December 31, 2012

Azam

"Apa azam lu tahun ni?" Tanya sahabat baik saya pada petang terakhir tahun 2012. 
Sahabat saya itu, seorang lelaki yang senyap. Dia lelaki terakhir di dunia yang akan saya nikahi jika takdirnya saya ini seorang wanita.
Dia memaut tangkai gelas yang di dalamnya terisi teh tarik. Teh tarik itu juga adalah teh tarik terakhir yang sempat diteguknya, untuk tahun 2012. Halkumnya naik turun.

"Apa gila lu tanya gua macam tu?" Saya soal kembali.

"Bukan ke azam lu tiap-tiap tahun mahu berhenti merokok?" 
Eh, dia kembali menyoal, tidak langsung menjawab soalan dari saya.

Berhenti merokok? Itulah antara azam yang tidak mungkin lagi saya jadikan azam kerana saya tahu, isteri akan gelakkan saya. Itu pasti. 


"Azam gua? Kalau gua cakap gua mau kawin lagi satu, lu sanggup tumpangkan gua bermalam kat rumah lu?"

Dia terkekek ketawa.

"2013 ni gua berazam nak beli banglo lima tingkat. Tingkat satu dan dua, gua jadikan ruang keluarga. Tingkat tiga, gua jadikan studio muzik, siap karaoke. Senang lu nak nyanyi. Tingkat empat gua buat balai pameran lukisan dan foto, siap ada studio untuk proses gambar dari kamera gua. Tingkat lima, gua jadikan ruang solat dan mini perpustakaan." Terang saya.

"Apasal lima tingkat? Lu beli banglo tujuh tingkat ke, lapan tingkat ke." Cadang sahabat saya.

"Rukum Islam ada lima je boii. Jadi banglo pun lima tingkat je. Ikut syariat." Saya tidak mati akal untuk mematikan usikan sahabat tadi.
Dia hanya tersenyum. Memahami gurauan saya.

"Gua malas nak berazam." 
Saya mencapai rokok di atas meja dan asap berkepul-kepul di ruang udara. Asap terakhir dari ruang rongga tekak, saya hembuskan ke muka sahabat saya tadi dengan doa, "Ya Allah, Kau bukakanlah hati sahabatku untuk sama-sama merokok seperti aku. Amin..."

Semenjak saya baligh dan sudah pandai mengayat 'awek', saya tidak pernah lupa untuk memasang azam setiap kali menjelang tahun baru tetapi untuk tahun 2013 azam saya adalah "untuk tidak berazam".


December 18, 2012

Malam Itu....

 Sudah beberapa kali saya cuba untuk tidur pada malam itu. Berbaring, pejamkan mata dan bisikkan pada hati bahawa saya sedang bersantai di suatu tempat yang indah, mendakap malam dan dinginnya suhu. Saya teroleng-oleng dengan dunia yang diciptakan sendiri. Rembesan asid hidroklorik di dalam perut saya amat berbisa sekali. Bahagian ulu hati teramat pedih, serangan asid yang tidak terkawal yang secara ganas menyerang mencengkam segala isi perut. Saya memujuk untuk berdamai tetapi asid hidroklorik ini langsung tidak memahami erti kompromi. Nah, selain masakan pedas, tekanan juga akan menyebabkan gastrik bertindak keterlaluan terhadap dinding perut.
   Akhirnya, saya mengalah. Dunia yang saya ciptakan - yang indah dan dingin itu - tidak berjaya menipu diri saya, diri saya sendiri. Gastrik dan tekanan menghalau jauh dunia halusinasi saya.
   Saya kembali bangun. Membuka pintu bilik tidur dan menuju ke dapur. Segelas air kosong diteguk lalu kembali ke bilik bacaan. Menekan suis lampu dan kembali disimbahi cahaya. Saya menuju ke rak buku, memegang kemudian meletakkan semula. Nafsu membaca saya hilang. Saya seakan benci melihat buku-buku yang tersusun di rak. Sungguh benci bila saya sendiri sedar yang bacaan saya nanti hanya sekadar mampu memenuhi retina mata, hanya barisan ayat-ayat yang ditulis oleh penulis. Isinya? Persetankan, semuanya hilang, gagal ditangkap kotak ingatan saya. Tindakan sebegitu, hanya membuang masa saya yang semakin hampir ke penghujung. Bukankah, perjalanan panjang ini kian pendek?
  Saya mencapai kotak rokok yang terletak diatas meja bacaan, lalu menyumbat sebatang ke bibir. Dengan pantas, tangan menggapai pemetik api yang terletak bersebelahan kotak rokok tadi lalu menyalakannya. Asap berkepul-kepul keluar dari rongga mulut. Puas.
  Pemetik api dicampak kasar ke atas meja lalu terpelanting ke sudut paling tepi dan tertampan sebuah buku karya Ismail Kadare ; The Successor. Buku itu lama diam di situ,tidak langsung terusik. Malas - saya sering meningatkan anak-anak bahawa malas adalah hasutan syaitan - dan saya sendiri sedang malas.
  Malam itu, ketika jarum jam yang bertindih antara satu sama lain sudah lama terpisah, saya hanya merenung melepasi tingkap. Mata saya terpaku pada deretan lampu jalan tetapi fikiran saya merawang jauh, menembusi atmosfera dan alam jagat nyata. Khayal saya, menyelinap masuk ke perdu hati dan menggoncang jiwa. Rasa marah, menyesal dan entah apa-apa perasaan yang bersifat busuk dan jahat memenuhi fikiran saya.
   Saya bayangkan, jika waktu itu saya ada mesin perentas waktu. Saya mahu masuk ke dalam mesin tersebut dan kembali kepada waktu sebelumnya - jam 8:00 malam yang mencengkam - membetulkan segala kesilapan atau keceluparan saya. Malangnya, saya bukanlah sahabat kepada  Dr. Emmett "Doc" Brown. Saya hanya seorang lelaki yang sering melakukan kesilapan dan memohon maaf - itupun jika permohonan maaf saya diterima - jika tidak saya mesti (?) bersedia menerima padahnya. Seorang sahabat saya pernah menyampaikan pesan, " kesilapan yang kita lakukan dengan Tuhan, tidak pernah Tuhan berkecil hati tetapi kesilapan kita dengan insan, akan memakan masa yang lama untuk dilupakan".  Dan malam itu, ketika bunyi cengkerik seakan irama merdu, saya sungguh menyesal kerana mengeluarkan kata-kata yang pada saya hanyalah sekadar ungkapan. Si penerimanya, mungkin tidak memaafkan saya lagi.
  Malam itu juga, saya hanya ingin merasa indahnya saat bermimpi kerana esok hari saya perlu berdepan dengan realiti.

December 17, 2012

Kami


Kami ketawa, kemudian bercerita
Kami ketawa lagi, hingga hilang sudah suara
Kami membisu, kemudian bertentang mata.
Kami kembali ketawa.

Dunia kami ;
ada rasa
ada jiwa
ada kasih
ada cinta

Dalam kami ;
walau sering ketawa
walau sering bercerita
walau sering bersuara
masih ada tebalnya luka.

December 14, 2012

Senja


Pintu senja yang terbuka, menjemput malam untuk beradu
kasih dan syahwat pun bertemu
Begitu dijanjikan, begitulah yang dirindukan.

November 28, 2012

Hujan III


Sekarang musim hujan. Betulkah sekarang musim hujan? Macam tidak percaya. Tapi perlu juga percaya kerana hujan akan selalu turun sebelah petang. Tidak ”percaya hujan turun” tidak sama seperti tidak ”percaya hujan akan turun”. Ada bezanya. Mahu tahu mana bezanya? Ahhh, carilah sendiri. Gunakan otak kamu wahai kawan. Rugi rasanya tidak menggunakan otak dan akal untuk berfikir sedangkan sepanjang hayat, manusia cuma menggunakan 10% sahaja dari otaknya, itu rumusan mengikut teori Albert Einstein. Menurut teori saya, manusia lebih banyak menggunakan lutut daripada menggunakan otaknya. Letak otak pada lutut. Untung-untung boleh bermain bolasepak dengan baik dan mampu mengalahkan Indonesia-angan-angan mengalahkan England sama seperti mimpi mendapat RM1 juta- biar logiklah.


Berbalik pada hujan (sebelum menyimpang jauh pada teori-teori dan falsafah). Saya sebenarnya sukakan hujan. Tidak kiralah bila masanya hujan turun. Pagi, tengahari, petang atau malam- dan menurut mereka yang sudah berkahwin, selalu didoakan supaya hujan sentiasa turun sebelah malam – hujan tetap sama sahaja. Rintik kecil seperti jarum yang memaku bumi kemudian beransur menjadi dentuman yang membingitkan telinga-jika menimpa bumbung zink rumah- tetap juga hujan.

Hujan sering memberi ketenangan kepada jiwa halus saya. Biarlah rintik kecil atau seperti simbahan dari timba, hujan tetap hujan, sesuatu yang mendamaikan. Kerana itulah juga, saya menulis dua entri berkaitan hujan. Boleh di baca di sini dan di sini
Perlu juga di ingat, hujan memberi saya rasa muda yang bukan sedikit kesannya. Rasa muda?

Ya, rasa muda...
Ahhh....jadilah segera dewasa jika mahu tahu apa maksud rasa muda.

