December 22, 2009

Maal Hijrah 1431

Saya mesti mengatur nafas, mengumpulkan tenaga untuk kembali berlari dan menggugah setiap inci bumi, mencari dan meneroka segala isinya.Alam dan kehidupan yang di pinjamkan ini seakan tidak terbilang rahsia isinya, seakan tidak termampu lagi untuk di kaji setiap olahan yang sengaja minta di selidiki.Benar, manusia itu jahil dan dengan perasaan jahil itu saya -bahkan kita semua- sering tewas tanpa mahu menggunakan ekstrapolasi dan mengejar mimpi-mimpi indah yang sering bertandang.
Sempena Maal Hijrah 1431, saya mahu berhijrah ke dimensi baru, mencuba menyempurnakan mimpi-mimpi indah dengan segala kekuatan yang ada. Harus tidak gentar mengibarkan mimpi-mimpi.
Renung ungkapan Andrea Hirata dalam novel Sang Pemimpi, “tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati…”
Selamat berhijrah…

November 21, 2009

Setelah 9 tahun......

Akhirnya, permintaan saya kepada Allah tanpa jemu dan tanpa rasa malu yang berterusan begitu lama di makbulkanNya juga.Saya mencari "dia" selama 9 tahun untuk mendapatkan satu jawapan.
"Dia"tiba-tiba muncul, ketika pencarian saya mula melalui saat-saat lelah.Saya mula mengasak untuk mendapatkan satu jawapan yang di kendong dalam benak saya selama 9 tahun itu walaupun saya akui kemunculan "dia"yang menjauhkan diri selama ini tanpa sepatah berita pun adalah sesuatu yang amat besar erti dalam hidup saya.
Untuk melahirkan rasa kepuasan kerana "dia" telah saya temui-tanpa mengharap agar "dia" kembali-saya meminta seorang penulis muda mengayam ayat untuk saya pada "dia".
Sebuah puisi tulisan NorziatiMR


CINCIN (SEBENTUK)
(Ini kisah duka semalam)

Ada janji dipahat
Ada kata dipadu erat
Ada hati diikat

Kemudian kau datang
Dan pulang
Tak bisa kembali

Aku masih memburumu
Untuk kutanya soalan penuh pilu
Mengapa cincin untukmu
Berada dalam genggamanku

Sembilan tahun berlalu
Kau masih membisu


Norziati Mohd Rosman
Bandar Baru Bangi
19 September 2009

November 15, 2009

Ruang Perjalanan

Penerokaan yang sentiasa memberikan warna dalam kehidupan. Latar kota dan segala isinya adalah pengalaman yang sukar di lupakan.
Setiap pengalaman itu, langsung saja meninggalkan pengajaran yang bukan sedikit sifatnya.Antara wujud dan kelangsungan hidup, ianya adalah rentetan peristiwa yang mematangkan jiwa seorang lelaki.Sudah tentu, peristiwa sekitar yang meruntun hati sentiasa mendesak untuk di olah dan di persembahkan kepada khalayak, tetapi kekurangan diri dalam menyusun ayat membatasi pemberontakan itu.
Saya cuba paparkan-secara bergambar- beberapa lokasi sekitar ibu kota yang banyak memberi saya erti hidup.

Central Market

Tempat pertemuan dengan rakan-rakan.Ketika ini, saya mahu jadi "ahli muzik".


KL Sentral

Kebiasaannya,KL Sentral menjadi hentian saya untuk seketika.Duduk di barisan bangku menghadap KL Hilton sambil bibir menggonggong puntung rokok.


Starbuck KLCC

Penat di Kinokuniya atau usai menonton wayang, berhenti seketika mencicip kopi/cappucino sambil melihat warga kota yang leka dengan aturan masing-masing.Banyak kenangan di sini.Perit getir usia remaja.


MPH Bookstores Mid Valley

"Membeli belah"buku.Saya cukup suka dengan ruang dalaman di MPH Mid Valley.Duduk bersila atas lantai sambil membaca secara percuma.Pernah satu ketika, duit dalam poket cuma tinggal RM2.00 sebab ghairah "membeli-belah".


Kotaraya

Saya banyak menggunakan kenderaan awam-Bas Intrakota-dari Puchong ke KL.Bas akan berhenti dan turun di Kotaraya.Di belakang bangunan Kotaraya terdapat sebuah kedai alatan muzik-Wah Fatt Music-terletak di Jalan Silang.Selalu ke situ menjamu mata membelek gitar(Strat & Les Paul), pegang letak, pegang letak.


Pertama Complex

Selalu ke sini, mencari cd lagu-lagu "metal bawah tanah".

November 04, 2009

BICARA HATI


Latar : Suatu petang di Taman Tasik Shah Alam

Kotak rokok tergeleng-geleng di atas permukaan air tasik yang jernih.Beberapa helai daun yang gugur ke dalamnya teroleng-oleng oleh hembusan angin, tiba-tiba saja riak air tasik itu menjadi sisik yang perlahan-lahan menghanyutkan daun tadi.Dua tiga ekor ikan yang berlegar juga serentak hilang. Matahari semakin mengalah, semakin kurang simbahan cahaya.Dua orang kanak-kanak yang mulanya bermain di gigi air mula kembali memanjat tiang besi buaian, bergayut-gayut dan ketawa terkekeh-kekeh.Jeritan mereka mengejutkan beberapa ekor burung gagak yang bertenggek di dahan pokok Pukul Lima berhampiran gerai makan.Terdengar kepak dan jerit burung, sambil terbang menghilang di celah-celah pokok yang semakin bebas melangit.Lampu-lampu taman mula terpasang dengan sendirinya.Empat orang anak muda yang baru selesai berjogging merehatkan diri di atas palang besi sambil berbual menghadap permukaan tasik yang semakin tenang airnya.

Saya merenung jauh ke dalam dasar kolam itu.Hanya sekadar renungan kosong.Terbayang betapa sempitnya hidup jika di takdirkan saya hidup di dalamnya, bersama decupan ikan yang tenggelam mengejut.Tiba saatnya, timbul kembali.
Saya merenung ke langit yang semakin gelap dan pandangan tertangkap pada sekawan burung gagak yang terbang menjauh. “Lihat burung itu, terbang pulang ke sarangnya tanpa ada satu pun penunjuk arah, tiba waktu kembali lagi ke sini….”
Aturan Tuhan memang begitu, bukan?

October 28, 2009

SEKADAR MENGALAS....


Sekadar mengalas kemahuan yang melingkar dan kemarahan yang membuak.
Doakan untuk mereka, moga aman.

* Untuk imej lebih jelas, klik pada gambar

October 09, 2009

REALISME-MAGIS


“Terasak dengan pelbagai tekanan.Mujur,syukur Dia sentiasa ada. Aku merindui ketenangan dalam diri untuk menutup mata lalu sekelip mata hilang tanpa kewujudan di antara jirim. Aku mahu jadi seperti hujan yang hanya menitik dan membentuk keterlarutan yang menerima segalanya.Masa akan menyembuhkan hati yang terluka, tetapi parutnya akan di kendong ke akhir hayat…



Hujan masih lagi rintik.Menikam tanah yang masih basah.Alur longkang mula tepu, membuak mengocak,memunculkan buih-buih yang kelabu warnanya.Dengungan ngauman siaran televisyen menyedarkan saya yang waktu sedang berlalu.
Renungan mata pada paparan skrin komputer sedikit berkedip.Mengganggu khayal yang mula subur awalnya.Kilatan ingatan segera hilang.
Dalam masa-masa tertentu, saya mahu berkhayal sebegitu. Saya cuba menceroboh ke dunia halusinasi, dunia separa mimpi. Tertanya-tanya pada diri sendiri, bagaimana agaknya sebilangan penulis hebat menulis dengan sebegitu lirikal sekali? Hinggakan, dengan hanya membaca sahaja, saya mudah di serap masuk ke dalam isi ceritanya.Terbuai-buai sehinggakan kemarahan yang di sampaikan melalui karangan telah dengan tidak sengajanya membuatkan jari ganas merenyuk kusyen sofa yang amat empuk itu.Penghayatan yang begitu ketara sifatnya kadang-kala menciptakan saya dua ruang; ruang masa lampau dan masa kini.Barangkali inilah yang di namakan “realisme-magis”. Ruang-ruang yang tercetus ini, sudah tentu sahaja membuatkan kekaguman saya pada penulis itu kian memuncak.Saya percaya, kejayaan penulis melahirkan dan mengolah kisah yang di pertontonkan melalui karangan sehingga membuat diri terasa benar-benar wujud di dalam setiap cerita yang di baca hanya dapat di hasilkan melalui penulisan yang ikhlas oleh penulis tersebut dan keikhlasan itu sudah pasti bermula dengan pengalaman diri dan peristiwa-peristiwa sekitar yang menyentuh hati.
Sebagai seorang yang hanya tahu membaca dan cuba memamah setiap isinya, saya mula mencumburui kejayaan penulis memuntahkan idea mereka sedangkan percubaan saya menghasilkan karya-hatta cerita pendek- tidak pernah menemui rentaknya. Gangguan-gangguan yang tercetus secara tidak sengaja juga sering membantutkan usaha ke arah itu.Saya mula berfikir, “aku mungkin hanya layak menjadi pembaca...” dan sesekali juga terlintas di minda “setiap curahan idea itu datangnya dari Dia...."
Realisme-magis itu juga datangya dari Dia..

October 07, 2009

DIA

DIA,ada ketika yang tidak di minta, akan datang melenggang senyum.Dia membawa jiwa belayar jauh dari dasar.Terapung-apung di antara khayal dan nyata.
Dia sentiasa riang.Dia sentiasa mempersona.Separuh kegelisahan akan di telan oleh senyum dia.
"Aku sentiasa ada, pada saat jiwa kau meronta-ronta". Bicaranya pada suatu ketika.
Detik itu, dia terlalu membahagiakan.Dia memenuhkan ruang rongga jiwa.Putaran masa tidak terhenti selagi dia ada ada di sisi.Dia terlalu petah berbicara.Langgam ayatnya menenggelamkan kusut minda.Senang sekali dengan dia.
Untuk seketika, dia hilang,lalu muncul secara tak terduga.Dia bukan lagi dia yang dulu.Terlalu kasar lontaran suaranya.Dia seakan mahu memamah setiap insan kerdil.Dia tidak lagi menyenangkan.Dia pantas mengapungkan getar suara,jeritan tanpa nada.Hanya laungan tanpa dapat di tangkap apa maksudnya.
Dia tidak lagi tewas dengan pujukan manja.Hatinya benar-benar membeku dan tepu.Pada dia, tiada lagi ruang bicara.

"Aku mahu kau tahu, kadang aku gembira,kadang aku ketawa, kadang aku berduka, kadang aku juga menangis".
Dia menyampaikan isi jiwa pada suatu ketika yang tak tersangka.

Dan aku...
Aku tetap mahu dia yang dulu.

September 29, 2009

Calon-calonnya.....

