April 28, 2010

Zaid Ibrahim

Saya sudah lama tertarik dengan karektor Zaid Ibrahim, lelaki yang rambutnya sudah banyak putih dari hitam ini masih lagi berjiwa kampung walau sudah bergelar peguam hartawan. Di Kelantan,nama Zaid Ibrahim boleh di kategorikan popular bukan sahaja oleh golongan yang memakai sut kemas beserta tali leher jenama Dunhill, tetapi turut popular di kalangan rakyat marhaen, dari si penarik beca hinggalah kepada nelayan yang menjahit pukat. Zaid adalah pengasas Yayasan Orang Kurang Upaya(Yokuk) yang terletak di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
Setelah membaca buku Saya Pun Melayu tulisan beliau sendiri, saya mengkagumi dasar perjuangan dan pemikiran beliau. Di dalam buku tersebut, di jelaskan juga beberapa pendapat beliau yang jauh menyimpang dari parti UMNO yang di sertainya semenjak tahun 2000.Zaid juga mengupas pelbagai isu Melayu ; identiti, keistimewaan, dan politik yang sedang mengalami peralihan.
Semenjak Zaid di calonkan untuk PRK Hulu Selangor, keluar pula cerita Zaid Ibrahim di dalam versi yang lain. Kalau saya gali dari awal dan hebahkan dari awal(sebelum PRK Hulu Selangor), nanti orang ingat saya PRO BN. Jadi, saya pendamkan cerita ni sampai habis mengundi. Keputusan PRK Hulu Selangor sudah di umumkan dan seperti yang di ketahui semua makhluk yang pandai membaca dan tertera di kaca televisyen, Zaid tumbang di Hulu Selangor dengan majoriti 1725 undi sekaligus impian untuk menyaksikan Zaid bergandingan dengan Anwar Ibrahim di parlimen berkecai. Khabarnya, Zaid mengemukakan petisyen bantahan terhadap keputusan undian yang tidak memihak kepadanya dan PKR. Rakyat yang biasa-biasa seperti saya mungkin tidak ambil pusing, itu hak Zaid.Dia arif dari segi undang-undang.Dia tahu mana cacat celanya proses pilihanraya.Mungkin ada hantu yang tolong memangkah undi untuk BN,mungkin-cuma mungkin-siapa tahu?
Semasa proses berkempen, media arus perdana menyerang peribadi Zaid,kiri kanan sampai tidak sempat nak tepis,pencak silat beragam irama pun belum tentu mampu menahan asakan gila yang begini ganas rupanya.Kesian Zaid, tapi kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, "Zaid Ibrahim sekarang sudah berubah semenjak pulang dari Mekah"(boleh baca di sini) dan kita pun terima dengan hati yang terbuka. Tapi, kena juga ingat yang Tun Dr. Mahathir yang di gelar Mahazalim itupun mungkin dah bertaubat,tapi kenapa masih ada segelintir makhluk yang bijak susah nak terima? Tak baik berburuk sangka, kan?

