May 30, 2009

Berubah...

Minggu lepas, saya terlantar lemah 2 hari.Suhu badan berada pada paras tinggi.Tekak pula begitu perit dan pedih.Mencuba untuk menjamah nasi, tetapi gagal menelan, tekak begitu terseksa peritnya.Saya mengalami radang tonsil yang serius dan selalunya di susuli dengan demam yang teruk.Kerapkali juga di nasihatkan doktor untuk menjalani pembedahan dan di nasihatkan juga untuk berhenti merokok. Tetapi kedegilan saya sering menewaskan nasihat doktor.
Setelah beberapa kali di pujuk isteri, saya mengalah dan segera ke klinik.
Hari itu, tuan doktor yang berjanggut sejemput dan berkumis nipis menasihati saya dengan lembut,katanya "Encik, minggu depan sila datang untuk confirm tarikh "dissection".
Jawap saya, "Doktor, saya sekarang sibuk sangat".
Doktor tadi mengangguk-angguk. Katanya ,"penyakit tak pernah sibuk encik...."
Dan denyut pedih tonsil kian kencang, turut menggoncang sekotak Lucky Strike di dalam poket baju.....

Meminjam kata-kata Ross Cooper," The only way to change our lives is by changing our minds."
Emmmm...nanti saya fikirkan untuk berubah....

May 19, 2009

SEMUA SAMA SAJA.....

Saya di besarkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai teras politik UMNO yang kukuh.Permulaan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara sentiasa menjadi perbualan harian yang tolong menginsafkan saya keperitan bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang di hormati.Liku-liku politik yang saya kutip dan jadikan pengalaman awal banyak mengajar saya apa itu pengorbanan dan apa itu erti "terima kasih".
Pada suatu sisi yang berbeda, ianya meransang jiwa muda saya.Ketaksuban pada seseorang ahli politik juga cukup menebal, mencantas ketaksuban pada intipati perjuangan parti politik itu sendiri.Kadang-kala, tidak berganjak sedikitpun, walaupun di dapati ahli politik bersikap menduakan parti yang di wakilinya.Waktu itu, ahli politik lebih penting dari parti politik.
Sesudah terumbang ambing di antara ahli politik dan parti politik, setelah agak lama terbuai dan hanyut dengan tafsiran sempit, saya mula mengesani suatu ruang yang agak kabur sebelumnya. Wajah hodoh yang di sembunyikan di sebalik topeng keindahan, suara merdu yang di laungkan dari rongga penuh kahak.Sesekali, ianya menjelikkan.
Menyedari bahawa politik sudah semakin hilang moralitinya, saya mengambil jalan pintas dengan tidak lagi menyokong mana-mana parti politik dan mula menerapkan ke dalam jiwa saya bahawa saya akan menyokong mana-mana politik yang memberi keutamaan pada agama, bangsa dan negara saya.Yang penting, kemakmuran negara sama-sama di rasai dan di kongsi.
Kira-kira sebulan yang lalu, saya mengingatkan pada seorang rakan yang agak lama menetap di Kanada tentang cuaca politik Malaysia sekarang.Saya katakan pada beliau bahawa politik Malaysia umpama menonton wayang kulit.. Saya terangkan padanya bahawa cerita wayang kulit yang banyak cerita ranting telah dikembangkan sebagai pertambahan atau pelanjutan untuk hikayat Ramayana, termasuk penambahan motif-motif daripada roman kesateriaan Panji Jawa, peningkatan watak-watak yang kurang penting menjadi watak-watak yang utama, atau perekaan watak-watak yang baru.Dia mengangguk tanda faham-atau masih kabur- tentang apa yang sedang berlaku kepada budaya politik di Malaysia sekitar awal abad 21 ini.
Sebagai balasan tentang kefahaman saya tadi, rakan saya tadi menulis email yang ringkas kepada saya kira-kira 2 minggu lalu, ketika politik di Perak masih lagi terkontang kanting.Dia menulis :-

