July 31, 2008

Pindah...




- Saya akan berpindah ke Bandaraya Shah Alam, ke tengah-tengah jerit dan riuh kenderaan juga penghuninya yang tidak pernah letih mengejar rezeki -

Ini mungkin tulisan saya yang terakhir yang di tulis dalam bilik kecil kediaman saya di Taman Bukit Subang.Minggu ini juga minggu terakhir saya menikmati teh tarik dan roti canai atau kekadang bertukar selera menikmati sebiji capati berkuah kari kambing di restoran mamak berhampiran rumah.Minggu ini juga, mungkin minggu terakhir saya berjemaah Maghrib di Surau Al-Amin, Taman Bukit Subang dan mendengar laungan azan “Semerah Padi”yang keluar dari tekak Bilal Ishak.
Perasaan sedih dan sayu mudah bertamu setiap kali saya berdiri di jendela bilik kecil ini,menghadap parking dan memerhati bintang yang segan berkelip.Di jendela ini, kerap kali perasaan saya tertumpah.Naluri kelakian saya kerap bercerita di birai tingkap ini.Saya bercerita dalam diri sendiri, tanpa suara.Selalunya, saya berdiri menghadap tingkap yang terbuka sambil menghembus asap rokok.Dalam kepala, berbagai cerita yang ada dan cerita-cerita itu akan keluar bersama asap rokok yang menerobos keluar melalui tingkap.
Banyak kenangan di kediaman Taman Bukit Subang ini.Bagaimana susahnya saya dengan isteri bergerak ke tempat kerja kerana kereta tersadai di bengkel.Mujur seorang rakan yang pemurah sudi menumpangi saya dan isteri ke tempat kerja masing-masing dan petangnya terpaksa pulang menaiki teksi dengan tambang yang sengaja di lipat gandakan..Malamnya pula. saya merasa bagaimana perasaan saya meruntun ketika mendukung Syaamil yang ketika itu berusia 2 bulan melintasi beberapa blok pangsapuri dalam hujan renyai sambil isteri memayungi dari basah hujan, ketika mengambil Syaamil pulang dari rumah pengasuhnya.Esoknya, Syaamil demam dan saya gagal lagi untuk membawanya ke klinik kerana tiada kenderaan. Pengangkutan awam langsung tiada dan untuk mengelak dari peristiwa ini berulang, saya membeli sebuah motorsikal sebagai persediaan jika kereta tersadai lagi di bengkel.
Di rumah ini juga, saya dan isteri banyak berkongsi cerita,gelak tawa yang akhirnya isteri melahirkan Syaamil.Semuanya bermula di sini.Kasih saying kami bercambah, juga di sini.Kasih sayang yang tertumpah pada Syaamil juga bermula di sini.Melihat Syaamil yang hanya mampu menggerak-gerakkan kepala kiri kanan, tangan yang mencakau angin, melihatnya tanpa henti mencuba merangkak yang seringkali berakhir dengan tangis dan akhirnya sekarang berjalan sambil melambai tangan mengucapkan ‘bye”.
Aduh…perit benar untuk meninggalkan rumah ini.Walaupun tidak seluas mana, tapi ianya bermakna.Bukan saja pada saya, tetapi juga pada keluarga mentua saya.Seorang saudara terdekat sebelah ibu mentua saya yang terpisah hampir 10 tahun, akhirnya dapat di temui di sini.Rupanya, jiran yang sering menegur setiap kali saya pulang dri kerja itu saudara sebelah ibu mentua!
Dan , rumah bernombor 04-02-27 hanya akan menjadi kenangan…..

