August 05, 2015

Rancanglah

Saya tidak suka untuk mengatakan bahawa saya perancang yang baik. Maksud saya rancangan dari segi kehidupan.
Tetapi memang saya jenis yang suka merancang. Jika ada sesuatu yang ingin saya lakukan, saya akan merancang, kalau pun tidak seteliti mungkin tetapi rancangan dan pelan tindakannya tetap ada.

Perjalannnya mesti begini, waktunya mesti begini, tempatnya, suasananya mesti begini dan begini.
Jika melibatkan orang lain, saya terlebih dulu akan menerangkan rancangan tesebut, berkongsi pandangan terhadap rancangan saya tadi.

Tidak sedikit rancangan saya  yang ditolak dan gagal.
Kecewa?
Tidak. Saya tidak kecewa jika rancangan saya itu dibantah sejak awal. Saya lebih rela begitu.
Tetapi, saya amat kecewa jika perkara yang telah dirancang dan dikongsikan akhirnya terpaksa dibatalkan di saat akhir.
Itu memang mengundang rasa marah yang amat sangat.

Kenapa saya begitu?
Pada saya, pembatalan sesuatu rancangan di saat akhir adalah kesilapan saya mencongak dan melihat keadaan. Saya gagal. Dan kegagalan itu datang dari diri saya sendiri, alpa dan lemah. Saya mengutuk kelemahan diri sendiri dan seboleh mungkin cuba melupakan kegagalan itu tadi. Saya mencongak perkara baru, menyusun dan merancang perkara baru. Saya harus begitu, kuat dan tabah dan redha.

Namun, ada juga beberapa perancangan saya yang digagalkan oleh pihak lain pada saat-saat akhir dan ini amat berat untuk saya terima. Saya timbulkan persoalan, "kenapa baru sekarang?"
Akan ada pelbagai alasan dan memanglah manusia ini kaya dengan alasan dan saya juga bersebab untuk merasa marah dan amat kecewa. Malangnya, saya tidak pandai melahirkan rasa marah itu. Diam saja dan biarkan memakan jiwa.
Saya merancang lagi, barangkali akan gagal, barangkali akan berjaya. Entah, saya tidak tahu kesudahannya tetapi saya sentiasa mengharapkan saya berjaya dan rancangan saya berjaland dengan lancar.
Saya tidak boleh selamanya merasa murung dan gagal. Itu bukan saya.

Jauh di sudut pemikiran saya, saya memahami betapa bagus dan teliti pun perancangan kita, semuanya datang dari Dia. Dia berkehendakkan sesuatu itu jadi, maka jadilah. Begitu sebaliknya.
Tidak dapat tidak, Dia lebih mengetahui tiap sesuatu. Dia mengatur perjalanan, kita menyusurinya.

Tetapi, saya masih berhak untuk bertanya soalan kepada yang menggagalkan rancangan saya tadi.
"Kenapa baru sekarang?"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...