December 28, 2007

Kenangan....




Baru-baru ini,ketika isteri mengemas bilik bacaan -sambil mulutnya tidak henti berleter-aku pekakkan telinga dengan alunan muzik Dream Theater-Syaamil sibuk dengan mainan patung Spiderman-terjumpa koleksi foto penghujung 90'an yang di rakam melalui lensa kamera.
Aku tersenyum sendirian sewaktu meneguk kopi di birai tingkap sambil meneliti koleksi foto yang sekian lama bertapuk dalam album gambar dan membandingkannya dengan keadaan sekarang.Banyak sekali yang berubah,baik dari segi jasmani dan rohani.Antaranya,rakan-rakan yang suatu waktu dulu terlalu akrab,kini membawa haluan sendiri-sendiri,masing-masing semakin patuh pada tanggungjawab hidup dan ruang untuk "suka"seperti dulu juga semakin sempit.....
Aku jejakkan kaki kat KL ni masa KLCC baru nak naik.Terasa tempang sebelah kaki,yelah aku bukan lahir kat sini ,sorang diri takde sedara mara...penat ooo.Dalam puluhan ribu kelompok manusia yang memenuhi setiap rongga KL,aku turut sama ke sana sini,berlari lari mengikut iramanya yang terlalu cepat bertukar rentak.Rindu pada bau tanah sawah dan riuh rendah kawan-kawan di kampung semakin hilang,semuanya kerana tuntutan hidup yang semakin padat dan menuntut tahap kesabaran paling tinggi.
Kilatan ingatan mengejar puyuh sewaktu musim menuai atau memancing puyu di tali air menjadi suatu lipatan memori yang menghuni kotak fikir aku,kejap dan kukuh, begitu juga pesan arwah nenek yang telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 08 October 2007,kata nenek"hidup perlu berubah"......

December 04, 2007

Dari sebuah cerita...




Dari Salina ke Langit Petang...
Saya berkesempatan mendapatkan karya Pak Samad ini melalui mphonline.com,sewaktu menghabiskan baki waktu rehat di tempat kerja dan ketika saya masih lagi tercari-cari karya emas dari Pak Samad,Salina(sebetulnya Salina pernah saya baca dan memiliki naskahnya,tapi tercicir sewaktu berpindah rumah).
Untuk sekian kalinya,saya yakin buku ini akan terus menempatkan diri saya dalam satu tempoh waktu yang panjang untuk menghabiskan bacaan.Kesibukan dan kesempitan ruang bebas semakin menghimpit dan saya harus menjadualkan semula waktu senggang.Saya perlu menjarakkan waktu untuk melayan keletah Syaamil dan menjamu jiwa saya dengan bacaan.

Apapun,putaran 24 jam sentiasa mencukupi,cuma manusia sekerdil saya ini,jarang benar meresapi nikmatNya....








September 27, 2007

Cerita Abah 2


Hitam berlenggang-lenggang depan abah.Mengangkat-angkat ekornya,seakan meminta laluan.Sampai di depan pintu,terus melompat ke tanah,melangkaui tangga yang anak tujuh.Jatuh ke tanah,terus hilang sebalik pokok bunga raya.Abah memerhati dari atas,sambil melunjur kaki yang mula kebas,punggung di esak ke tepi,memberi ruang pada bukaan kain untuk di tusuki angin.
Secawan kopi yang mula sejuk di teguk lagi.Pahitnya melekat lekat di atas lidah dan meluncur laju melalui kerongkong.Abah mengesat cebisan kopi yang menumpang di hujung misai.

September 04, 2007

Cerita Abah..


Abah merenung ke luar tingkap,memandang pokok padi yang sudah menguning.Kilatan duit secekak hasil padi,terpampang pula gambar bangunan Pejabat Pos Besar Alor Setar dan Pekan Melayu,juga sepiring mee tonggek di kaki lima Pekan Rabu.Abah tersenyum,suka.Rokok daun yang sudah terpadam apinya di buang keluar,jatuh ke lopak air yang berselut.Abah senyum lagi.Ada kebahagiaan bila memandang pokok padi yang menguning dan buah padi yang sudah kembung-kembung isinya.Abah tidak lupa bersyukur pada Allah kerana tahun ini,di jauhkanNya segala setan penyakit padi,di halauNya burung kedidi dan ketam jahanam.Tidak seperti tahun lepas,bila dekat waktu menuai,pokok-pokok padi yang menguning,perlahan-lahan bertukar menjadi hitam,perlahan-lahan hingga semuanya menyembam ke bumi dan rakus di telan air.Orang kata,padi kena bom!...
bersambung......