July 26, 2008

Pesta Buku Selangor 2008

Awal pagi, sekitar jam 08:30 lagi saya sudah bersiap,mengenakan jeans lusuh dan t-shirt putih,sambil menghabiskan sebatang rokok sambil menunggu isteri yang sedang sibuk menyiapkan anak, berbedak dan sedikit kalut ketika menyarungkan pakaian.Syaamil memang begitu sejak kebelakangan ini, kerap kali berperang dengan ibunya selepas mandi kerana dia terlalu sukakan air dalam dingin pagi.
Hampir jam 09:00 pagi, kami bertiga menjengah sarapan di restoran mamak.Saya dan isteri masing-masing memesan sebiji roti telur setiap seorang dan teh tarik untuk saya, sementara isteri pula cukup senang meneguk teh ais.
Habis bersarapan dan membaca beberapa helai muka surat Berita Harian, sekali lagi dalam keributan, kami terus menuju ke Pesta Buku Selangor 2008 yang di adakan di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Sampai di sana sekitar jam 10:30 pagi dan kebanyakkan gerai telah menjadi tumpuan orang ramai. Saya mengambil peluang menjelajah ke beberapa gerai sambil membelek buku-buku, sambil mendukung Syaamil.Banyak sekali yang ingin di beli, tetapi bila memikirkan saya masih mempunyai 4 buah buku yang belum terusik, keinginan itu terpaksa di lupakan. Isteri pula sibuk ke gerai yang menjual buku dan bahan pembelajaran kanak-kanak.Beberapa buku kanak-kanak dan vcd pembelajaran, yang saya kira dibelinya untuk Syaamil di kendong bersama.
Sampai di gerai GB Enterprise, saya terpandang buku tulisan Farish Nor , Di Balik Malaysia: dari Majapahit ke Putrajaya ,yang baru saja di beli secara "online" minggu lepas dan sedikit terkilan kerana GB Enterprise menawarkan 30% diskaun untuk buku tersebut.Hati pun berkata “ambil hang, kelam kabut sangat nak beli,kan dah rugi”.
Saya cuma membeli sebuah buku dari GB Enterprise , Merdeka Rakyat & Keadilan tulisan Syed Husin Ali, sambil mendengar isteri berkata “ sejak bila sokong PKR ni?” Jawap saya – sengih- tanpa suara.
Berjalan lagi dan singgah di sebuah gerai yang mempunyai seorang wakil jualan yang cantik berbaju kurung.Memegang Hati Muda Bulan Muda : Kumpulan Cerpen, 1954-1992 / A. Samad Said ; diselenggarakan oleh Othman Puteh yang di susun bersama beberapa buku keluaran DBP.Memandang-mandang , ambil, letak.Saya kalah.Akhirnya Hati Muda Bulan Muda bertukar tangan bila wang di hulurkan.
Saya berkesempatan singgah di gerai Al-Ameen,sambil membelek-belek(belek lagi!) novel Faisal Tehrani juga meluangkan masa yang panjang di gerai PTS.Beberapa buku terbitan Wira Bukit juga ada di gerai PTS.Lalu teringatkan abang Helmy Samad.Mana pula gerai Wira Bukit?
Pantas jari menekan butang menu di telefon bimbit.Masuk ke ruangan “Messages”, lalu menaip “ Wira Bukit tak sertai Pesta Buku Selangor ke?”.
Hampir sejam kemudian, sambil menikmati hidangan tengahari-nasi padang- telefon saya berderik berbunyi, ada pesanan sms yang masuk. Dari abang Helmy.”Tak.PTS wakil kami.Anda tak ke sana?”.Kemudiannya saya menjawab ringkas, “saya sekarang di pesta buku.Sempat singgah di gerai PTS”.

Kaki mula lenguh dan mata mula layu setelah nasi memenuhi ruang perut.Syaamil pula mula meragam. Isteri lantas mengajak pulang, ketika jam menghampiri ke pukul 01:00 petang. Dalam perjalanan untuk mengambil kereta yang di letakkan di SACC Mall(bersebelahan Komplek PKNS), saya sempat menjenguk abang Helmy Samad yang sedang menikmati teh tarik bersama beberapa rakan(keluarga) di Only Mee.Cuma sempat berbual tidak sampai 20 patah perkataan kerana Syaamil mula menunjuk lagak “hero”nya.Saya beralah, segera pulang.
Pesta buku ini tidaklah semeriah Pesta Buku Malaysia yang di anjurkan di PWTC saban tahun, syarikat yang menyertai pesta ini pun tidaklah seberapa , tetapi dalam serba kesederhanaan itu, keterujaan pengunjung tetap ada. Ini menunjukkan yang masyarakat sekarang sudah mula menggemari buku dan dahagakan ilmu.Pesta buku yang sebegini, seharusnya di angkat menjadi salah satu rutin wajid dalam calendar Malaysia. Keterbukaan media cetak adalah sesuatu yang maha penting bagi memartabatkan bangsa dan seterusnya membolehkan rakyat menjadi bangsa Malaysia yang berilmu.