November 06, 2012

Gua dan Cita-Cita

      Gua tidak pernah mengidam untuk menjadi seorang kakitangan bahagian sumber manusia di sebuah syarikat yang diasaskan hasil daripada Dasar Pandang Ke Timur. Tidak pernah. Langsung tidak pernah. Gua serius.
      Dulu-dulu, semasa gua masih bersekolah rendah, apabila guru sekolah gua yang kebiasaannya akan nampak serabai selepas jam 10:00 pagi bertanya tentang cita-cita, gua sering menjawab, “saya ada 4 cita-cita”. Satu, mahu menjadi peguam. Dua, mahu menjadi penyanyi sama macam Zainal Abidin(waktu itu beliau bersama Headwind). Ketiga, menjadi polis trafik dan keempat mahu menjadi penyajak (sejak bangku sekolah rendah dan mula pandai bercinta, gua sudah gila akan sajak-sajak Sasterawan Negara Usman Awang). Cerita mahu menjadi penyajak ini bermula apabila gua terjumpa buku Tulang-Tulang Berserakan kepunyaan pak cik gua - seorang posmen - dan gua melunyaikan buku ini; diulang baca setiap malam di serambi rumah datuk gua. Gua juga dipengaruhi cerita Seorang Tua Di Kaki Gunung lakonan Tamam Idris sebelum menjumpai buku itu di perpustakaan sekolah dan gua pinjam tanpa tahu memulangkan.
      Itu cita-cita semasa gua bersekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Kubang Tedoh, yang mana sering menyaksikan gua menjadi Ruud Gullit ketika menyepak bola di padang sekolah - gua masih ingat, setiap petang juga gua akan panjat pagar sekolah untuk mengutip bola yang disepak dan melepasi pagar, menjahamkan tanaman padi. Kebiasaannya, gua akan bermain di posisi penyerang dan tendangan gila gua akan tersasar jauh, sama ada ke atas dan melepasi palang gol meninggi melampaui pagar sekolah atau tersasar ke tepi. Gua bermain menggunakan otak, banyak rehat daripada berlari atau bersembang-sembang dengan penjaga gol pasukan lawan. Gua main “curi ayam” dan dikhabarkan oleh sekumpulan cikgu, “amat berbisa gelecekan dan kuisannya”. Sumpah, ini serius. Jika sekumpulan cikgu itu menipu, maka gua pun menipu tetapi ini cerita serius.
      Semakin membesar, apabila bersekolah menengah, gua sudah mempunyai cita-cita yang lain. Persekitaran dan pengaruh dari buku mendewasakan akal gua, tetapi masih meremajakan fizikal gua. Gua belajar bermain gitar dan berangan-angan menjadi Jimmy Page tetapi pada waktu yang sama gua masih mahu menjadi peguam. Juga mahu menjadi penulis sehingga mencapai tahap sasterawan - dan lebih diutamakan cita-cita menjadi penulis - hingga memaksa gua untuk membaca sekian banyak buku - mendahului daripada pesanan Pak Samad kepada Faisal Tehrani, katanya “ada 5 syarat untuk menjadi seorang penulis. Pertama, membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat juga membaca dan kelimanya menulis.” - gua terus-terusan serius membaca walaupun Pak Samad tidak pernah berpesan kepada gua.
     
      Percaya atau tidak, gua mencuri membaca kumpulan cerpen Debu Merah karya Shahnon Ahmad di dalam tandas rumah gua! Serius. Memang ini serius, bukan dongengan seperti filem Magika atau dunia khayal Avatar yang menjadi mahakarya James Cameron.
Gua selitkan buku ini di bahagian atas yang terselindung dengan susunan bata-bata dan dibalut dengan plastik mengelakkan daripada disimbahi hujan. Gua diam lama di dalam tandas, cuma untuk menyudahkan buku ini dalam naratif singkat. Akhirnya, disudahkan dalam masa enam hari sebelum dipulangkan kepada tuannya, seorang saudara perempuan sebelah ibu; gua panggil Mak Su Yah (sekarang Cikgu Aishah). Dia rajin membaca kerana desakan aliran Sastera sistem persekolahan ketika itu.
      Gua juga diperkenalkan dengan Daerah Zeni, juga oleh Mak Su Yah. Ini buku pertama Pak Samad yang gua baca, ketika berusia belasan tahun (sebelum gua menadah harap keputusan SRP).
      Gua disedut masuk ke dalam Daerah Zeni, tenggelam dan timbul semula dengan lakaran cerita yang membuatkan gua percaya katak itu bodoh kerana melanggar tin kosong di kawasan landasan kereta api. Sampai ke hari ini, kelakuan katak yang melanggar tin kosong itu membayangi diri gua dan Daerah Zeni.
      Satunya, azab gua disebat dengan rotan sebesar kelingking oleh abah yang berjaya mengesan gua sedang membaca Daerah Zeni yang disembunyikan di dalam buku Sejarah Tingkatan 2. Abah memang tidak suka apabila gua membaca novel, cerpen atau apa-apa bahan bacaan selain daripada buku teks sekolah. Gua juga tidak pernah didatangi mimpi yang membawakan bayangan bahawa abah akan menghadiahkan gua novel atau kumpulan cerpen. Abah bukanlah si Doraemon yang akan memenuhi setiap impian Nobita.
      Dua, kerana itulah satu-satunya buku Pak Samad yang belum lagi memenuhkan rak buku di rumah gua. Ya, gua amat serius. Gua mahu menyediakan satu rak buku khusus untuk menempatkan karya-karya Pak Samad - siapa lagi yang mahu meraikan Sasterawan Negara @ Sasterawan Rakyat jika bukan diri pembaca. Pemerintah? Oh, pemerintah lebih mengagungkan penerima Anugerah Seri Angkasa atau pencapaian penyanyi pada malam Anugerah Industri Muzik. Di Malaysia, kita perlu menerima realiti bahawa anugerah Sasterawan Negara bukanlah tiket untuk diraikan dengan seenak-enaknya. Bahkan, janganlah mengidamkan kewujudan Muzium Penulis seperti megahnya Dublin Writers Museum.
      Mujurlah, dalam keghairahan gua bersajak untuk memikat awek atau membaca novel dan cerpen, keputusan SRP gua amat cemerlang.. Gua, lelaki genius yang mahu merobek tangkai hati wanita di sekolah. Wah, gua lelaki elegan dengan kemabukkan falsafah yang dipinjam kata dari buku sastera.
      Hasil keputusan cemerlang dalam SRP - dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu kecuali mata pelajaran Bahasa Inggeris - telah menyaksikan gua berjalan kaki hampir 15 kilometer dari sekolah untuk pulang ke rumah bagi membayar “niat” lulus cemerlang, gua ditempatkan di sebuah sekolah berasrama yang dipenuhi dengan pelajar maha rajin berotak pintar. Gua semakin tercabar kerana dijajah kemahuan. Gua masih mahu menjadi peguam, atau seorang penulis tetapi dipaksa keras untuk belajar aliran Sains. Nah. Kediktatoran abah terserlah walau sebenarnya abah pengamal dan penyokong demokrasi fahaman Tun Dr. Mahathir. Gua redah dengan marah. Gua memberontak tetapi tidak menghentak kepala sesiapa pun. Gua menjahamkan impian abah untuk melihat gua menjadi manusia pertama dari bumi Malaysia mereka lakar enjin F1 untuk Petronas. Gua sebenarnya bukan bengap, tetapi seperti yang gua katakan tadi, gua memberontak - ya gua memberontak kerana terpaksa belajar sesuatu yang bukan daripada minat gua.
      Semasa di sekolah berasrama inilah gua dihasut oleh diri sendiri untuk menjadi penggemar karya sastera dari Barat. Gua mencabar diri membaca karya Ernest Hemingway dan dengan wang saku yang dihulur abah pada setiap minggu, juga lebihan daripada belian rokok Dunhill, gua berjaya membeli For Whom the Bell Tolls dengan harga RM8.00 dari sebuah toko buku terpakai di Jalan Sultan Ibrahim, berhampiran pejabat Pos Besar di Bandar Alor Setar. Gua berendam lama, mendalami jati diri Robert Jordan dan gerakan gerila di Sepanyol. Akhirnya, gua berbangga kerana menjadi pelajar lelaki pertama dari sekolah itu yang membaca dan mempersembahkan sifat keilmuwan berfahaman tinggi kepada seorang guru Bahasa Inggeris yang berangan menjadi sami Buddha.
Hasil daripada pengulangan gua yang akan terus ke bandar Alor Setar pada setiap hujung minggu - juga kecekapan gua keluar masuk asrama pada waktu malam - gua berjaya mendapatkan Old Man And The Sea dengan harga RM5.00; juga dari toko buku terpakai yang sama. Sekali lagi, sama seperti Santiago yang belayar bersendirian di Teluk Mexico, gua berjaya mengumpan kekaguman kepada guru Bahasa Inggeris tersebut. Gua, anak murid beliau yang pertama membaca Old Man And The Sea dan juga mendahului diri beliau sendiri.
Sejak itu, gua sering membaca, apa-apa sahaja bahan bacaan yang tidak berunsur “sekolah” tetapi lebih terarah kepada bidang sastera. Gua memunggah khazanah yang menghuni rak-rak buku di perpustakaan sekolah, mencari segala macam bahan bacaan untuk memenuhi tuntutan nafsu gua juga untuk dilampiaskan menjadi jalinan ayat-ayat cinta untuk menjebak dara. Sehinggakan Kelapa Nan Sebatang dan Keris Laksaman Bentan gua hadam dan lebih arif daripada pelajar aliran Sastera. Gua sering mahu mencuba menjadi penyajak, tetapi sering diketepikan kerana peranan gua yang aktif dalam aktiviti perobohan pagar sekolah dan contengan abstrak pada dinding tandas. Gua budak nakal yang penuh dengan jiwa halus dan berseni, berkarya melalui luahan marah.
      Seingat gua, pada penghujung Tingkatan 4, gua diberi peluang mendeklamasikan sajak - setelah berjaya memujuk guru pembimbing dengan sekotak rokok Gudang Garam hitam - di pentas gah di dewan sekolah pada malam perpisahan pelajar, terutamanya untuk rakan-rakan yang akan menduduki SPM dan STPM sebelum mereka meninggalkan zaman persekolahan. Gua menggunakan peluang sebaik mungkin, sepertimana Marco Van Basten yang tidak pernah mengecewakan lorongan kemas dari Frank Rijkaard. Pada akhir bait-bait puisi itu, gua memejamkan mata dan melantunkan ayat-ayat terakhir dengan begitu ikhlas. Tepukan bergema. Gua membuka mata. Lampu sorot memancar tepat kepada gua. Gua diberi sorotan dan lampu pentas dipadamkan. Guru-guru bangun dan bertepuk.
      Gua, lelaki yang menjadi buruan warden asrama akhirnya menghantar makna hidup melalui bait puisi yang diterima hebat para pendengar yang terdiri daripada pelajar pintar hasil didikan guru hebat di sebuah sekolah berorentasikan kecemerlangan berasaskan moto “Ilmu Panduan Hidup”.
      Itu, kali terakhir gua mendeklamasikan puisi di sekolah itu. Tahun selepas itu? Gua menjadi gitaris yang mengalunkan salam perpisahan dengan lagu Sweet Child O Mines dari pentas yang sama - pentas yang gua gunakan untuk memahamkan rakan dan guru bahawa dalam jiwa gua ada seni yang tersembunyi.
      Begitulah, keakraban gua dengan buku sehingga membenihkan impian gua untuk menjadi penulis dan melupuskan sama sekali harapan gua untuk menjadi peguam, juga harapan abah untuk menyaksikan sekurang-kurangnya gua menjadi Jurutera Carigali Petronas dan membaham ganas royalti rakyat Kelantan.
      Impian-impian yang wujud dari dunia khayalan ini bercambah, sebelum gua sedar dalam diri gua ada kekurangan-kekurangan nyata. Contohnya, gua mudah bosan untuk menaip dan sering kali benih-benih ilham itu akan turut terhapus, sama seperti hilangnya kepulan asap rokok yang menderu deras hilang setelah dilepaskan ke udara.
      Akhirnya, gua tersadai di kerusi empuk dan berdepan dengan pelbagai ragam pekerja yang sentiasa mahu dilayan bagai raja -sedangkan gua juga seperti mereka - mahu semuanya mudah dan senang. Gua bergelut antara sifat ketua yang mahu menyenangkan hati semua pihak dan adil pada semua - sering gua persoalkan intergritinya juga - dan memaut hati pengurusan peringkat tinggi.  Gua hanya makan gaji - masuk jam 08:00 pagi tetapi pulang tidak menentu. Syukurlah, gua masih mampu membaca walau waktu sering cemburu. Sering kali, dalam kesibukan itu, gua masih berpeluang memetik gitar walau jari sering pedih dan sakit.
      Jauh di dalam lubuk hati, gua masih mahu menjadi penulis, walaupun yang membacanya hanya diri gua. Gua menulis, kerana gua bukanlah pelukis yang menjadikan kanvas sebagai pentas luahan.
      Ya, gua mahu terus meluahkan kerana gua mahu menjadi seperti manusia-manusia lain.