"Kenapa pilih dia,jawatan ni penting, nak takbir kampung.Ketua kampung mesti bersih, mesti jujur." Kata Lebai Kuduk sambil membetulkan butang baju Melayu.Harum minyak "atar"masih menusuk lubang hidung yang semak dengan bulu.
"Dia kan pernah sentuh anjing, entah di samak, entahkan belum", sambung Lebai Kuduk lagi.Kali ini sedikit tegas nadanya.

"Err, dah samak dah,dia dah suci tu", jawab Haji Seman.Kopi pekat tanpa gula di teguk perlahan-lahan,menjeling-jeling ke arah beberapa orang anak muda yang leka bermain dam di luar kedai kopi Mat Piah.
"Mana kau tau, nampak ke sucinya?, Lebai Kuduk meninggikan suara.
"Saya dengar orang cakap.."

"Dengar jer? Ada kau tengok, ada saksinya"

"Saya dengar orang bercerita,saksinya tak pasti siapa.", getar suara Haji Seman.

"Lagipun, semua orang Lorong Padi dan Lorong Teke setuju.Dia calon terbaik yang kita ada. Pilihan semua",jelas Haji Seman lagi.

Lebai Kuduk lantas bangun, kain pelikat cap Gajah Duduk di kemaskan sedikit.Mula melangkah.Baru setapak, dia menoleh ke arah Haji Seman.
"Anjing tetap anjing, b*b* tetap b*b*.Haramnya tetap sama.."
Sambungnya lagi, "aku tetap tak sokong kalau Udin Kulup di pilih sebagai calon ketua kampung.Pilihlah calon lain, tetapi jangan sesekali Udin Kulup".
"Aku lebih suka kalau kita letakkan Asri Galah sebagai calon.Memang dia kurang di kenali penduduk, tapi dia bersih."
Tutur Lebai Kuduk dalam nada naik turun.

"Semua nak kena ikut cakap dia,ingat apa yang dia cakap semua betul ke? Ingat calon dia semua bersih ke. Masa dia jadi Ketua Kampung dulu,dia pun pernah masuk kandang anjing.."gerutu Haji Seman.

September 08, 2009

Minyak Oh Minyak....

Saya sebenarnya sudah malas melayan turun naik harga petrol.Bukan kecewa, tapi malas, betul-betul malas.Bak kata orang Utara, baloq liat.
Tetapi, bila terbaca kiriman email dari seorang sahabat, kemalasan tadi bergegas hilang.Teruja.Sangat-sangat teruja untuk mencampuri urusan naik turun harga petrol tetapi dalam masa yang sama, saya juga menyuluh diri sendiri dengan pertanyaan yang pantas pula di jawab akal.Bolehkah pemerintah menuruti kemahuan saya dan kemahuan rakyat yang berjumlah hampir 27 juta itu?
Jawapnya tentulah tidak.Maka, bergebanglah kita sesama kita hingga bebal, hingga ponggah dan menjadi busung.Di takdirkan Tuhan, maka kita pun terlupa tentang harga petrol.
Email yang di kirim ini, sedikit sebanyak menyedarkan saya yang rakyat Malaysia tidak pernah bertolak ansur dengan pemerintah bila melibatkan harga petrol.
Sama-sama kita baca email yang di kirim sahabat saya tadi.Kita akan terus-terusan bergebang perkara yang sama....


Mail Sabri kata harga minyak tak naik. Ianya kekal. Sama ja. Ada minyak harga dua hengget. ada minyak ada sringgit lapan kupang. Sama ja. Tadak beza apa pun. Apa pun tak naik.
Semua maintain. Steady. Cuma, katanya, minyak RON97, yang selalu rakyat pakai tu, dia naikkan taraf kepada minyak premium. So, bila dah naik taraf ni, otomatik la harga pun canak naik. RON97 naik dari RM1.80 ke dua ringgit.
Tapi jangan risau, katanya. Sebab rakyat masih boleh isi minyak dengan harga RM1.80 lagi, guna RON95. RON97 dah ' upgrade ' , kalau mau yang ' tak upgrade ' , guna RON95. Harga sama. Warna pun cantik, kuning. La ni petrol pam dah macam lampu trafik light. Ada merah, kuning, ngan hijau. Cantik kan ? Cantik kan ? Kan ? Suke tak? Suke tak? Tutp matee! Tutup matee! Suurrrpriissssseeee!!!
Ada jugak yang kena tendang perut bulan2 posa ni.

Soalan pertama, apakah RON97 yang telah dinaiktaraf menjadi minyak premium itu lebih baik kualitinya sebelum harganya dinaikkan? Adakah minyak ini telah dicampur dengan formula2 hebat yang boleh membantu menambahbaik enjin, samada dari segi ' ketukan ' ka hapa ka? Adakah dengan menggunakan RON97 yang lebih mahal ini, Kancil 660cc aku bertambah pikapnya sampai ke tahap aku tak perlu tutup ekon setiap kali meghagaih bukit?
Jawapannya sudah tentu tidak! Dan kalau jawapannya adalah ' tidak ' , jadah hapakah yang kamu naikkan harga minyak yang sama kualitinya ni, tapi tiba2 jadi mahal keesokan harinya? Bukankah itu namanya kamu sengaja menaikkan harga minyak? Bukankah harga minyak sebenarnya telah naik?!
Ini macam pi market nak beli ikan temenung, tiba2 tokey cakap sekilo kena tambah lagi dua ringgit. Tanya pasaipa, dia kata ikan temenung dah jadi ikan premium. Tanya dia lagi ikan temenung yang dia jual harini semua masuk univesiti ka? Ada ijazah semua ka? Isi manis lagi ka? Sisik makin kurang ka? Dia kata dak, sama ja. Tanya lagi ikan temenung kurang ka kot tengah laut la ni? Dia kata dak, belunggok huk lagi. Paihtu kenapa naikkan harga ikan temenung? Dia jawab harga tak naik, tapi taraf ikan temenung ni dah naik, jadi premium.
Tapi harga ikan temenung mahai dari kemarin. Kita kata tak puas hati. Dia kata kita bulih beli ikan puyu, ikan puyu harga sama macam ikan temenung kemarin. Tapi ikan puyu bukan ikan temenung! Kita jawab bantah. Tapi ikan jugak! Dia betah. Tapi kita tak bulih makan ikan puyu, nanti naik ruam. Kita bagi sebab. Dia suruh makan ikan temenung. Tapi ikan temenung mahai! Kita jawab. Bukan mahai, itu harga untuk ikan premium!
Last2 ada yang kena takek dengan parang tengah2 market tuh.
Naik harga cakap la naik harga! Dok pebodo orang pasaipa? Cakap. Harga dah naik. Kalau nak murah, beli yang rendah kualiti. Yang ni dah naik harga. Yang sama. Harga ja beza, lebih mahai. Kan senang?

Soalan kedua. Kenapa naik harga petrol? Mail Sabri dilaporkan dalam tibitiga malam tadi sebagai berkata sebab harga minyak dunia dah naik sampai USD82 setong.
Aku tak pernah hisap rokok. Jauh lagi nak hisap dam atau hidu gam. Tapi masa mengaji dulu, ada sekoq dua kawan2 yang dok wat kerja loklaq ni. Jawapan Mail Sabri ingatkan aku kepada sorang kawan yang overdose ganja. Samada dia hidu gam, atau telebih hidu petrol, aku tatau, tapi statistik tahun bila yang dia rujuk kata harga minyak dunia dah naik sampai USD82 setong? Harga minyak dunia tak pernah lepas USD75 selepas merudum jatuh sampai ke USD40 tuhari. Samada dia di bawah pengaruh ganja, ataupun sengaja nak membodohkan rakyat sekali lagi, itu aku serah pada pembaca semua. Tapi mengatakan minyak dunia dah naik ke 82 dolar setong adalah statement yang sangat bengong. Tak masuk akal. Dan hanya boleh dilafazkan oleh orang2 yang hilang akal sahaja!
Jadinya, kalau kenaikan bukan disebabkan oleh kenaikan minyak dunia, jadah hapakah yang dinaikkan jugak harga minyak? Adakah sebab BN dah senak tak tau nak kaut duit tang mana, maka last kopek, pau rakyat sekali lagi?

Soalan terakhir. Adakah kualiti RON95 sama seperti RON97? Jika rendah kualitinya, kenapa harganya sama seperti RON97?
Jawapannya jugak adalah tidak. RON95 lebih rendah kualitinya daripada RON97. Dan ada beberapa laporan mengatakan bahawa sesetengah enjin tidak sesuai menggunakan RON95.

Kesimpulannya?

Harga minyak memang dah naik. BN bodohkan rakyat melalui Mail Sabri mengatakan harga tak naik. Rakyat disuruh menggunakan minyak yang rendah kualitinya, tanpa sebarang kebaikan kepada kenderaan, dan disuruh membayar pada harga yang sama!
Mail Sabri kata harga minyak kenderaan tidak berubah, cuma ianya telah ditingkatkan kepada premium.
Rakyat juga akan kata PRU13 ini kerajaan tidak berubah,maka rakyat mungkin akan gantikan dengan kerajaan premium.

August 30, 2009

Masih Sensitifkah Kita?


Tahun 1950....
"Natrah merayu-rayu,airmata mencurah membasahi pipinya yang putih kemerahan.Di peluk erat pemberita Utusan Melayu,Puan Rosewati Buang.Natrah bertahan dengan keyakinan bahawa Islam itu benar,Islam itu adil.Amukan perasaan Natrah begitu berombak resah.Natrah tidak rela di murtadkan, Natrah tidak mahu melutut kepada patung virgin Mary.
Episod Natrah menjalar ke setiap nadi umat Islam yang akhirnya menyaksikan 18 orang terkorban dan ratusan lagi mengalami kecederaan akibat dari rusuhan di Singapura pada 1950".
(klik di sini untuk lebih mendalami episod Natrah)

Setelah 59 tahun berlalu....
"Hari ini, ramai anak gadis Melayu menangis teresak-esak berperang dengan keluarga untuk murtad.Hari ini, beratus-ratus orang membantah sekiranya di halang kebebasan untuk menukar agama."

Apakah ada lagi sensitiviti kita?

August 24, 2009

Ramadhan....


Saya masih lagi berkesempatan merasai keindahan Ramadhan.Alhamdulillah...