Mujurlah Malaysia sebuah negara demokrasi dan sebuah negara yang cukup kaya dengan prinsip "wang kasi, projek kasi" walau kadang-kadang di renung dan di tonggengkan secara 360 darjah nampak juga kebaikannya.Di bandingkan dengan Indonesia dan Myanmar, rasuah di Malaysia boleh lagi di sifatkan rendah.Tapi janganlah pula bandingkan dengan kedua-dua negara tersebut secara membuta tuli kerana kedua-duanya adalah negara yang mengamalkan dasar pemerintahan tentera pada mula negara di asaskan.Tentera di latih untuk mempertahankan negara,bukan untuk menyelongkar definasi demokrasi dan menerajui sebuah kerajaan dengan pelbagai putar belit politik.Kebanyakkan negara yang kurang politiking, selalunya mengalami masalah rasuah yang berkurangan.Singapura dan Jepun adalah contoh terbaik untuk menyokong pendapat saya.Silalah ke kedai buku, cari dan baca sejarah Lee Kuan Yew di Singapura dan sejarah Samurai di Jepun.  
Untuk menzahirkan acara demokrasi itu, kita bebas bercakap, bebas menulis dan bebas berfikir cuma belum bebas untuk berjalan telanjang di tengah pekan.Demonstrasi jalanan juga bebas di anjurkan hingga pakcik makcik yang meniaga di kaki lima lari lintang pukang akibat amukan gas pemedih mata dan DBKL yang merungut sakan kerana terpaksa menggantikan papan tanda.Itu bebaslah, bebas cara kita walau peniaga-peniaga India,Cina dan Melayu memaki hamun sumpah seranah kerana menanggung kerugian bahana demonstrasi jalanan. Sudah tentu, dalam kekacauan yang begini sifatnya, mereka yang tidak berdosa akan menolak Stockholm Syndrome(tekanan perasaan yang membuatkan mangsa bersimpati dengan pemangsanya).Peniaga mana yang akan bersimpati jika perniagaan yang mencatat keuntungan ribuan ringgit habis lingkup dek amukan peserta demonstrasi. Ahhh...demokrasi dan kebebasan itu ada hadnya, kan? Zaid Ibrahim tentu lebih faham apa itu demokrasi kerana dia seorang peguam yang bijak.    
Dengan berpandukan pada prinsip bercakap, menulis dan berfikiran bebas, saya pun menulis dengan cara bebas tanpa ada apa-apa sekatan, tanpa ada apa-apa hasutan dan tanpa adrenalin di jamu dengan dadah terlarang cuma otak saya ini perlu di ransangkan dengan secawan kopi pekat dan sebungkus Mild Seven "ori" kotak 20 batang.
Setelah puas menggoogle dan mengyahoo, saya rasakan maklumat berkaitan tuntutan Kumpulan Artikel 11 yang saya copy paste di bawah ini antara yang menarik untuk di kongsi atau boleh juga terus ke laman blog Zul Kulim untuk lebih mendekatkan diri dengan Zaid Ibrahim atau bagi mereka yang rapat dengan blogger Syed Azidi a.k.a Kickdefella, boleh terus ke sini.

KUMPULAN ARTIKEL 11
Pada 14 Mei 2006 umat Islam dan beberapa NGOs Islam di Malaysia telah mengadakan demonstrasi di Pulau Pinang untuk menentang forum yang dianjurkan oleh Kumpulan Artikel 11. Antara agenda forum tersebut ialah untuk menuntut kebebasan murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan Kumpulan Artikel 11 telah menuntut isu kebebasan murtad melalui Artikel 11 berikutan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam  kes Allahyarham Mohamed Abdullah @Moorthy , S. Shamala dan Nyonya Tahir" . Sehubungan dengan isu ini, Kumpulan Artikel 11 telah juga cuba untuk mencabar undang-undang syariah dengan meminta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang termaktub di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda atau dihapuskan.   Mereka mahu Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan ini dipinda supaya Mahkamah Sivil dapat mengatasi Mahkamah Syariah berhubung dengan perkara-perkara yang melibatkan umat Islam. Jika Perkara 121(1A) dipinda, maka Mahkamah Sivil dapat menundukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan dengan demikian apa-apa tuntutan dan aduan yang terkandung di dalam Memorandum Suruhanjaya Antara Agama adalah terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Antara tuntutan yang terdapat dalam Memorandum tersebut adalah seperti berikut:-  
1. Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah.  
2. Sesorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi Islam. 
 3. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.  
4. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.

