November 28, 2010

Masing-Masing Tahu Apa Masing-Masing Rasa

Apabila bermunculan beberapa tulisan terkini yang mengutarakan cetusan perasaan, saya kembali di asak bertalu talu dengan persoalan yang tiba-tiba muncul di kotak "inbox"email dan juga tersusun dalam kiriman sms.
Saya cuba menepis sanggahan awal yang mengatakan tulisan-tulisan tadi adalah suatu kiriman perasaan yang sebenarnya pernah dan sedang wujud.
Seperti yang pernah di katakan oleh seorang penulis kepada saya "setiap tulisan adalah rentetan pengalaman diri yang di salin semula pada helaian kertas." Saya sama sekali tidak menolak pendapat beliau itu, malah saya juga akui kebanyakkan tulisan di dalam blog ini lahir dari sisi pengalaman saya, sama ada yang saya kecapi secara langsung ataupun serpihan yang terbias menghantuk perasaan saya.
Berbalik pada tulisan saya yang mutakhir yang sering membuai perasaan, berjejak pada rasa kasih dan sayang saya harus juga akui ianya adalah antara rintihan dan pemeluwapan perasaan saya sendiri. Saya mencari nilai-nilai cinta yang semakin mekar dalam jiwa, sama ada ianya adalah lantunan perasaan yang di buai atau sengaja di cetuskan bagi memerdekakan rasa.
Ingin saya perincikan bagaimana ia bermula tetapi biarlah ia terus menghuni jauh di sudut minda saya.Hanya saya yang tahu segalanya dan untuk menghormati mereka yang berada di sekeliling dan dalam hidup saya, saya akan simpan kemas semua olahan perasaan ini.
"Dalam dunia ni, tak perlu lagi di tambah sebuah lautan,sebiji gunung atau matahari, yang perlu di tambah cuma kasih sayang.Biarlah masing-masing tahu apa yang masing-masing rasa....."

November 19, 2010

"Aku Mahu Dia..."

Lampu jalan yang berkelip-kelip itu seakan beku di sambar titis hujan yang menggila petang tadi.Rintik hujan masih lagi bersisa. Sudah berminggu-minggu lampu itu berkelip-kelip tidak terusik sesiapa.Aliran air di dalam longkang yang membelakangkan tiang lampu tadi sudah tepu, sesak dengan pelbagai isinya.Alirannya terhenti-henti, sebelum melaju apabila melalui laluan yang sedikit bersih.Buiaian di taman permainan juga sepi malam itu.Kebiasaannya di huni oleh sekumpulan pemuda yang bersembang hingga larut malam, hingga jarum jam bertindih dan berganti hari.
Seorang lelaki yang hanya berkain pelikat jelas berdiri di birai tingkap.Matanya berkedip beberapa kali, seolah-olah mengikut kerlipan lampu jalan itu.Di celahan jarinya, jelas kelihatan sebatang rokok yang di nyalakan.Asap mudah mengapung lalu di hilangkan oleh angin yang sedikit beralun.
Beberapa kali dia mendehem, memeranjatkan 2 ekor kucing yang tumpang berteduh di bawah rumah.Kucing itu segera hilang.
Lelaki tadi termenung lagi, membiarkan perasaannya terawang. Dia mahu menerbangkan segala perasaan yang bersarang.Risau. Dia mahu membebaskan amukan dalam jiwa seorang lelaki.
Dia mula mencari warasnya. Mula mencari mana salah silapnya sehingga rokok yang di kepulkan asap dan masih berbaki lebih dari separuh itu di campak ke lantai. Teh tarik yang masih tinggal separuh di biarkan begitu saja, langsung tidak terusik bakinya.
Dia marah. Tidak pada sesiapa tetapi lebih pada diri sendiri.Kegopohan dalam merantai ikatan mampu terlerai dengan amukan yang entah apa sesaknya dalam dada hari itu. Dia cuba membelai perasaan sendiri sehingga tersandung pada takat marah yang membuak, tidak pada sesiapa, tetapi lebih menuju ke diri sendiri."Apa yang aku marahkan". Persoalan itu menjadi cepu yang memamah dirinya.
"Aku marahkan dia..", tapi segera di jawabnya ; "tapi kenapa?"
Dia menjawab sendiri ; "Entah..."

Lalu mendesup satu suara ; "Itu cemburu buta le dooo...."
Suara itu bergetar lagi di gegendang telinga ; "Kau sayang dia, kau perlu percaya dia..."

Lelaki itu segera menjawab " memang aku sayangkan dia, aku sayangkan dia lebih dari apa yang aku ada..."

"Jadi kenapa kau seksa dia, kenapa kau enjak paksa dia....", suara itu mendesak lagi.

"Bukan, aku bukan memaksa tetapi aku mahu satu jawapan....",dia menjawab pantas.

"Dia pernah terseksa, dia pernah kecewa dooo. Kau berikan masa dan ruang untuk dia. Kau bilang kau sayang dia, jangan, jangan kau paksa dia dooo...", suara itu semakin lantang dalam rongga telinga.

" Aku turut apa kau mahu wahai suara, jika itu yang terbaik buatku, terbaik buat dia.". Lelaki itu akhirnya tewas.