July 18, 2008

DEBAT...hebat???

"Debate is masculine, conversation is feminine"
-Amos Bronson Alcott-
Idea untuk mengadakan debat antara Menteri Penerangan, Shabery Chek pada awalnya di lihat seakan gagal dan wujud juga sedikit kebimbangan jika debat ini di batalkan pada saat-saat akhir memandangkan situasi Anwar Ibrahim yang bergelut dengan isu seks luar tabii.Akhirnya, dengan kerjasama AgendaDaily, debat antara Shabery Chek dan Anwar Ibrahim ini berjaya juga di sempurnakan.Shabery juga pada mulanya di nasihatkan agar membatalkan debat ini oleh golongan pro Pak Lah-mungkin bimbang seandainya Shabery terkapai dan lemas dalam hujah Anwar-tetapi di atas semangat "revolutionist", Shabery berkeras dan debat yang julung kali di adakan di Malaysia di pancarkan secara langsung di kaca televisyen.Datuk Johan Jaafar mencari pengantara dan dua orang panel di beri peluang untuk memberikan soalan kepada pendebat.Saudara Zulkifli Sulong mewakili Anwar Ibrahim dan Dr.Nordin Kadri mewakili Shabery Chek. Nah, gelanggang di sediakan dan pertarungan pun bermula!
Saya suka mengatakan bahawa Anwar Ibrahim masih lagi mempunyai pesona selaku pemidato hebat.Setiap butiran yang disampaikan malam itu, jelas menepati intipati "Hari Ini Memerintah: Esok Minyak Turun".Hujah Anwar sepanjang 3 segmen itu di bebankan dengan fakta,walaupun jika di perhalusi lagi fakta-fakta tersebut boleh di sangkalkan ketulenan dan keikhlasannya.Namun, debat di tangan Shabery tidak berupaya menepis kuisan fakta dari Anwar. Jelas kelihatan , Shabery lebih suka menceritakan siapa Anwar- dari mempertahankan kerajaan- walaupun rata-rata audiens yang berada di dewan tersebut juga yang menonton di televisyen sudah kenal dan arif tentang peribadi Anwar.Shabery berulang kali menegaskan kenaikan harga minyak adalah di sebabkan kenaikan ketara harga petrol di pasaran dunia tanpa menegaskan langkah-langkah yang di ambil oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat apatah lagi untuk menurunkan harga petrol.Anwar pula, dengan gayanya yang sentiasa memukau melemparkan hujah-hujah yang mampu membuat pengundi atas pagar memberi undi untuk beliau jika Anwar masih berkesempatan untuk menjadi calon pilihanraya.Tidak saya nafikan, hujah Anwar malam tersebut sedikit membuat saya ternganga, apakah betul ini langkah yang bijak untuk saya mengatakan Anwar seorang pakar ekonomi? Anwar juga nakal dalam hujahnya.Antara yang masih kukuh di minda saya adalah gurauan kasarnya terhadap kerajaan yang kedekut untuk mengeluarkan RM1 billion bagi menurunkan harga minyak sekitar RM0.50 sen tetapi cukup ikhlas membantu Perwaja dengan jumlah RM13 billion. Dan usikan ini juga gagal dinafikan oleh Shabery.Kesimpulannya, Shabery gagal dalam misinya untuk menghantar mesej kepada rakyat dan mempertahankan agenda kerajaan.Apatah lagi beliau tenggelam dengan hujah-hujah dari Anwar Ibrahim.Dalam keadaan ini, Shabery dengan jelas memaparkan bahawa beliau tidak melakukan kajian dalam isu debat ini kerana beliau gagal untuk memberi petunjuk yang jelas ataupun yang kabur kepada rakyat tentang rasionalnya kenaikan harga petrol.Yang sering diperkatakannya hanyalah akibat kenaikan harga petrol di pasaran global dan Anwar pula dengan tangkas memberi petunjuk baru keupayaan dan perancangannya untuk menurunkan harga petrol seandainya kerajaan yang ada sekarang tumbang kepada Pakatan Rakyat.Apapun, dalam situasi yang sebegini sesak, kerajaan memerintah sekarang mempunyai kelebihan kerana Anwar secara langsung telah memberi idea-ideanya untuk difikirkan dan di terjemahkan oleh kerajaan.Tetapi, mahukah pihak kerajaan menerima cetusan idea dari pembangkang, di tambah lagi manusia tersebut bernama Anwar ibrahim.Secara positifnya pula, debat kali ini memperlihatkan kecendurangan Shabery Chek dan pemerintah memberi ruang kepada pembangkang untuk mengutarakan pendapat secara terus kepada rakyat.Kongkongan media sedikit terlerai di tangan Shabery Chek.Dalam aspek ini, Shabery memang berjaya.Harapnya, dengan debat ini nanti akan membuka sedikit ruang untuk media agar lebih bebas berbicara dan melontarkan idea.
