March 29, 2010

Watermelon Juice

Lokasi          : Shah Alam, Selangor
                      Restoran sajian makanan Thai
Masa            : Sekitar jam 9:30 malam
Seorang pelayan wanita yang memakai baju T ketat warna hijau melenggok-lenggok mendatangi seorang pelanggan lelaki.
Pelanggan : Watermelon juice satu .
Pelayan    : Takde .
Pelanggan mengerut dahi, memandang sekeliling dan terpandang pada gambar segelas jus tembikai yang di tampal di kaunter pembayaran.

Pelanggan : Saya nak jus tembikai, ada?
Pelayan    : Ada

Yaaaa salamm......

March 26, 2010

Lelaki Ini.....

Soalan yang sering saya terima setiap kali membuka email dan sering juga di soalkan secara lisan.
"Kenapa gunakan nama Shahrulrock?"

Ini jawapnya ;
Seorang lelaki yang sukakan muzik "rock" sambil mendentingkan irama pada gitar Les Paul.Lelaki ini, teruja benar dengan Bob Marley dan dentuman keras laungan Napalm Death, jarang sekali terlepas dengar luahan puitis bawaan M.Nasir atau suara serak Ramli Sarip.
Lelaki ini juga sukakan foto yang bercampur baur dan menghabiskan hari cuti bergaul dengan buku,menyelami keajaiban dunia sastera.Lelaki ini mendambakan hidup dengan keanehan pada isinya. Lelaki ini ingin sekali menenangkan keluarga sebelum mampu mendamaikan dunia.Lelaki ini sering juga berfikiran kacau tetapi segera di waraskan sebelum tertewas.
Akulah lelaki ini......

Soalan Tanpa Jawapan

Malam suram yang berolak tenang, awan gelap yang beransur terang. Mana rintik hujan jika di sini masih kontang?

--------------------------------------------------------------------------
Soalan ini menderu ke sudut paling sempit dalam minda.Kukuh di situ, tiada mahu terlontar keluar.
Acap kali mendengungkan telinga, acap kali soalan ini berdesir-desir mencari jawapnya.
 Ini antara soalan-soalan yang sentiasa memburu, sentiasa menuntut saya mencari jawapan. Persoalan-persoalan yang sebegini jugalah yang memberatkan dan mengusutkan minda saya. Soalan ringkas tetapi melingkar dan berbelit.
Antara hujan dan persoalan, bagaimana mampu hamba kerdil ini memberi jawapan?
" Aku ini manusia lurus tanpa mahu hidup terseksa....."