October 31, 2012

BERITA INTERNET

Ketika membaca berita di laman web Reuters pada pagi 16-Oktober 2012, saya tersenyum. Cuma mampu senyum-walau sebenarnya saya debar- dan menelan air liur.


Saya tersenyum ketika itu bukan kerana paparan berita yang sedang saya baca tetapi kerana memikirkan masih ada manusia yang beranggapan bahawa dunia penyebaran berita di laman sesawang internet masih mengikut kasta.Golongan ini boleh, golongan itu tidak boleh.
Mereka berfikiran bahawa mereka boleh menentukan berita apa yang perlu di siarkan, berita apa yang patut diharamkan.Ini pemikiran dangkal yang di warisi dari era penjajahan.

Pada mereka, hanya puak mereka sahaja yang layak membaca dan mengetahui kerana kebijakkan mereka menapis dan menganalisa berita. Puak selain dari mereka ; kelasnya hanya suratkhabar dan memo syarikat, tidak lebih dari itu. Jika ada yang menggunakan internet pun hanya untuk mencari bahan lucah dan berhubung berita fitnah di laman Facebook.
Ini, tanggapan mereka.

Saya mengingat dengan kuat bahawa kebebasan media tradisional dan media internet di Malaysia yang diikat dengan kira-kira 35 undang-undang yang menghalang kebebasan dan sepatutnya pihak pemerintah menambah satu lagi undang-undang terhadap media - Undang-Undang Menghalang Pembacaan Berita di Laman Internet. Di dalam undang-undang itu nanti, letakkan dengan jelas jenis-jenis manusia yang layak dan tidak layak mendapat maklumat melalui internet. Lebih mudah begitu.

Dan saya masih lagi tersenyum dan debar sekiranya saya turut dikesan membaca berita di laman web Reuters pada pagi 16-Oktober-2012.

Hujan Di Hujung Petang Akhir Oktober


Hujan di hujung petang akhir Oktober

Dalam debar dan harapan yang nazak
Ketika kencang jantung semakin berombak
Tangan-tangan hina mengaminkan doa
Mengutus harap kepada Tuhan
Moga dikirim malaikat penyelamat
Membuka pintu-pintu rezeki yang tersembunyi

Hujan di hujung petang akhir Oktober
Memamah rakus impian.


October 14, 2012

Beruk

Maka berkatalah sang pencerita,"kita bukanlah manusia yang masih bercawat merentas sesak hidup di kota. Kita kononnya manusia moden tetapi sebenarnya kita cuma layak memakai cawat dan hidup di hutan, menganggotai kawanan beruk dan sidang rimba."

September 22, 2012

Tetamu


Kau ketuk, aku buka.
Aku persila, kau meluru masuk.
Aku layan kau sebagai tetamu, diberi segala yang di rasakan mencukupi.Terkias, aku beri lagi segala yang termampu.Kau senyum.
“Puas”, katamu.
Aku tersenyum bangga dapat memuaskan hati tetamu, walau sebenarnya aku tidak mampu.
Aku lari ke belakang, cuba mencari lagi apa yang perlu, membiarkan kau keseorangan di ruang itu, sengaja aku lakukan.Sengaja aku biarkan kau keseorangan begitu.
Aku mahu mencari ramuan terbaik untukmu.Aku mahu kau faham sepenuhnya yang kau bukan hanya seorang tetamu.

September 09, 2012

Surat Dari Paris - 2

Untuk seketika waktu, Saerah hanya memerhati sahaja sampul coklat yang terlekat setem dari Perancis itu. Ini kali kedua dia menerima sampul surat dan setem yang serupa.
Dingin penyaman udara di dalam kereta Gen 2 berwarna hitam yang dipandunya di pasang pada kelajuan maksimum.Sudah hampir 30 minit kereta itu tidak bergerak, hanya di hidupkan enjin dan di pasang penyaman udara sahaja, masih di petak parkir yang terletak di tingkat 3 kediamannya. Mood ke tempat kerja hilang sama sekali.

Dia masih ingat dengan kukuh, surat pertama yang di terima sebulan lalu telah memeranjatkan dirinya, bukan sedikit airmata yang tertumpah. Dia benar-benar terkejut, Aidil yang hilang sejak 4 bulan lepas rupanya sudah bertamu di Perancis, negara yang selalu diangankannya.
Aidil, lelaki yang tidak pernah menyerah kalah tetapi sejak peristiwa perdebatan antara dia dan Saerah berkaitan permasalahan perhubungan mereka berdua dan di susuli dengan tindakan Saerah yang terus mendiamkan diri, Aidil terus meninggalkan kediaman mereka-sebuah kondominium mewah berkonsepkan studio- di pinggiran sebuah tasik buatan manusia. Aidil menghilangkan diri dan Saerah memilih terus menetap disitu.
 Ini kediaman mereka yang ketiga. Yang pertama mereka menyewa sebuah pangsapuri di Sunway, Petaling Jaya sebelum Aidil memutuskan untuk berpindah kerana terlalu ramai warga Afrika. Dia bimbang keselamatan Saerah.  Lalu mereka berpindah ke sebuah 'service apartment' di kawasan Puchong sebelum Aidil terus membelikan sebuah kondominium di kawasan Seri Kembangan.

Lama Aidil hilang sebelum muncul sepucuk surat dan sepucuk surat itulah yang menggetarkan kembali hati dan perasaan Saerah. Dia rasa bersalah, amat-amat bersalah. Pelbagai persoalan timbul dalam dirinya. Kini, di tangannya sudah tergenggam surat yang kedua. Dari bentuk tulisan, dia tahu surat itu dari Aidil.
Perlahan-lahan dia membuka sampul coklat tersebut.