Dalam debat ini mungkin sukar untuk menafsirkan siapa pemenangnya(walaupun Shabery teruk di lanyak).Seandainya di tanya kepada pihak pro pemerintah, sudah tentu jawapannya "Shabery hebat,bijak".Jika di ajukan pula soalan yang sama kepada penyokong Pakatan Rakyat, jawapannya mungkin berbunyi "Anwar memang power,lembik Shabery kena". Saya juga turut di hujani dengan sms dan panggilan telefon dari beberapa orang rakan, memberi pendapat dan tak kurang juga cemuhan.Seorang rakan yang pantas menelefon juga ketawa sakan bila Shabery terpinga-pinga mencari jawapan apabila di asak soalan oleh Zulkifli Sulong tentang RM4.2 billion yang di jimatkan oleh kerajaan ketika gelombang RM0.30 sen melanda Malaysia.Untuk menutup "ketidaktahuan"(lebih afdal dari perkataan bodoh), dengan sikap profesionalnya, dia mengalih kepada penceritaan hikayat hidup manusia bernama Anwar Ibrahim.Mudah.Tepukan pun bergema di sebelah penyokong BN.SMS dari Abang Helmy Samad "Shaberi macam tak wujud", ringkas tapi bermakna.Seorang rakan rapat menghantar sms berbunyi"malu aku, menteri kita tak tau apa-apa".Dan seorang rakan yang lain juga menghantar sms berbunyi"Shabery tu bodoh!!".Ini adalah pendapat masing-masing, pendapat dan luahan yang lahir dari kepala otak mereka yang berakal.Untuk memberi sedikit keadilan kepada kedua-dua belah pihak, saya sisipkan komen dari beberapa orang ahli politik.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan debat malam tadi sebagai sesuatu yang positif untuk memberi ruang kepada pembangkang memberikan pendapat mereka. "Bagi saya Anwar telah memberi fakta-fakta yang meyakinkan dari aspek ekonomi," katanya.
Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) pula berpendapat bahawa Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya. "Anwar pula dilihat sentiasa mahu ke depan dengan mengemukakan cadangan yang bernas," katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berpendapat debat yang diadakan malam tadi adalah sesuatu yang menarik sehingga mampu menarik pelbagai lapisan penonton untuk melihatnya. Beliau berkata Ahmad Shabery telah mengemukakan hujah yang baik mengenai dasar-dasar kerajaan. "Hujahnya disertakan dengan begitu banyak fakta mengenai apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan fakta yang dikemukakan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan. Katanya, apa yang dinyatakan oleh Anwar itu sememangnya telahpun dilaksanakan oleh kerajaan termasuk mewujudkan jaringan sosial dan membantu rakyat yang susah.
Tun Dr.Mahathir menulis dalam blognya www.chedet.com.
"Saya harus mengucapkan tahniah kepada Kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Badawi kerana membenarkan debat antara Pembangkang dan Kerajaan, khususnya antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Shabery Cheek.Ia bukanlah satu pertandingan yang adil. Shabery sangat kurang pengalaman didalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan didalam keadaan tertekan.Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar."
Jadi...lu pikir le sendiri...