March 18, 2010

Perang II

Saya pernah menulis entri tentang perang, juga menggunakan tajuk Perang. Dalam entri itu, saya mengatakan semasa zaman kanak-kanak main perang-perang adalah permainan kegemaran saya dan sekumpulan rakan sebaya.Selain main perang-perang, aktiviti sampingan tentulah berkubang dalam selut(lumpur) sampai cuma nampak biji mata, seluruh tubuh di saluti selut yang perit baunya.
Adegan perang kami tidak pernah kenal lelah, pantang ada masa terluang, pasti akan berperang.Kalau tiba musim cuti sekolah, aktiviti utama tetap berperang. Awal pagi selepas sarapan pulut kukus dengan ikan kering dan secawan kopi, terus turun rumah cari terung Belanda, bekalan peluru untuk berperang.Balik rumah ketika matahari terpacak atas kepala. Makan tengahari dan dengar ibu berleter lagi.Jeling-jeling tengok surat khabar yang abah beli.Abah berdehem beberapa kali, isyarat untuk segera mandi dan pergi mengaji.
Balik dari mengaji sekitar jam 4:30 petang, terus sambar senapang, kayuh basikal menuju medan perang-kawasan belukar di hujung kampung- bersedia untuk berperang.
Walaupun perang itu cuma main-main, tetapi jarang sekali ada antara kami yang akan mudah mengaku kalah. Kalau kalah pun, tidak ada sesiapa yang balik mengadu pada ibu ayah minta simpati atau minta tolong kakak abang datang membantu. Kami akan berperang habis-habisan, umpama Leftenan Adnan bermatian bertempur di Bukit Candu pada 14-Feb-1942.Pantang kalah,apatah lagi untuk mengalah.
Ini cerita zaman kanak-kanak, zaman ketika saya buta politik.
Sekarang, kita selalu di sajikan dengan  adegan perang politik di Persidangan Dewan Rakyat.Bila wakil pemerintah mengusulkan agenda, bahas pun bermula.
Gebang pong-pang-pong-pang, bertekak hingga nampak anak tekak,urat leher muncul mendadak,tegang dan sarat benak. Ada yang sampai hentak-hentak meja, ada yang gelak separuh nyawa dan ada juga yang diam sambil mulut ternganga.
Menarik. Mereka semua adalah wakil kita, yang di pilih oleh jutaan rakyat melalui undi.Mereka mewakili suara kita, mewakili kemahuan kita dan menyampaikan tuntutan kita semua.
Tradisinya memang begitu,maka kita terima semua adegan itu.
Tapi, ada satu adegan yang baru saya saksikan atau ini mungkin perang zaman politik baru. Mulanya, serang peribadi.Bertekak lagi.
Fakta? Entah betul entah tidak, janji serang untuk berperang. Yang memalukan, bila kena serang, terus angkat kaki dan tersengih meninggalkan dewan.
Belum habis berperang, sudah mengaku kalah.Kenapa? Hanya dia yang tahu dan dia ini banyak sekali simpang siur alasannya.Boleh baca di sini.

Jika di teliti dan di amati dan membuat perbandingan kasar, kami(saya dan rakan-rakan sebaya) lebih bermaruah dari wakil rakyat yang keluar meninggalkan dewan ketika di serang di Dewan Rakyat.Kami tidak pernah mengalah, kami akan berjuang bermati-matian walaupun terung Belanda sudah kehabisan.....

March 17, 2010

Impian....

Impian saya hanya untuk menyusuri lorong-lorong di sepanjang Stesen Trocadero dan mendaki anak tangga sebelum mendongak melihat bongkaknya Eifiel Tower yang megah sambil tubuh di sapa semilir angin dari hembusan riak air Sungai Seine,impian dia pula hanya untuk melanjutkan cita di dewan kuliah Sorbonne University dan di resapi semangat Robert De Sorbon dan bergetar lidah menegakkan teori ekonomi di depan profesor dan bijak pandainya.
Impian saya cuma untuk merenung kerdipan bintang ketika cahaya bulan menyimbah wajah Taj Mahal dan termenung berkhayal ketika dinding luarnya bertukar ke jingga sedang matahari menyembunyikan silau, impian dia pula untuk meneroka pelusuk Agra sambil menyepak granit yang bersepahan dan melengkapkan riwayat cinta di tebing Sungai Yamuna.

Dalam satu perjalanan ke destinasi yang sama,impian akan berantakan, akan saling juga bercambah dan menitip semangat yang berbeza sifat dan kehendakkannya.

March 16, 2010

Tidurlah....Ini Bukan Mimpi.

Ungku Aziz dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia pada 15-Ogos-2004 pernah berkata "
"kita harus mengubah perenggu minda (mindset) orang Melayu. Kalau kita lihat secara keseluruhannya orang Melayu tidak cenderung mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi.
Orang Melayu tidak ada pemikiran yang bersungguh-sungguh mahu berjaya; tidak ada motivasi mahu belajar secara berterusan seperti orang Jepun dan Eropah. Mereka ada pemikiran itu kerana mereka mahu berjaya. Bangsa Cina juga begitu, selalu berfikir bagaimana mahu memperbaiki diri.
Kita harus mencari jalan bagaimana hendak memberi motivasi kepada orang Melayu supaya berubah." Baca di sini untuk wawancara penuh tersebut

