada petang Jumaat(04th Julai) dan alhamdullilah masih ada lagi tempat kosong untuk perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar padapagi 05th Julai.Dengan huluran wang sebanyak RM66.00, aku berjaya memperolehi 2 tiket(Syaamil free) untuk perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar pada 05th Julai.Seperti selalu(barangkali), sistem pengangkutan awam yang masih tidak mahu berubah merimaskan aku, bila bas yang sepatutnya bertolak pada jam 09:30 pagi hanya sampai pada jam 10:00 pagi akibat pemandu yang takutkan JPJ!

Sepanjang perjalanan, Syaamil begitu gembira kerana inilah pengalaman pertamanyamenaiki bas.Aku dan isteri pula penat melayannya yang senantiasa minta di pegang menghadap cermin, memerhati pandangan luar.Hampir jam 05:00 petang, kami sampai di Alor Setar sambil ibu yang menguntum senyum tatkala melihat Syaamil yang tersengih manja.
Aku cuba memanfaatkan sebaik mungkin peluang bercuti kali ini, biarpun hanya mempunyai masa yang terhad.Berbual dengan datuk tentang perilaku ahli politik dan bersembang panjang dengan abah tentang Anwar Ibrahim dan politik Malaysia yang berombak ganas. Datuk masih juga sibuk memberi pendapat tentang kekalahan pasukan bolasepak Kedah di tangan Kuala Lumpur dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.Adik lelaki makin gila dengan motorsikal pemberian abah dan adik perempuan pula semakin padat mengatur persiapan untuk kenduri perkahwinannya. Adik yang paling kecil terlalu gembira bersama Syaamil.Ibu, seperti selalu akan menyediakan jerut maman dan daging rebus yang di cicah bersama air asam.
Ahhh…terasa berat hati meninggalkan kampung untuk pulang ke Shah Alam….dan aku terpaksa juga pulang ke Shah Alam pada 07th Julai ketika mata ibu bertakung dengan air mata yang menunggu masa untuk tumpah membasahi pipi.
Sisipan gambar sebagai kenangan...Aidilfitri nanti pulang lagi !

Tiket bas untuk balik, dari Alor Setar ke Shah Alam pada 07th Julai. Lihat pada harga RM40.00
JPJ dan LPKP buat apa??Tidooo...Z.zzzzz.zzzzzZZz..zzzz

Gambar kampung yang di ambil pada jam 08:10 pagi. Lihat, masih lagi di selubungi kabus....

Gunung Keriang.Gambar ini di ambil dari kawasan rumah aku sekitar jam 06:00 petang.

Sungai(lebih tepat lagi parit).Dulu, aku selalu mandi di sini dan abah akan bawa batang kayu.
Zuppp...zaaapppp...cabut!

Masjid Kg.Kota Kubang Tedoh. Di bahagian belakang masjid inilah arwah nenek(Telasiah @ Embon bt Jusoh) bersemadi.Duka buat nenek yang tidak sempat menatap cicitnya yang pertama.Aku gagal dalam menunaikan tanggungjawab dan impian nenek.
Nenek, antara orang yang paling rapat dengan aku.Aku selalunya akan bercerita segala masalah pada nenek dan dia juga antara orang yang paling gembira bila aku mengkhabarkan aku akan berkahwin.

July 02, 2008

Kassim Ahmad - Mencari Jalan Pulang

"Ini bukan sekadar sebuah memoir, tetapi wadah menyampaikan tentang kehidupan dan kebenaran berlandaskan islam. Kalau sejarah negara menonjolkan tokoh politik dan meminggirkann penulis, memoir ini mencatatkan Kassim turut menyumbang terhadap sejarah nasionalisme bangsanya. Kassim memberi banyak cerita menarik, pandangan mencabar serta ruang untuk diulas, baik dari segi fakta dan stail penampilannya- Dato Baha Zain, mantan Timbalan Ketua pengarah Dewan Bahasa & Pustaka, Ketua Dua GAPENA dan penyair terkenal Malaysia"