July 09, 2008

Protes cara PKR


http://protes2008.blogspot.com/2008/07/isu-himpunan-protes-678.html
Protes??
Protes Sejuta Rakyat...baguskan bunyinya?
Tujuan asalnya juga di lihat bagus, memperjuangkan nasib rakyat.
Tetapi, apa sudah jadi?
Protes Sejuta Rakyat tercemar, bukan dengan pancutan air dari pihak polis atau hentaman belantan FRU tapi kerana kebodohan Carburetor Dung iaitu band "underground" yang masih lagi memiliki pemikiran tahap underground.
Hishamudin Rais sebagai individu yang bertanggungjawab membawa masuk hiburan tak kena tempat ke dalam 'protes rakyat' telah menanggung segala kesalahan perilaku biadab anggota kumpulan Carburetor Dung yang kurang memahami agaknya ungkapan beradab dan tatasulila.Tindakan beliau yang memohon maaf secara terbuka sejurus selepas amukan penonton sedikit meredakan suasana tetapi belum mampu membasuh luka dan menampal maruah yang sudah terpokah.Protes tidak perlu melondeh-londeh.
Hasilnya, PAS mengutuk dan sama sekali tidak dapat menerima adegan londeh- melondeh ini, apatah PAS juga perlu menjaga imejnya sebagai pejuang ISLAM di Malaysia.
Khabarnya, banyak sekali ahli PAS yang meninggalkan majlis setelah insiden kelucahan melampau ini berlangsung.Malu...kan,kan, kan?
Bagaimana pula dengan para pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang lain? Siapakah yang harus di pertanggungjawabkan kepada keburukan laku Carburetor Dung selain dari Hishamudin Rais? Dri pemahaman saya dalam konsep 'Leadership' yang di pelajari, di terangkan bahawa "EVERYTHING IS YOUR FAULT", yakni ; sebagai ketua/pemimpin, segala kesilapan atau kesalahan yang di lakukan oleh orang bawahannya/pengikutnya maka secara langsung ketua juga turut bersalah. Jadi,siapa ketua/penganjur Protes Sejuta Rakyat ini? Adakah PKR? Adakah PAS? Adakah DAP? Adakah BN?
Akhirnya BN akan ketawa, DAP tersenyum bangga,PKR terus memberi penjelasan kepada rakyat jelata dan PAS tertunduk malu menutup muka semuanya kerana Carburetor Dung - Mari Jilat Menjilat. (bukan liwat meliwat yer)
Siapa kena jilat?Siapa tukang jilat??
Malas nak layan, lu layan le sendiri...
http://www.youtube.com/watch?v=rwMAGcOx8ms

July 08, 2008

Balik Kampung...

Aku, sama sekali tidak merancang untuk pulang bercuti di kampung dalam masa terdekat ini.Tetapi, pada 04hb-Julai,aku keributan perasaan dan meluapkan rasa tidak berpuas hati terhadap sistem pengurusan di tempat kerja.Puncanya hanya kerana pemilihan kakitangan yang akan terlibat dalam temasya sukan tahunan yang akan di anjurkan pada 05th dan 6th Julai(Sabtu & Ahad).Awalnya, semua kakitangan di bahagian pengurusan di wajibkan supaya hadir secara sukarela bagi membantu urusan pada hari tersebut, tetapi entah mengapa beberapa kakitangan yang sepatutnya juga terlibat terlebih dulu menyelamatkan diri dengan mengambil cuti tahunan sebelum menjelangnya temasya berkenaan dan pihak pengurusan seakan tidak nampak kehodohan perilaku ini, walaupun pengumuman untuk aktiviti ini sudah di umumkan 3 minggu sebelumnya.Sudahnya, tugasan ini di muatkan pada beberapa kerat manusia lurus yang masih ada dan bersedia untuk di tunggangi.
Merasakan diri di pergunakan,aku perlu menzahirkan protes walaupun secara diam. Namun, untuk menjaga hati ketua jabatan yang keras di luar tetapi lembut di dalam, aku memberi alasan- perlu pulang ke kampung untuk urusan peribadi- muktamad !Secara tidak langsung, tindakan aku ini membuatkan beberapa rakan yang turut serta terlibat, menarik muka masam dan aku membuang jauh rasa kasihan pada mereka walaupun hati kecil aku mempunyai perasaan yang sebaliknya.
Dan untuk mengisi kekosongan waktu pada tarikh tersebut, aku membuat keputusan untuk pulang kekampung di Alor Setar, Kedah.Tambahan pula pada 07th Julai pekerja di berikan cuti ehsan dan dapat juga keluarga di kampung melepaskan rindu pada Syaamil yang sudah pandai berjalan. Apatah lagi, isteri pula sememangnya merancang untukbercuti pada hari Isnin,07th Julai.Oleh kerana keputusan yang di lakukan ini dalam keadaan tergesa-gesa tanpa merujuk pada pertimbangan akal, timbul sedikit masalah.Pertamanya, kereta yang tidak di servis, terutamanya tayar depan yang hampir"botak".Begitu juga dengan minyak enjin yang perlu di tukar, sedangkan aku kesuntukan masa.Keduanya , harga petrol yang sudah meninggi dan ini secara tidak langsung akan mengakibatkan poket aku sakit.Jadi, untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, aku membuat keputusan untuk balik ke Alor Setar dengan menaiki bas.Jimat dan sedikit selamat(insyaallah).Tergesa-gesa mencari tiket bas pada petang Jumaat(04th Julai) dan alhamdullilah masih ada lagi tempat kosong untuk perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar padapagi 05th Julai.Dengan huluran wang sebanyak RM66.00, aku berjaya memperolehi 2 tiket(Syaamil free) untuk perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar pada 05th Julai.Seperti selalu(barangkali), sistem pengangkutan awam yang masih tidak mahu berubah merimaskan aku, bila bas yang sepatutnya bertolak pada jam 09:30 pagi hanya sampai pada jam 10:00 pagi akibat pemandu yang takutkan JPJ!