Sayang,
Ketika abang menulis surat ini, abang baru sahaja kembali dari melawat perkampungan kecil Oradour Sul Glane- kota sunyi yang di ranapkan semasa perang dunia kedua oleh askar Jerman. Semua penduduknya di bunuh oleh askar Jerman ketika itu.Tempat ini sekarang sudah menjadi antara tempat yang mesti di lawati oleh pelancong-pelancong ke Perancis. Abang menggigil kesejukan sewaktu menulis surat ini, cuaca semakin menurun ke tahap beku walaupun musim sejuk di jangka tiba dalam masa sebulan lagi. Abang amat ternanti-nantikan salji yang akan turun, bagaimanakah indahnya permukaan bumi yang di liputi salji. Ahhh....angan-angan abang untuk memegang salji insyaalah akan tercapai juga.
Dulu, kita selalu berangan untuk makan angin. Bukannya tempat yang jauh-jauh sangat, cuma mahu ke Cameron Highlands sahaja. Pernah juga kita angankan untuk Phuket, tetapi sayangnya kita selalu bermasalah, passport tentunya.
Akhirnya, abang "makan angin"sorang-sorang sambil membawa lara hati.
Itu lebih baik dari duduk dan menetap di Malaysia kerana setiap kali abang menjejakkan kaki di beberapa tempat, ingatan abang segera terimbas kepada sayang. Mungkin pilihan abang menjejakkan kaki di bumi kelahiran
Jean-Paul Sartre ini tepat. Kita dapat berjauhan dan abang rasa sayang lebih sukakan begitu. Kerana, selagi abang di sana, jemari abang pantas akan mengirim sms kepada sayang, atau kekadang menghubungi melalui panggilan yang akan mengganggu hidup sayang.
Sebenarnya, abang semakin tersepit di sini, dari segi kewangan terutamanya. Tunai yang di bawa dari Malaysia dan sudah di tukarkan kepada matawang Euro seakan mengecil ke tahap paling sedikit, cek kembara masih berbaki lagi, perlu menguruskan ekonomi dengan bijaklah nanti. Hidup sebagai pelarian tanpa apa-apa pekerjaan(buat masa sekarang) amat memeritkan. Abang cuba berjimat. Mujurlah, baru-baru ini berjumpa dengan seorang kenalan yang bekerja dengan kedutaan Malaysia dan beliau sedang berusaha untuk mendapatkan pas bagi membolehkan abang bekerja di sini.
Bagaimana dengan keadaan adik? Sudah selamatkah melahirkan anak sulung? Mak dan abah tentu suka sekali, sayang juga barangkali yang paling suka. Pesan pada suami adik, sekarang tidak tidak lagi boleh menonton Naruto, hahahahahahaha.

Sebagai penamat surat ini, abang doakan sayang sihat dan bahagia dengan kehidupan sayang.
p/s : Sayang masih lagi 'malas'mandi? Hehehehehehehe
     Jangan bangun lewat-lewat tau.
 

Salam sayang dari abang.
Montmartre, Paris.


Saerah merenung surat tersebut. Dia terus hilang bicara sedang radio sedang memainkan lagu Dadali, Di Saat Aku Mencintaimu.
"Aku inginkan dirimu datang dan temui aku. 
Kan ku katakan padamu aku sangat mencinta..."Ini lagu kesukaan Aidil.....

September 04, 2012

Surat Dari Paris


Deru angin yang menerobos menerusi ruang tingkap yang sedikit terbuka itu menyapa lembut rambut Saerah. Dia baru selesai mandi. Wangi dari syampu badannya mengapung segar. Saerah memejamkan mata, menghidu aroma yang masih melekat di kulit gebunya. Dia membelek-belek tubuhnya di hadapan cermin. Masih cantik, masih ada pesona dalam dirinya.

Radio yang terpasang sejak malam tadi dengan tenang mengalunkan suara Adele yang melagukan Don't You Remember, pantas memenuhi ruang kondominium mewah yang hanya mempunyai satu bilik itu.Suara penyanyi kelahiran Tottenham, England itu sungguh menyenangkan jiwa Saerah. Dia di jemput damai.

Saerah menuju ke arah tingkap yang sedikit terbuka itu, lalu menutupnya. Sebelum menutup tingkap, Saerah menjenguk ke bawah. Jelas kelihatan, beberapa pemuda Arab sedang mandi dengan riang di dalam kolam mandi di tingkat 7.
Angin dari belahan tingkap itu membuatkan tubuhnya tergigil kesejukan, apatah lagi setelah bertembung dengan dingin penyaman udara. Dia segera menutup tingkap dan membetulkan tuala putih yang menutupi sebahagian atas tubuhnya. Kaki Saerah yang telanjang itu menguis-nguis hujung karpet, sengaja dia berbuat begitu untuk membetulkan kedudukan karpet yang sedikit tersandung kaki rak tv.

Saerah membelai-belai rambutnya yang basah dengan hujung jari. Dia tersenyum sendirian. Kenangan-kenangan lalu menggeletek hatinya, malu sendiri dan berhenti dari membelai rambutnya.

Saerah membelek surat yang di ambil dari peti surat ketika baru pulang dari kerja malam tadi.Kerana terlalu penat, surat-surat itu di tinggalkan di atas meja makan. Di antara surat-surat itu, terselit sekeping surat dari Perancis dengan setem 7.25. Sampul surat berwarna coklat gelap itu segera dibukanya.

"Saerah, 

Jika diberikan sayap, abang mahu terbang dan pulang ke sana, ke daerah yang mempertemukan kita. Abang rindukan rumah kita yang bertentangan dengan tasik yang maha cantik itu-riak air yang mendamaikan dan sesekali ketenangan tasik itu diterjah oleh bot-bot cantik yang membawa pengunjung mengelilingi dan meneroka khazanahnya- rakaman memori persekitaran rumah kita di tingkat 16 itu sentiasa ada dalam minda abang. Begitu juga dengan lagak pengawal di bahagian "main entrance" yang langsung tidak pandai berbasa-basi.
Itu sudah menjadi memori untuk abang. Saerah bolehlah tinggal di situ, selagi mahu.
Di sini, abang menyewa sebuah bilik berkeluasan 14m² dengan kadar sewa 220€, sedikit sempit tetapi masih lagi selesa untuk abang. Di sediakan sebuah katil bujang dengan tilam yang amat tebal, meja menulis(abang sedang menulis beralaskan meja inilah), alat pemanas yang menggunakan tenaga solar, almari pakaian dan juga sebuah cerek elektrik jenama Pensonic buatan Malaysia(abang bangga). Bilik ini menghadap sebuah bangunan yang di jadikan tempat pertemuan warga Asia-abang akan meninjau-ninjau kemudian nanti untuk mencuba nasib mencari warga Malaysia- boleh di buat teman berbual.
Masihkah ingat, betapa kita terkekeh ketawa ketika menikmati "cup noddle" kerana terlalu malas untuk  membeli makanan di luar? 
Itulah juga makanan ruji sepanjang abang di negara kelahiran Victor Hugo ini. Abang belum serasi dengan roti yang pelbagai jenis dan perasa di sini, cuma kopinya amat memikat sekali. Ahhh....tetapi tidak sesedap teh tarik di Malaysia.
Abang baik-baik sahaja di sini, sambil memasang impian untuk meneroka Sungai Seine.Mahu juga melihat dengan dekat Jambatan Alexander III yang merupakan simbol persahabatan antara Perancis dan Russia dan batu-bata dari penjara Basttile yang mengukuhkan Jambatan Concorde. Sudah tentu, dengan sebesar harapan dan impian mahu melihat Eiffel Tower yang bongkak itu.
Cuaca di sini juga semakin dingin. Peralihan dari musim luruh ke musim sejuk. Abang sudah bersedia membeli beberapa helai pakaian tebal dari jualan murah di sebuah “Grand Supermarché’’-seakan pasar raya Mydin di USJ 1, Subang Jaya- tetapi harga barangannya sedikit berkualiti.


Satu pesanan abang, jagalah diri .Abang akan cuba menulis sekerap mungkin. Tidak perlulah bersusah menulis kepada abang kerana abang sendiri tidak pasti berapa lama akan berada di Paris ini.  Boleh sahaja kirimkan abang email ringkas jika mahu.


Salam kasih dari abang.

Montmartre, Paris.


Airmata Saerah mula menitis. Di sekanya dengan jari halus. Surat tadi di lipatnya kemas, di masukkan semula ke dalam sampul berwarna coklat itu. Dan suara Adele makin sayu mengalunkan bait lirik;
When will I see you again? 
You left with no goodbye, not a single word was said 
No final kiss to seal anything.....

September 03, 2012

BISU



Ada sesetengah manusia yang akan membisu apabila di asak dengan soalan. Alasan mereka,
"membisu lebih baik dari berkata-kata".
Itu kata mereka.

Bagi saya, membisu adalah senjata paling membunuh kerana ia berdikit menimbulkan persoalan yang tidak mempunyai jawapan.



August 29, 2012

Salamun Zakrun

 Foto dari laman maya dan tiada sebarang kena mengena dengan diri saya
"Anak kecil itu menendang-nendang angin, sambil tangannya menggapai sana sini. Ini saat pertama dia melihat dunia dan isinya sesudah di azankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kiri sebelum di tahnik dengan manisnya kurma."

Begitulah, permulaan untuk suatu kehidupan panjang yang kian pendek....

Saya pernah merasai saat-saat begini ketika menyambut kedua-dua putera saya, yang berselang umur hampir 3 tahun. Debar dan resah sepanjang penantian episod kelahiran ini akan terubat ketika merenung wajah mereka yang masih kemerahan-merahan.
Mereka, pewaris kita.

August 17, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Aidilfitri
Bukan mudah menguak kenangan zaman kanak-kanak
Ia melekat kejap dalam ingatan.
Aidilfitri lebih dari sekadar saat berjumpa dan bergelak sakan bersama
teman zaman kanak-kanak.


Aidilfitri juga bukan sekadar menggamit nafsu makan. Bukan juga sebagai pelepas
rindu pada ketupat palas.
Ia lebih dari pesta makan-makanan yang akan memeranjatkan sistem penghadaman tubuh.

Atau juga sekadar pelengkap satu putaran perjalanan.
Dari bandar ke pekan, ke kampung dan kembali
semula ke pekan dan ke bandar.

Aidilfitri adalah kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

August 12, 2012

Ingatkan Aku....