Lelaki itu, yang masih berkain pelikat masih merenung lagi kerdip lampu jalan yang semakin larut dalam rintik hujan sambil merenung harapan yang semakin terbias silaunya.
"Aku mahu dia..."



Nota : Saya mula mengatur ayat demi ayat untuk di muatkan dalam sebuah cerpen.Insyaallah....

November 09, 2010

Aku Cuma Miliki Impian

Hari itu sedikit suram, cuaca redup awal pagi merendangkan silau matahari. Jam berdetik dan sesekali rintik manik air hujan seakan memisahkan antara dingin dan peluh resah.Lelaki kerding berbaju kuning dan berseluar jeans yang lusuh warnanya tercegat di antara barisan van yang menunggu penumpang.Sejak awal pagi, sesudah azan Subuh dia sudah di situ.
Sesekali, jam di tangan di kerling tajam.  
"Belum waktu", detik hatinya.
Cuaca makin redup dan deruan enjin van yang berulang alik gagal memudarkan harapan dalam debar pagi itu.

Sedetik, pandangan teralih arah.
"Dia datang...". Lelaki kerding tadi tersengih suka. Di sembunyikan kegembiraan itu di sebalik misai dan janggut yang sudah bertunggul di siat pisau cukur cap Buaya.
Sapu tangan di kocek belakang sebelah kiri di capai, di lapkan pada muka yang renik peluhnya. Helaian rambut yang mencecah dahi di tolak ke atas, di rapikan dengan jari yang banyak kematunya.

Selintas, dia lalu.
"Pandanglah aku...", suara itu mengguman dalam hati.
Dia melintas,menghantar bauan minyak wangi jenama mahal pada hidung yang sedia menangkap bau.
Langsung, hatta sebelah mata pun dia tidak memandang.
Lelaki kerding tadi tunduk memandang granit yang bersepah. Ngauman van pagi itu umpama ledakan bom di sebelah "shelter". Cuaca redup pagi itu berbahang menggila dan peluh yang di keringkan dengan sapu tangan mula memercik membasahkan anak-anak rambut, melanggar kening dan menitik ke dagu.
Dia sudah hilang di sebalik barisan van, menyusup di celah-celah manusia yang sedang bergelak ketawa. 

"Aku cuma miliki impian.Tertawakan aku jika kau mahu, sakiti aku jika itu mampu memuaskan hatimu tetapi jangan kau buang dan bunuh apa yang ada dalam jiwaku....". Suara lelaki kerding tadi kembali mengguman dalam hati.

 Nota : Cerita ini tiada kena mengena dengan sesiapa,ia cuma wujud dalam ruang khayal saya.

November 07, 2010

Siapa Mahu Jaga?

Kekuatan sesebuah negara terletak pada pemimpin dan anggota keselamatan(polis dan tentera) yang berfungsi untuk mentadbir dan mencegah. Perlaksanaan undang-undang yang adil, pemerintahan yang mementingkan rakyat dan kestabilan dalam mentadbir menjitukan perjalanan sesebuah negara.Kepercayaan rakyat pada pemerintah dan tuan punya tanah selalunya akan meningkat jika semuanya di laksanakan dengan adil dan saksama tanpa memilih bulu sehingga ke bulu-bulunya.

Tetapi......
"Jika pemerintah dan anggota yang bertanggungjawab menjaga negara sendiri bergelak sakan di kelab-kelab eksklusif dari awal malam hingga awal pagi, siapa lagi yang mahu menjaga negara?"

Jika di tanya pada Don Senget, mungkin Don Senget akan jawab " gua boleh jaga, kasi "ice" pada mat rempit.."
Jika di tanya pada Ngah Omar Alor Pongsu, Ngah Omar akan jawab begini " kawaq tolong jaga bank, penyamun jaga lokap dan perogol jaga asrama jururawat".
Jika di tanya pada pemerintah, maka dengan senyumnya akan di jawab " mana ada pegawai kita buat perangai macam tu, itu semua tohmahan ".

Lalu, siapa lagi mahu kita tanya?
Siapa mahu jaga negara?

"Masing-masing buat hal masing-masing, masing-masing jaga kampung masing-masing....."

November 02, 2010

Rindu Damai

Aku kadang masa ingin benar dia terus membelai, mengusap-usap perasaan. Aku ingin dia selalu mengerti, bahawa hidup ini bukan catan sebuah lukisan yang boleh di runding ubah dan di padamkan. Hidup ini adalah garapan sebuah ulangan peristiwa. Manusia meneroka dan meniru mana-mana yang di fikirkan perlu, meneruskan setiap tradisi yang di ulang-ulang.
Pada yang bijak dan memahami, kedukaan dan kesakitan selalu di jadikan pelindung, pada yang dangkal fikiran, kedukaan dan kesakitan juga kepayahan adalah cetusan pengulangan dalam hidup mereka. Bukankah kita semua mengharapkan yang terbaik dalam hidup bersama nikmat bahagia? Mengapa harus di teroka lagi jika penghujungnya adalah sengsara.
Sungguh, aku langsung tidak memahami manusia yang dangkal fikiran.Tetapi aku menyanjungi mereka yang menjadikan sengsara panduan kehidupan.

Aku, rindu damai lewat usia yang semakin banyak sisa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...