Sepanjang perjalanan, Syaamil begitu gembira kerana inilah pengalaman pertamanyamenaiki bas.Aku dan isteri pula penat melayannya yang senantiasa minta di pegang menghadap cermin, memerhati pandangan luar.Hampir jam 05:00 petang, kami sampai di Alor Setar sambil ibu yang menguntum senyum tatkala melihat Syaamil yang tersengih manja.
Aku cuba memanfaatkan sebaik mungkin peluang bercuti kali ini, biarpun hanya mempunyai masa yang terhad.Berbual dengan datuk tentang perilaku ahli politik dan bersembang panjang dengan abah tentang Anwar Ibrahim dan politik Malaysia yang berombak ganas. Datuk masih juga sibuk memberi pendapat tentang kekalahan pasukan bolasepak Kedah di tangan Kuala Lumpur dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.Adik lelaki makin gila dengan motorsikal pemberian abah dan adik perempuan pula semakin padat mengatur persiapan untuk kenduri perkahwinannya. Adik yang paling kecil terlalu gembira bersama Syaamil.Ibu, seperti selalu akan menyediakan jerut maman dan daging rebus yang di cicah bersama air asam.
Ahhh…terasa berat hati meninggalkan kampung untuk pulang ke Shah Alam….dan aku terpaksa juga pulang ke Shah Alam pada 07th Julai ketika mata ibu bertakung dengan air mata yang menunggu masa untuk tumpah membasahi pipi.
Sisipan gambar sebagai kenangan...Aidilfitri nanti pulang lagi !

Tiket bas untuk balik, dari Alor Setar ke Shah Alam pada 07th Julai. Lihat pada harga RM40.00
JPJ dan LPKP buat apa??Tidooo...Z.zzzzz.zzzzzZZz..zzzz

Gambar kampung yang di ambil pada jam 08:10 pagi. Lihat, masih lagi di selubungi kabus....

Gunung Keriang.Gambar ini di ambil dari kawasan rumah aku sekitar jam 06:00 petang.

Sungai(lebih tepat lagi parit).Dulu, aku selalu mandi di sini dan abah akan bawa batang kayu.
Zuppp...zaaapppp...cabut!

Masjid Kg.Kota Kubang Tedoh. Di bahagian belakang masjid inilah arwah nenek(Telasiah @ Embon bt Jusoh) bersemadi.Duka buat nenek yang tidak sempat menatap cicitnya yang pertama.Aku gagal dalam menunaikan tanggungjawab dan impian nenek.
Nenek, antara orang yang paling rapat dengan aku.Aku selalunya akan bercerita segala masalah pada nenek dan dia juga antara orang yang paling gembira bila aku mengkhabarkan aku akan berkahwin.