Bulan ini, saya tidak merancang membeli buku baru apatah lagi tidak terlintas langsung untuk membaca buku terbaru tulisan Kassim Ahmad sebenarnya.Bukannya kerana kemarahan atau status yang di labelkan kepada Kassim Ahmad-Anti Hadis-bukan kerana itu.Tetapi kerana henyakkan masa yang menyekat saya dari bersenggang membaca, apatah lagi Mahabbah pun masih berbaki untuk di sudahkan.Masih ada juga sebuah buku tentang Management yang perlu saya habiskan dalam masa terdekat ini dan saya sebolehnya mengelak dari menambah buku yang sedia ada.Saya perlu langsaikan dulu buku yang ada,harapnya begitu tetapi sekali lagi saya tewas dengan pujukan nafsu.Ketika menemani isteri ke Pasaraya Giant Seksyen 13 pada 27-Jun-2008,saya melarikan ke MPH untuk mengelak dari mengikut isteri menyorong troli.
Sedang asyik membelek-belek sebuah dua buku, saya terpandang - Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam- dan pada muka depannya tertera "Kata Penghantar oleh Tun Dr.Mahathir".Tanpa berfikir panjang-dan melupakan janji- saya terus membeli.
Sampai di rumah, saya terus membaca-kerana merasakan tertarik dengan sejarah Kassim Ahmad sebenarnya- lalu ia mula menjadikan saya semakin teruja.
Yang menariknya, inilah salah sebuah buku yang dapat saya habiskan dalam masa 1 hari!
Apa yang menariknya tentang buku ini??
Tiada apa, hanya kisah hidup Kassim Ahmad dan seperti biografi yang lain ianya melukis perjalanan hidup dari usia kanak-kanak sehingga ke waktu sekarang dan juga bagaimana beliau mencari ISLAM selama 36 tahun semenjak usianya 17 tahun.
Buku ini membawa saya untuk lebih mengenali siapa Kassim Ahmad yang kaya dengan falsafah dan perjuangannya dalam politik bersama PSRM dan juga penubuhan Jamaah Al-Qur’an.Secara tidak langsung, saya juga terjumpa siapa Tun Mahathir dan siapa Anwar Ibrahim.Walaupun buku ini "kosong"dan saya juga gagal mendapatkan apa yang saya mahukan, tetapi secara halusnya Kassim Ahmad berjaya mengubah persepsi tentang agama ISLAM yang saya anuti secara "baka". Benar juga seperti yang di tulis Kassim Ahmad bahawa kita membaca Al-Quran tanpa mengambil ikthibar dan memahami isi kandungannya.
Saya rasakan, tidak adil jika saya membuat sebarang ulasan terhadap buku ini, kerana setiap dari pembaca mempunyai pemahaman yang asing-asing dan mempunyai daya tafsiran sendiri, walaupun secara dasarnya saya merasakan Kassim Ahmad belum lagi pulang. Apapun, saya letakkan ulasan yang saya rasakan menarik terhadap buku ini yang saya dapati dari http://jelir.blogspot.com/2008/04/mencari-jalan-pulang-dari-sosialisme.html. sebagai ulasan terbaik bagi Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme Kepada Islam.

"Wajib dibaca oleh setiap warga Malaysia. Kisah seorang budak kampung yang cerdik yang berjaya memasuki Universiti Malaya pada tahun 50-an, seterusnya mengajar di School of Oriental and African Studies, Universiti London. Kembali ke tanahair, memimpin parti politik kiri. Memoir ini mengisahkan komitmen Kassim kepada keadilan, suatu pernyataan kesanggupannya mengorbankann kedudukan dan pangkat demi menegakkan kebenaran- Dr. Zakaria Ali, Dekan, Fakulti Seni Halus, Universiti Sains Malaysia"

June 25, 2008

Pak Samad Merajuk....

Ketika ingin bersarapan di pejabat pagi tadi, saya mencapai susunan akhbar The Sun yang berselerak untuk di jadikan alas meja(orang utara panggil saprah) di bilik makan yang sempit itu.

Beberapa helai dari akhbar tersebut saya hamparkan di atas meja dan selebihnya akan di jadikan bacaan ketika makan.
Saya terjumpa satu temuramah seorang wartawan dengan Pak Samad Said dalam ruangan Extra! Conversations dan amat menarik untuk di baca dan saya semakin sedar yang saya ketinggalan zaman kerana tarikh akhbar tersebut adalah pada 06-Mac-2008!
Pak Samad meluahkan kekalutan sastera Malaysia yang terikat dengan fatwa yang bukan-bukan dari pemerintah dan beliau secara jujurnya(saya rasakan) menyifatkan pemerintah sekarang ini telah memenjara dan menghina Sasterawan Negara dengan menyifatkan karya SN adalah karya terlalu berat untuk di jadikan bacaan anak-anak sekolah.Beliau juga mengatakan ketika zaman Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pelajaran(Pendidikan), saudara Anwar prihatin dan menghargai setiap karya SN dan begitu juga dengan Tun Mahathir yang mengirimkan buku kepada Pak Samad untuk di baca.
Sesudah kenyang dengan sebungkus nasi lemak, saya melayari laman web The Sun dan terjumpa temuramah tersebut untuk di kongsi bersama....http://www.sun2surf.com/article.cfm?id=20962



Malay lit under threat
National Laureate Abdul Samad Muhammad Said, better known as A. Samad Said, has 65 books to his credit, from short stories to poetry. His popular novels include Salina, Hujan Pagi, Cinta Fansuri and Langit Petang. The state of serious Malay literature in the country, however, makes the writer sad, angry, and frustrated. He tells Bissme S. he has given up all hope of it getting the recognition and support it deserves.


June 24, 2008

Kenapa saya menolak Perdana Menteri ke 5?

Merpati putih sebagai simbol kebebasan....

