April 24, 2008

Cerita Dalam Diri


Saya cuba untuk kembali menulis tetapi saya hilang kata-kata, kontang dan bingai.Sejak akhir-akhir ini, saya selalu memaksa diri untuk menulis, tetapi setiap kali juga bila memegang buku nota, semua idea-idea dan ungkapan yang terapung bagai awan hujan pada awalnya akan hilang dan gagal saya catatkan untuk rintik menjadi karangan .Ianya akan datang kembali,berbayang-bayang ketika mata mula letih dan layu.Sekali lagi, saya masih gagal menangkap dan menterjemahkan idea ini,lalu iapun segera hilang.

Suatu malam yang dingin,ketika sedang berkira-kira untuk membaca May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, idea itu datang kembali .Terlalu kasar ia menangkap jiwa,ganas menghumban nafsu dan meronta-ronta minta keluar dari saraf otak.Lalu saya catatkan begini “Dan semua ini membuatkan aku mulai bosan. Hidup dalam lingkungan yang membuntukan,menyesakkan kesabaran ke tahap tinggi danberasakan kesabaran ini makin sukar di bendung.Hidup dalam sekangkang kebodohan,yang di cedok dari kesombongan orang lain, menjadikan aku antara mangsa yangkian di himpit.Gelodak kemarahan yang semakin memaksa dalam diri untuk bersuara.Kemurungan jugabisa membunuh jiwa aku,kelembapan untuk bertindak mencantas kemampuan aku.Di tenatkan lagi dengan sikap manusia yang melelahkan, bantuan di pinta di sangka bebanan...”.

Usai melengkapkan catatan ini, kesayuan pada dingin malam berganti dengan
renungan kosong pada manik hujan yang menimpa bumbung kereta.Puntung rokok yang masih menyala sengaja saya campakkan ke luar tingkap,jatuh menimpa air hujan yang mula bertakung. Jelas di lihat dari tingkap yang sengaja saya biarkan terbuka-air hujan dan puntung rokok tadi hanyut di bawa ke dalam longkang yang sebak,sesak dan sendat - angin yang menyerbu masuk membuatkan tubuh terketar menahan sejuk.Saya kembali membuka buku nota dan bayang kata-kata itu datang lagi.
"
Aku manusia waras,di kurniakan akal juga jiwa dan bukankah Allah itu Maha
Pengampun.Lalu, apa lagi yang perlu aku khuatiri?Bukankah hidup dan mati itu ketentuanNya?Dan hidup ini juga adalah ehsan dariNya,di lontarkan masalah,bukan bebanan tapi ujian".

Malam itu, ketika kedua-dua jarum jam bersatu saya masih merenung pada longkang yang sebak,pada lopak air yang bergenang dan sesekali memandang jauh ke hujung langit mengharapkan perjalanan hidup ini terus di berkatiNya.....

April 11, 2008

Aku tak cemiuh ler...


Pernah seorang rakan bertanya.
"Hang rasa sampai bila nak keja makan gaji?"
"Entah,sampai siapkan Master kot,dak pun tunggu le kot-kot esok aku cemuih keja makan gaji,aku berenti le"jawapan dari nada sinis.

Persoalan-persoalan yang sebegini,selalunya akan berlegar kembali dan saya cuba merungkaikannya dalam minda yang sentiasa mencari ruang untuk berehat dan selalunya keputusan untuk berhenti dari pekerjaan sekarang akan segera hilang bila menyedari "management is an art"......
dan hanya orang-orang tertentu sahaja akan menyedari bahawa bidang Pengurusan Sumber Manusia adalah suatu seni,indah dan menarik.
Sukar bagi saya untuk mencari titik noktah untuk sesuatu yang berseni dan indah.Saya tak akan "cemuih"selagi ianya melibatkan "seni".

*cemuih = bosan


April 10, 2008

Kembalikan Salina


Salina
Novel berharga dari A.Samad Said tetapi sampai kini novel tersebut terjerut dalam kantung DBP tanpa di beri apa-apa peluang untuk di terbitkan semula.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari http://helmysamad.blogspot.com/

Kita kembalikan Salina kepada Pak Samad.Moga, dengan petisyen ini pihak DBP akan sedar dan patuh pada tuntutan kita semua....generasi muda pewaris bangsa!

April 08, 2008

Anuar Zain...Lu Bikin Gua Panaaasss!