July 02, 2008

Kassim Ahmad - Mencari Jalan Pulang

"Ini bukan sekadar sebuah memoir, tetapi wadah menyampaikan tentang kehidupan dan kebenaran berlandaskan islam. Kalau sejarah negara menonjolkan tokoh politik dan meminggirkann penulis, memoir ini mencatatkan Kassim turut menyumbang terhadap sejarah nasionalisme bangsanya. Kassim memberi banyak cerita menarik, pandangan mencabar serta ruang untuk diulas, baik dari segi fakta dan stail penampilannya- Dato Baha Zain, mantan Timbalan Ketua pengarah Dewan Bahasa & Pustaka, Ketua Dua GAPENA dan penyair terkenal Malaysia"

Bulan ini, saya tidak merancang membeli buku baru apatah lagi tidak terlintas langsung untuk membaca buku terbaru tulisan Kassim Ahmad sebenarnya.Bukannya kerana kemarahan atau status yang di labelkan kepada Kassim Ahmad-Anti Hadis-bukan kerana itu.Tetapi kerana henyakkan masa yang menyekat saya dari bersenggang membaca, apatah lagi Mahabbah pun masih berbaki untuk di sudahkan.Masih ada juga sebuah buku tentang Management yang perlu saya habiskan dalam masa terdekat ini dan saya sebolehnya mengelak dari menambah buku yang sedia ada.Saya perlu langsaikan dulu buku yang ada,harapnya begitu tetapi sekali lagi saya tewas dengan pujukan nafsu.Ketika menemani isteri ke Pasaraya Giant Seksyen 13 pada 27-Jun-2008,saya melarikan ke MPH untuk mengelak dari mengikut isteri menyorong troli.
Sedang asyik membelek-belek sebuah dua buku, saya terpandang - Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam- dan pada muka depannya tertera "Kata Penghantar oleh Tun Dr.Mahathir".Tanpa berfikir panjang-dan melupakan janji- saya terus membeli.
Sampai di rumah, saya terus membaca-kerana merasakan tertarik dengan sejarah Kassim Ahmad sebenarnya- lalu ia mula menjadikan saya semakin teruja.
Yang menariknya, inilah salah sebuah buku yang dapat saya habiskan dalam masa 1 hari!
Apa yang menariknya tentang buku ini??
Tiada apa, hanya kisah hidup Kassim Ahmad dan seperti biografi yang lain ianya melukis perjalanan hidup dari usia kanak-kanak sehingga ke waktu sekarang dan juga bagaimana beliau mencari ISLAM selama 36 tahun semenjak usianya 17 tahun.
Buku ini membawa saya untuk lebih mengenali siapa Kassim Ahmad yang kaya dengan falsafah dan perjuangannya dalam politik bersama PSRM dan juga penubuhan Jamaah Al-Qur’an.Secara tidak langsung, saya juga terjumpa siapa Tun Mahathir dan siapa Anwar Ibrahim.Walaupun buku ini "kosong"dan saya juga gagal mendapatkan apa yang saya mahukan, tetapi secara halusnya Kassim Ahmad berjaya mengubah persepsi tentang agama ISLAM yang saya anuti secara "baka". Benar juga seperti yang di tulis Kassim Ahmad bahawa kita membaca Al-Quran tanpa mengambil ikthibar dan memahami isi kandungannya.
Saya rasakan, tidak adil jika saya membuat sebarang ulasan terhadap buku ini, kerana setiap dari pembaca mempunyai pemahaman yang asing-asing dan mempunyai daya tafsiran sendiri, walaupun secara dasarnya saya merasakan Kassim Ahmad belum lagi pulang. Apapun, saya letakkan ulasan yang saya rasakan menarik terhadap buku ini yang saya dapati dari http://jelir.blogspot.com/2008/04/mencari-jalan-pulang-dari-sosialisme.html. sebagai ulasan terbaik bagi Mencari Jalan Pulang-Daripada Sosialisme Kepada Islam.

"Wajib dibaca oleh setiap warga Malaysia. Kisah seorang budak kampung yang cerdik yang berjaya memasuki Universiti Malaya pada tahun 50-an, seterusnya mengajar di School of Oriental and African Studies, Universiti London. Kembali ke tanahair, memimpin parti politik kiri. Memoir ini mengisahkan komitmen Kassim kepada keadilan, suatu pernyataan kesanggupannya mengorbankann kedudukan dan pangkat demi menegakkan kebenaran- Dr. Zakaria Ali, Dekan, Fakulti Seni Halus, Universiti Sains Malaysia"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...