Tindakan Kumpulan Artikel 11 sekaligus mempertikai syariat Islam di mana setiap umat Islam dilarang sama sekali meninggalkan agamanya. Bidang kuasa Mahkamah Syariah di Perkara 121(1) Perlembagaan mesti dikekalkan kerana Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang memiliki peraturan yang tersendiri dan sempurna sehingga kepada hal-hal peribadi umatnya. Justeru itu umat Islam perlulah mengambil berat atas matlamat dan objektif utama Kumpulan ini dengan tujuan untuk mencampurtangan  dalam urusan orang Islam dan seterusnya mengenepikan hak orang Islam yang terlindung di bawah Perlembagaan  Malaysia.  

* Zaid Ibrahim adalah antara anggota yang bertanggungjawab menuntut dan merumuskan tuntutan ini*

April 27, 2010

Laluan

"Laluan biru tua untuk rakyat yang sudah biasa.
Laluan hijau untuk yang memilih janji ulama.
Untuk perubahan, pilihlah laluan biru muda."

Rakyat biasa ada ketika marah menyinga.Segera di alih ke laluan hijau atau mudah saja bertukar angin menghala laluan biru muda.
Laluan hijau juga mesti berjaga-jaga, rakyat yang biasa kadang-kadang boleh tertoleh kembali ke laluan biru tua, "sudah biasa..." , itu kata mereka. Laluan biru muda-laluan baru-banyak sangat yang belum siap, banyak lubang yang belum berturap, awas bahaya.

Mana-mana laluan sekalipun yang di pilih, matlamat tetap sama.
Memilih untuk terus hidup aman, untuk hidup bahagia tanpa ada bunyi siren peluru berpandu ketika sedang tidur lena.

April 24, 2010

Belahan Jiwa

"Kaulah Yang Maha Esa, Kaulah Yang Maha Pengasih, Kaulah Yang Maha Penyayang, Tiada hidup tanpaMu..."
Usia Syaamil hampir mencecah tiga tahun. Saya melihat dia membesar, melihat kepayahan dia menelan ilmu kehidupan dalam usia muda tanpa tahu apa-apa.Segala kenikmatan dalam memberi segala yang terbaik telah saya tumpahkan padanya dan yang selebihnya saya serahkan pada Dia.Saya mahu dia membesar dalam ruang lingkup kebebasan yang wajar dan waras.Bekalkan dia dengan segala isi dunia,sematkan padanya segala kenikmatan di SANA.
"Kaulah Yang Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan dunia akhirat, Tiada aku tanpaMu.."
Saya pernah lelah dalam menunjukkan jalan yang lurus pada Syaamil.Sifat kenakalan yang kadang-kadang tidak terbendung sering menguji kesabaran saya.Dia benar-benar menguji.Pernah di tumpahkannya Nescafe pekat pada sehelai kemeja Bonia warna putih dan segera melarikan diri sambil terkekeh ketawa riang. Dia suka dalam duka saya.Dia menguji, saya bersabar dan kemeja tadi sudah menjadi kain mengelap meja.
"Bilaku rasa pilu, Bilaku rasa resah, Bilaku kekosongan, Kau tempatku mengadu, OH Tuhan yang satu, Engkaulah Tuhan yang satu.."
Setiap malam, seboleh mungkin saya akan merenung wajahnya yang sedang lena.Wajah itu sentiasa damai, sentiasa memberi saya semangat untuk terus bergelut mencari rezeki walau pernah mencemaskan saya dengan putaran resah yang menjengah.Saya resah, jika ruang dan peluang saya mendidik Syaamil di rampasNya.
"Segala puji-pujianku, Tujukan padaMU..padaMU
Dan hidup dan matiku hanyalah
UntukMu..untukMu...untukMU..."
Saya berdoa, segala yang terbaik buatnya.Syaamil mungkin akan mewarisi sifat minat membaca yang ada pada saya,harapnya begitu.Syaamil juga sudah membuahkan ketabahan yang di perturunkan isteri saya.Dia belahan jiwa saya.