August 23, 2007

Syammil dalam usia 86 hari




Syukur,hingga ke hari ini Syammil masih lagi di lindungiNya dari sebarang masalah dan kemudaratan.Syammil semakin galak tersenyum dan setiap senyuman yang terbit dari mimik mukanya adalah rakaman kebahagian aku,ketenangan jiwa halus aku.

July 28, 2007

Haru Biru


Kekalutan yang sengaja dan sering kita cetuskan dalam hidup ini,adalah kerana tuntutan dari dalam,iaitu dari sifat ketamakan dan nafsu yang sengaja di biar meluru dan melulu,kita bebaskan kemahuan yang menggila hingga ianya melampaui kemampuan lalu muncullah HARU BIRU.....

July 10, 2007

Pelangi

Saya pernah berkata kepada seorang sahabat,sewaktu beliau mengajukan masalah berkaitan kasih sayang yang tidak kesampaian.Sahabat saya ini menaruh perasaan yang mendalam kepada seseorang,walau dia tahu kasih sayangnya itu tidak akan berbalas.Kata saya "kau lihat pelangi,walaupun cantik tapi kita tak akan dapat memiliki dan menyentuhnya". Dia diam,barangkali berfikir kaitan di antara ceritanya dan pelangi...
Kenapa saya memilih pelangi sebagai kiasan?Pada hakikatnya,ia tercetus dari elemen air dan cahaya,menghasilkan 7 warna yang menarik.
Namun,dapatkah kita menyentuhnya?Bila sampai ketika,pelangi akan hilang dan tinggallah latar yang kosong...
Bagi saya....keinginan,penantian,harapan dan impian yang sia-sia samalah seperti sebuah pelangi.....

Indah,cantik,menarik tapi ianya bukan milik kita....

Sesuatu

Aku ingin sesuatu,
Sesuatu yang pernah aku temu
Sesuatu yang kian jauh meninggalkan aku..

Kembalikan aku pada sesuatu,
dalam redha dan tabah
dalam keterbukaan pintu fitrah.....

July 07, 2007

Mengertikah Kita?














Titis,
rintik
renik
bersatu dalam satu zat
yang hakiki
yang tersirat
pada bait-bait ayatnya...

pecah
berderai
remuk
hancur
semuanya...
akan menjadi debu
kembalilah kita kepada yang Hak...

July 04, 2007

Chairil Anwar


*Klik pada gambar...
Saya mula mengenali puisi dari Chairil Anwar ketika fikiran dan jiwa sedang kalut,sedang senak sesak menilai dan mentafsir setiap kekusutan yang membaluti batin.
Terima kasih pada Cik Fadzlina Zainal(x-UIAM,2005) yang memperkenalkan saya pada puisi-puisi Chairil Anwar dan melihat kesuraman dalam jiwa pemuisi sehebat beliau,walau sendat jiwanya,dia masih mengkhabarkan pada kita semua bahawa hidup ini amat mudah,cuma ada ketika manusia sendiri menyempitkan laluan untuk terus bernafas di bumi Allah ini....

July 02, 2007

Udang Galah Kg.Kuantan....layan lagi!




Mungkin juga dunia memancing bukan dunia saya dan sejak dari kecil lagi saya kurang berminat dengan memancing,walaupun sedar bahawa kesabaran amat di perlukan ketika memancing.Kebanyakkan sahabat yang saya yang memang "kaki pancing" terdiri dari mereka-mereka yang penyabar sifatnya.
Rakan sekerja saya iaitu saudara Amin dan seorang rakan beliau di temani Shamsul(abang ipar saya,tekong) turun mencuba kehebatan henjutan udang galah Kg.Kuantan.
Hasilnya...amat memuaskan.
Dan saya hanya menjadi perakam waktu untuk kenikmatan yang mereka rasai.

July 01, 2007

Piala FA ; Kedah Juara!


Bangga...saya anak Kedah!
Kecewa....banyak saudara-saudara sebelah abah menetap di Perlis.
Adat....setiap permainan ada menang dan kalah.
Dan abah pasti tersenyum gembira...

June 28, 2007

Lakaran dari Mentor











Serasa,bila meneliti lakaran-lakaran yang lahir dari palitan pena Pak Samad,saya sendiri tertanya-tanya apa yang ingin di ceritakannya.
Hanya dia yang tahu,semuanya dalam dirinya.Seperti juga hasil karya beliau yang lain,Pak Samad mengajak dan mengasuh kita berfikir dan mencari jawapan...