Ketika entri ini di tulis, baru sahaja kembali dari mengerjakan terawih.Masjid hampir penuh-barangkali ruang solat yang hampir mengecil, kesan dari proses penambahbaikkan yang harus di segerakan sebelum Aidilfitri-dan tergesa-gesa pulang akibat amukan perut.Terlalu berselera menjamah ayam percik dan ulam petai mentah di cicah cencaluk ketika berbuka tadi.
Sesudah azan di laungkan, saya mencicip kopi separa panas yang telah menyemarakkan nafsu, terlupa pada kurma yang menjadi sunatnya.Hampir separuh kopi di teguk, saya kembali ke ruang tamu, segera mencapai kotak rokok.Di keluarkan sebatang dan nyalaan pemetik api pantas menyambar hujung rokok yang mendedahkan tembakau yang tersumbat kemas.Lega.....
Habis sebatang rokok,saya kembali ke meja makan dan tanpa berlengah, mula mengisi perut yang sudah minta di penuhkan segera.Nafsu. Tewas lagi akhirnya, walaupun di ketahui bahawa bulan Ramadhan ini harus di serdehanakan segala keperluan.Manusia mudah lupa pada perjanjian denganNya.
“Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim


Ramadhan kali ini akan di hayati sebaik mungkin.Itu azam pertama saya ketika hari pertama mengerjakan puasa.Insyaallah, moga Ramadhan kali ini akan meninggalkan kesan yang bukan sedikit.Moga di jauhkan segala penyakit dan di permudahkan segala urusan.Di mintakan juga,Ramadhan kali ini doa saya diijabah(dimakbulkan) Allah agar dapat bertemu Lailatul Qadar.Aminn...
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Seboleh mungkin, saya ingin meluangkan masa berbuka di rumah bersama isteri,setidaknya separuh dari puasa tahun ini.Di atas sebab-sebab tertentu(kebanyakkan berkaitan kerja) saya tidak menjanjikan kepada isteri untuk berbuka puasa sepenuhnya 30 hari di rumah.Matanya yang ayu, menyampaikan pesanan kepada saya.Saya faham dan dia barangkali perlu juga memahami."Maafkan abang......"

Ramadhan....sentiasa menjanjikan keistimewaan pada setiap hambaNya.

July 15, 2009

Sibuk...


Isteri pernah bersuara ketika sama-sama menikmati “Char Kow Teow” di TTDI Shah Alam pada satu petang di hujung minggu.
“ Abang keluar rumah jam 6:30 pagi, balik jam 7:00 petang.Lepas Isyak kembali ke tempat kerja, pulang semula jam 12:00 malam.” Terhenti sebentar bicaranya bila seorang wanita tua menyapa kami sambil tangan kanannya menghulur sebungkus keropok ikan parang.Isteri menolak dengan senyuman.
“ Sampai bila nak kerja macam ni, usia makin meningkat, badan makin lemah. Sabtu pula,jarang-jarang ada di rumah,asyik sangat dengan kerja”.Dia merenung muka saya dengan kedutan yang penuh tanda tanya.
Saya membisu,menghembus asap rokok dan mendongak-dongak melihat awan yang mula pekat.Persoalan itu terhenti di situ dan tidak pernah saya jawap sehingga kini.

Saya sebenarnya masih terkial mencari ruang senggang, ruang yang agak selesa untuk saya berehat dan menenangkan diri, setelah agak lama tersantak mengejar jejeran kerja yang tidak pernah surut.Tidak langsung surut, mudah di sebut begitu.
Mencongak beberapa tugasan yang hampir siap dan menunggu tugasan lain , mungkin hingga November saya akan tersadai di bangku kerja menghadap skrin komputer dan berperang dengan “dateline” yang sentiasa sahaja di rasakan singkat. Otak sering kali penat dan selalunya di turuti dengan tubuh yang mendadak naik turun julat kesihatannya.Baru sembuh dari tonsil yang membengkak, di susuli pula selsema yang mencanak datangnya.Masih juga gagahi ke tempat kerja, kerana masih berhutang dengan tugasan yang perlu segera di langsaikan.Kata-kata perangsang dari Encik Rafi yang sentiasa tersemat kukuh, “setiap kerja perlu ikhlas." Seikhlas manakah saya bekerja? Entah…hanya Dia yang tahu segala sesuatu yang berpadu dalam jiwa saya.

Hati pula mudah terseliuh bila terkenangkan bicara isteri yang semakin risau dengan kesibukan saya ,barangkali juga dia kecewa dengan ketaksuban saya pada kerja.
Bahagiakah mereka? Entah…saya sudah berusaha membahagiakan mereka dengan segenap upaya dan sentiasa saya manfaatkan ruang yang semakin kecil ini dengan kasih sayang yang tidak pernah lekang dari tangkai hati.

Seperti kata-kata NorziatiMR “Saya perlu berubah, harus berubah. Saya tidak sibuk, tetapi punya kerja yang perlu di selesaikan dengan tenang. Bolehkah?”

July 08, 2009

Lupusnya PPSMI


Siaran Buletin Utama jam 8:00 malam, saya terlalu sibuk menjamu selera dan beberapa kali juga terpaksa menepis tangan Syaamil yang pantas menyambar sudu,mengocakkan kuah kari pekat yang masih hangat.
Telinga sesekali mengamati butir bicara si penyampai berita dan hanya sempat menangkap "PPSMI di mansuhkan" tanpa sempat memahami apa isinya.Kekalutan di meja makan menggagalkan saya untuk memamah isi berita yang di sampaikan.
Saya hanya memahami, PPSMI DI MANSUHKAN.Itu sudah cukup melunakkan telinga dan membangkitkan kesegaran dalam jiwa.
Yang jelas, pejuang bahasa Melayu boleh bernafas lega.Tahniah.
Kejayaan untuk umat Melayu.
Saya sempat menyalin rentetan kontroversi PPSMI dari laman Malaysiakini.com untuk sama-sama kita "kenangkan".

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012

June 16, 2009

"Saya bukan gila buku....."


Masa, semakin terasa menghimpit sedangkan nafsu sentiasa bangkit.Untuk entah kali yang ke berapa agaknya, saya tergoda lagi setiap kali berada di toko buku.




3 buah buku yang sedang menunggu untuk di baca, sedangkan masa senggang kian usang....


Hampir terlupa, Obama : Antara Islam, Israel dan Amerika juga menanti untuk di baca.

Teringat kata-kata abah, "hang makin gila buku nooo".
"Abah, saya bukan gila buku, tapi saya terlalu bernafsu."

May 30, 2009

Berubah...

Minggu lepas, saya terlantar lemah 2 hari.Suhu badan berada pada paras tinggi.Tekak pula begitu perit dan pedih.Mencuba untuk menjamah nasi, tetapi gagal menelan, tekak begitu terseksa peritnya.Saya mengalami radang tonsil yang serius dan selalunya di susuli dengan demam yang teruk.Kerapkali juga di nasihatkan doktor untuk menjalani pembedahan dan di nasihatkan juga untuk berhenti merokok. Tetapi kedegilan saya sering menewaskan nasihat doktor.
Setelah beberapa kali di pujuk isteri, saya mengalah dan segera ke klinik.
Hari itu, tuan doktor yang berjanggut sejemput dan berkumis nipis menasihati saya dengan lembut,katanya "Encik, minggu depan sila datang untuk confirm tarikh "dissection".
Jawap saya, "Doktor, saya sekarang sibuk sangat".
Doktor tadi mengangguk-angguk. Katanya ,"penyakit tak pernah sibuk encik...."
Dan denyut pedih tonsil kian kencang, turut menggoncang sekotak Lucky Strike di dalam poket baju.....

Meminjam kata-kata Ross Cooper," The only way to change our lives is by changing our minds."
Emmmm...nanti saya fikirkan untuk berubah....

May 19, 2009

SEMUA SAMA SAJA.....

Saya di besarkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai teras politik UMNO yang kukuh.Permulaan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara sentiasa menjadi perbualan harian yang tolong menginsafkan saya keperitan bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang di hormati.Liku-liku politik yang saya kutip dan jadikan pengalaman awal banyak mengajar saya apa itu pengorbanan dan apa itu erti "terima kasih".
Pada suatu sisi yang berbeda, ianya meransang jiwa muda saya.Ketaksuban pada seseorang ahli politik juga cukup menebal, mencantas ketaksuban pada intipati perjuangan parti politik itu sendiri.Kadang-kala, tidak berganjak sedikitpun, walaupun di dapati ahli politik bersikap menduakan parti yang di wakilinya.Waktu itu, ahli politik lebih penting dari parti politik.
Sesudah terumbang ambing di antara ahli politik dan parti politik, setelah agak lama terbuai dan hanyut dengan tafsiran sempit, saya mula mengesani suatu ruang yang agak kabur sebelumnya. Wajah hodoh yang di sembunyikan di sebalik topeng keindahan, suara merdu yang di laungkan dari rongga penuh kahak.Sesekali, ianya menjelikkan.
Menyedari bahawa politik sudah semakin hilang moralitinya, saya mengambil jalan pintas dengan tidak lagi menyokong mana-mana parti politik dan mula menerapkan ke dalam jiwa saya bahawa saya akan menyokong mana-mana politik yang memberi keutamaan pada agama, bangsa dan negara saya.Yang penting, kemakmuran negara sama-sama di rasai dan di kongsi.
Kira-kira sebulan yang lalu, saya mengingatkan pada seorang rakan yang agak lama menetap di Kanada tentang cuaca politik Malaysia sekarang.Saya katakan pada beliau bahawa politik Malaysia umpama menonton wayang kulit.. Saya terangkan padanya bahawa cerita wayang kulit yang banyak cerita ranting telah dikembangkan sebagai pertambahan atau pelanjutan untuk hikayat Ramayana, termasuk penambahan motif-motif daripada roman kesateriaan Panji Jawa, peningkatan watak-watak yang kurang penting menjadi watak-watak yang utama, atau perekaan watak-watak yang baru.Dia mengangguk tanda faham-atau masih kabur- tentang apa yang sedang berlaku kepada budaya politik di Malaysia sekitar awal abad 21 ini.
Sebagai balasan tentang kefahaman saya tadi, rakan saya tadi menulis email yang ringkas kepada saya kira-kira 2 minggu lalu, ketika politik di Perak masih lagi terkontang kanting.Dia menulis :-

Bila berhujah, katanya "KAMI PEMBELA RAKYAT!".Tapi.......
Lu maki dia, dia maki lu.Lu maki lagi dia, dia lagi maki lu.Lu maki lagi, dia maki lagi.
Lu sama dia...sama-sama maki.
Lu naik, dia turun.Dia naik, lu turun.Lu naik lagi, dia turun lagi.
Lu panjat, dia tarik.Dia panjat, lu tarik.Lu lagi panjat, dia lagi tarik.
Lu saman dia, dia saman lu.Lu saman lagi dia.Dia lagi saman lu.Lu saman lagi, dia saman lagi.
Asyik maki, asyik naik turun, asyik panjat tarik,asyik saman menyaman....apa nak jadi?Bila nak selesai?

Lu cakap "PEMBELA RAKYAT!", tapi lu bela siapa?
Rakyat?
Poket?
Maruah?
Agama?


Saya tolong jawab...
Bila ahli politik terlalu galak berpolitik, rakyat ternganga...
Makanya...
baik BN,PAS,KEADILAN dan DAP...
semua SAMA SAJA!

May 18, 2009

Siakap Senohong...


Pantun Melayu dulu-dulu...

Siakap senohong
gelama ikan duri
bercakap bohong
lama-lama jadi pencuri.

Itu pantun dulu-dulu...

Sewaktu menunggu jarum jam menghampiri 5:30 petang pada suatu hari yang lengang, seorang rakan sekerja yang memang terkenal dengan kedegilan dan semangat kental sebagai kaki pancing, sudah hampir setengah abad usianya berpantun begini kepada saya :-

Siakap senohong
gelama ikan duri
bercakap bohong
lama-lama boleh jadi menteri....