April 20, 2010

18-Julai-2002

Lewat malam, lepak dalam bilik bacaan.Ruang kecil yang menempatkan dua rak buku dan 4 kotak kertas terpakai.Satu darinya saya buka, beberapa diari lama sedikit berdebu.Capai diari tahun 2002.Catatan 18-Julai-2002,tarikh pengundian Pilihanraya Kecil DUN Anak Bukit ini menarik untuk di kongsi.
Catatan dalam diari ini saya salin dan taip semula menggunakan bahasa yang saya tulis di dalam diari tersebut,tanpa langsung ada "edit",untuk menjaga keaslian catatan berharga ini.Catatan ini juga sama sekali bukan untuk menyindir mana-mana pihak tetapi sekadar luahan rasa seorang anak muda yang berperang dengan jiwanya sendiri.Harus, berpatah arang dengan dunia silam.
--------------------------------------------------------------------------------
"Gua balik Alor Setar dengan Mat Cina dan Along,kami nak pangkah kertas undi Adun Anak Bukit...yeahhhh,kasi hantam itu parti!!
Gerak dari Shah Alam jam 5:30 pagi, Subuh di Sungai Perak.
Sampai Alor Setar jam 11:00 psai Mat Cina bawa kereta macam siput babi.Terus balik kg,walau gua ingat nak lepak2 pekan Alor Setar sambil layan mee tonggek Pekan Rabu.Celaka, Mat Cina kelam kabut nak pangkah undi,Along ikut saja cakp Mat Cina.
Haram jadah, sampai simpang Gelong Air kereta kena tahan.Ada geng lebai mana tah,suka hati tuk wan dia nak tahan orang.5 orang muka samseng,2 pakai lebai suruh turun kereta.Kelam kabut telepon abah nak minta tolong, Mat Cina lagi kelam kabut, Along relek macam badak kena Up John.Abah pula tk jawap phone..kantoi la.
Sorang lebai buka pintu belakang, cekak baju gua suruh turun,dalam hati berani-berani takut,Along terus keluar tp sorang celaka dah pegang dia tenyeh kt body kreta.Mat Cina boleh sound pula kt depa, tanya hampa orang mana.Sorang tu jawap kami orang kmpung ni.Hah!! Haram jadah,dalam hati je lar.Haram tak penah tengok muka pon,setan lubuk mana tah tiba2 mengaku orang kampung gua!
Along tepis tangan budak yang cekak dia.Sorang lagi jerit mcm budk hisap husin, hampa pengundi hantu, orang kl mana boleh undi kt sini. Hehehehehehehehe....
Tuhan nak selamatkan kami kot,Amir Bang Teh lalu dengan bendera PAS penuh kereta.
Dia brenti.Gelak-gelak tengok kami.Terus sound kat budak-budak samseng tak cukup gula.Depa semua orang sini,hampa nak mampuih kot tahan depa.
Gua tengok muka sekor-sekor,macam sial gampang.Pakai lebai tp perangai mcm jembalang.Tanya la dulu,ni terus tahan terkam.Masuk kereta, Along jerkah kuat-kuat, hampa tu kena berambuih,ni kampung kami,aku haramkan hampa 5 orang pijak tanah kampung kami.Ha,puas hati.
Balik rumah,marah punya pasal haram tak p mengundi.Mat Cina dgn Along pun tak p, tido sampai pukul 6.Padan muka..hahhahaahahahahah
*Malam esok balik Shah Alam....yahooooo!!!!!"

---------------------------------------------------------------------------------
Pengalaman yang tercatat hampir 8 tahun ini adalah salah satu sebab kenapa saya cuba mengimbangi nafsu berpolitik.Saya belajar dari pengalaman, dari pemerhatian. Tidak semestinya semua yang cerah itu putih dan yang kelam itu gelap.
Abah, seorang penyokong dan pemimpin UMNO, begitu juga ibu. Keluarga sebelah ibu, semuanya mempunyai kepatuhan yang tinggi dalam cabang perjuangan UMNO. Saya pernah di asuh untuk mempercayai bahawa perjuangan UMNO itu lurus, tetapi otak saya menolak.Awalnya, penolakan itu beralih ke parti pembangkang , tetapi setelah terasuh dengan pelbagai muslihat dalam politik, saya terus menjauhkan diri dari mana-mana parti politik.
Saya sering bercakap tentang politik berpandukan pada pengamatan saya sendiri.Kadang-kadang, kawan yang menyokong parti politik tertentu akan menepuk belakang saya sambil tersenyum kerana hujah itu menyokong beliau tetapi pada masa yang lain dia akan berlalu masam setelah saya melemparkan hujah yang tidak sealiran dengannya.
Apa saya peduli, itu prinsip saya. Hidup berpandukan kebenaran,Insyaallah....