June 27, 2007

Mentor




Senang sekali bila saya dapat membaca karya-karya A.Samad Said ,serasa saya sedang berbicara dengan sang pencerita yang telah membuka pekung-pekung keinginan untuk saya menjamah makanan jiwa,lalu di saya di umpan pula dengan keakraban bahasa dan jadilah sang pencinta karya sastera.Saya masih lagi teguh berusaha untuk mendapatkan senaskah Daerah Zeni.Kirimkan saya khabar dan berita jika masih ada lagi sisa-sisa novel ini.Saya mahu Daerah Zeni menjadi koleksi bernilai di kamar bacaan saya.
Saya sebenarnya sudah membaca Daerah Zeni,lama dahulu,ketika dalam usia 14 tahun(mungkin!).Seingat saya,bacaan saya ketika itu agak mendatar,tiada apa-apa penyerapan yang mampu membina halusinasi untuk mendorong saya menjadi seorang yang pengingat.Buku tersebut ketika itu hanya "di pinjam"dari seorang saudara yang saya panggil Mak Su Aishah(sekarang beliau seorang guru di Alor Setar),ketika itu juga saya terpaksa "menyorok"bahan bacaan yang sebegini dari pengetahuan abah.
"Keseronokan"membaca tersebut,mula terbawa-bawa sehingga saya memahami bahawa sastera,atau bacaan adalah suatu pengembaraan rohani yang mudah untuk saya teladani.
Mungkin dengan kejutan-kejutan dari novel dan karya Pak Samad juga banyak menyedarkan saya bahawa penderitaan dan kesusahan kita sekarang ini adalah kerana himpitan kebendaan....(kata-kata dari Pak Samad yang saya akui kebenarannya.)

June 25, 2007

Terima Kasih...sahabat.







Dalam mencari dan menilai erti persahabatan,tidak pernah di pinta harapnya budi atau di tagih serelung janji.Cukuplah sekadar mengerti bahawa sahabat sejati adalah mereka yang berupaya menjadi cermin mengejek,mentertawa dan memperlihat seribu kerut muka.

Saya mendapat semua itu,cermin dan kilas bayangnya.Walaupun cermin itu kian jauh(jepun),namun demi sebuah persahabatan,dia tidak pernah hilang silau.

Baru-baru ini,beliau dan suami menghadiahkan saya sepasang baju untuk Mohammad Syammil Asyraf.Kiriman dari Jepun.Hadiah bermakna buat saya dan isteri.

Apa lagi yang dapat di kata...mungkin terima kasih belum memadai untuk nilai persahabatan ini.

Terima kasih Azleen&Junaidi,moga kalian berdua bahagia.






June 17, 2007

Hujan Pagi


Antara koleksi dari Pak Samad Said yang aku amat hargai adalah Hujan Pagi.
Bukan hanya kerana luahan dari penulis,tetapi ianya adalah santapan jiwa aku dan mereka yang memahami perit getir hidup bergelar penulis.
Seperti juga novel Pak Samad yang lain,heretan perasaan pembaca akan senantiasa di paksa untuk memikirkan babak demi babak.
Terima kasih Pak Samad kerana sudi merakamkan episod duka dan suka dalam sebuah garapan yang di panggil sastera.

June 11, 2007

Udang,Kg Kuantan






















Tarikh : 09&10 June 2007

Tempat : Kg Kuantan,Kuala Selangor(kg isteri)

Catatan : Bila sebut memancing,perkara pertama yang singgah kat gedung fikir aku,BOSAN.Memang istilah memancing tak pernah aku minat,takde langsung minat terhadap memancing ni.
Selalunya kalau ada balik kg,udang-udang yang saiz XXL akan terhidang,aku rembat jer masuk mulut tanpa susah-susah nak tanya macam mana dapat udang ni,walaupun aku tau abang&adik ipar aku semuanya hantu memancing.
Tapi kali ni,bila aku balik kg , macam ada tarikan pula dari sungai tu(sungai ni letaknya betul-betul belakang rumah mentua aku,kira-kira 100 meter jer).Ajakan dari abang ipar aku(tekong aktiviti mancing udang) untuk turun memancing kali ni tidak di tolak.
Kali pertama turun,bila terhenjut henjut kail di rentap udang,aku terpaku,ada kepuasan yang tak mampu nak disampaikan,hanya mereka yang pernah mengalaminya akan faham.
Bertambah menarik,bila yang di tarik naik itu udang yang saiz XXL...jom layannnn...


**Bagi mereka yang berminat nak merasai pengalaman memancing udang saiz XXL ni,bole hubungi Enc.Samsul di talian 017-6078 249,dia ada sediakan pakej-pakej menarik untuk aktiviti memancing udang di Kg.Kuantan,Kuala Selangor(ini bukan promosi yerr..)

June 06, 2007

Muzium Padi,Gunung Keriang Alor Setar Kedah.




