April 17, 2014

Media alternatif perlu berani, adil


 "Menjelang PRU-12, media alternatif yang banyak mengutarakan isu korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa berjaya mempengaruhi peratusan undi dan secara langsung juga menelanjangkan isu-isu yang “disembunyikan” oleh media arus perdana."
Di sesetengah negara maju, media alternatif (portal berita dalam talian) mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh golongan minoriti. Impak daripada tulisan-tulisan yang tersiar di media alternatif ini mampu menyedarkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara bukan sahaja dimonopoli oleh golongan majoriti. Secara tradisinya juga, media alternatif dilihat sebagai suara kumpulan minoriti.
Berbicara dalam konteks Malaysia, media alternatif telah banyak membuka mata masyarakat yang selama ini disogokkan dengan berita dari media arus perdana. Menjelang PRU-12, media alternatif yang banyak mengutarakan isu korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa berjaya mempengaruhi peratusan undi dan secara langsung juga menelanjangkan isu-isu yang “disembunyikan” oleh media arus perdana.
Apa yang berlaku juga merupakan petanda bahawa media altematif wujud sebagai medium penting dalam penyampaian maklumat secara adil kepada masyarakat.
Saya merupakan antara ribuan, bahkan mungkin antara jutaan pembaca tegar sumber berita dari media alternatif ini. Pada saya, media alternatif lebih adil, jujur, berani dan sentiasa memberikan maklumat yang saya perlukan.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati ada beberapa isu semasa yang seolah-olah terlepas pandang dan tidak mendapat liputan oleh media-media alternatif di negara kita. Antaranya adalah krisis air di Lembah Klang dan juga isu yang melibatkan lukisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) yang heboh diperkatakan orang sejak awal bulan ini.
Saya antara individu yang terlibat secara langsung dalam isu air ini, sama ada sebagai pengguna domestik atau di tempat kerja saya. Saya mengikuti dengan rapat setiap perkembangan tentang isu air ini dan kebanyakan sumber berita datangnya dari media arus perdana.
Saya tertanya-tanya, mana laporan, ulasan, kritikan, kupasan dan analisis berani dari media alternatif dalam isu ini? Malangnya sehingga kini, wartawan dan kolumnis di media alternatif masih gagal mengetengahkan isu maha penting ini. Mereka diam, seolah-olah isu air hanya isu terpencil dan tidak memerlukan pendedahan. Mungkin mereka beranggapan rakyat (pembaca) tidak perlu tahu.
Begitu juga dengan pendedahan terbuka oleh Uthaya Sankar SB mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Pak Samad semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel ‘Sungai Mengalir Lesu’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.
Selesai sahaja majlis tersebut, isu ini heboh diperkatakan di rangkaian media sosial (Facebook dan Twitter). Keesokan harinya, beberapa media alternatif juga turut memaparkan berita yang sama. Malangnya momentum ini tidak berpanjangan. Tiada seorang pun wartawan dari media alternatif yang membuat temuramah dengan Pak Samad atau dengan Uthaya yang menjadi ‘whistleblower’ dalam isu ini. Akhirnya isu penting berkaitan periuk nasi seniman ini hanya dibualkan secara sinis di Facebook dan Twitter.
Seolah-olah media sosial sudah mengambil alih peranan media alternatif dalam isu-isu ini. Apakah media alternatif yang selama ini saya kagumi kerana wartawan dan editornya yang menyiarkan berita berani, adil dan telus serta memaparkan segala kepincangan, secara tiba-tiba memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu penting seperti ini?
Memetik tulisan oleh Chris Arton di dalam artikelnya bertajuk ‘A Reassessment of The Alternative Press’ yang antara lain menggariskan kriteria media alternatif adalah “penerbitan yang memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali”. Maka saya berharap dalam masa terdekat, akan ada laporan yang berani di media alternatif berhubung isu air dan lukisan Pak Samad.


Nota: Tulisan ini turut tersiar di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...