Bila berhujah, katanya "KAMI PEMBELA RAKYAT!".Tapi.......
Lu maki dia, dia maki lu.Lu maki lagi dia, dia lagi maki lu.Lu maki lagi, dia maki lagi.
Lu sama dia...sama-sama maki.
Lu naik, dia turun.Dia naik, lu turun.Lu naik lagi, dia turun lagi.
Lu panjat, dia tarik.Dia panjat, lu tarik.Lu lagi panjat, dia lagi tarik.
Lu saman dia, dia saman lu.Lu saman lagi dia.Dia lagi saman lu.Lu saman lagi, dia saman lagi.
Asyik maki, asyik naik turun, asyik panjat tarik,asyik saman menyaman....apa nak jadi?Bila nak selesai?

Lu cakap "PEMBELA RAKYAT!", tapi lu bela siapa?
Rakyat?
Poket?
Maruah?
Agama?


Saya tolong jawab...
Bila ahli politik terlalu galak berpolitik, rakyat ternganga...
Makanya...
baik BN,PAS,KEADILAN dan DAP...
semua SAMA SAJA!

May 18, 2009

Siakap Senohong...


Pantun Melayu dulu-dulu...

Siakap senohong
gelama ikan duri
bercakap bohong
lama-lama jadi pencuri.

Itu pantun dulu-dulu...

Sewaktu menunggu jarum jam menghampiri 5:30 petang pada suatu hari yang lengang, seorang rakan sekerja yang memang terkenal dengan kedegilan dan semangat kental sebagai kaki pancing, sudah hampir setengah abad usianya berpantun begini kepada saya :-

Siakap senohong
gelama ikan duri
bercakap bohong
lama-lama boleh jadi menteri....

Dan dia ketawa terkekeh-kekeh, menampakkan beberapa batang gigi yang sudah hilang dari gusi.

May 06, 2009

Tanah Dua Relung......

Petikan dari buku Surat daripada Dr.Mahathir tulisan Zainuddin Maidin.(rujuk halaman 36).
"Negara semakin maju,perusahaan bertambah, bandar semakin besar, cukai semakin bertambah dan barang semakin tinggi harganya. Orang lain berubah, masing-masing berpelajaran tinggi dan berkebolehan. Kemajuan negara selaras dengan kemajuan orang bandar tetapi petani masih dengan tanah dua relung, tanam dua kali, hutang dua kali ganda."

Tulisan di atas adalah sebahagian dari kertas kerja "Peranan Belia Dalam Perkembangan Ekonomi Pertanian" yang di bentangkan pada 5 Mei 1972 oleh Tun Dr.Mahathir.

Menariknya, sehingga ke hari ini,majoriti petani di kawasan utara masih lagi "tanah dua relung, tanam dua kali, hutang dua kali ganda".
Apa yang Pak Menteri lakukan untuk membantu petani sejak tahun 1972 ?
Berpolitiklah untuk membantu, bukan membatu.Pak Menteri perlu banyak buat kerja, bukan banyak buat harta.Jawatan politik di berikan oleh rakyat bukannya di angkat mengikut darjat.

May 05, 2009

Serabut...

Hidup sekarang banyak sekali himpitannya.Saya,manusia kerdil di tengah-tengah gelodak jiwa dan alunan dunia.

Bebanan tugasan harian kadang-kadang tak terlayan.
Pernah terfikir untuk menulis "Resign Letter", tapi hati kecil pantas mengingatkan ; "lu belum kaya".

Kesihatan yang terumbang-ambing dek kurangnya aktiviti riadah.
Isteri pula menyindir tajam ; "asyik kerja-kerja-kerja.....".

Rak buku yang sudah berdebu,tetapi masih bernafsu membeli buku baru.
Sudah dapatkan buku Saya Pun Melayu(Zaid Ibrahim) dan juga Surat Daripada Dr.Mahathir(Zainuddin Maidin).Tertanya pada diri sendiri "bila nak baca?"

Ada akal?
Ah...serabut!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...