February 21, 2009

Kejikah Politik Malaysia?

Selalunya kita akan mengatakan Amerika Syarikat itu negara tak bermaruah.Begitu juga pemimpinnya yang kita katakan zalim dan keji.Saya juga berkata dan berfikiran begitu.Tetapi, barangkali kita terlupa kepada sikap keterbukaan ahli politik Amerika.Mereka boleh menerima kekalahan dan mengakui kekalahan itu berpunca dari diri mereka sendiri, bukannya salah siapa-siapa.Dalam soal ini, saya secara peribadinya amat menghormati John McCain yang menyifatkan kekalahannya kepada Obama adalah kegagalan beliau, bukannya kegagalan parti dan pengikut beliau, juga bukan kesalahan Obama itu sendiri.Kata McCain :
“We fought — we fought as hard as we could. And though we feel short, the failure is mine, not yours.

Beliau malah menyeru kepada penyokongnya untuk sama-sama membantu Obama membangunkan Amerika.Dalam ucapannya sejurus menerima kekalahan kepada puluhan ribu penyokong Parti Republikan, antara lain beliau berkata :
“I urge all Americans ... I urge all Americans who supported me to join me in not just congratulating him, but offering our next president our good will and earnest effort to find ways to come together to find the necessary compromises to bridge our differences and help restore our prosperity, defend our security in a dangerous world, and leave our children and grandchildren a stronger, better country than we inherited.
Whatever our differences, we are fellow Americans. And please believe me when I say no association has ever meant more to me than that. It is natural. It's natural, tonight, to feel some disappointment. But tomorrow, we must move beyond it and work together to get our country moving again.”
(ucapan penuh)

Bagaimana dengan ahli politik Malaysia?
Jika kalah, mereka akan berkata begini ;
“Kekalahan ini berpunca dari agenda mereka yang jahat dan penuh dengan tipu daya”.
Setelah itu berkemungkinan akan berkata begini ;
Kita akan memastikan kerusi yang terlepas itu di kembalikan dengan apa cara sekalipun”.Setelah itu, bermulalah drama selak menyelak dan bergelumang untuk menjatuhkan satu sama lain.

Mudahnya, ahli politik Malaysia penuh dengan kebusukan dan kerendahan moral yang melampau.Mereka bukan pejuang, tetapi mereka ahli politik.
Tulisan ini bukanlah berhasrat untuk mencaci sesiapa, tetapi lebih kepada ketidakpuasan hati saya sendiri dalam melihat suasana politik mutakhir ini yang lebih menjurus kepada sifat kejahilan.Kebanyakkan ahli politik kini sudah tidak mempedulikan rakyat memilih, masing-masing berusaha untuk mengukuhkan kedudukan dan ada juga yang berusaha untuk menjatuhkan lawan sedangkan rakyat terpinga-pinga menongkah arus ekonomi yang memeritkan.Agenda pembangunan kian di lupakan dek ketaksuban politik.Politik tidak harus begitu-busuk- tetapi sifat manusia yang di jadikan pemimpin itu yang merosakkan politik.Politik juga sebagai wadah perjuangan untuk agama,negara dan bangsa tetapi berapa orangkah ahli politik Malaysia yang berfikiran begitu?
Di bandingkan dengan Amerika Syarikat yang akan menyambut
ulang tahun kemerdekaannya buat kali ke 234 pada 4 Julai 2009 nanti,
Malaysia seakan baru bermula.Begitu juga negara Itali yang sudah
terbentuk sejak 148 tahun lalu.India juga sudah 61 tahun bebas dari
cengkaman British.Dan 51 tahun itu terlalu baru jika berdasarkan
sejarah kemerdekaan negara bangsa yang lain, tetapi 51 tahun juga belum tentu menjanjikan keharmonian kepada rakyat jika ahli politiknya terlalu asyik berpolitik.

Kejikah ahli politik Malaysia?

February 15, 2009

This Is Confidential...

“This is the confidential!”
Semua yang ada di dalam bilik mesyuarat itu terhangguk-hangguk,tanda faham.Kerut mukanya jelas memaparkan bahawa berita itu sesuatu yang maha besar rahsianya.Tidak sesiapa pun yang berada di dalam lingkungan bilik itu boleh menyuarakan apa-apa.Semuanya hanya menganguk.Semuanya perlu faham dan patuh.
“Itu rahsia besar”, ulangnya lagi.
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa yang membongkarkan rahsia ini, faham!”bentaknya lagi.Tutur amaran itu berulang kali di katakannya, berulang-ulang dalam rangkap dan nada yang sama.