Dan dia ketawa terkekeh-kekeh, menampakkan beberapa batang gigi yang sudah hilang dari gusi.

May 06, 2009

Tanah Dua Relung......

Petikan dari buku Surat daripada Dr.Mahathir tulisan Zainuddin Maidin.(rujuk halaman 36).
"Negara semakin maju,perusahaan bertambah, bandar semakin besar, cukai semakin bertambah dan barang semakin tinggi harganya. Orang lain berubah, masing-masing berpelajaran tinggi dan berkebolehan. Kemajuan negara selaras dengan kemajuan orang bandar tetapi petani masih dengan tanah dua relung, tanam dua kali, hutang dua kali ganda."

Tulisan di atas adalah sebahagian dari kertas kerja "Peranan Belia Dalam Perkembangan Ekonomi Pertanian" yang di bentangkan pada 5 Mei 1972 oleh Tun Dr.Mahathir.

Menariknya, sehingga ke hari ini,majoriti petani di kawasan utara masih lagi "tanah dua relung, tanam dua kali, hutang dua kali ganda".
Apa yang Pak Menteri lakukan untuk membantu petani sejak tahun 1972 ?
Berpolitiklah untuk membantu, bukan membatu.Pak Menteri perlu banyak buat kerja, bukan banyak buat harta.Jawatan politik di berikan oleh rakyat bukannya di angkat mengikut darjat.

May 05, 2009

Serabut...

Hidup sekarang banyak sekali himpitannya.Saya,manusia kerdil di tengah-tengah gelodak jiwa dan alunan dunia.

Bebanan tugasan harian kadang-kadang tak terlayan.
Pernah terfikir untuk menulis "Resign Letter", tapi hati kecil pantas mengingatkan ; "lu belum kaya".

Kesihatan yang terumbang-ambing dek kurangnya aktiviti riadah.
Isteri pula menyindir tajam ; "asyik kerja-kerja-kerja.....".

Rak buku yang sudah berdebu,tetapi masih bernafsu membeli buku baru.
Sudah dapatkan buku Saya Pun Melayu(Zaid Ibrahim) dan juga Surat Daripada Dr.Mahathir(Zainuddin Maidin).Tertanya pada diri sendiri "bila nak baca?"

Ada akal?
Ah...serabut!

April 27, 2009

Ku Cari

Siang
mencebik kisah dan kenangan
menghimpun awan larat dan keringat
ada anak Adam dengan cerita cintanya
berlara simpati pada cinta Hawa

Malam
dalam himpunan seribu mimpi
bertandang dalam galur resah dan impian
duka dan tawa
beriringan embun dan impian doa
atau
di baluti enak dosa dan noda.

Hari ini
pekat sekali hidupnya
teranjak lesu menadah restu

Tuhan,
andai perjalanan ini berpenghujung
pada saat tasbih bermain di jari
ampunkan daku wahai Tuhan
mungkin siang dan malamnya ku terlalai
dan
restukanlah perjalanan ku wahai Tuhan
kerana ku lalai mencari keredaanMu.

April 11, 2009

Gembira...


Saya gembira jika suatu hari nanti, segala angan-angan menjadi nyata.Saya juga bertambah gembira jika semua pemimpin yang "korup"hilang jawatannya.
Saya juga gembira jika semua manusia sedar yang Tuhan sentiasa memerhatikan mereka.

Saya seringkali tertanya-tanya, gembirakah nanti saya di SANA....?

March 29, 2009

Menantu Dia Kerja Keras

Menantu dia memang kuat bekerja, itu katanya.
Dia, penentang rasuah, cuba membasmi rasuah hingga ke bulu-bulunya.
Baru-baru ini, menantunya di sabitkan kesalahan dengan politik wang atau lebih mudah di sebut "RASUAH".Tidak kiralah samaada politik wang atau apa juga pengkelasannya,rasuah tetap rasuah.Memberi-menerima, sama sahaja kerana yang salah tetap salah.
Ajaibnya,menantu yang di katakan kuat bekerja tadi tidak di beri sebarang hukuman tetapi seorang yang lain pula, yang turut sama-sama terlibat dengan rasuah di jatuhkan hukum haram dari bertanding merebut jawatan dalam parti politik.
Apa boleh buat, menantunya penerus tradisi keluarga.Sistem monarki perlu di pacakkan dalam parti tertua bangsa Melayu itu.Sama ada rasuah atau apa, menantunya perlu bertanding dan menang,penting untuk keluarga.
Menantu dia memang kuat bekerja, itu katanya....
BACA :
"beliau gembira dengan kemenangan Khairy kerana hakikatnya menantunya itu sudah bekerja keras.
"Kadang-kadang saya pergi tengok cucu, saya tanya Nori (anak Abdullah), mana Khairy, Nori kata dia pergi ke negeri... isterinya kata dia bekerja keras, tiap hari pergi kempen. Saya rasa beliau berhak menang selepas bekerja keras," katanya.
Baca :
"Calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, tetapi hanya diberi amaran."

Walau bersalah, menantu dia memang kuat bekerja....

March 25, 2009

PEMUDA UMNO PENJANA RASUAH !

Pesalah 1
Mohd. Ali Rustam didapati bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1Tataetika Ahli UMNO dan “Dilarang” daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Pesalah 2
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin didapati bersalah melanggar Tatatertib UMNO dibawah Perkara 10.1 , yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik , tetapi hukumannya hanya "Diberi Amaran" dan dibenarkan untuk terus bertanding dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO.

ADILKAH ALI RUSTAM DILARANG BERTANDING KHAIRY JAMALUDIN DILEPASKAN ?
Entah…lu pikir le sendiri.”

Cerita di atas saya tulis kira-kira seminggu sebelum 25-Mac-2009 tetapi tidak saya siarkan.Cerita yang sama, situasi yang sama.UMNO-Rasuah-UMNO-Rasuah.Ahhhh, muak.

Ini pula catatan yang saya lakukan sejurus Khairy Jamaludin di umumkan menang dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO mengalahkan Mukhriz Tun Mahathir dan Khir Toyo.

Menghairankan, seorang calon yang secara terang-terangan di sabitkan kesalahan kerana menyelenggara rasuah di beri undi kemenangan dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO kali ini.Perwakilan memilih beliau, itu muktamadnya dan perwakilan mewakili gelak besar sang hartawan, juga suara resah petani,penoreh dan nelayan.

Sekali lagi di ingatkan "Khairy di dapati bersalah kerana mengamalkan politik wang tetapi di beri amaran dan di benarkan bertanding".
Ringkasnya, Pemuda UMNO memang berkehendakkan rasuah dan mereka mengangkat "perasuah" menjadi pemimpin dalam masyarakat.
"Selamat datang RASUAH, masuklah dalam dunia Melayuku, alirlah dalam agama suciku...."

Saya perlu adil dengan diri sendiri, walaupun saya sering percaya pada ketaatan saya terhadap keadilan dan kesaksamaan.Prinsip jelas yang sering saya kompangkan, "aku pilih kebenaran, pacaklah apa parti sekalipun aku akan tetap sokong selagi parti itu ikhlas untuk agamaku,bangsaku dan negaraku."

March 24, 2009

Jangan Tuduh Lagi.....

Suara dari Dinding Dewan

"Bahasamu suara resah dan batin rimba
berkali diyakinkan wira bangsa.
Kebingungan empat dekad merdeka."

"Empat dekad bahtera bangga
anak cucu wajar menduga
mereka khusyuk atas sejadah
depan al-Quran mereka bertanya:
Buah ranum pada tangkai
bahasa gugur dari hati -
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?"
A. Samad Said
23-25 Mei, 20-22 Jun 1996.


Menjawab beberapa tuduhan melulu dan pendek akal beberapa kumpulan dan individu yang menuduh Datuk Dr.SN A.Samad Said(Pak Samad) di gunakan pihak tertentu demi kepentingan politik,saya sebagai salah seorang yang membesar bersama karya-karya Pak Samad menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa beliau di GUNAKAN dan juga menolak sama sekali tanggapan bahawa beliau telah masuk ke kancah politik.
Perjuangan beliau menentang Dasar PPSMI telah bermula sejak PPSMI di hebahkan lagi, sekitar tahun 2002 sebelum di laksanakan pada 2003.
Susulan dari bantahan itu, beliau menghantar mesej yang jelas , lewat buku Suara Dari Dinding Dewan pada tahun 2003 hasil kesinambungan puisi Suara Dari Dinding Dewan yang di tulis sekitar tahun 1996 dan di terbitkan oleh Dewan Sastera (terbitan DBP) pada Julai 1997.
Cumanya, setelah hampir 5 tahun desakan-desakan secara halus tidak pernah di pedulikan, makanya suatu gesaan yang lebih radikal perlu di anjak dan lahirlah GMP(Gabungan Mansuhkan PPSMI).
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO), GMP menjemput semua individu/pertubuhan untuk sama-sama menentang PPSMI demi anak bangsa(baca : Melayu) dan juga demi menegakkan Artikel 152 ; Perlembagaan Malaysia.
Keterlibatan PAS dan PKR bukan sesuatu yang di rancang, tetapi "mungkin"keresahan para seniman turut juga di rasai pemimpin parti politik ini.
[Saya katakan "mungkin" di sini kerana saya sendiri tidak tahu apa yang mereka fikirkan dan adalah tidak adil jika saya menuduh.]
Seorang seniman seperti beliau dan juga seniman-seniman yang lainnya, keresahan dunia Melayu banyak di garapkan melalui tulisan dan barangkali kita perlu sekali lagi di ingatkan bahawa "mata pena itu lebih tajam dari mata pedang".
Seniman tulen hanya akan bersuara setelah mereka di desak dengan mentaliti, di perah keresahan mereka melalui kreativiti dan jiwa seniman terlalu halus, tahap sensitiviti mereka juga terlalu mendalam.
Datuk Dr.SN A.Samad Said bukanlah sekeras Pablo Neruda yang mengkritik González Videla sehingga terpaksa bersembunyi dari buruan....
Beliau hanya anak Melayu yang menangis bila bahasa ibunda di anak tirikan.....
Janganlah tuduh lagi...


* Abang Helmy menulis email kepada saya, menerangkan kedudukan perjuangan Pak Samad setelah suara-suara sumbang mula berkompang.
Katanya :
1. Pak Samad sanggup naik pentas UMNO untuk isu ini jika dijemput - ini telah diberitahu kepada Menteri Pelajaran semasa pertemuan mereka tempoh hari.

2. Isu Pak Samad ketawa bersama Pak Menteri adalah selepas perbincangan (Pak Samad usik kerana Pak Menteri sediakan media untuk melaporkan tentang pertemuan itu - ini seakan memberikan satu merit untuk Pak Menteri kerana mahu berbincang dengan Dato Hassan & Pak Samad). Pak Samad tidak pernah dan tidak akan kompromi tentang isu PPSMI ini.