Saya terpanggil untuk menulis kerana melihat industri hiburan sudah tenat dengan masalah sosial golongan artis yang kian menjadi barah.Petikan daripada akhbar Kosmo bertarikh 28 Mac 2008 dengan jelas menyatakan kesanggupan Anuar Zain untuk di cium peminatnya.
Anuar dengan jujurnya memberitahu, peluang itu terbuka kepada semua peminatnya termasuklah daripada kalangan wanita."Mereka boleh lakukan apa yang disukai. Tidak kira bercium atau duduk diatas paha," kata Anuar dengan perasaan teruja. 

"Ciuman hanya terbatas di pipi sahaja".
Jika benar begini,persoalan yang harus kita utarakan sekarang adakah layak seorang artis di gelar sebagai "public figure"? Jika gambar-gambar di atas pula dijadikan sandaran pada hujah,sudah tentu ianya menelanjangi sikap dan budaya Melayu itu sendiri.
Berpelukan, berciuman dan bersentuhan dengan bukan Muhrim walau dengan apa alasan sekalipun tetap HARAM di sisi agama Islam dan yang lebih memudaratkan bila perkara-perkara sebegini dilakukan di khalayak, disertai pula artis yang di kenali ramai(Anuar Zin).Yang lebih menghairankan, sudah hilangkah maruah dan harga diri makcik yang memeluk pinggang Anuar Zin dan di manakah harga diri wanita yang beriya-iya mencium pipi AnuarZin. Jika peminat setia sekalipun, landasan dan hukum agama perlu di jadikan panduan.

Dalam berhibur,biar beradap. Sebagai artis, sejauh mungkin perkara begini wajib dielakkan kerana pengaruh artis itu sendiri sudah cukup besar kepada masyarakat.Artis menjadi idola, menjadi ikutan dan kegilaan remaja.Bagi remaja yang terlihat gambar-gambar yang sebegini, yang menghalalkan ciuman dan pelukan sudah tentu bagi pemikiran cetek, mereka akan melihatnya sebagai satu trend, satu gaya hidup artis dan golongan mainstream glamour dan kesannya nanti akan ada segolongan remaja yang akan terikut-ikut dengan trend dan corak kehidupan yang dipaparkan artis.

Kita sudah terdedah dengan budaya artis yang melampau, gagal mengawal diri sebagai penghibur dan ikon masyarakat. Sebagai ikon masyarakat,artis wajib menyuntik elemen yang lebih positif, yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat itu sendiri, menjadi penggerak untuk membasmi masalah sosial yang semakin parah. Saya bukan menentang kemodenan dan dunia hiburan, tetapi saya membantah sekiranya artis yang berbangsa Melayu dan Islam seakan sudah lupa dengan batasan agama dan budaya.
Meluat,jijik dan memalukan.

Sebagai memikul tanggungjawab,kementerian yang menentukan hala tuju hiburan dan informasi untuk rakyat,Kementerian Penerangan wajib menangani isu-isu sumbang yang sebegini,yang menghakis kepercayaan rakyat pada laungan ISLAM HADHARI! Islam Hadhari bukan hanya pada prinsip,tapi mesti melalui pendekatan yang sempurna dengan melakukan pencegahan anasir yang mencemar nama Islam. Meminjam kata-kata Ustaz Akhil Hyy "Islam bukan hanya hadhari,tapi islam mesti hari-hari".

Di luar sana,saya juga percaya jutaan manusia akan bercakap perkara yang sama menjurus kepada masalah sosial, tetapi berapa keratkah yang sedar bahawa artis juga menjadi agen untuk keruntuhan moral? Tidak di nafikan,ada segelintir artis yang membawa teladan baik untuk dicontohi oleh masyarakat, tetapi pendedahanyang sebegini jarang di ambil pusing masyarakat, mungkin juga kerana kurangnya pendedahan dari media. Jika Kementerian Penerangan boleh menghukum Faizal Tahir kerana membuka baju ketika persembahannya, apa pula tindakan kementerian terhadap Anuar Zin yang "merelakan" beliau di cium peminat dan kepada artis wanita yang sering tidak cukup kain bila berpakaian?
Kita cuba menyekat anasir hiburan luar yang liar dengan mengetatkan peraturan berpakaian dan tatalaku artis dari luar negara yang ingin mengadakan persembahan di Malaysia tetapi kita gagal mendidik artis tempatan tentang hal-hal berkaitan halal haram agama dan susur galur budaya. Sudahnya nanti, kita umpamaketam yang mengajar anak berjalan lurus.....


Artikel ini turut mendapat ulasan di mStar pada 29-Apr-2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...