October 18, 2008

Secebis kisah......

Selalunya, bila berhenti menulis untuk seketika, kerungsingan untuk memulakan kembali tulisan itu sentiasa ada walaupun banyak cerita yang ingin di kongsi tapi cetusan idea kadang-kadang terhenti,tersekat-sekat dan sangkut pada takat yang tertentu. Menyorot kembali beberapa ketika yang terlepas, antaranya pasukan Kedah membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua berturut-turut dan saya kehilangan suara menjerit gembira di Stadium Bukit Jalil sedangkan isteri di rumah masam mencuka, Selangor tewas tanpa di duga.

Datangnya Ramadhan, kemudiannya ke Syawal.Dan menjelang Syawal, saya sedikit sibuk.Beberapa tugasan yang perlu segera di langsaikan sebelum cuti panjang menyambut Aildilfitri kerap kali membataskan waktu untuk membaca, apatah lagi untuk melayari laman web.Ramadhan kali ini benar-benar sendat dan membuatkan diri terasa benar keletihan, apatah lagi setelah menjamah juadah berbuka puasa.Perut yang pada mulanya kosong, mula terasak dengan aneka juadah sehinggakan rakaat Maghrib menjadi semakin azab.Setelah berehat dan menikmati Buletin Utama dan sesekali beralih ke Berita Bernama, masa pula pantas membawa ke terawih yang terasa berat untuk di lepaskan.Kembali dari terawih, membuka beberapa lembar akhbar harian, mata mula kantuk dan perlu segera di jamu dengan bantal dan tidur yang enak sebelum bangun mengalas perut, bersahur.
Rutin di antara tugasan harian sebagai pekerja dan tuntutan Ramadhan benar-benar membuatkan diri terasa sibuk.Barangkali, inilah ujian dariNya.Apapun, syukur kerana Ramadhan kali ini tidak tergugat dengan karenah kesihatan yang berbagai.
Ketika Ramadhan semakin hampir ke penghujung, isteri mula sibuk dengan persiapan Aildilfitri.Sepasang baju Melayu warna coklat untuk saya dan Syaamil, juga sedikit biskut untuk di bawa pulang ke Kuala Selangor dan kampung saya di Kedah.Sederhana tetapi bermakna.
Sehari menjelang raya dan sebelum pulang ke Kuala Selangor, malamnya saya sempat merayau-rayau dengan seorang rakan di “Uptown”Seksyen 24 Shah Alam.Buah tangan yang di bawa pulang, sedikit memeranjatkan isteri esoknya.Bukan baju atau sepatu, tetapi sebuah buku yang sudah lama ingin di beli tetapi tidak pernah bersua di toko buku.Ketika rakan saya sibuk mencari dan menguji beberapa jenis mangga dan anak kunci, saya teralih ke gerai yang menjual buku agama dan terjumpa “Ahmadinejad – Singa Baru Dunia Islam.”Tanpa banyak persoalan, wang di hulur dan buku ini bertukar tuan.Kata isteri esoknya “boleh buat khutbah hari raya”. Kali ini, saya menyambut Aildilfitri di kampung isteri, Kuala Selangor.Kegersangan untuk merasa ketupat pulut dari air tangan ibu sentiasa menghambat sepanjang hari raya pertama.Mungkin tekak saya belum serasi dengan lemang dan ketupat nasi.Saya lebih berselera menikmati ketupat pulut daun palas yang di cicah dengan kari daging.
Hari raya ke-2, seawal jam 7 pagi saya bertolak balik ke Alor Setar sebelum singgah di Ipoh untuk beraya dengan bapa saudara, seorang anggota polis yang banyak berjasa juga isterinya seorang guru yang rajin bercerita. Ibu juga menelefon beberapa kali sepanjang perjalanan kami merentasi sempadan 3 buah negeri, beberapa kali juga talian terputus akibat tiada liputan atau isyarat yang kurang jelas di sesetengah kawasan sepanjang lebuhraya Utara Selatan.Kembali menelefon ibu, dan kedengaran pula suara riuh gelak ketawa.Rupanya, ibu berada di Majlis Perjumpaan Keluarga Tok Nai Din, asal usul keturunan saya yang di warisi dari arwah nenek.Tahun lepas, walaupun nenek meninggal dunia seminggu sebelum Aildilfiti, ibu tetap juga bertandang ke majlis perjumpaan keluarga besar ini yang kebiasaannya di adakan pada hari raya ke-2 dan tradisi ini jarang sekali di lepaskan nenek semasa hayatnya ada.Rata-rata, kaum keluarga dari keturunan Tok Nai Din tidak pernah bertemu, hanya perjumpaan tahunan inilah tempat pertemuan dan bertukar cerita.Dari tidak mengenali sesiapa, ianya beransur dan bertingkat lalu mengeratkan ikatan silaturahim dan semakin erat dari tahun ke tahun.Saya sendiri samar-samar tentang asal usul Tok Nai Din.Apapun, wujud juga perasaan bangga kerana rata-rata yang datang dari keturunan Tok Nai Din tidak pernah berfikiran sempit tentang status dan darjat setiap ahli keluarga yang bertemu di majlis perjumpaan ini.
Alhamdullilah, perjalanan pulang ke Alor Setar lancar dan kami sekeluarga sampai ketika jarum jam menghampiri pukul 4 petang.
4 hari berada di kampung,mengunjungi beberapa saudara terdekat dan mendengar cerita tentang hasil padi yang tidak menjadi dan merasa betapa saya terasa benar kehilangan nenek,hanya sempat membaca Al-Fatihah di pusaranya, saya pulang ke Shah Alam pada hari raya ke 5, ketika berpusu-pusu kenderaan dari Utara menghala pulang ke ibu kota.Bertolak dari Alor Setar ketika Subuh masih muda dan berasak dengan ratusan(barangkali ribuan)kenderaan yang menghurungi setiap hentian sepanjang lebuhraya, saya selamat juga sampai di Shah Alam setelah penat memandu selama hampir 8 jam.Berehat dan esoknya perlu kembali ‘punch card”masuk kerja!
Hambatan kerja tidak menghalang dari saya dan isteri untuk menganjur rumah terbuka.Secara kecilan, kerana saiz rumah yang sedikit sempit, kami menganjurkan rumah terbuka pada raya ke-10 dan sambutannya membuatkan mee kari dan lontong tidak bersisa.