March 23, 2009

MRT

"Di Malaysia kita ada LRT,tetapi di Singapura sudah ada MRT", bicara seorang lelaki separuh usia.
"Di Malaysia pun sudah ada MRT", sanggah lelaki Cina dengan rambut yang bersisir kemas.
"Bila kerajaan buat MRT ?" Soal lelaki separuh usia tadi.
"Bukan kerajaan buat, tetapi kita buat." Jawapan itu membingungkan lelaki separuh usia.
Dia termenung, mendongak melihat langit yang cerah dan sesekali desiran ombak memukul pasir pantai, mengkhayalkan.Keriuhan anak-anak kecil bergelak ketawa sambil mengukir pasir pantai mendamaikan seketika.Sesekali tercari-cari mana letaknya "MRT" Malaysia.
Usah bingung, jawapnya.....
M = Malaysia
R = Rubber
T = Time
"Malaysia Rubber Time"

Kebanyakkan rakyat Malaysia(termasuk saya!) boleh menanjalkan waktu seperti keanjalan getah, walaupun sebenarnya waktu sesuatu yang tak ternilai....


* Port Dickson banyak mengajar erti waktu, erti kawan dan erti kesabaran.Terima kasih pada karang yang mencalarkan kulit kaki dan simbahan panas yang memeningkan kepala.

March 10, 2009

Kenapa PPSMI?



Saya harus jujur pada diri sendiri dalam melontar kata putus di dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).Saya juga secara sedar, menyedari bahawa saya seorang budak kampung yang masih sukakan jeruk mamam dan pekasam ikan sepat juga secawan kopi pekat.
Harus juga di tekankan bahawa saya sebenarnya cuba menelan keperitan hidup di kota, terketepi dan mencari hakikat sebuah kehidupan yang menuntut seribu satu macam pengorbanan tetapi di dalam isu PPSMI ini, secara alaminya, saya tidak rela mengorbankan anak bangsa saya untuk di jadikan bahan uji kaji untuk sistem pembelajaran yang akan memamah usia dan upaya mereka.Anak bangsa saya juga jangan lagi di bebalkan dengan wahyu pemerintah yang memesongkan mereka untuk meneroka dunia dan isinya hanya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu-bukan kerana bengap-tetapi kerana kegopohan sang penguasa.
Sebagai seorang kanak-kanak yang menghabiskan usia awal persekolahan di sebuah sekolah yang terasing dari jerit enjin kenderaan dan mengalami kejutan yang paling besar dalam hidup pada masa itu ketika pertama kali terpaksa berbelit lidah menyebut beberapa kerat perkataan di dalam bahasa Inggeris tanpa memahami apa maksudnya,ianya sesuatu yang cukup menyeksakan bagi saya. Pada waktu itu, hanya mata pelajaran Bahasa Inggeris sahaja yang di ajar dalam Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lainnya masih lagi menggunakan bahasa ibunda(saya lebih suka menyebut bahasa Melayu,bukan bahasa Malaysia).
Tambahan pula, ketakutan akibat sebatan rotan jika gagal menyebut perkataan asing itu tambah menggusarkan saya.Hasil dari kegusaran dan ketakutan itu, saya mula merangkak, kemudiannya sedikit berlari sebelum boleh meluncur laju menelusuri sesi demi sesi , sehingga boleh memahami dan menuturnya dengan mudah.
Memahami betapa seksanya untuk menguasai dan memahami sesuatu yang baru dengan penggunaan bahasa asing, saya sebagai seorang manusia MERDEKA,menuntut agar PPSMI di hapuskan sama sekali dan dalam masa yang sama menggesa agar pihak berwajib meningkatkan lagi tahap pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah,Di rasakan elok jika penekanan ini di berikan pada usia awal persekolahan terutamanya untuk sekolah luar bandar yang mana peratusan penguasaan Bahasa Inggeris masih mengecewakan.
Melihat jauh ke dalam konteks perlembagaan,secara sedar dan jelas dasar PPSMI telah mencabul Perlembagaan Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996.Dengan jelas juga, Kementerian Pelajaran telah melanggar Akta Pelajaran Kebangsaan 1961 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti.Pusinglah berapa darjah sekalipun, ianya tetap melanggar Perlembagaan.Usah di pertikaikan perlembagaan kerana seperti selalu, pendapat yang bersandarkan perlembagaan ini akan di rubah perlahan-lahan.
Sekiranya pihak berwajid masih lagi enggan berganjak dengan dasar PPSMI, harus di tanya pada diri sendiri beberapa soalan mudah tetapi malas untuk di soal.
Pertamanya, mampukah anak si Duyuh Miah memahami dan menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik jika usianya di habiskan dengan menanam ubi dan mengejar babi? Adilkah jika membandingkan mereka dengan anak Tan Sri Tan Ban Kiat yang asyik menonton siri The Simpson?
Keduanya, dapatkah pula si Labu membantu anaknya si Busu memahami maksud perkataan Balance and Equal jika si Labu masih lagi memegang cangkul ketika jam sudah menganjak ke pukul 12 tengahari?
Adilkah mereka jika menbandingkan mereka dengan Melly anak si Musthapa yang sedang asyik berjamu selera dengan rakan kongsi dari Eropah?
Semua persoalan ini akan bercantum dan merumus kepada satu persoalan.Kenapa perlu di ajar mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris jika terbukti bahasa Melayu mampu menjadi bahasa dunia dan secara logiknya, kenapa perlu memartabatkan bahasa asing?
Tiada gunanya mencium keris jika bahasa Melayu itupun masih lagi mahu di pertaruhkan...
Berdasarkan kepada kajian oleh beberapa bijak pandai, apa lagi yang ingin di buktikan?
1- Prof. Dr. Shaharir Md Zain
2- Prof. Emeritus Dato'Isahak Haron
3- Profesor-profesor Melayu dalam bidang Sains yang menentang PPSMI

March 07, 2009

Bahasa Melayu dan Topeng Gas Pemedih Mata


“Cepat, ada rusuhan”,jerit seorang lelaki berkopiah putih,manik halus merenik-renik di mukanya.
“Mana?”Tanya pemuda yang sedang menarik lembunya masuk ke kandang,ketika awan mula mendung.Hujan akan turun bila-bila masa.Dingin sudah semakin terasa.Kampung tersusun di pinggir bandaraya Kola-Kola itu semakin becak jalannya,hujan mencurah hampir setiap petang.Lopak-lopak air jelas mengempang dan anak-anak kecil tak berbaju begitu ghairah setiap kali hujan turun.Mereka akan berpesta hingga terbatuk dan tergigil kesejukan.
“Menuju istana, ramai sekali yang memegang sepanduk”,jawab lelaki berkopiah putih tadi sambil mulutnya muncung ke arah jalan besar menuju istana.
Kandang lembu lelaki tadi betul-betul menghadap jalan besar menuju istana.Di bina dari kayu wakaf dari surau yang di robohkan 6 tahun dulu.
“Malas”,pemuda tadi menjawab sambil menutup pintu kandang lembunya dan empat ekor lembu di dalam kandang itu mendengus-dengus mahu lepas bebas.Sementara 2 ekor yang lainnya sedang galak menjilat ketul garam.
“Errr…”,lelaki berkopiah mengurut-urut janggutnya.
Sambungnya lagi “kau tak sayangkan bahasa Melayu ke?”
“Sayang,itu bahasa ibunda saya”.
“Tapi bahasa Melayu bukan untuk di politikkan”,sambung lelaki tadi sambil bersiul gembira.
"Mana kau nak pergi tu?".Laung lelaki berkopiah setelah melihat budak lelaki tadi melompat melepasi parit,entah ke mana haluannya.
"Nak pergi cari bahasa Melayu...", jawab lelaki tadi antara dengar dan tidak.
"Saya juga belum beli topeng gas pemedih mata”,jeritnya lagi meninggalkan lelaki berkopiah terpinga-pinga.

Abang Helmy,
Saya menulis artikel pendek-Bahasa Melayu dan Gas Pemedih Mata-bukan niat mencerca penyokong dan penggerak anti PPSMI.Saya cuma terasa hati bila isu ini di politikkan.Jerit tangis pejuang bahasa bukan untuk di tangguk ke kantung ahli politik tetapi untuk anak bangsanya.Saya juga terkilan bila melihat-berita jam 8-banyak sekali gas pemedih mata di lepaskan.Bahasa Melayu bukan agenda politik tetapi agenda mengembalikan kekuatan bangsa.


*Saya berada di Kampung Kota Kubang Tedoh,Gunung Keriang,Alor Setar, Kedah(kampung aku!)ketika ribuan penyokong-dan segelintir penyangak-sedang berarak menuju Istana Negara untuk menyerahkan memorandum anti-PPSMI.

March 03, 2009

152

KERANDA 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

-Usman Awang (1967)-


Kedua-dua jarum jam yang sebentar tadi bertindih, sudah tergelincir beberapa minit, meninggalkan 2-Mac-2009.
Maka, sejarah pada petang Jumaat,3-Mac-1967 kembali di ingati.Petang itu, tanggal 3-Mac-1967, kira-kira 2000 orang wakil dari 120 pertubuhan orang Melayu berhimpun di di Balai Budaya,Dewan Bahasa dan Pustaka dan kemudiannya berarak ke menuju ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan.Perarakan itu di kenali sebagai Perarakan Keranda 152.
Setelah 40 tahun, mestikah Keranda 152 kembali di usung, menuntut agar Bahasa Melayu kembali di sanjung dan menuntut menghapuskan PPSMI.Rujuk luahan Pak Samad Said.

* Apa itu 152?
Merujuk kepada Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen".

February 21, 2009

Kejikah Politik Malaysia?

Selalunya kita akan mengatakan Amerika Syarikat itu negara tak bermaruah.Begitu juga pemimpinnya yang kita katakan zalim dan keji.Saya juga berkata dan berfikiran begitu.Tetapi, barangkali kita terlupa kepada sikap keterbukaan ahli politik Amerika.Mereka boleh menerima kekalahan dan mengakui kekalahan itu berpunca dari diri mereka sendiri, bukannya salah siapa-siapa.Dalam soal ini, saya secara peribadinya amat menghormati John McCain yang menyifatkan kekalahannya kepada Obama adalah kegagalan beliau, bukannya kegagalan parti dan pengikut beliau, juga bukan kesalahan Obama itu sendiri.Kata McCain :
“We fought — we fought as hard as we could. And though we feel short, the failure is mine, not yours.

Beliau malah menyeru kepada penyokongnya untuk sama-sama membantu Obama membangunkan Amerika.Dalam ucapannya sejurus menerima kekalahan kepada puluhan ribu penyokong Parti Republikan, antara lain beliau berkata :
“I urge all Americans ... I urge all Americans who supported me to join me in not just congratulating him, but offering our next president our good will and earnest effort to find ways to come together to find the necessary compromises to bridge our differences and help restore our prosperity, defend our security in a dangerous world, and leave our children and grandchildren a stronger, better country than we inherited.
Whatever our differences, we are fellow Americans. And please believe me when I say no association has ever meant more to me than that. It is natural. It's natural, tonight, to feel some disappointment. But tomorrow, we must move beyond it and work together to get our country moving again.”
(ucapan penuh)

Bagaimana dengan ahli politik Malaysia?
Jika kalah, mereka akan berkata begini ;
“Kekalahan ini berpunca dari agenda mereka yang jahat dan penuh dengan tipu daya”.
Setelah itu berkemungkinan akan berkata begini ;
Kita akan memastikan kerusi yang terlepas itu di kembalikan dengan apa cara sekalipun”.Setelah itu, bermulalah drama selak menyelak dan bergelumang untuk menjatuhkan satu sama lain.