Saya masih ingat bila seorang rakan yang mempunyai kegeniusan luar biasa telah menolak peluang untuk menjalani latihan di Jepun selama 2 tahun, walaupun akan di biayai sepenuhnya oleh syarikat tempat beliau bekerja.Saya pernah ajukan soalan padanya sebab penolakkan tawaran tersebut. Mudah alasan yang beliau berikan, "kalau aku pencen, tak akan ada orang dari syarikat yang akan ingat aku lagi ". Beliau rela menjadi pekerja bawahan, biar selamanya begitu dan senang begitu.
Begitu juga pengalaman saya dengan seorang rakan lain yang hampir pencen.Bukan terlalu hampir, masih berbaki 5 tahun. Jika timbul masalah berkaitan kerja, beliau hanya termenung, merenung jarum jam.Mahu segera pulang. "Aku dah tua..."itu alasan kukuhnya.
Semangat beliau untuk bekerja telah luluh.Entah cicir di mana. Yang sering di sengihnya, apa mahu di lakukan dengan wang simpanan KWSP yang mencecah RM200,000! Beli bot untuk memancing? Atau menghabiskan usia tua dengan menaiki pesawat dari satu negara ke negara lain, mahu menikmati dunia sebelum di usir ke SANA.
Setelah saya meneliti dengan terperinci pandangan Ungku Aziz dan membuat perbandingan dengan rakan-rakan saya tadi, dengan mudah saya memahami dan arif dengan tingkah pemikiran bangsa Melayu. Pandangan ini belum lagi di gandingkan dengan tulisan Syed Amil Aljeffri di dalam Sekilas Pandang : Gaya  Pengurusan Masa kini. Jika di adunkan pula dengan tulisan Rohayati Paidi , Pemikiran dan Kepuasan Orang Melayu Terhadap Pekerjaan, saya rasa kita bukan hanya sedang bermimpi atau mamai, tetapi kita masih tidur.
Jika masih sulit, buatlah perbandingan anda sendiri. Bandingkan restoran mamak dan kedai makan kepunyaan bangsa Melayu.Pasti ada jawapannya.

March 06, 2010

Perjalanan

Segumpal daging yang menyaluti tulang, kelak nanti akan mengenal dunia dan isinya, cinta dan sulit, rindu dan perit, takdir tidak selalunya pahit.
Selamat datang, kami hamparkan kasih buatmu.
Akan nanti, di pamerkan segala keanehan kehidupan, manusia dan ragamnya.Maka begitu, kejadian yang sama akan berulang dan selalunya di ulang. Akan terus menerus di uji dan sesekali akan tersepak tunggul-tunggul kesulitan, lalu redah, lalu akan memahat parut yang kekal, comot dan hodoh tetapi amat mujarab sebagai petunjuk perjalanan.
Kami hanya menunjukkan satu jalan, kosong dan lengang, sunyi dan tandus.Ada masanya, kami memberi untuk mencukupi walaupun kami sendiri tidak sedari, keringat akan berdikit di mamah, kelelahan mudah meresapi dan suatu hari nanti, kami juga akan pergi.Tinggallah, tinggallah di sini bersama saki baki perjalanan yang perlu di tempuhi, awas juga helahnya, beringatlah juga pada granit-granit yang bersepahan pada jalan-jalannya.Langkahlah dengan kecermatan yang tinggi, jangan tersandung lagi, jangan juga sesekali menyesali kejadian ini.Sudah di takdirNya begini, pasrahlah, terimalah.
Tabahlah, DIA sentiasa ada, DIA mengetahui segalanya.DIA akan memberi petunjuk selagi tidak jemu meminta.
 
.
Nota : Catatan ini di ilhamkan pada yang belum ada dan akan ada
           Mei 2010, tunggu........
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...