Walaupun dalam suasana Aildilfitri, beberapa peristiwa negara tidak pernah saya tinggalkan.Episod kurang ajar HINDRAF di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri,juga mungkin kekadang terasa lucu bila Ketua Menteri Melaka "tersilap" atau menyangka Shah Rukh Khan dari salasilah Sultan Mansur Shah kerana gelaran Datuk yang yang akan di anugerahkan kepada warga India itu,tidak lupa juga Anwar Ibrahim dengan mainan politik "bom jangka" menjadikan Malaysia semakin meriah dengan aneka ragam isinya,Pak Lah yang tergesa-gesa menukar portfolio dari Menteri Kewangan ke Menteri Pertahanan ketika ekonomi dunia semakin meruncing membuatkan saya semakin mengingati tulisan Peter Drucker dalam bukunya, “Post Capitalist Society”. Tulisnya “that knowledge has become the recourses, rather than recourses, is what makes our society post capitalist. It changes, fundamentally, the structure of society. It creates new social dynamics. It creates new politics.
Keadaan ekonomi juga desakan dari akar umbi UMNO telah membuatkan Pak Lah bersegera untuk berundur dari politik.Harapan saya secara peribadi, biarlah Malaysia ini mengalami perubahan dari struktur pemerintahannya juga seboleh mungkin mengekalkan dasar “buy British last” yang di asaskan oleh Tun Dr.Mahathir.Pemimpin masa depan Malaysia perlu mengemukakan gagasan besar mengenai politik antarabangsa atau menelanjangi kepuraan kuasa besar.Pemimpin masa depan Malaysia juga perlu menyatakan pandangan secara berterus terang tanpa ada rasa takut terhadap kuasa kapitalis atau sesekali mencabar negara yang bangga dengan status “superior’.Saya menunggu untuk melihat pemimpin masa depan yang seberani dan selantang Tun Dr.Mahathir, yang telah mengisi kekosongan yang di tinggalkan pemimpin dunia ketiga seperti Tito,Nehru,Nasser atau Sukarno juga Nyerere.Pemimpin Malaysia harus kembali bersuara di pentas antarabangsa setelah 5 tahun membisu.Kita barangkali sebuah negara kecil, tetapi kita perlukan pemimpin yang beridealisme dan lantang bersuara, bukan hanya untuk pembangunan Malaysia dan rakyatnya tetapi juga sebagai suara untuk negara Asia.Kita juga perlu menghindari dari memilih pemimpin yang kuat mengadu dan mengharap belas kasihan dari negara luar,terutamanya dari negara Barat.Malaysia wajib di urus tadbir mengikut acuan budaya Timur, tatasusila bangsa yang bersantun dan beradab.Yang merimaskan saya, apakah nanti akan ada pemimpin Malaysia yang akan di ingati seperti rakyat Turki mengingati dan menganjungi Mustapha Kamal Attarturk.Sebuah negara maju dan moden tetapi rakyatnya kian menjauhkan diri dari Islam.Moga di jauhkan Allah segala malapetaka itu.Aminnnn.....



