March 10, 2009

Kenapa PPSMI?



Saya harus jujur pada diri sendiri dalam melontar kata putus di dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).Saya juga secara sedar, menyedari bahawa saya seorang budak kampung yang masih sukakan jeruk mamam dan pekasam ikan sepat juga secawan kopi pekat.
Harus juga di tekankan bahawa saya sebenarnya cuba menelan keperitan hidup di kota, terketepi dan mencari hakikat sebuah kehidupan yang menuntut seribu satu macam pengorbanan tetapi di dalam isu PPSMI ini, secara alaminya, saya tidak rela mengorbankan anak bangsa saya untuk di jadikan bahan uji kaji untuk sistem pembelajaran yang akan memamah usia dan upaya mereka.Anak bangsa saya juga jangan lagi di bebalkan dengan wahyu pemerintah yang memesongkan mereka untuk meneroka dunia dan isinya hanya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu-bukan kerana bengap-tetapi kerana kegopohan sang penguasa.
Sebagai seorang kanak-kanak yang menghabiskan usia awal persekolahan di sebuah sekolah yang terasing dari jerit enjin kenderaan dan mengalami kejutan yang paling besar dalam hidup pada masa itu ketika pertama kali terpaksa berbelit lidah menyebut beberapa kerat perkataan di dalam bahasa Inggeris tanpa memahami apa maksudnya,ianya sesuatu yang cukup menyeksakan bagi saya. Pada waktu itu, hanya mata pelajaran Bahasa Inggeris sahaja yang di ajar dalam Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lainnya masih lagi menggunakan bahasa ibunda(saya lebih suka menyebut bahasa Melayu,bukan bahasa Malaysia).
Tambahan pula, ketakutan akibat sebatan rotan jika gagal menyebut perkataan asing itu tambah menggusarkan saya.Hasil dari kegusaran dan ketakutan itu, saya mula merangkak, kemudiannya sedikit berlari sebelum boleh meluncur laju menelusuri sesi demi sesi , sehingga boleh memahami dan menuturnya dengan mudah.
Memahami betapa seksanya untuk menguasai dan memahami sesuatu yang baru dengan penggunaan bahasa asing, saya sebagai seorang manusia MERDEKA,menuntut agar PPSMI di hapuskan sama sekali dan dalam masa yang sama menggesa agar pihak berwajib meningkatkan lagi tahap pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah,Di rasakan elok jika penekanan ini di berikan pada usia awal persekolahan terutamanya untuk sekolah luar bandar yang mana peratusan penguasaan Bahasa Inggeris masih mengecewakan.
Melihat jauh ke dalam konteks perlembagaan,secara sedar dan jelas dasar PPSMI telah mencabul Perlembagaan Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996.Dengan jelas juga, Kementerian Pelajaran telah melanggar Akta Pelajaran Kebangsaan 1961 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti.Pusinglah berapa darjah sekalipun, ianya tetap melanggar Perlembagaan.Usah di pertikaikan perlembagaan kerana seperti selalu, pendapat yang bersandarkan perlembagaan ini akan di rubah perlahan-lahan.
Sekiranya pihak berwajid masih lagi enggan berganjak dengan dasar PPSMI, harus di tanya pada diri sendiri beberapa soalan mudah tetapi malas untuk di soal.
Pertamanya, mampukah anak si Duyuh Miah memahami dan menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik jika usianya di habiskan dengan menanam ubi dan mengejar babi? Adilkah jika membandingkan mereka dengan anak Tan Sri Tan Ban Kiat yang asyik menonton siri The Simpson?
Keduanya, dapatkah pula si Labu membantu anaknya si Busu memahami maksud perkataan Balance and Equal jika si Labu masih lagi memegang cangkul ketika jam sudah menganjak ke pukul 12 tengahari?
Adilkah mereka jika menbandingkan mereka dengan Melly anak si Musthapa yang sedang asyik berjamu selera dengan rakan kongsi dari Eropah?
Semua persoalan ini akan bercantum dan merumus kepada satu persoalan.Kenapa perlu di ajar mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris jika terbukti bahasa Melayu mampu menjadi bahasa dunia dan secara logiknya, kenapa perlu memartabatkan bahasa asing?
Tiada gunanya mencium keris jika bahasa Melayu itupun masih lagi mahu di pertaruhkan...
Berdasarkan kepada kajian oleh beberapa bijak pandai, apa lagi yang ingin di buktikan?
1- Prof. Dr. Shaharir Md Zain
2- Prof. Emeritus Dato'Isahak Haron
3- Profesor-profesor Melayu dalam bidang Sains yang menentang PPSMI

2 comments:

cucu tok pasai said...

Saya amat menyanjung tinggi semangat kemelayuan anda, tapi bagi saya adalah lebih kemelayuan sekiranya anda suarakan agar semua sistem persekolahan hanya diwujudkan sekolah kebangsaan sahaja.Anda sepatutnya bersama sama pencinta bangsa menyuarakan agar sekolah cina dan india di tutup. Ini baru semangat melayu kental.