Nun jauh di hujung Asia, satu mesyuarat yang di pengerusikan oleh Chief Executive Officer di hadiri oleh semua Pengarah Urusan semua cawangan turut juga menjemput puluhan wartawan dari serata dunia sedang di adakan.Mesyuarat tersebut membincangkan tentang fenomena perniagaan baru yang akan di jalankan di sebuah negeri di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.Wartawan-wartawan yang di jemput sedang giat mencatat setiap butir bicara yang di bincangkan oleh delegasi.Langkah dan perancangan perniagaan itu di terangkan dengan jelas.Bulat-bulat jugalah para wartawan mencatat dan akhirnya catatan tadi akan di muatkan di dada akhbar dan ruang bicara internet.

Seminggu kemudian, dengan tergesa-gesa dia memanggil lagi kakitangan yang ada untuk bermesyuarat.
Bilik mesyuarat yang sentiasa dingin dengan penghawa dingin itu sudah terasa bahangnya.Peluh merenik-renik di muka.
“Saya mendapat maklumat, sudah ramai kakitangan bawahan dan orang luar yang tahu tentang perancangan peluasan perniagaan kita” dia berdiri sambil mencekak pinggang , merenung setiap manusia yang berada di dalam bilik mesyuarat itu.
“Saya yakin, ada di antara kita yang menyebarkan rahsia ini”, sambungnya lagi.
“Rahsia apa?”Tanya seorang kakitangan yang kerdil dan hitam.
“Kita sudah bincangkan minggu lepas.” Dia meninggi suara, bulat matanya memandang semua yang ada.
“ Saya terbaca di dalam akhbar 3 hari lalu”. Terang seorang yang lain.
“Encik meminta kami semua merahsiakan pelan perniagaan syarikat tapi dalam masa yang sama berita itu sudah tersebar di akhbar dan internet”, tambah lelaki bertubuh kerdil dan hitam.
“Saya pun membaca berita tersebut di dalam internet”. Tambah pula seorang yang lain yang berkaca mata dan bertubuh gempal.
“Hah! Bagaimana semua orang boleh tau.”Tanyanya garang.
“Sekarang dunia tanpa sempadan,semua maklumat di hujung jari….”seorang gadis kecil menjawab antara dengar dan tidak.
“Awak yakin berita itu tepat?”, dia menyoal gadis tadi, masih dengan gaya egonya.
“Ya, saya cukup yakin kerana wartawan ada etika kerjanya, sama macam kita”, terang gadis itu.
Dia ternganga, timbul seribu satu persoalan.Bagaimana semua orang boleh tahu.Sedangkan itu rahsia besar.
“Lagi sekali saya beritahu, ini rahsia besar”, dia berlalu menuju ke pintu dan hilang di balik cermin gelap bilik mesyuarat meninggalkan semua yang berada di dalam bilik itu dengan seribu satu persoalan….
“Bolehkah kita menutup mata semua pembaca internet dan surat khabar dari membaca berita ini…?”Tiba-tiba gadis India yang diam sejak awal mesyuarat itu bersuara.

Nota : Cerita ini lahir dari kekecewaan saya terhadap beberapa insiden yang sedang dan telah berlaku di tanah air.Kekuasaan pemerintah memainkan sentimen dan kenyataan media arus perdana yang kadang-kala berat sebelah telah menghalang rakyat mendapat gambaran sebenar isu besar yang sedang bergolak.Rakyat di hidangkan dengan berita yang membutakan minda dari kebenaran.
Bersandarkan kepada kebenaran inilah, saya amat menyetujui konsep Individu Merdeka sistem Libertarianisme yang menekankan kepada kebebasan individu.Prinsip individu merdeka ini selaras dengan keyakinan kita bahawa Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia agar seseorang Muslim itu boleh memperhambakan diri kepada Allah semata-mata. Sebagai seorang Muslim, saya melihat mereka yang memperhambakan manusia lain seolah-olah cuba merampas tempat Allah dalam kehidupan manusia.
Paling penting sekali, konsep individu merdeka bermaksud kerajaan tidak boleh masuk campur dalam hal-hal peribadi seseorang rakyat.
Dan, yang maha pentingnya adalah kebebasan rakyat untuk mendapatkan kebenaran!

"Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." (Al-Ahzab ayat 70)

February 07, 2009

Ahhh...politik memang begitu.

POLITIK PERLEMBAGAAN - ABDUL AZIZ BARI ; Sumber rujukan ketika situasi poltik serba kalut.