Ingatkan aku
tentang bahang di musim salju

Ingatkan aku
tentang duka ketika tawa

Dan Dia sering ingatkan aku
tentang sejadah kusam
tentang kelopak mawar
tentang hujan

Masih lagi perlu ingatkan aku
tentang telanjang rohani
tentang kenal jati diri
tentang DIA penciptaku.

August 11, 2012

Sebuah Cereka Untuk Salina


Cuba klik SINI .
Ada sesuatu yang menunggu.
 
Situasi 1
Latar : Restoran mamak Seksyen 9. Manusia terlampau padat, semua memberi tumpuan pada skrin LCD bersaiz 42" yang tergantung tinggi, sedang menayang siaran langsung acara Keirin Sukan Olimpik. Susuk Azizuhasni Awang sedang mengerah kudrat dan penonton menanti penuh debar.

"Lu tak baca Salina macam tak lengkap putaran hidup le boii..." jawab gua pada pertanyaan seorang sahabat yang suka beli buku tapi malas baca buku.


Situasi 2
Latar : Rumah sendiri. Sunyi. Hanya kedengaran alunan muzik Gipsy King memenuhi ruang tamu. Buku Freedom karya Jonathan Franzen terkuak-kuak di sapa angin dari kipas siling. Bau asap rokok cukup kuat bagi membuktikan seorang lelaki telah berjaya menghabiskan 10 batang rokok sesudah berbuka puasa.

"Dalam Salina ada watak nama Abdul Fakar(makan tanggung berak cangkung)", pantas gua membalas kembali kiriman sms seorang sahabat lama yang sudah 2 tahun tidak bekerja.


Situasi 3
Latar : Dalam sebuah kereta buatan Jepun, bersama seorang rakan yang bertindak sebagai pemandu. Bau kusyen bersalut kulit membuat jiwa mengembang megah. Ini, antara impian yang terbuku dalam jiwa seorang lelaki.
Kereta meluncur laju membelah Lebuhraya Persekutuan yang di rasakan kurang relevan di sebut sebagai lebuhraya.

” Aduii, lupa pula nak bank in duit buku yang R*** order”, keluh gua sesudah teringatkan tempahan untuk Salina yang belum lagi di jelaskan bayarannya.
”Bosanlah aku, asyik dengar cerita pasal buku je. Cerita le pasal mancing ke, best sikit.”
”Sebab saya suka membaca”, balas gua seraya memerhatikan speedometer yang sedang mendaki 100km/h.
”Apa yang hang dapat, asyik baca saja”.
”Sebab ayat al-Quran pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah ’bacalah’. Takde pun sebut ’mancinglah’.”
Dan gua lihat speedometer semakin menghampiri 140km/h....


                                    
Edisi Khas - Cetak 500 naskhah sahaja.
Menerima tempahan kini: Siri 300-400.
RM65 Semenanjung / RM70 Sabah/Sarawak.
Kulit Keras/Ditandatangani Pak Samad
E-mel: helmysamad@gmail.com untuk dapatkannya!
(Penghantaran melalui Poslaju untuk siri ini bermula akhir September 2012)
(Tinggal 171 naskhah sahaja)
Maklumat lanjut boleh layari blog Helmy Samad

July 27, 2012

WARKAH AGUNG

Ini bukan sekadar sampul surat. Dalamnya terselit warkah agung pengubah minda.
Catatan warkahnya ada cerita duka, ada paparan lara. Catatannya juga barangkali tercalit bahagia yang tersimpan lama. Terkandung catatan pengingat buat sahabat, kekasih, kawan, barangkali juga lawan.

Ia mengikat dengan kenangan, duduk kukuh dalam ingatan.
Ia bakal mereput tetapi kenangan itu mengapung segar.




* Dalam sampul ini, tersimpan secebis kisah yang duduk kejap dalam ingatan saya. Pengirimnya banyak mencorak susuk pemikiran dan kehidupan saya sekarang.

July 25, 2012

Travelog Semenanjung


Ini angan-angan terbesar dalam hidup saya-setakat ini- untuk mula mengembara. Mulanya, ia hanya apungan idea yang meletus kesan dari kegemaran saya membaca naskah-naskah pengembaraan.Ia mengapung, berkembang dan mula rintik, mengkhayalkan dan akhirnya mahu saya jelmakan.
Travelog Semenanjung adalah satu projek yang akan mencatat perjalanan saya-berkembara- mengelilingi Semenanjung Malaysia. Saya mensasarkan negeri Perlis sebagai tapak mula dan akan berakhir di Kelantan.

Perjalanan ini akan meliputi pekan-pekan kecil, bandar dan bandaraya yang berada di sepanjang laluan itu nanti.

Saya terdetik untuk memulakan projek “Travelog Semenanjung”setelah saya sedar lambakan buku yang berunsur “travelog”di pasaran. Saya melihat, penulis tempatan lebih berminat menulis tentang perjalanan mereka ke luar negara. Contohnya, Nisah Haron menulis Kembara Sastera.- United Kingdom dan Dublin. Ianya adalah catatan perjalanan penulis ketika melawat United Kingdom dan Dublin.

Sebelum ini, Pak Samad Said pernah menghasilkan Warkah Eropah, juga tentang pengalaman beliau di benua Eropah.
Karya travelog yang terbaru, Travelog Beijing tulisan bersama tiga pengarang – Izan Ali, Nurfa dan Uthya Sankar SB yang mencatatkan perjalanan semasa melawat Beijing di China.
Sebelum dari ini pun, Karim Raslan pernah mencatat pandangan beliau berkenaan sesuatu tempat yang di lawatinya yang di muatkan dalam naskah siri Ceritalah yang bermula dengan Malaysia Dalam Peralihan- Ceritalah 1, Menjajat Asia Tenggara – Ceritalah 2 dan yang terbaru, Ceritalah 3 : Impian Malaysia Yang Tertunda. Catatan Karim Raslan lebih menjurus kepada jurai artikel yang mengandungi pendapat beliau dari segi politik, budaya dan pemikiran rencam tentang struktur negarabangsa.

Jika di ambil secara rinci, Warkah Eropah karya Bapak lebih memberi penekanan kepada perjalanan beliau yang di kupas sedekat mungkin, merangkumi perbelanjaan beliau, tempat tinggal dan tempat-tempat yang beliau lawati.

Saya tertanya-tanya ; mana travelog yang penulis Malaysia lakukan untuk tanahairnya sendiri? Tidak menarikkah budaya dan kehidupan masyarakat sendiri?
Tiadakah penulis yang mahu mencatat pengalaman mereka menjajat tanahair sendiri?

Lantas, saya berkata dengan diri sendiri. ”Kenapa tidak aku mulakan?” Bukankah lebih baik melaksanakan sesuatu yang kita fikirkan? Action is louder than words.
Maka saya mengambil peluang yang ada, selari dengan minat saya untuk berkelana dan menulis dan terhasillah projek yang saya namakan Travelog Semenanjung ini.

Permasalahan utama saya adalah dari segi kewangan. Saya memerlukan bantuan dana untuk perkara-perkara penting sepanjang kembara itu nanti. Harapnya, jika kena pada gayanya juga, barangkali akan di pertimbangkan untuk memohon dana dari beberapa pihak-(saya terinspirasi setelah mendengar cerita dari Uthaya Sankar berkaitan pembiayaan perjalanan ke Beijing).

Kos penginapan, pengangkutan dan makanan adalah perkara paling mustahak yang saya perlukan.
Untuk penginapan, saya hanya memerlukan sebuah bilik hotel murah-rumah tumpangan juga sesuai orang seperti saya.

Sementara itu, untuk pengangkutan saya berkira-kira akan menggunakan pengangkutan awam. Bas bandaran, bas ekspress dan keretapi adalah pilihan utama saya. Di samping beca yang sudah tentu akan saya tunggani sewaktu di Pulau Pinang dan Melaka.

Memandangkan kembara ini melibatkan banyak negeri, saya merasakan adalah amat penting untuk mencari dan merasai dengan sendiri masakan tradisi tempat-tempat yang saya singgahi seterusnya saya akan mencatatkan semua makanan tradisi tadi di dalam buku. Merasai dengan tekak sendiri tidak sama dengan merasai dari gaulan buku. Ini penting bagi membolehkan saya merumuskan kenikmatan resepi yang ada-walau saya bukan kaki makan, tetapi sentiasa bernafsu untuk makan.

Saya juga sedar, perjalanan ini nanti bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga berkehendakkan kekuatan mental.Saya akan berjauhan dengan keluarga untuk tempoh 2 minggu dan sudah tentu ianya sesuatu yang mencabar minda saya.
Saya rasa, saya sudah bersedia untuk itu. Untuk mula mengenali dengan dekat tanahair saya sendiri, Malaysia dan isinya.

Persoalan utama ; bila mahu saya mulakan???

Atau ini nanti, cuma perjalanan paling panjang yang berlegar di ruang khayal saya?

Hanya Dia dan Dia yang tahu....

July 18, 2012

Travelog Beijing



Tajuk Buku     : Travelog Beijing
Terbitan          : One Nusantara Sdn.Bhd
Muka surat     : 300 muka surat beserta cetakan gambar berwarna
Penulis            : Izan Ali, Nurfa dan Uthaya Sankar SB


Saya terpanggil mendapatkan Travelog Beijing kerana sememangnya saya berminat membaca bahan bacaan yang bersifat pengembaraan. Kegilaan saya kepada buku-buku bercorak travelog tercetus lama dulu, sejak saya mula membaca catatan perjalanan Paul Theroux di dalam The Great Railway Bazaar(dia pernah ditahan dan disoal siasat oleh imigresen Singapura dalam perjalanannya ke Malaysia, kerana rambutnya panjang seperti seorang hippy).