Kira nya takat semangat untuk bubarkan pelajaran sains dan matematik dlm bahasa inggeris , lupakan saja. Biarlah anak bangsa mengerti sedikit ilmu dunia. Islam tak pernah tegah. Tuntut ilmu sampai liang kubur.

Nak jadi manusia cerdik kena banyak ilmu.Jangan sampai ketaksuban kita jadi dungu. Saya masih ingat lagi semasa kecik2 bendang di kedah pada masa tu setahun sekali sahaja, tapi apabila kerajaan memperkenalkan 2 kali setahun, ada manusia yang menentang, Ada yang kata .. cuba menongkah ketentuan allah, Tak kering bulu dan macam2 lagi.

tapi sekarang apa sudah jadi,,, kita harus terima hakikat, adalah tidak salah sekiranya kita berkorban sedikit untuk menafaat anak cucu kita.

Apa yang penting sekarang matlamat pembelajaran Sains dan Mathematik dalam bahasa inggeris adalah murni. Mungkin cara perlaksanaan nya sahaja menghadapi sedikit masaalah. Tetapi adakah masaalah itu tidak dapat diperbaiki.

Sepatutnya para cendiakiawan/ilmuan memberi idea cara yang terbaik agar bagaimana perlaksanaan ppsmi untuk anak bangsa untuk berjaya .

Cara pengkritik mendemontrasi menentang sistem ini banyak melemahkan anak bangsa untuk terus belajar. Ianya banyak menanam fikiran negatif terhadap pelajaran sains dan mathematic . seolah olah pelajaran tersebut amat perit untuk dipelajari.

Bagi saya sesiapa saja yang menentang sisitem sedia ada, ianya sudah terpengaruh dengan Zionis atau yahudi yang sememangnya sentiasa menikam dari belakang agar mana mana bangsa sentiasa lemah.

Pembelajaran sains matematik dalam bahasa inggeris teramat penting terutama dalam Sistem Pertahanan Negara, Keseluruhan cara penggunaan adalah dalam bahasa inggeris.

Bayangkan Seorang Juruterbang Pejuang hendak mengendalikan jet pejuang.Seorang Kaptain Kapal Perang mengemudikan Kapalnya. Ini tidak termasuk lain2 peralatan seperti radar dll.Senjata api kecil seperti pistol juga memerlukan pengetahuan sains dan matematik .

Itu soal keselamatan negara, bagaimana pulak dengan soal pembangunan, bayang kan seorang Jurutera Malaysia hendak berunding dengan pakar pakar luar negara, Apakah perlu kita menggunakan jurubahasa.

Jangan jadi manusia yang hipokrat. Mereka yang menentang samaada sedar atau tidak telah diperalatkan oleh mereka yang mempunyai agenda politik.Mereka ini sebenarnya ingin melihat negara Malaysia yang aman harmoni menjadi kucar kacir.Inilah agenda yahudi / zionis. Mereka bertopengkan agenda bangsa dan bahasa seolah olah merekalah pejuang bangsa.

Kita janganlah terperangkap dengan jerangkap.

Muhammad Hilmi said...

hmmm...isi ppmsi tu ada betul salahnya. yang betul sebab bahasa ingeris sangat penting untuk melengkapkan rakyat malaysia seiring dengan negara maju yang lain. jepun lain cerita la...

yang salahnya sebab si hisyamudin ikut sangat cakap si mahathir. kita tahu mahathir memang bijak, tapi we must remember that nobody's perfect okay..idea melaksanakan ppmsi sajak darjah satu memang x masuk akal langsung.kalo wat time form1 okay la...masuk akal=boleh diterima. ni semua idea mahathir la..ingat semua orang adalah 'english speaker' cam dia ker?? kesian adik aku x paham2 blajar sains, padahal pandai je..tp sebab bahasa..kesian. marah pon ada! kami orang kampong...cuba la paham..x adil la. bukan xnk belaja, bahasa melayu pon tunggang tebalik lagi..ni kan bahasa penjajah!budak2 kampong pon suka belajar sains..suka belajar matematik..tetapi akibat dilaksanakan dalam bahasa inggeris bakat mereka terbatas, imaginasi mereka terhalang. bukan tidak mahu belajar dalam bahasa inggeris, tetapi berilah sedikit masa..berikanlah mereka peluang untuk memahami konsep asas dalam bahasa ibunda..ayah mereka bukan ahli koprat..ibu mereka bukan seorang eksekutif seperti kanak2 kota...ibu bapa mereka hanyalah neleyan di laut, petani yang membanting tulang di sawah bendang..manalah tahu untuk membimbing anak2 mereka dalam pelajaran. sangat tidak adil! akhir kata, bebaskanlah belengu anak-anak kita daripada sandiwara ppmsi yang sebenarnya boleh meruntuhkan bangsa!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...