July 31, 2008

Pindah...




- Saya akan berpindah ke Bandaraya Shah Alam, ke tengah-tengah jerit dan riuh kenderaan juga penghuninya yang tidak pernah letih mengejar rezeki -

Ini mungkin tulisan saya yang terakhir yang di tulis dalam bilik kecil kediaman saya di Taman Bukit Subang.Minggu ini juga minggu terakhir saya menikmati teh tarik dan roti canai atau kekadang bertukar selera menikmati sebiji capati berkuah kari kambing di restoran mamak berhampiran rumah.Minggu ini juga, mungkin minggu terakhir saya berjemaah Maghrib di Surau Al-Amin, Taman Bukit Subang dan mendengar laungan azan “Semerah Padi”yang keluar dari tekak Bilal Ishak.
Perasaan sedih dan sayu mudah bertamu setiap kali saya berdiri di jendela bilik kecil ini,menghadap parking dan memerhati bintang yang segan berkelip.Di jendela ini, kerap kali perasaan saya tertumpah.Naluri kelakian saya kerap bercerita di birai tingkap ini.Saya bercerita dalam diri sendiri, tanpa suara.Selalunya, saya berdiri menghadap tingkap yang terbuka sambil menghembus asap rokok.Dalam kepala, berbagai cerita yang ada dan cerita-cerita itu akan keluar bersama asap rokok yang menerobos keluar melalui tingkap.
Banyak kenangan di kediaman Taman Bukit Subang ini.Bagaimana susahnya saya dengan isteri bergerak ke tempat kerja kerana kereta tersadai di bengkel.Mujur seorang rakan yang pemurah sudi menumpangi saya dan isteri ke tempat kerja masing-masing dan petangnya terpaksa pulang menaiki teksi dengan tambang yang sengaja di lipat gandakan..Malamnya pula. saya merasa bagaimana perasaan saya meruntun ketika mendukung Syaamil yang ketika itu berusia 2 bulan melintasi beberapa blok pangsapuri dalam hujan renyai sambil isteri memayungi dari basah hujan, ketika mengambil Syaamil pulang dari rumah pengasuhnya.Esoknya, Syaamil demam dan saya gagal lagi untuk membawanya ke klinik kerana tiada kenderaan. Pengangkutan awam langsung tiada dan untuk mengelak dari peristiwa ini berulang, saya membeli sebuah motorsikal sebagai persediaan jika kereta tersadai lagi di bengkel.
Di rumah ini juga, saya dan isteri banyak berkongsi cerita,gelak tawa yang akhirnya isteri melahirkan Syaamil.Semuanya bermula di sini.Kasih saying kami bercambah, juga di sini.Kasih sayang yang tertumpah pada Syaamil juga bermula di sini.Melihat Syaamil yang hanya mampu menggerak-gerakkan kepala kiri kanan, tangan yang mencakau angin, melihatnya tanpa henti mencuba merangkak yang seringkali berakhir dengan tangis dan akhirnya sekarang berjalan sambil melambai tangan mengucapkan ‘bye”.
Aduh…perit benar untuk meninggalkan rumah ini.Walaupun tidak seluas mana, tapi ianya bermakna.Bukan saja pada saya, tetapi juga pada keluarga mentua saya.Seorang saudara terdekat sebelah ibu mentua saya yang terpisah hampir 10 tahun, akhirnya dapat di temui di sini.Rupanya, jiran yang sering menegur setiap kali saya pulang dri kerja itu saudara sebelah ibu mentua!
Dan , rumah bernombor 04-02-27 hanya akan menjadi kenangan…..

3 comments:

naimadnin said...

Salam,
sebak pula rasanya membaca entri saudara ini. Benar,kehidupan semasa susah itulah yang paling bermakna dan sentiasa diingat-ingat!

Anonymous said...

sdra shahrul,
terima kasih. kenapa pindah?
ohhh sebenarnya memang hidup ini terpaksa berpindah randah. jika tak pindah, bukan hidup namanya.

azizi abdullah

razi said...

Salam,

baca juga novel piala kehidupan yg menampilkan kelainan. Ia berkisar ttg bola sepak tempatan.

razi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...