Mudahnya, ahli politik Malaysia penuh dengan kebusukan dan kerendahan moral yang melampau.Mereka bukan pejuang, tetapi mereka ahli politik.
Tulisan ini bukanlah berhasrat untuk mencaci sesiapa, tetapi lebih kepada ketidakpuasan hati saya sendiri dalam melihat suasana politik mutakhir ini yang lebih menjurus kepada sifat kejahilan.Kebanyakkan ahli politik kini sudah tidak mempedulikan rakyat memilih, masing-masing berusaha untuk mengukuhkan kedudukan dan ada juga yang berusaha untuk menjatuhkan lawan sedangkan rakyat terpinga-pinga menongkah arus ekonomi yang memeritkan.Agenda pembangunan kian di lupakan dek ketaksuban politik.Politik tidak harus begitu-busuk- tetapi sifat manusia yang di jadikan pemimpin itu yang merosakkan politik.Politik juga sebagai wadah perjuangan untuk agama,negara dan bangsa tetapi berapa orangkah ahli politik Malaysia yang berfikiran begitu?
Di bandingkan dengan Amerika Syarikat yang akan menyambut
ulang tahun kemerdekaannya buat kali ke 234 pada 4 Julai 2009 nanti,
Malaysia seakan baru bermula.Begitu juga negara Itali yang sudah
terbentuk sejak 148 tahun lalu.India juga sudah 61 tahun bebas dari
cengkaman British.Dan 51 tahun itu terlalu baru jika berdasarkan
sejarah kemerdekaan negara bangsa yang lain, tetapi 51 tahun juga belum tentu menjanjikan keharmonian kepada rakyat jika ahli politiknya terlalu asyik berpolitik.

Kejikah ahli politik Malaysia?

February 15, 2009

This Is Confidential...

“This is the confidential!”
Semua yang ada di dalam bilik mesyuarat itu terhangguk-hangguk,tanda faham.Kerut mukanya jelas memaparkan bahawa berita itu sesuatu yang maha besar rahsianya.Tidak sesiapa pun yang berada di dalam lingkungan bilik itu boleh menyuarakan apa-apa.Semuanya hanya menganguk.Semuanya perlu faham dan patuh.
“Itu rahsia besar”, ulangnya lagi.
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa yang membongkarkan rahsia ini, faham!”bentaknya lagi.Tutur amaran itu berulang kali di katakannya, berulang-ulang dalam rangkap dan nada yang sama.

Nun jauh di hujung Asia, satu mesyuarat yang di pengerusikan oleh Chief Executive Officer di hadiri oleh semua Pengarah Urusan semua cawangan turut juga menjemput puluhan wartawan dari serata dunia sedang di adakan.Mesyuarat tersebut membincangkan tentang fenomena perniagaan baru yang akan di jalankan di sebuah negeri di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.Wartawan-wartawan yang di jemput sedang giat mencatat setiap butir bicara yang di bincangkan oleh delegasi.Langkah dan perancangan perniagaan itu di terangkan dengan jelas.Bulat-bulat jugalah para wartawan mencatat dan akhirnya catatan tadi akan di muatkan di dada akhbar dan ruang bicara internet.

Seminggu kemudian, dengan tergesa-gesa dia memanggil lagi kakitangan yang ada untuk bermesyuarat.
Bilik mesyuarat yang sentiasa dingin dengan penghawa dingin itu sudah terasa bahangnya.Peluh merenik-renik di muka.
“Saya mendapat maklumat, sudah ramai kakitangan bawahan dan orang luar yang tahu tentang perancangan peluasan perniagaan kita” dia berdiri sambil mencekak pinggang , merenung setiap manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu.
“Saya yakin, ada di antara kita yang menyebarkan rahsia ini”, sambungnya lagi.
“Rahsia apa?”Tanya seorang kakitangan yang kerdil dan hitam.
“Kita sudah bincangkan minggu lepas.” Dia meninggi suara, bulat matanya memandang semua yang ada.
“ Saya terbaca di dalam akhbar 3 hari lalu”. Terang seorang yang lain.
“Encik meminta kami semua merahsiakan pelan perniagaan syarikat tapi dalam masa yang sama berita itu sudah tersebar di akhbar dan internet”, tambah lelaki bertubuh kerdil dan hitam.
“Saya pun membaca berita tersebut di dalam internet”. Tambah pula seorang yang lain yang berkaca mata dan bertubuh gempal.
“Hah! Bagaimana semua orang boleh tau.”Tanyanya garang.
“Sekarang dunia tanpa sempadan,semua maklumat di hujung jari….”seorang gadis kecil menjawab antara dengar dan tidak.
“Awak yakin berita itu tepat?”, dia menyoal gadis tadi, masih dengan gaya egonya.
“Ya, saya cukup yakin kerana wartawan ada etika kerjanya, sama macam kita”, terang gadis itu.
Dia ternganga, timbul seribu satu persoalan.Bagaimana semua orang boleh tahu.Sedangkan itu rahsia besar.
“Lagi sekali saya beritahu, ini rahsia besar”, dia berlalu menuju ke pintu dan hilang di balik cermin gelap bilik mesyuarat meninggalkan semua yang berada di dalam bilik itu dengan seribu satu persoalan….
“Bolehkah kita menutup mata semua pembaca internet dan surat khabar dari membaca berita ini…?”Tiba-tiba gadis India yang diam sejak awal mesyuarat itu bersuara.

Nota : Cerita ini lahir dari kekecewaan saya terhadap beberapa insiden yang sedang dan telah berlaku di tanah air.Kekuasaan pemerintah memainkan sentimen dan kenyataan media arus perdana yang kadang-kala berat sebelah telah menghalang rakyat mendapat gambaran sebenar isu besar yang sedang bergolak.Rakyat di hidangkan dengan berita yang membutakan minda dari kebenaran.
Bersandarkan kepada kebenaran inilah, saya amat menyetujui konsep Individu Merdeka sistem Libertarianisme yang menekankan kepada kebebasan individu.Prinsip individu merdeka ini selaras dengan keyakinan kita bahawa Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia agar seseorang Muslim itu boleh memperhambakan diri kepada Allah semata-mata. Sebagai seorang Muslim, saya melihat mereka yang memperhambakan manusia lain seolah-olah cuba merampas tempat Allah dalam kehidupan manusia.
Paling penting sekali, konsep individu merdeka bermaksud kerajaan tidak boleh masuk campur dalam hal-hal peribadi seseorang rakyat.
Dan, yang maha pentingnya adalah kebebasan rakyat untuk mendapatkan kebenaran!

"Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." (Al-Ahzab ayat 70)

February 07, 2009

Ahhh...politik memang begitu.

POLITIK PERLEMBAGAAN - ABDUL AZIZ BARI ; Sumber rujukan ketika situasi poltik serba kalut.


Tergerak hati saya untuk menulis tentang kegentingan politik di Perak.Idea yang awalnya terhimpun gagal di sudahkan kerana perasaan meluat pantas mengusai diri.Sebagai seorang yang selalu melaungkan prinsip “apolitical”(tidak berpolitik), cumanya sering melihat politik dari luar “sangkar”, kegentingan politik Perak kali ini memaksa juga untuk menulis, biarpun sedikit.
Permulaan episod “cilok”ADUN oleh Barisan Nasional membuat saya sedikit melenting.Bukannya marah kerana Pakatan Rakyat kehilangan kuasa, tetapi kecewa kerana hak memilih yang ada pada rakyat di khianati oleh individu yang terlibat.Timbul pula pertanyaan pada diri sendiri,"apakah saya akan melenting juga bila ADUN dari BN melompat ke Pakatan Rakyat?"."Adilkah untuk rakyat yang memilih?Apa kata mereka?"Usah jawab, cuma fikirkan sendiri.Masing-masing ada jawabnya.
Secara peribadi,saya menyifatkan situasi "lompat-melompat" ini sebagai krisis moral ahli politik dan secara langsungnya kenyataan seorang ustaz yang saya kenali ketika mengikuti kelas tajwid itu hampir-hampir kebenarannya.Kata ustaz lulusan dari Al-Azhar tersebut, “orang politik adalah manusia yang sukar sekali untuk di percayai”.Walaupun mungkin tidak 100% tetap, tetapi kebenaran dari kenyataan ustaz tersebut tetap ada.Dan saya masih lagi meyakini bahawa kebanyakkan-tidak semua-ahli politik lebih memperjuangkan kuasa dan “temolok”sendiri dari memperjuangkan nasib rakyat.Apa sahaja yang menjadi halangan untuk mereka berkuasa akan di tepis dan di kesampingkan semata-mata memenuhi agenda masing-masing.Ahh..politik memang begitu.Yang lebih menggusarkan saya bila mana sesetengah individu yang menyifatkan “imannya”lebih dari iman individu lain sanggup mencaci dan melemparkan kata-kata kesat terhadap sesama insan seagama semata-mata berlainan fahaman politiknya.Barangkali juga, mereka terlupa sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya: "Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata:"Saya dengan orang, jika mereka berbuat baik, nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah, dan jika mereka berbuat jahat, elakkan kejahatan mereka'.(Riwayat at-Tirmidzi).Ah..politik memang begitu.Iman mudah di hakis kerana ketaksuban berpolitik.
Saya juga teramat sedih bila orang Melayu sendiri gagal mengawal emosi, sehingga titah DYMM Sultan Perak yang mahukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melepaskan jawatan Menteri Besar Perak juga turut tidak di endahkan.Karpal Singh yang sombong dan kurang ajar telah menyatakan pendiriannya(juga pendirian Pakatan Rakyat),bahawa beliau akan menyaman baginda Sultan Perak kerana baginda Sultan bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu sebagai tidak sah.Kononnya, keputusan baginda tidak demokratik.Perlembagaan tidak boleh di salahkan sekiranya Sultan memilih jalan yang selamat dengan memberi kepercayaan kepada individu yang baginda percaya boleh mentadbir negeri di bawah naungannya.Apa lagi yang akan ada pada bangsa Melayu jika Raja-Raja Melayu itupun di tentang semata-mata tamakkan kuasa dan kurang pertimbangan akal.Ah..politik memang begitu.
Saya pernah catatkan sebelum ini, ketika bahang PRU12 masih terasa. Jawatan politik adalah satu tragedi yang tidak boleh dielakkan. Selepas kemenangan, akan datang kekalahan. Yang bernasib baik mungkin mati semasa memegang jawatan. Yang tidak beruntung akan dihantui kekalahan itu sepanjang hidup mereka.Bagaimanapun, politik dalam konteks orang Melayu di Malaysia melampaui kepentingan perseorangan. Kekalahan banyak kerusi bakal membawa pembaharuan,kerana politik bukan sekadar kisah peribadi. Politik bagi orang Melayu lebih besar daripada isu jawatan dan individu, kerana ia soal ketahanan kuasa bangsa.
Sebagai makhluk yang di kurniakan akal, gunakanlah ianya dengan sebijak mungkin.Majoriti tidak semestinya betul dan minoriti tidak semestinya salah.Mungkin juga semua episod ini dugaan dariNya untuk menguji iman dan ketaatan kita kepada pemimpin.
Ahhh…politik MUNGKIN memang begitu….