Tergerak hati saya untuk menulis tentang kegentingan politik di Perak.Idea yang awalnya terhimpun gagal di sudahkan kerana perasaan meluat pantas mengusai diri.Sebagai seorang yang selalu melaungkan prinsip “apolitical”(tidak berpolitik), cumanya sering melihat politik dari luar “sangkar”, kegentingan politik Perak kali ini memaksa juga untuk menulis, biarpun sedikit.
Permulaan episod “cilok”ADUN oleh Barisan Nasional membuat saya sedikit melenting.Bukannya marah kerana Pakatan Rakyat kehilangan kuasa, tetapi kecewa kerana hak memilih yang ada pada rakyat di khianati oleh individu yang terlibat.Timbul pula pertanyaan pada diri sendiri,"apakah saya akan melenting juga bila ADUN dari BN melompat ke Pakatan Rakyat?"."Adilkah untuk rakyat yang memilih?Apa kata mereka?"Usah jawab, cuma fikirkan sendiri.Masing-masing ada jawabnya.
Secara peribadi,saya menyifatkan situasi "lompat-melompat" ini sebagai krisis moral ahli politik dan secara langsungnya kenyataan seorang ustaz yang saya kenali ketika mengikuti kelas tajwid itu hampir-hampir kebenarannya.Kata ustaz lulusan dari Al-Azhar tersebut, “orang politik adalah manusia yang sukar sekali untuk di percayai”.Walaupun mungkin tidak 100% tetap, tetapi kebenaran dari kenyataan ustaz tersebut tetap ada.Dan saya masih lagi meyakini bahawa kebanyakkan-tidak semua-ahli politik lebih memperjuangkan kuasa dan “temolok”sendiri dari memperjuangkan nasib rakyat.Apa sahaja yang menjadi halangan untuk mereka berkuasa akan di tepis dan di kesampingkan semata-mata memenuhi agenda masing-masing.Ahh..politik memang begitu.Yang lebih menggusarkan saya bila mana sesetengah individu yang menyifatkan “imannya”lebih dari iman individu lain sanggup mencaci dan melemparkan kata-kata kesat terhadap sesama insan seagama semata-mata berlainan fahaman politiknya.Barangkali juga, mereka terlupa sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya: "Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata:"Saya dengan orang, jika mereka berbuat baik, nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah, dan jika mereka berbuat jahat, elakkan kejahatan mereka'.(Riwayat at-Tirmidzi).Ah..politik memang begitu.Iman mudah di hakis kerana ketaksuban berpolitik.
Saya juga teramat sedih bila orang Melayu sendiri gagal mengawal emosi, sehingga titah DYMM Sultan Perak yang mahukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melepaskan jawatan Menteri Besar Perak juga turut tidak di endahkan.Karpal Singh yang sombong dan kurang ajar telah menyatakan pendiriannya(juga pendirian Pakatan Rakyat),bahawa beliau akan menyaman baginda Sultan Perak kerana baginda Sultan bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu sebagai tidak sah.Kononnya, keputusan baginda tidak demokratik.Perlembagaan tidak boleh di salahkan sekiranya Sultan memilih jalan yang selamat dengan memberi kepercayaan kepada individu yang baginda percaya boleh mentadbir negeri di bawah naungannya.Apa lagi yang akan ada pada bangsa Melayu jika Raja-Raja Melayu itupun di tentang semata-mata tamakkan kuasa dan kurang pertimbangan akal.Ah..politik memang begitu.
Saya pernah catatkan sebelum ini, ketika bahang PRU12 masih terasa. Jawatan politik adalah satu tragedi yang tidak boleh dielakkan. Selepas kemenangan, akan datang kekalahan. Yang bernasib baik mungkin mati semasa memegang jawatan. Yang tidak beruntung akan dihantui kekalahan itu sepanjang hidup mereka.Bagaimanapun, politik dalam konteks orang Melayu di Malaysia melampaui kepentingan perseorangan. Kekalahan banyak kerusi bakal membawa pembaharuan,kerana politik bukan sekadar kisah peribadi. Politik bagi orang Melayu lebih besar daripada isu jawatan dan individu, kerana ia soal ketahanan kuasa bangsa.
Sebagai makhluk yang di kurniakan akal, gunakanlah ianya dengan sebijak mungkin.Majoriti tidak semestinya betul dan minoriti tidak semestinya salah.Mungkin juga semua episod ini dugaan dariNya untuk menguji iman dan ketaatan kita kepada pemimpin.
Ahhh…politik MUNGKIN memang begitu….

February 03, 2009

Setelah 32 tahun....


32 tahun yang lalu, Tuhan menganugerahkan pasangan Abd Hamid bin Hasim dan Salmah binti Ismail seorang anak kecil,anak sulung pasangan tersebut.Dia di beri nama Shahrul Nizam.Dia bukan sesiapa, cuma anak kecil yang belum mengerti apa-apa.Dia perlu kenal dunia dengan rencah sandiwara, dia perlu kenal kehidupan dengan berbagai ragam.
Hari ini, setelah 32 tahun berlalu, anak itu berkata "terima kasih abah, kerana membesarkan aku dengan ilmu berguna,terima kasih ibu kerana memberikan aku kasih sayang tak ternilai dan terima kasih Tuhanku, terlalu banyak yang Kau beri, terlalu sedikit yang ku balas..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...