Kali ini, saya mahu mengembara di bumi Beijing, China bersama tiga penulis – Izan Ali, Nurfa dan Uthaya Sankar.Negara China yang berkeluasan kira-kira 9.6 juta kilometer persegi dan mempunyai lebih 1.3 billion orang penduduk merangkumi 22 wilayah, 5 kawasan berautonomi, 2 kawasan pentadbiran khas(Macau dan Hong Kong) dan empat perbandaran tadbiran langsung (Beijing, Tianjin, Shanghai, dan Chongqing).

Buku ini wajib di baca oleh mereka yang berhasrat untuk menjejakkan kaki ke bumi Beijing. Saya katakan wajib kerana buku ini mendekatkan pembaca dengan bumi Beijing di samping memberikan tips berguna tentang persiapan yang perlu di lakukan sebelum berangkat Beijing.

Bertepatan dengan matlamat buku ini yang bertujuan memberi "info lengkap tentang destinasi-destinasi pelancongan utama”(tertulis di kulit belakang), penulis cuba memberi gambaran jelas tentang sosia budaya penduduk Beijing berdasarkan pemerhatian mereka bertiga selama 10 hari di sana.

Lebih menarik lagi, penulis turut mencatat sejarah sesuatu tempat yang di lawati bersama trivia dan ianya secara tidak langsung menjadikan buku ini lebih bersifat illmiah. Info berkaitan alamat sesuatu tempat menarik,nombor telefon, waktu operasi juga pengangkutan turut di sediakan di dalam buku ini.

Sebagai seorang Muslim, kebimbangan saya untuk mencari makanan halal di Beijing terhakis sama sekali setelah mengetahui terdapat banyak sekali restoran-restoran yang menyediakan makanan halal untuk pengunjung yang beragama Islam. Ini maklumat yang amat berguna sekali memandangkan makanan adalah isu sensitif dalam masyarakat kita. Lawatan mereka ke beberapa masjid juga amat menarik di teliti, di samping dapat memberi penjelasan kepada pembaca bahawa agama Islam menjalar jauh ke dalam susuk jiwa masyarakat di negara China.

Tidak juga di lupakan peringatan penulis kepada kaki ”mukabuku” tentang sekatan yang di lakukan oleh Kerajaan China untuk akses ke laman Facebook, Twitter dan juga blogspot.Jadi, lupakan hasrat anda untuk memaklumkan kehadiran anda di Beijing di dalam ”dinding mukabuku” sebaliknya seperti saranan penulis sendiri agar segera memaklumkan kehadiran anda di Beijing kepada pihak kedutaan Malaysia di Beijing.

Penulisan bersifat santai di samping penggunaan Bahasa Malaysia yang mudah telah menjadikan pembacaan lebih menarik di samping gambar-gambar berwarna sebagai rujukan amat menambat hati saya. Penulis juga tidak terlalu berkejar untuk menceritakan sesuatu perkara, sebaliknya lebih memberi tumpuan pada pengumpulan fakta-fakta menarik untuk di kongsi bersama pembaca.

Buku ini teramat sesuai sekiranya di jadikan panduan oleh sesiapa yang berhasrat untuk melawat Beijing samada ada untuk bersantai atau atas urusan kerja.

July 14, 2012

Lelaki Itu(bukan aku) II

Ini kesinambungan dari Lelaki Itu(bukan aku)
Setelah puas bermimpi dan berkhayal, bercerita dan berangan akhirnya semua yang di angan sudah sudah terpacul di depan mata.
Sebelum ini, dia cuma mimpikan akan menulis-apa sahaja cerita-dan memiliki buku tulisan sendiri.
Sebelum ini juga, dia berkhayal buku-buku tulisannya tadi akan di pamerkan di rak-rak buku di setiap kedai buku di seluruh negara, menjadi antara buku terlaris di pasaran.
Sebelum bermimpi dan berkhayal, dia selalu bercerita kepada khalayak ramai yang dia mahu berkongsi rahsia kejayaan hidupnya, ramai yang terpegun suka dan ramai juga yang sekadar percaya ini cuma omongan kosong mengisi masa.

Segala mimpi, khayal dan omongan cerita itu di gabungkan bersama keazaman paling tinggi, mahu membuktikan yang dia adalah seorang lelaki yang bukan sekadar pandai mengatur kata. Lalu, di tulisnya satu persatu, bermula dengan manuskrip yang entah apa-apa, di rombak di gubah dan di berikan sedikit perisa. Melalui proses perit mencari penaja, naik tangga turun tangga, bermuka tebal mengalah peminta sedekah-semua ini di lakukan dengan niat jelas-"mahu membantu anak bangsa yang gagal di luar sana".
Akhirnya, dengan kesungguhan dan tanpa pernah ada rasa malu-dengan rasa rendah diri yang teramat sangat-Karangkraf akhirnya bersetuju untuk menerbitkan buku sulungnya.
Maka, lahirlah Dulu Pencuci Kini Pengurus.
Sungguh, dia punya semangat yang tidak pernah lentur.

July 13, 2012

Makan

Seorang lelaki tua berjalan dari meja ke meja, tangan kirinya menjinjit beg plastik berisi keropok dan makanan ringan. Dia berhenti di setiap meja, memberi salam dan menghulur sebungkus keropok tanpa jenama kepada setiap pelanggan yang ada. Dia mencuba nasib. Tapi nasib bukan miliknya lagi.
Baju Melayu warna kelabu yang di pakai lelaki tua itu sudah bersatu di tubuh bersama manik-manik peluh.
Lelaki tua itu menghampiri meja paling hujung, berhenti di situ. Seorang lelaki yang dalam lingkungan 30an -memakai baju kemeja siap bertali leher-sedang menjamah makan malam. Mungkin baru pulang dari tempat kerja.
"Assalamulaikum tuan. Ni ada keropok ikan. Goreng cicah dengan sos sedap ni". Butir bicara lelaki tua menangkap cuping telinga saya.
Lelaki dengan tubuh penuh yang sedang menyuap makanan hanya sedikit mengerling.
"Saya cari makan, tuan." Getar suaranya sedikit merayu.
"Saya tengah makan ni pakcik". Jawab lelaki dengan tubuh penuh sambil mengesat bibir dengan sapu tangan yang tertera jenama POLO.

Saya hanya mampu memerhati. Putaran kipas angin yang terpasang dengan kelajuan tinggi di restoran mamak menggetarkan akhbar yang terpampang di atas meja. Saya hanya sempat membaca muka hadapan. Ralit memerhati drama "makan"
Hidup ini terkadang sekadar untuk makan?

July 05, 2012

Perahu Naga

Kita tidak memerlukan penumpang dalam pertandingan perahu naga.
Sama-sama kayuh, sama-sama basah bukan hanya tukang pengangkat hadiah.
Kita juga mahukan pengemudi yang bijak membahagikan kerja bukan hanya tukang sorak memekakkan telinga.
Agih sama rata bukan hanya takut kepada penyimpan rahsia.
Kita mahu menang, bukan hanya sekadar berbangga.




July 04, 2012

Kunonisma

Dia rasa dia hebat kerana sisi dunianya adalah buku dan ilmu.
Dia berguru dengan buku.
Tapi dia lupa, pengalaman adalah guru paling berharga. Dan dia juga lupa, usia bukanlah bilangan angka pengukur pengalaman.

June 12, 2012

Penat

Saya benar-benar merasa penat. Penat ini menjalar dari ubun-ubun sehingga ke telapak kaki. Ia menghakis segala kemahuan yang memberontak, saki-baki perasaan yang bergulung dalam hati di bawa bersama tekanan darah yang memuncak naik secara tiba-tiba. Bumi terasa berputar-putar dengan ligat dan seakan meninggalkan paksinya. Mozek-mozek yang pernah terlerai dan kian tersusun semula menjadi pecahan kecil yang kian larut dan boleh sahaja menjadi zarah yang tak terlihat dengan mata.
Saya terpaksa-secara kasar- untuk memikirkan sesuatu yang mahu saya tanggalkan dari fikiran. Saya sudah hilang susunan ayat untuk bertingkah kata, akhirnya menuruti sahaja. Pemaksaan pada fikiran inilah yang menambahkan penat pada saya.
Yang saya mahu dan sering di khayalkan sekarang hanya satu ; saya hanya mahu berdamai dengan diri sendiri, terdampar di pulau indah, bersenang dengan alam dan deruan ombak dan pasir yang memutih. Pulau itu hanya ada saya dan alam dan Dia.
Buat seketika, saya hanya mahu fikirkan tentang saya dan alam dan Dia tapi saya masih waras, dalam diam dan penat saya masih perlu fikirkan tentang Dia, Dia dan Mereka.

June 01, 2012

Merisik Khabar



Saya bangun pada suatu pagi, ketika rintik hujan mula membenih di bumbung rumah.
Ingatan saya di sapa pada satu lirik lagu. Saya cuba mengingat dengan kuat, cuba mencari titik pertemuan di antara realiti hidup dan lirik lagu ini.
Saya harapkan, ini cuma lirik yang membuai saya di awal pagi, tidak melaratkan kudis dan meninggalkan kesan pada hidup saya.
"Terkapar-kapar ku kelemasan
Sakit dilambung ombak kerinduan
Di dalam tidur di dalam jaga
Diburu oleh mimpi yang serupa
Mengapa aku jadi tak menentu
Keranamu..."