February 03, 2009

Setelah 32 tahun....


32 tahun yang lalu, Tuhan menganugerahkan pasangan Abd Hamid bin Hasim dan Salmah binti Ismail seorang anak kecil,anak sulung pasangan tersebut.Dia di beri nama Shahrul Nizam.Dia bukan sesiapa, cuma anak kecil yang belum mengerti apa-apa.Dia perlu kenal dunia dengan rencah sandiwara, dia perlu kenal kehidupan dengan berbagai ragam.
Hari ini, setelah 32 tahun berlalu, anak itu berkata "terima kasih abah, kerana membesarkan aku dengan ilmu berguna,terima kasih ibu kerana memberikan aku kasih sayang tak ternilai dan terima kasih Tuhanku, terlalu banyak yang Kau beri, terlalu sedikit yang ku balas..."

January 27, 2009

Al-Fatihah - ARENAWATI


Selesai solat Subuh dan menelan sebiji ubat selsema warna kuning,saya kembali ke tilam kekabu,melelapkan mata sambil memeluk Syaamil yang masih enak tidur.Isteri pula, sibuk di dapur bersama ibu mentua dan 2 orang adik ipar saya,menyiapkan sarapan pagi.Kelopak mata terasa segan di buka...dan saya kembali terlena.
Saya di kejutkan dengan bunyi "krik-krik" SMS telefon bimbit, kiriman dari seorang rakan ketika jam sudah hampir ke pukul 8:30 pagi.Segera bangun dan mendapati Syaamil sudah hilang dari sisi.Kenikmatan tilam kekabu rumah mentua yang mengkhayalkan di tambah keletihan kerana hari sebelumnya, merasai pengalaman pertama memancing udang di sungai Kuala Selangor.Kepala pula terasa sedikit pusing, kesan dari ubat selsema- di ambil selesai solat Subuh-juga akibat dari pengalaman pertama berjemur memegang batang kail di tengah simbahan panas matahari dan biasan air sungai.
Menggosok-gosok mata sambil terdengar suara Syaamil berbual entah apa dan dengan siapa,saya membaca kiriman SMS tersebut,ringkas sahaja tulisnya "Arenawati dah meninggal, hang dah tau ke?".
Masih lagi dalam fasa separuh sedar, saya bergegas keluar dari bilik dan mencapai "remote"Astro, menekan butang 502-Bernama News-perkara pertama yang perlu di lakukan setiap pagi bangun dari tidur-walaupun di rumah mentua.
Maklumat dari rakan tadi di sahkan tepat.Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Baing atau lebih dikenali sebagai Arenawati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras akibat barah paru-paru.
Yang datang pasti pergi, dan perginya Arenawati meninggalkan satu legasi yang di akui banyak meninggalkan kesannya kepada masyarakat Malaysia.Saya juga sering menyifatkan Arenawati sebagai penulis luar biasa.Luar biasanya Arenawati kerana buah fikiran yang ditumpahkan dari penanya itu adalah hasil strategi perahan keringat pengalaman, kudrat kembara dan penguasaan fakta sejarahnya.Saya sedikit terlewat mengenali Arenawati.Novel pertama beliau yang saya beli,Sukma Angin.Ketika merayau-rayau di Kinokuniya, KLCC sekitar tahun 2001-ketika masih berangan menjadi Malmsteem-dan mencari arah diri.Tulisannya yang membuai, menimbulkan kegilaan untuk saya mendalami novel-novel beliau yang lainnya.
Bermula dengan Sukma Angin,saya mula mengenali Pantai Harapan(dari Popular Bookstore,IOI Mall,Puchong), Busa Hati & Busa Sukma(di beli melalui seorang rakan dari UKM), Warna Sukma Usia Muda(pemberian iklhas sseseorang dari UM) dan yang paling terkini sempat saya baca,Trilogi Armageddon(melepak di MPH Midvalley).Walaupun tidak banyak tulisan dari Arenwati yang sempat saya baca, tetapi
ianya meninggal bekas untuk diri saya,antaranya tulisan beliau di dalam Busa Hati, "Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah."
Begitu juga dengan tagline yang saya gunakan untuk blog ini,yang saya ambil dari novel Sukma Angin, "Sesuatu ada ketikanya,sesuatu ada hadnya.Seseorang pada suatu ketika, dalam suatu keadaan harus menentukan pilihan".
Harus, kita fikirkan....
Al-Fatihah untuk pejuang sastera negara.....Arenawati.

January 21, 2009

Syaamil-Di Pertengahan UjianNya

Dengan anak, jiwa saya mudah menangis.
Syaamil di serang demam secara tiba-tiba 3 hari lalu dan berpanjangan hingga saat catatan ini di zahirkan. Sudah 3 hari juga dia tidak menjamah apa-apa makanan,cuma sering merengek meminta susu. Sering juga menangis,meluahkan kesakitan yang di alami walaupun tangisan itu hanya menceritakan kesakitan yang gagal di tangkap dan di fahami oleh saya dan isteri.
2 kali ke klinik mendapatkan rawatan.Nasihat doktor yang selalu di tatang. “ Ini perkara biasa,insyaallah dia akan segera sihat”. “Banyakkan memberi air kosong”,sambungnya lagi. Saya yakin pada setiap kata-kata dan petuanya.Insyaallah...
Syaamil hanya mampu senyum-tawar- keuzuran ini telah meragut semua gelak ketawanya yang sentiasa mengiringi keindahan hidup saya.Beberapa kali air mata yang cuba di empang tertumpah..
Menoleh ke wajah isteri-sayu-dia hidup dalam duka.Saya harus semakin kuat untuk menceriakan dia.
Hari ini,Selasa 20hb Januari 2009,balik dari kerja, tergesa-gesa lagi ke klinik, setelah Syaamil terbaring tidak bermaya.Tanpa banyak persoalan, doktor yang genit berkaca mata menulis sepucuk surat, untuk di rujuk ke hospital kerajaan.
Tanpa bertangguh, usai melengkapkan rakaat Maghrib di rumah, memecut laju pula ke Hospital Sungai Buloh.Terasa jauh benar perjalanan dari Shah Alam ke Sungai Buloh.
Dalam getar yang masih kencang, selesai menguruskan urusan pendaftaran juga proses ujian darah dan menunggu hampir 2 jam, keputusan dari hasil ujian itu pun muncul dan di tuturkan satu persatu oleh doktor yang bertugas.
Alhamdullilah,kegusaran saya dan isteri terhadap jangkitan denggi jauh tersasar.Syaamil hanya demam biasa,cuma tekaknya sedikit merah(bukan tonsil walaupun saya mempunyai masalah dengan penyakit millennium itu).Setelah di bekalkan dengan beberapa jenis ubat, saya memandu pulang dengan nafas kelegaan.Harapnya, esok Syaamil mampu memberi saya ketawa yang di tagih hampir 4 hari.
Maka, saya perlu yakin bahawa setiap hambaNya akan di uji dengan pelbagai musibah,sebagai ujian untuk kita memuhasabah diri dan untuk lebih mengenali zat-zatNya.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta". (Al-Ankabut: 2-3)

* Ketika saya sedang menulis catatan ini, Barrack Obama sedang memberi janjinya pada rakyat Amerika dan juga memberi harap pada penduduk dunia,sedang Gaza masih menitis merah darah syuhada....

January 14, 2009

"Mood" Membaca


Beberapa buah buku yang terbiar berselerak di atas meja bacaan saya sudah hampir berdebu.Isteri pula sudah beberapa kali menasihatkan agar menambah rak buku,untuk menempatkan buku-buku yang terkapok di dalam kotak kertas."Semak sangat",katanya.Saya hanya berdiam diri setiap kali gesaan itu datang.Syaamil juga sudah beberapa kali mencapai buku-buku yang berada di atas meja tersebut dan setiap kali itu juga isteri akan memarahinya. Saya? Buat-buat tidak nampak.
"Beli buku, tapi malas nak baca",sambungnya lagi.
"Ahhh...takdak mood nak baca".Itu jawapan yang selalu saya berikan.
Saya sekarang jarang sekali menekuni buku-buku.Banyak tugasan lain yang perlu di bereskan.Cuma sesekali bila cuti hujung minggu atau malam yang panjang(bosan), saya akan kembali menekuni buku-buku yang berbaki untuk di baca.Hampir sebulan,ya….hampir sebulan saya tidak membeli buku baru.Penghujung November saya mendapatkan dua buah buku.Satunya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah-Memoir Said Zahari yang baru selesai beberapa hari lepas dan sebuah lagi Obama-From Promise to Power dan masih tidak terusik.Hanya sempat menguak muka depan, membaca beberapa halaman dan kembali di tinggalkan.Perancangannya, hujung Januari akan di baca, setelah Obama benar-benar melangkah ke Rumah Putih.

Rutin sekarang sedikit berubah.Kembali dari kerja dan seperti selalu ke masjid berdekatan rumah.Pulang dari masjid, mata terpaku pada Buletin Utama, selepas itu menyelak surat khabar harian.Selalunya juga, surat khabar tadi akan di tinggalkan di meja makan.Kelapangan, menulis beberapa perkara di dalam diari dan masa yang sedikit santai , saya akan berbicara dengan Syaamil yang masih tidak di fahami butir percakapannya.Jika mahu di katakan keletihan bekerja, mungkin juga tidak kerana sesudah Syaamil terlelap(selalunya dia akan tertidur di ruang tamu), saya akan membuka laman internet,mencari-cari entah apa.Kadang-kadang yang lainnya, saya hanya meneliti beberapa tulisan pada blog yang saya ikuti.Perkara ini akan berlanjutan sehingga jam 12 malam dan ada ketikanya terlajak sehingga ke dinihari.