Pernah saya di tanya seorang rakan, kenapa setiap kali bila bercakap tentang Dato’Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, saya seringkali mempertikaikan keupayaan beliau selaku pemimpin hingga seakan sudah tiada manfaatnya beliau menjawat jawatan selaku Perdana Menteri.
Mudah untuk saya menjawab melalui ruangan ini, supaya semua pembaca tahu pendirian saya mengenai Pak Lah dan saya juga tidak pernah meminta sesiapa menyokong atau mengiyakan pendapat saya ini, bahkan saya juga melarang sesiapa juga dari menidakkannya kerana ianya adalah pendirian saya, sebagai hamba yang merdeka dan mempunyai akal untuk berfikir dan membuat keputusan.Pendapat saya tentang Pak Lah:-
1- Perdana Menteri Malaysia yang paling lembab.
2- Kedaifan dan kesengsaraan rakyat harus di pertanggungjawabkan kepada beliau kerana dasar-dasar ekonomi yang di ilhamkan oleh beliau tidak memberi pulangan kepada rakyat sepanjang kekuasaannya dari 2003 hingga ke hari ini(2008)
3- Kekalahan mengejut Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dalam PRU 12 harus di tanggung oleh Pak Lah selaku pemimpin nombor 1 dalam BN dan UMNO.
4- Kekalutan yang berlaku di dalam UMNO sekarang juga adalah kerana ketaksuban Pak Lah memperjuangkan agenda yang entah apa dan untuk siapa.

Di samping itu, kegagalan beliau mempertahankan setiap kenyataan yang di keluarkan telah menghakis saki baki kepercayaan saya kepada Pak Lah untuk terus menerajui negara.Antara pembohongan yang di buat Pak Lah adalah keengganannya meneruskan misi Tun Mahathir merealisasikan jambatan bengkok antara Malaysia dan Singapura. Saya 'cedok'tulisan dari blog Datuk Ruhanie Ahmad @ kuda-kepang.blogspot.com ini sebagai rujukan untuk anda semua nilaikan.

Kita Hendak Jambatan Baru Ganti Tambak Johor
KUALA LUMPUR 10 Feb. 2006 -
"Pendirian kita mengenai Tambak Johor ialah kita hendak jambatan (baru) sama ada bengkok, lurus atau herot,'' kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tegas Perdana Menteri, Malaysia memerlukan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

dan dalam masa kurang dari 100 hari....ini pula kenyataan yang di keluarkan beliau...

Jambatan Batal Elak Implikasi Undang-Undang
KUALA LUMPUR 12 April 2006- Kerajaan hari ini membuat keputusan menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia-Singapura. Serentak dengan keputusan itu, kerajaan turut memutuskan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit pembinaan jambatan itu dengan republik tersebut.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm


Harus juga di ingat, saya bukan pro pembangkang dan juga bukan seorang yang pro kerajaan . Saya adalah manusia yang bebas menentukan pilihan mengikut kepercayaan saya kepada pemimpin yang saya rasakan mampu membela nasib rakyat dan memastikan Malaysia berdiri sebagai sebuah negara berdaulat.
Apapun, kepada sesiapa yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan saya, maafkan saya dengan keceluparan dan kebiadaban yang semakin tak terkawal dalam diri saya sendiri.Segala tulisan ini lahir dari kekesalan dan kekecewaan yang ada pada saya dan saya perlu jujur menyatakan pendapat.

June 23, 2008

Piala FA- KEDAH lagi.....

Foto dari http://azuwanibrahim.com
Ahhh....minggu ini mungkin minggu yang sedikit tenat.Lambakan kerja yang tertangguh kerana minggu sebelumnya aku terlantar 3 hari kerana demam panas dan tonsil yang membengkak dan menjejaskan selera makan.
Setelah sedikit sihat, aku kembali menyambung kerja dan melayan karenah manusia yang pelbagai ragam.
Perancangan awal, hujung minggu aku akan ke Stadium Shah Alam untuk menyokong pasukan bolasepak negeri kelahiran aku, Kedah. Tapi sekali lagi hampa, -demam-kudrat aku di rampasNya seketika dan terlantar lagi di rumah.Isteri membuat keputusan dan kami pulang ke Kuala Selangor pada tengahari Sabtu(21-June-08).
Aku hanya mampu menonton siaran langsung perlawanan akhir bolasepak Piala FA antara Kedah dan Selangor dan dikelilingi oleh 8 orang penyokong setia Selangor!!
Untuk menjadi menantu yang baik, aku tak banyak bersuara walaupun keinginan untuk meluahkan kegembiraan dan keghairahan itu sentiasa ada , hanya sesekali menjeling pada isteri.Akhirnya, apa yang tercatat di media perdana menjadi nyata.KEDAH muncul juara dan secara tidak langsung hati yang sakit kerana pengulas veteran yang lebih arif dari pengadil yang berada di atas padang pun terubat.Sungguh , aku betul-betul menyampah dengan pengulas veteran dari RTM malam itu.Dia terlebih pandai, terlebih segalanya dalam memberi sokongan kepada pasukan Selangor.
Elok rasanya jika dia menjadi jurulatih pasukan Selangor yang kecundang di laman sendiri dengan jaringan 3-2 walaupun pasukan Kedah hanya membariskan pemain muda.
Ok...KEDAH Juara!!
Dan isteri yang terdiam tiada terkata!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...