May 20, 2012

Sepucuk Surat Penyampai Hasrat

Lebai Seman Ulu Gedong membelek-belek lagi surat yang siap di tulisnya tadi. Di baca lagi, membetulkan mana-mana ayat yang perlu. Memperelokkan bahasa agar mudah di fahami oleh bapak menteri nanti.
"Depa ni orang-orang berpelajaran, mesti guna bahasa elok-elok Lebai oii", Lebai Seman masih ingat lagi pesanan Haji Husin Kampoh petang tadi, ketika dia di minta menulis surat pembawa harapan itu.
Menjelang pukul 2 pagi akhirnya surat itu siap di tulis dan di perelokkan ayatnya. Di sampulkan kemas, di letakkan setem RM0.60, lalu di tinggalkan di atas meja makan. Segulung rokok daun di letakkan di atas surat, supaya tidak di terbangkan angin. Dia melangkah meninggalkan meja makan, sambil sesekali menjeling surat yang hanya menunggu untuk di hantar posmen ke Putrajaya.
Antara isi kandungan surat tersebut, Lebai Seman tulis begini ;
" Dato'Seri,
Kepingin sungguh rasa di hati untuk menjadi peneroka Felda. Sudah jenuh membanting tulang di sawah, di bakar panas mentari di siang hari, berjaga malam menghalau ketam akhirnya hasil padi hanya cukup untuk membeli selimut tebal buatan Siam. Kami pesawah kawasan MADA juga ingin merasa poket kembung di isi dengan wang tunai seikat kemas, bolehlah juga di simpan untuk menunaikan fardhu haji atau menyekolahkan anak yang malas belajar atau boleh juga di jadikan modal membetulkan bumbung rumah yang sudah bocor.
Surau kami itu pun sudah lama tidak berganti tikar mengkuangnya, sudah koyak di sana sini, mahu jugalah menggantikan kolah lama dengan paip air yang sentiasa tidak kering.
Maka itu, silalah kirimkan kepada saya sedozen borang permohonan menjadi peneroka Felda untuk di agih sesama rakan sekampung."


Pagi-pagi esoknya, selepas memberi salam rakaat Subuh dan anak ayam masih lagi bertenggek di pintu reban, Lebai Seman Ulu Gedong terus mencapai basikal tuanya. Dia mengayuh membawa harapan. Surat yang di tulis malam tadi terselit kemas di dalam poket baju Melayu warna coklat yang di hadiahkan cucunya, Man Capang.
Sampai sahaja di depan pejabat pos Ulu Gedong, sebelum sempat menongkat basikal, seorang posmen muda yang baru membetulkan pasu bunga yang sedikit senget akibat di sapa angin ketika hujan lebat malam tadi terus menegurnya.
"Kenapa kalut sangat ni Lebai Seman?" Posmen muda bernama Kholib itu cukup kenal dengan Lebai Seman. Ketika mula-mula bekerja di kampung itu, Lebai Seman jugalah yang memperkenalkan Kholib pada orang kampung.

Dia membetulkan kain pelikat yang di pakainya. Kain tuala yang di sendeng di bahu di capai lalu di ikat kemas di pinggang.
"Ni haaa, nak poskan surat ke Putrajaya. Takut terlambat sampai." Jawab Lebai Seman sambil menghulurkan sampul surat yang di maksudkannya kepada Kholib.

"Ohhh..kalau nak cepat dan selamat baik buat pos berdaftar. Kalau pakai Pos Ekspress pun boleh, lagi eloklah Lebai", begitu di terangkan Kholib.
"Ikut hang le Kholib, mana yang elok aku ikutlah. Berapa harga pos kalau nak guna Pos Ekspres tu"? Soal Lebai Seman.
"Macam nilah Lebai, saya buatkan secara percumalah. Bukan berapa sen sangat pun Lebai."Kholib kembali menjawab.

"Haa, bagus le kalau macam tu. Nanti petang lepas kerja mai rumah. Aku suruh makcik hang buat ubi rebus cicah sambal bilis." Lebai Seman tersenyum.
"Boleh-boleh. Lepas Asar saya sampailah. Lebai bolehlah balik dulu. Lagipun awal sangat ni, pejabat buka pukul 8. Saya pun nak masuk mandi dulu." Jawab Kholib sambil menghulur tangan bersalaman dengan Lebai Seman. Dia berjalan kembali ke arah berek bujang tempat tinggalnya di belakang pejabat pos tersebut.

Lebai Seman mencapai basikal dan mula mengayuh menuju ke kedai kopi Samad Pacak. Dia mahu bersegera sampai dan bercerita perihal surat berkenaan pada sesiapa yang ada di kedai kopis Samad Pacak pagi itu.

Seminggu kemudian ;
 "Lebai, surat apa yang posmen hantar kelmarin. Riuh depa cerita kat kedai, surat tu dari Putrajaya", soal Bidin Zakaria pada Lebai Seman Ulu Gedong, ketika beriringan pulang dari surau usai Isyak.
"Surat jawapan pasal tanah rancangan Felda tu la." Jawab Lebai Seman. Dia menyeluk saku kanan baju Melayu yang di pakainya. Sehelai sapu tangan warna kelabu di keluarkan, lalu mengelap peluh yang mula renik di dahi. Malam ini cuaca benar-benar menggigit.
"Ha, depa kata apa?" Bidin Zakaria sedikit mengasak.
"Depa kata tak dapat, tanah rancangan Felda dah habis. Dia suruh kita pulun buat bendang la. Masalahnya la ni, harga padi dok macam tu juga, dah 5 tahun dok main harga lama. Harga benih, racun dengan upah mengala dah naik. Kita nak untung tang mana Bidin." Kali ini sedikit terperinci penerangan dari Lebai Seman. Riak mukanya mengandungi duka yang bukan sedikit.
"Sabar la Lebai. Sumbangan kita tak besar mana pun kalau di bandingkan dengan peneroka Felda. Padi tak boleh eksport sampai Amerika, tak macam sawit dan getah", Bidin memujuk.
"Dah susah, makin miskin la kita nooooo"

April 16, 2012

Epilog Migrain

Saya bangun awal pagi, ketika bilal masih lagi membetulkan pembesar suara-mungkin- untuk azan Subuh pertama minggu ini. Saya tahu, sekarang jam 5:45 pagi. Itu waktu permulaan saya untuk hari baru.
Kepala terasa berat, yang sangat berat. Berdenyut-denyut. Pandangan menjadi kabur dan nampak seakan garisan ataupun gelombang seperti situasi yang dialami apabila berada di tengah jalan dalam cuaca panas terik. Untuk seketika, saya hanya mampu berdiri menghadap pintu bilik, tidak terdaya menguaknya. Kedengaran denting cawan di dapur, isteri saya sedang tangkas membancuh kopi.
Saya melangkah perlahan-lahan sambil tangan memegang dinding rumah lalu memulas tombol pintu bilik.
Peluh mula renik di dahi-menahan sakit- akhirnya saya singgah di atas sofa ruang tamu. Berbaring dan memejamkan mata untuk menghilangkan kesakitan yang semakin menjadi-jadi.
Sudah kedengaran suara isteri. "Mandi le abang oiii, dah pukul berapa ni?"
Saya hanya diam. Bibir seakan kaku.Saya masih lagi memejamkan mata.
"Abang!" Suara isteri jelas kedengaran.
Goncangannya di bahu sebelah kanan memaksa saya membuka mata.
"Kenapa ni?" Soalnya lagi sambil mengusap kepala saya.
"Sakit kepala." Jawab saya pendek.
"Laaa, rehat la kat rumah. Boleh p klinik ke sorang-sorang?" Soalnya lagi.
Saya mengangkat tangan, menunjukkan tanda boleh sambil kembali memejam mata.
Dia diam lalu hilang ke dalam bilik, mengejutkan Syaamil untuk bangun dan bersiap.
Saya kembali terolang-oleng di buai kesakitan yang semakin ganas.


Saya melihat jam di dinding, 6:20 pagi ;
"Abang, boleh ke p klinik sorang-sorang?" Isteri mengejutkan saya yang masih mamai di baham sakit.
"Boleh." Kali ini lebih pendek jawapan yang saya bagi.
Saya memintanya menghulurkan telefon bimbit yang di letak di atas rak tv.
Saya menekan butang "sms" dan menghantar kiriman ringkas kepada rakan sekerja akan kesakitan yang sedang saya alami. Saya tahu, mereka mengharapkan saya hadir hari ini. Ada beberapa agenda yang tertunggak.
Saya pula masih terlantar menahan amukan yang semakin menggoncang kepala.Sakitnya menjalar hingga ke urat mata.

Saya melihat jam di dinding, jam 7:00 pagi ;
"Nak p kerja dah ni. Nanti abang klinik yer." Antara pemberitahuan dan arahan dari isteri.
"Ok, drive hati-hati." Jawab saya sambil Syaamil menghulur tangan memohon salam dari saya.


Saya melihat lagi jam di dinding, jam 7:35 pagi ;

Saya bangun. Kesakitan masih tidak berkurangan.
Kembali duduk di kerusi meja makan setelah menapak perlahan-lahan. Saya perlu bersegera ke klinik, mendapatkan ubat penahan sakit.
Saya mahu terus berjuang untuk kehidupan panjang yang kian pendek ini.

Gambarajah bahagian otak yang di imbas ketika serangan migrain.

Dan saya akui, kesakitan ini mengajar saya banyak perkara.
Hanya saya dan DIA. Ya, hanya saya dan DIA.