*p/s

Tiba-tiba teringatkan pula perbualan saya dengan seorang rakan,penyokong kuat parti "mata lebam"yang menyifatkan penahanan seorang ADUN Perak oleh BPR sebagai tidak berasas walaupun ADUN tersebut "tersalah cakap" tentang rasuah seks.
Kata rakan tadi"apa pasal talak tahan itu olang yang kasi free itu pompuan,dia pun manyak salah.Itu olang yang ambik itu pompuan talak salah.Itu benda,sapa-sapa mesti angkat punya laaa,itu ADUN bukan malaikat maaa".Sambungnya lagi , "lu pun, kalau wa kasi free pompuan, musti lu pun angkat juga,bukan?"
Saya menjawab antara dengar dan tidak "lu cakap itu parti anti rasuah, tak makan rasuah.Tapi bila lu cakap, saya ada sikit paham la.Lagi satu, saya punya agama cakap,itu benda cuma boleh buat dengan isteri saja tau,kalau bukan dengan isteri, nanti tuhan marah,dosa besar".
Rakan saya tadi ternganga....

lu pikir le sendiri!!!

3 comments:

Zol Naza 1777 said...

Bro.dah syok melayari lu punya ''secebis kisah''cite lu bikin gua pening..cite hari raya dah change
g politik pulak..apa ni bro..bertambah gua bengang buat open house x ajak..best friend kote..camnapun gua respect lu..patutnya keje ngan majalah playboy bukan nya kat office gersang tu..

cikgu said...

assalamualaikum,
terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana telah menghubungkan blog ini dengan blog keluarga tok nai din. bagi saya ini satu langkah yang kecil tetapi berganjak jauh kerana ia dapat membina jalinan silatul rahim keluarga ini satu hari nanti, insyaallah. saya seorang sememangnya tidak dapat pergi jauh kerana kekerdilan tetapi pautan dari blog-blog lain akan membantu menyebarluaskan tentang ujudnya keluarga tok nai din ini. Saya rasa bangga dengan diizinkan Allah untuk menghadiri perjumpaan keluargasetiap tahun kerana ia tuntutan agama dan Nabi Muhammad S.A.W amat suka dengan perbuatan ini.

semoga kita dapat bertemu dalam perjumpaan keluarga akan datang atau mungkin dalam tempoh terdekat ini.

assalamulaikum.

saidun said...

assalamualaikum.
kadang-kadang dunia dan pemikiran semakin sempit dan kadang-kadang lebih baik menyendiri mengahadapi kegelojohan makhluk yang bernama manusia.bagaimana pun aku bersyukur mendapat sahabat yang menyedarkan aku ketika teralpa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...