April 13, 2010

Budak Belum Baligh

Saya pernah mendapat pengalaman menarik bekerja di pasar borong Alor Setar yang terkenal dengan pekikan "lelong-lelong" dan hingar bingar yang mencairkan tahi telinga. Hidung juga sudah lali dengan bau busuk air longkang dan tengik bau busuk hanyir ikan.Itu pengalaman saya, hampir 17 tahun dulu, pengalaman yang saya kutip setiap kali cuti persekolahan. Sekarang,hingar bingar seperti pasar borong Alor Setar berpindah ke persidangan di Dewan Rakyat.Busuk air longkang dan tengik hanyir ikan mungkin tiada, tetapi di ganti dengan busuk ucapan YB-YB.
Saya juga ada pengalaman bergaduh dengan sepupu saya ketika usia baru 9 tahun, berebutkan gula-gula sambil lari keliling kampung bertelanjang bulat tanpa ada sedikit pun perasaan malu, apatah lagi mempedulikan tempikan marah dari parau suara abah. Abah juga barangkali sudah lali dengan perangai saya yang belum baligh ketika itu.Budak-budak, resamnya begitu.Malu?Budak-budak mana tahu malu. Sekarang, saya menyaksikan YB-YB yang tidak tahu malu di persidangan Dewan Rakyat, berebutkan jawatan dan menunjuk lagak siapa hero Malaysia.
Manusia yang di gelar YB dan mewakili sekelompok manusia melalui suara demokrasi proses pilihanraya ini sebenarnya apa? Pekerja pasar borong atau kanak-kanak belum baligh?
Mereka bertelagah sepenuh hati. Maki hamun, sumpah seranah macam orang tidak pernah sekolah.
Apa mungkin mereka ini semuanya manusia-manusia yang cuma membeli ijazah tanpa ada satu zarah pun sifat kepandaian dan kerajinan?

Bukan tidak ada YB-YB yang benar-benar mewakili sifat kepimpinan yang di tuntut, tetapi kerana sebahagiannya yang lainnya terlalu suka berdentum-dentam, penyakit jahat itu mudah melekat dan menjangkiti, sama seperti wabak Tibi.
Dalam perkara ini, saya amat menghormati sifat tenang yang ada pada YB Permatang Pauh. Dalam hujah yang sentiasa menarik untuk di ikuti, beliau sering menyajikan saya dengan fakta bernas, penyelidikan yang mendalam dan sering juga tidak kalah dengan bahas yang berkias.Dia bijak, mewarnai sifat kepimpinan yang ada pada dirinya, walaupun beliau pernah bergegas meninggalkan Dewan Rakyat setelah di serang tanpa henti oleh orang yang pernah di percayainya.
Yang sering di tayangkan di kaca televisyen itu sebenarnya bukan persidangan, tetapi cuma satu lakonan bodoh untuk penonton seperti kita tercongok depan televisyen sambil menghabiskan segelas kopi panas. Saya percaya, pengundi yang memilih dan memenangkan YB pasti mahukan pembelaan dan menyampaikan tuntutan, biar dari sisi mana sekalipun, bukannya mahu melihat budak-budak belum baligh beraksi.
Sekarang masa untuk YB bekerja, bukan lagi masa berebut takhta.Rakyat tidak buta le....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...