April 13, 2010

Budak Belum Baligh

Saya pernah mendapat pengalaman menarik bekerja di pasar borong Alor Setar yang terkenal dengan pekikan "lelong-lelong" dan hingar bingar yang mencairkan tahi telinga. Hidung juga sudah lali dengan bau busuk air longkang dan tengik bau busuk hanyir ikan.Itu pengalaman saya, hampir 17 tahun dulu, pengalaman yang saya kutip setiap kali cuti persekolahan. Sekarang,hingar bingar seperti pasar borong Alor Setar berpindah ke persidangan di Dewan Rakyat.Busuk air longkang dan tengik hanyir ikan mungkin tiada, tetapi di ganti dengan busuk ucapan YB-YB.
Saya juga ada pengalaman bergaduh dengan sepupu saya ketika usia baru 9 tahun, berebutkan gula-gula sambil lari keliling kampung bertelanjang bulat tanpa ada sedikit pun perasaan malu, apatah lagi mempedulikan tempikan marah dari parau suara abah. Abah juga barangkali sudah lali dengan perangai saya yang belum baligh ketika itu.Budak-budak, resamnya begitu.Malu?Budak-budak mana tahu malu. Sekarang, saya menyaksikan YB-YB yang tidak tahu malu di persidangan Dewan Rakyat, berebutkan jawatan dan menunjuk lagak siapa hero Malaysia.
Manusia yang di gelar YB dan mewakili sekelompok manusia melalui suara demokrasi proses pilihanraya ini sebenarnya apa? Pekerja pasar borong atau kanak-kanak belum baligh?
Mereka bertelagah sepenuh hati. Maki hamun, sumpah seranah macam orang tidak pernah sekolah.
Apa mungkin mereka ini semuanya manusia-manusia yang cuma membeli ijazah tanpa ada satu zarah pun sifat kepandaian dan kerajinan?

Bukan tidak ada YB-YB yang benar-benar mewakili sifat kepimpinan yang di tuntut, tetapi kerana sebahagiannya yang lainnya terlalu suka berdentum-dentam, penyakit jahat itu mudah melekat dan menjangkiti, sama seperti wabak Tibi.
Dalam perkara ini, saya amat menghormati sifat tenang yang ada pada YB Permatang Pauh. Dalam hujah yang sentiasa menarik untuk di ikuti, beliau sering menyajikan saya dengan fakta bernas, penyelidikan yang mendalam dan sering juga tidak kalah dengan bahas yang berkias.Dia bijak, mewarnai sifat kepimpinan yang ada pada dirinya, walaupun beliau pernah bergegas meninggalkan Dewan Rakyat setelah di serang tanpa henti oleh orang yang pernah di percayainya.
Yang sering di tayangkan di kaca televisyen itu sebenarnya bukan persidangan, tetapi cuma satu lakonan bodoh untuk penonton seperti kita tercongok depan televisyen sambil menghabiskan segelas kopi panas. Saya percaya, pengundi yang memilih dan memenangkan YB pasti mahukan pembelaan dan menyampaikan tuntutan, biar dari sisi mana sekalipun, bukannya mahu melihat budak-budak belum baligh beraksi.
Sekarang masa untuk YB bekerja, bukan lagi masa berebut takhta.Rakyat tidak buta le....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...