April 06, 2012

Mimpi

Kalau pun bukan mainan tidur, tapi sekurang-kurangnya mimpi menjadi pengubat rindu paling tua dalam hidup saya.
Saya bermimpi, menyulam dengan rindu dan terlerai setelah menyapa dengan penuh ketertiban dan kecermatan maha tinggi. Mimpi-mimpi indah yang sebegitu romantis sifatnya sering di takungkan supaya tidak terkocak dan terlepas sebelum menemui penyudahnya, harapnya yang mengenakkan.
Saya bukannya mimpikan sang Puteri Natya Shastra di negeri Katari yang sedang menyaksikan amukan Silantra memburu Tok'ra, itu sesuatu yang di luar ruang mimpi tetapi halusinasi maha pelik.
Saya cuma mimpikan satu titik pertemuan yang meleraikan rasa rindu, belaian jiwa dan memenuhi kekocakan hati.
Bukankah mimpi itu sering di khayalkan?

March 12, 2012

Sunyi

Pagi ini, perkara pertama yang bertakung dalam jiwa saya adalah "sunyi", walau jenuh kedengaran pekikan Syaamil yang marahkan Rafi'e kerana berebut motor mainan.
Sunyi itu bersama saya hingga dinihari, ketika mata mula letih dan layu, seperti kemuncup liar. Saya gagahkan juga, menulis catatan ini agar sunyi itu pergi.
Sesekali, sunyi itu menjauhi lalu datang lagi dan saya mula sunyi lagi. Saya tidak perlukan keributan perasaan, itu tidak melunakkan hidup saya sebenarnya. Saya juga tidak dambakan kesunyian kerana sunyi itu sering membunuh jiwa saya.
Yang saya perlukan adalah ketenangan. Tenang dan damai dalam diri seorang lelaki yang jarang sunyi.
Hanya Dia yang mampu meleraikan sunyi ini.
Ya, hanya Dia dan Dia.

"Impikan kehidupan yang menggetar dan penuh dengan penaklukan".

January 25, 2012

Saya bukannya pemain politik!

Saya bukannya pemain politik!
Ketegasan ini ternyata menghimpit dan sebagai seorang lelaki yang lahir di dalam keluarga yang berpegang dan berjuang di dalam gelanggang politik, saya sebenarnya di amuk perasaan bersalah.
Yang mana satu pilihan saya?
Pembangkang atau pemerintah?
Kedua-duanya di lihat semakin galak memainkan sentimen yang pelbagai rupa, nakal, mempersenda, cemuhan, hinaan, kepuraan-puraan atau apa lagi perkataan yang sesuai? Saya mengikuti perkembangan politik, secara dekat tetapi senyap. Memerhati kadang-kadangkala lebih memberi pengertian terhadap intipati. Ya, saya yakin dengan pemahaman saya di dalam permainan politik. Mereka(politikus) bijak bermain strategi, walaupun maruah diri sering di perjudi. Melemaskan, tambahan pula sesetengah darinya sentiasa memberi gambaran negatif kepada pihak lain, sering menyalahkan pihak lain tanpa mahu melihat dan mengkaji kelemahan sendiri.
Apakah politikus ini adalah manusia yang terlalu tinggi egonya? Saya rasakan begitulah.
Kematian Pengarang Berita TV3, Sukardi Abdul Ghany pun sanggup mereka yang dangkal pemikiran ini politikkan.
Baca dengan tenang di sini




Apakah juga, pemain-pemain politik ini kurang memahami maksud tertib, hinggakan kematian pun boleh di politikkan?

January 12, 2012

Masuk Parti

Satu hari, seorang rakan lama menghubungi saya sesudah saya selesai menikmati makan malam-nasi putih, telur goreng, sup sayur dan segelas kopi "o" pekat suam- saya sebenarnya sedang mengalami krisis pedih ulu hati, petanda awal penyakit gastrik. Jadi, pemakanan saya di uruskan isteri dengan teliti sekali. Nafsu makan saya di kunci. Terseksa. Batin menjerit mahukan sambal ikan bilis, kari ikan kembung, kacang panjang atau bendi goreng dan sudah tentu sambal belacan, mahu lebih selera hidangkan juga petai atau jeruk maman. Ini menu dalam igauan saya saja.
Berbalik kepada cerita awal, tentang rakan saya tadi. Dia mahu berjumpa saya.
"Saja mahu layan teh tarik kedai mamak", katanya. Saya tergesa-gesa mengenakan seluar pendek"golf", sehelai baju T bercorak urban(AC Mizal selalu pakai), topi putih tertulis ADIDAS(yang saya cilok dari seorang kenalan warga Myanmar). Tidak ketinggalan, Samsung Galaxy Tab yang langsung tidak pernah saya tinggalkan sejak mula memilikinya.
Saya menuju ke kedai mamak, seperti di janjikan dia sudah menunggu.
Saya tersengih, lalu menyambut tangannya yang sudah bersedia di hulur. Dia menyeringai, suka barangkali. Lama kami tidak berjumpa. Dia sibuk menguruskan perniagaan yang di warisi dari ayahnya. Saya sibuk dengan urusan hidup saya.
Sewaktu saya masih bujang, dia rakan serumah saya. Kami rakan debat. Segala isu kami debatkan. Hatta, isu parking di Midvalley pun boleh kami debatkan. Dan saya akui, dia seorang rakan debat yang hebat, di tambah lagi dengan sikapnya yang tidak pernah mengambil hati. Dia, benar-benar seorang rakan yang memahami pemikiran saya.
Saya memesan segelas teh tarik. Di atas meja sudah tersedia segelas teh o nipis yang sudah tinggal separuh.
Dia memulakan bicara.
"Hang apa cerita Rock? Aku tengok sibuk hang tulis dalam facebook hentam orang tu, bantai orang ni."
"Macam le hang tak kenal aku", jawab saya.
Dia diam. Lalu mengeluarkan sesuatu dari beg sandang yang di letakkan di sebelahnya.
"Aku tak boleh lama ni, ada kerja nak buat lagi. Alang-alang lalu kot Shah Alam aku contact la hang", katanya sambil menyerahkan satu sampul surat bersaiz A4 kepada saya.
"Apa ni?" Tanya saya.
Dia mencapai kotak rokok dan menghulurkan kepada saya. Saya tolak dengan ketertiban paling tinggi.
"Hang nak suruh aku buat apa dengan borang ni?" Tanya saya setelah membuka sampul tersebut. Di dalamnya, sekeping borang keahlian Parti Keadilan Rakyat.
"Hang elok masuk parti ni Rock, kami perlu orang macam hang", terangnya.
Saya diam seketika. Cuba mencari ruang untuk oksigen singgah dan menyelinap masuk ke ruang minda. Menjana idea untuk berbicara.
Lalu, saya terangkan padanya. Saya seorang lelaki yang tidak pernah mendaftar mana-mana parti, biarpun pembangkang atau pemerintah.
"Aku tak minat la. Dengan diri sendiri pun aku tak pernah adil, macam mana aku nak suruh orang lain adil. Dengan keluarga pun aku selalu tak adil, macam mana aku nak minta orang lain adil dengan aku. Kalau aku nak kan keadilan, aku sendiri kena adil dengan diri sendiri dan keluarga aku. Kalau nak menyeru kebaikan, kita kena lebih baik dari orang yang kita seru tu. Ahli dia sendiri pun banyak yang kaki nombor ekor, kaki betina tapi ada hati nak suruh kerajaan adil". Saya mencapai kotak rokok dan meneguk teh tarik yang sudah kurang panasnya.
"PAS pun sama. Aku faham le parti tu perjuangkan Islam, cara hidup Islam. Memang elok sangat la. Tapi kalau dah sampai setiap kali ceramah, asyik maki orang je macam mana aku nak percaya dia perjuangkan Islam? Ni pengalaman aku sendiri. Aku penah kena cekik dengan ahli PAS masa aku balik kampung nak mengundi, masa tu pilihanraya kecil tempat aku. Dia boleh kata aku pengundi hantu padahal tu kampung aku, tempat aku." Perihal ini, boleh di baca di sini
Dia diam.
Sambung saya lagi, "kalau hang bagi borang UMNO pun aku tolak. Macam mana aku nak percaya kalau parti tu pun dok pulun kembungkan poket sendiri. Dia kata nak berjuang untuk rakyat. Kat kampung aku, bersepah rumah yang atap bocor. Harga padi dok macam tu juga. Yang dok naik pulih, yang dok repair jalan depan KLCC. Yang jalan kampung dok berlubang macam tu juga.Depa kata, berjuang untuk bangsa Melayu tapi banyak orang depa kawin dengan minah salleh. Hang tengok isu lembu tu. Dia dah tau, tu laki dia tapi dia tetap nak bela juga. Kalau mungkin dia tak usik pun urusan syarikat tu tapi dari segi moral benda tu tak elok. Macam tu ke pemimpin Melayu? Yang paling aku geram, kalau pembangkang buat benda elok pun, di bantainya juga". Kali ini dia ketawa. Berdekah-dekah. Seorang dua pelanggan di restoran mamak itu memerhati kami.
"Hang memang pandai bercakap", katanya mengambil hati saya.
"Bukan pandai, tapi memang dah realiti macam tu, betulkan?" Soal saya kembali.
Perlahan-lahan, saya kembalikan borang tadi padanya. Dia menyambut dan memasukkan semula dalam beg sandang.
"Abih tu hang sokong sapa Rock?"
"Aku sokong parti yang boleh bagi jaminan masa depan pada anak-anak aku. Yang boleh imbangkan sosio-ekonomi".
Terang saya.
Memang, ini yang saya mahukan. Saya menolak sama sekali unsur-unsur fitnah dan hasutan. Bukannya saya menolak sikap kepartian, tetapi biarlah kita berpolitik dengan aman, dengan penuh rasa bertanggungjawab tanpa ada caci maki dan unsur-unsur jahat.
Sudahnya, drama "masuk parti" itu berkesudahan begitu saja ketika masing-masing menahan rasa kantuk.
Saya beransur pulang. Mahu menemui "Dia" dalam mimpi-mimpi saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...