Kesungguhan untuk membaca itu sentiasa ada, tetapi kerana beberapa tugasan kerja yang sedikit menekan , mood saya untuk membaca mudah hilang.
Hidup ini akan begini :-
1) Bersemangat
2) Malas
Sekarang saya mula malas -hilang mood kata kebanyakkan orang- juga kata saya.
Dan kemalasan tadi akan beransur hilang bila semangat itu muncul semula pada sesuatu keadaan yang tak tersangka.
Keadaan begini juga sudah selalu saya rasai.Tiba-tiba, perasaan malas itu datang mendadak dan tidak mampu di empang lagi,lantas menguasai diri.Pada suatu masa yang lainnya pula, tanpa di sangka, nafsu untuk membaca itu muncul secara tiba-tiba dan jiwa pun mulalah meminta mencari sesuatu untuk di baca.Pernah sekali, saya menghabiskan waktu bekerja di pejabat hanya dengan membaca sebuah buku yang sentiasa berada di dalam beg sandang, tanpa menyudahkan apa-apa tugasan yang sepatutnya
Pernah juga seorang rakan mencadangkan saya memulakan hobi memancing dan dengan mentahnya, saya menolak cadangan tersebut.Saya bukannya seorang penyabar dan merasakan juga memancing bukan dunia saya.Pada saya, dunia saya dekat dengan buku dan muzik.Ya…dunia saya.Dan saya masih percaya, pembacaan adalah pengembaraan yang panjang.Cumanya,mood saya untuk membaca mempunyai pasang surut yang tak menentu.
Untuk tahun 2009, saya memasang angan-angan untuk mengembara ke negara Timur Tengah,melalui buku.Mahu juga dapatkan sebuah Kitab "Majmu' Rasa'il Hasan al-Banna" yang menjelaskan dasar pemikiran dan idea-idea bernas As-Syahid Hasan al-Banna dalam menunjangi pertubuhan Ikhwanul Muslimin di Mesir sehingga terkesan di sebelah sini,terutamanya Malaysia.
Insyaallah akan di usahakan kemudian….jika masih ada “mood”.

January 11, 2009

Perhimpunan untuk Palestin – Rise For Gaza



Khaibar Khaibar Ya Yahud! Jaisyu Muhammad saufa ya'ud!!!
Jaga-jaga wahai Yahudi! Tentera Muhammad pasti datang!!

"Hukum syar'ei yang di sarankan syariat Islamiah melalui pelbagai mazhab dalam keadaan sekarang(serangan Zionis ke atas Gaza) adalah wajib ke atas umat Islam bergabung dengan bangsa(rakyat Palestin) yang dicerobohi seandainya bangsa tersebut tidak mampu melawan pencerobohan tersebut bersendirian.Orang Islam adalah umat yang satu.Islam mewajibkan berperang semata-mata membantu golongan yang lemah"
- Syeikh Dr.Yusuf Al-Qardhawi-


Pagi ini sedikit kelainan terkesan.Awal pagi saya bangun, sebelum azan Subuh lagi, terjaga dengan sendirinya walaupun malamnya saya tidur agak lewat kerana terlalu bergelut untuk menyudahkan membaca buku Dalam Ribuan Mimpi Gelisah-Said Zahari.Saya perlu menyudahkan buku ini seberapa segera sebelum boleh membaca pula sebuah buku lain tentang Barrack Obama,bakal Presiden ke 44 negara paling samseng,USA.
Email dari seorang rakan yang saya terima malam sebelumnya, sentiasa membuat saya gelisah, takut terlewat menghadiri Perhimpunan Rise For Gaza di Stadium Melawati, Shah Alam.Dalam fasa begini, kemahuan untuk meluahkan apa yang tersirat, sentiasa membuat jiwa tertekan, perasaan dendam dan marah terhadap Yahudi dan sekutu kuatnya USA mudah menekan, apatah lagi bila melihat paparan berita yang menyajikan penderitaan penduduk Gaza.Hari ini, ingin saya jeritkan kemarahan itu bersama ribuan peserta yang turut serta dalam perhimpunan tersebut.
Bersiap agak awal kerana janji dengan seorang rakan yang ingin turut serta bersama saya.Mengena pakaian ala kadar, seluar “codroy”dan sehelai kemeja lengan panjang.Untuk mengelak kesesakan yang bakal terjadi(saya cukup meluat dengan traffic jem,akhir-akhir ini), saya bermotorsikal ke Stadium Melawati.
Sampai di perkarangan stadium sekitar jam 10:00 pagi,meluru dengan semangat paling tinggi ke dalam perut stadium yang sudah terisi dengan manusia yang mahukan keamanan di Palestin.Tiba-tiba teringatkan kamera.Ah, terlalu kelam kabut saya di buatnya,kamera tertinggal di rumah!"Pedulikan kamera, hari ini aku mahu maki Zionis!"
Stadium penuh sesak, berbagai sepanduk dan kain rentang yang masing-masing mencaci Zionis dan USA.Bendera rejim Zionis menjadi hamparan untuk di pijak-pijak di lantai stadium sebagai simbolik dan kebencian umat yang cintakan keamanan.
Sedikit menarik, beberapa pemimpin parti politik yang berlainan ideologi dan falsafah politiknya mampu duduk dan memberi pendapat dengan gaya masing-masing, semuanya mengutuk kezaliman Zionis.
Hati sebak, saya hampir menitis air mata bila imam besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah membaca doa untuk keamanan dan meminta Allah agar menyelamatkan rakyat Palestin dari ancaman rejim Zionis.Kekesalan di atas kekejaman Zionis benar-benar membuat air mata yang di empang tumpah membasahi pipi.
Takbir yang bergema sentiasa memenuhi ruang di dalam stadium.Memancarkan semangat juang setiap manusia yang melaungkan kalimah keramat ini.
Dan saya berdoa moga keselamatan sentiasa bersama pejuang dan anak-anak bumi Palestin.Di sini, derita rakyat Palestin bukan saja di Palestin tetapi juga di jiwa setiap manusia yang cintakan keamanan.Sengsara Palestin meresapi setiap jiwa dan arus darah di dalam tubuh, menggeletar ke segenap sendi dan urat saraf.Kebencian terhadap Yahudi terlalu membuak di hati,bangsa terlaknat zaman-berzaman.Ingatan kembali kepada sebuah buku(lupa tajuk)tulisan Dr. Ahmad Shalaby(terjemahan-yang di pinjamkan dari seorang rakan), kita akan memahami betapa jijiknya bangsa paling celaka itu.Ketelitian bangsa Zionis dalam mengatur strategi mereka-gagasan Israel al-Kubra-juga pertubuhan seperti Rotary dan Lions yang katakan didalangi Freemason. Tetapi yang lebih menyedihkan adalah pemimpin-pemimpin Arab yang di rasakan lebih hina dan munafiq. Jangan terkejut jika di katakan Gamal Abdul Nasser itu pengkhianat besar (pastinya sumber ini sukar di percayai) yang telah bersekongkol dengan Yahudi di balik tabir. Memang dia politikus yang pendiam, tetapi oportunis dan licik. Malah ada kajian yang mendakwa latar belakangnya diragui. Dia berdarah Yahudi?Emosi saya tentunya naik memuncak bila berbicara soal kemelut di Timur Tengah.
1.5 juta rakyat Palestin bukan saja terkepung dengan Zionis tetapi terkepung dengan negara-negara Arab yang pengecut, terkepung dengan negara Eropah yang tamak juga terkepung dengan umat Islam di serata dunia yang hanya tahu memeluk tubuh.Apalah daya upaya saya untuk mempertahan Palestin.Hanya doa untuk mereka....
Ayuh, lagi sekali kita laungkan :-
Khaibar Khaibar Ya Yahud! Jaisyu Muhammad saufa ya'ud!!!
Jaga-jaga wahai Yahudi! Tentera Muhammad pasti datang!!

Firman Allah ta'ala dalam surah an-Nisa' ayat 75 bermaksud :
"Dan apakah yang menghalang kamu(maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah(untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki,perempuan dan kanak-kanak,iaitu mereka yang selalu(berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami,keluarkanlah kami dari negeri(Makkah) ini,yang penduduknya(kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal(keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami(dari ancaman musuh)".

January 04, 2009

Memoir 2008

Diari tahun 2008 telah di masukkan antara celahan diari-diari tahun sebelumnya.Kemas di situ, antara timbunan buku catatan lainnya, juga senaskah manuskrip yang lama tidak terusik.Sesekali, akan membuka semula diari-diari lama, meneliti mana-mana yang perlu.Mencatat merupakan sebahagian dari hidup saya, kesukaan saya untuk menyimpan sejarah kehidupan untuk renungan suatu masa nanti.Sesungguhnya, masa yang berlalu adalah sejarah, sebagai pengajaran untuk di teladani.
Berikut, beberapa catatan yang sempat saya catatkan di dalam diari tahun 2008.

- SN A.Samad Said melucutkan gelaran Seniman Negara yang di anugerahkan kepada beliau sebagai protes terhadap Kementerian Pelajaran yang bertindak menukar karya sastera agung kepada novel picisan untuk Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) 2010.
- Kejatuhan Kedah,Pulau Pinang,Perak dan Selangor juga kegagalan untuk merampas semula Kelantan dari PAS pada PRU 12, satu petanda jelas rakyat mahukan pembaharuan, tetapi dek kesombongan, Pak Lah masih angkuh berkata “BN masih kukuh"
- Anwar Ibrahim kembali ke kancah politik.Auranya masih menyengat.Masih berbisa menawan hati rakyat yang mahukan kebebasan dan keadilan.Tapi, adilkah PKR?
- Karpal Singh yang semakin biadap, mempertikai tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar menarik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.Sebagai seorang imigran(Karpal)perlu mematuhi dan menghormati sistem pemerintahan negara berdaulat.
- Tun Mahathir mengumumkan keluar dari UMNO pada 19 Mei ‘08, sebagai desakan kepada Pak Lah meletak jawatan.
- Kenaikan harga petrol pada 04 Jun ’08 sebanyak RM0.78 telah menyaksikan rakyat memprotes.Kenaikkan harga petrol, di turuti dengan kenaikkan harga barangan keperluan membuatkan poket rakyat yang berpendapatan rendah semakin tenat.
- Majlis Peguam semakin terlupa akan kesopanan dan tatasusila.Forum-forum “panas”, umpamanya Forum Memeluk Islam yang menyaksikan saudara Zolkifli Nordin naik angin.Mana pergi Khairy Jamaludin dan Mukhriz Tun Mahathir?
- Rumah Putih di Washington DC akan di duduki seorang lelaki kulit hitam pada 20 Januari 2009 setelah memenangi Pilihanraya Presiden pada November 2008.Barrack Obama, Presiden Amerika.negara paling takbur,angkuh dan samseng dalam dunia.
- Kejatuhan ekonomi dunia yang berdikit meresapi ekonomi Malaysia.Kesannya kian terasa, semakin menggigit.Sistem kapitalis mula memakan diri sendiri.
- Kejutan pada pagi 06 Disember 2008 yang menyaksikan rumah orang kaya di Bukit Antarabangsa ranap akibat tanah runtuh.Pengajaran paling berguna untuk kita.Hutan dan isinya adalah milik alam ini, bukannya hak milik kapitalis tamak.Alam akan menghukum.Dan kita telah menyaksikan hukuman alam.Peristiwa Bukit Antarabangsa juga telah menelanjangi sikap orang-orang kaya yang sentiasa ingin menjadi tuan.Hatta, dalam kesengsaraan itupun, sikap ego “tuan”masih lagi tebal, masih lagi di tonjol-tonjolkan.
Tahun 2008 juga banyak menyimpan memoir tersendiri.Ada orang berkata, tahun 2008 adalah tahun yang muram buat Malaysia.Banyak cacat celanya untuk politik Malaysia, juga beberapa malapetaka yang tidak di sangka.
2009, walaupun permulaannya sedikit gawat, moga perjalanannya mendapat berkat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...