Kalau nak tengok dengan jelas,"click"pada gambar.







Emmm...Gunung Keriang,tempat kelahiran aku.Disini,aku kenal dunia...aku kenal manusia.Walau jauh aku merantau,rindu pada kampung tak akan hilang.

Cerita mimpi,cerita impian dan semuanya menjadi KENANGAN






Kenangan bersama rakan-rakan Matsushita Toshiba Picture Display(M)Sdn.Bhd,Shah Alam Selangor,pada majlis perpisahan yang di adakan pada Feb.2006
.Dan nama MTPDM akan terus menjadi kenangan.....
Puisi dari seorang rakan baik aku,yang bertudung pink tu.Memang puisi ni nampak kelakar,tapi itu le kenyataan yang perlu di hadapi bila semua ini menjadi kenangan.Terima kasih buat Fairuza Azleen(sekarang ada kat Jepun yer..)
Ku masih ingat....
Kenangan bersama kawan-kawan
Mana boleh dilupakan
Bergurau senda berperang perangan
Marah sekejap berbaik kemudian
Sorang dua suka melawan
Habis brg berterbang-terbangan
Bos pun dah malas nak layan
Nanti pandai la mencari kedamaian
Goreng pisang 19 tidak ketinggalan
Setiap kali time off menjadi pesanan
Makanan di makan beramai-ramaian
Zainol corner menjadi sasaran
Setiap kali rehat pergi makan
Kantin tak sedap jadi tumpuan
Apa nak buat takde pilihan
Perut kosong sape tahan
Balik awal menjadi kebiasaan
OT kena cut buat apa nak berkorban
Lama-lama jadi perbualan
Kilang nak tutup semua terkilan
Itulah nasib kerja ngan bukan kerajaan
Tak sape boleh meramal masa depan
Ada usaha adalah kejayaan
Untuk mencari peluang pekerjaan
Walaupun ada yg berjauh-jauhan
Itu semua ketentuan tuhan
Kawan-kawan janganlah dilupakan
M3 Line tetap di dalam ingatan

Dah lama tunggu,dah lama bersabar.Akhirnya,Dia kurniakan aku permata hati yang satu pada 27hb May 2007,sama tarikhdengan hari pernikahan kami,27hb May 2006.Harapnya,Muhammad Syammil Asyraf akancetuskan gelombang2 baru dalam hidup kami,seindah maksud yang tersirat disebalik namanya;Muhammad , Yang Sempurna dan Lebih Mulia.

Dan aku,harus menjadi bapa dan penjaga yang sempurna,walaupun banyak sekalilohong-lohong hitam dalam diri aku.Aku perlu kambus semua lohong itu,agar akumampu mendidik dia menjadi insan mulia......

June 04, 2007


Setiap sesuatu yang berlaku,akan berupaya merubah hidup kita,walau bukan serelung,mungkin cuma sejengkal...namun tetap akan ada perubahan....

Moga,kehadiran Muhammad Syaamil Asyraf akan merubah hidup ini.

Mohon padaNya,kuatkan semangatku untuk terus menyusur dan melata di pentas sementara anugerahNya,mencari rezeki dalam redup yang kian gelap ini....Amiin.

Harus juga yakin,yang hidup kini bukan lagi "teater mimpi"....

June 01, 2007

Bahagia


Kadang kadang,penat kita berlari,penat kita mencari.Kadang kadang juga,impian kita semua mungkin sama,mungkin serupa atau mungkin ada masa ketika mimpi, kita juga bertamu pada yang satu.Kita cari,kita minta perkara yang sama.Setiap kali kita mengangkat tangan menadah doa dariNya,satu perkara juga yang kita minta...BAHAGIA!

Bahagia ke kita sekarang?Damai ke hidup ini sekarang?Tenang ke jiwa kita sekarang?

January 31, 2007

Emmmm..aku penat

Kembali lagi...dengan sesuatu yang masih lagi ingin di pertaruhkan.Dalam hidup yang panjang kian pendek ini,barangkali kita semua memang di takdirkan untuk mencari dan cuba memiliki sesuatu.Bukan setakat kebahagiaan,tetapi juga sedikit kemewahan.Bukan untuk bermewah,tetapi cukuplah jika sekadar mampu meneruskan kehidupan,mengikut rentak hidup di kota besar ini,yang kekadang terasa penat untuk berlari mengikut turutan dan memenuhi janji semata mata mencari rezeki.
Apapun,terima kasih teman,terima kasih kawan.Walau betapa perit pun hidup disini,aku masih lagi menjadi insan yang sentiasa berpegang pada janjiNya....rezeki sentiasa ada pada hambaNya yang tabah dan sabar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...