March 29, 2009

Menantu Dia Kerja Keras

Menantu dia memang kuat bekerja, itu katanya.
Dia, penentang rasuah, cuba membasmi rasuah hingga ke bulu-bulunya.
Baru-baru ini, menantunya di sabitkan kesalahan dengan politik wang atau lebih mudah di sebut "RASUAH".Tidak kiralah samaada politik wang atau apa juga pengkelasannya,rasuah tetap rasuah.Memberi-menerima, sama sahaja kerana yang salah tetap salah.
Ajaibnya,menantu yang di katakan kuat bekerja tadi tidak di beri sebarang hukuman tetapi seorang yang lain pula, yang turut sama-sama terlibat dengan rasuah di jatuhkan hukum haram dari bertanding merebut jawatan dalam parti politik.
Apa boleh buat, menantunya penerus tradisi keluarga.Sistem monarki perlu di pacakkan dalam parti tertua bangsa Melayu itu.Sama ada rasuah atau apa, menantunya perlu bertanding dan menang,penting untuk keluarga.
Menantu dia memang kuat bekerja, itu katanya....
BACA :
"beliau gembira dengan kemenangan Khairy kerana hakikatnya menantunya itu sudah bekerja keras.
"Kadang-kadang saya pergi tengok cucu, saya tanya Nori (anak Abdullah), mana Khairy, Nori kata dia pergi ke negeri... isterinya kata dia bekerja keras, tiap hari pergi kempen. Saya rasa beliau berhak menang selepas bekerja keras," katanya.
Baca :
"Calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, tetapi hanya diberi amaran."

Walau bersalah, menantu dia memang kuat bekerja....

March 25, 2009

PEMUDA UMNO PENJANA RASUAH !

Pesalah 1
Mohd. Ali Rustam didapati bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1Tataetika Ahli UMNO dan “Dilarang” daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Pesalah 2
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin didapati bersalah melanggar Tatatertib UMNO dibawah Perkara 10.1 , yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik , tetapi hukumannya hanya "Diberi Amaran" dan dibenarkan untuk terus bertanding dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO.

ADILKAH ALI RUSTAM DILARANG BERTANDING KHAIRY JAMALUDIN DILEPASKAN ?
Entah…lu pikir le sendiri.”

Cerita di atas saya tulis kira-kira seminggu sebelum 25-Mac-2009 tetapi tidak saya siarkan.Cerita yang sama, situasi yang sama.UMNO-Rasuah-UMNO-Rasuah.Ahhhh, muak.

Ini pula catatan yang saya lakukan sejurus Khairy Jamaludin di umumkan menang dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO mengalahkan Mukhriz Tun Mahathir dan Khir Toyo.

Menghairankan, seorang calon yang secara terang-terangan di sabitkan kesalahan kerana menyelenggara rasuah di beri undi kemenangan dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO kali ini.Perwakilan memilih beliau, itu muktamadnya dan perwakilan mewakili gelak besar sang hartawan, juga suara resah petani,penoreh dan nelayan.

Sekali lagi di ingatkan "Khairy di dapati bersalah kerana mengamalkan politik wang tetapi di beri amaran dan di benarkan bertanding".
Ringkasnya, Pemuda UMNO memang berkehendakkan rasuah dan mereka mengangkat "perasuah" menjadi pemimpin dalam masyarakat.
"Selamat datang RASUAH, masuklah dalam dunia Melayuku, alirlah dalam agama suciku...."

Saya perlu adil dengan diri sendiri, walaupun saya sering percaya pada ketaatan saya terhadap keadilan dan kesaksamaan.Prinsip jelas yang sering saya kompangkan, "aku pilih kebenaran, pacaklah apa parti sekalipun aku akan tetap sokong selagi parti itu ikhlas untuk agamaku,bangsaku dan negaraku."

March 24, 2009

Jangan Tuduh Lagi.....

Suara dari Dinding Dewan

"Bahasamu suara resah dan batin rimba
berkali diyakinkan wira bangsa.
Kebingungan empat dekad merdeka."

"Empat dekad bahtera bangga
anak cucu wajar menduga
mereka khusyuk atas sejadah
depan al-Quran mereka bertanya:
Buah ranum pada tangkai
bahasa gugur dari hati -
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?"
A. Samad Said
23-25 Mei, 20-22 Jun 1996.


Menjawab beberapa tuduhan melulu dan pendek akal beberapa kumpulan dan individu yang menuduh Datuk Dr.SN A.Samad Said(Pak Samad) di gunakan pihak tertentu demi kepentingan politik,saya sebagai salah seorang yang membesar bersama karya-karya Pak Samad menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa beliau di GUNAKAN dan juga menolak sama sekali tanggapan bahawa beliau telah masuk ke kancah politik.
Perjuangan beliau menentang Dasar PPSMI telah bermula sejak PPSMI di hebahkan lagi, sekitar tahun 2002 sebelum di laksanakan pada 2003.
Susulan dari bantahan itu, beliau menghantar mesej yang jelas , lewat buku Suara Dari Dinding Dewan pada tahun 2003 hasil kesinambungan puisi Suara Dari Dinding Dewan yang di tulis sekitar tahun 1996 dan di terbitkan oleh Dewan Sastera (terbitan DBP) pada Julai 1997.
Cumanya, setelah hampir 5 tahun desakan-desakan secara halus tidak pernah di pedulikan, makanya suatu gesaan yang lebih radikal perlu di anjak dan lahirlah GMP(Gabungan Mansuhkan PPSMI).
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO), GMP menjemput semua individu/pertubuhan untuk sama-sama menentang PPSMI demi anak bangsa(baca : Melayu) dan juga demi menegakkan Artikel 152 ; Perlembagaan Malaysia.
Keterlibatan PAS dan PKR bukan sesuatu yang di rancang, tetapi "mungkin"keresahan para seniman turut juga di rasai pemimpin parti politik ini.
[Saya katakan "mungkin" di sini kerana saya sendiri tidak tahu apa yang mereka fikirkan dan adalah tidak adil jika saya menuduh.]
Seorang seniman seperti beliau dan juga seniman-seniman yang lainnya, keresahan dunia Melayu banyak di garapkan melalui tulisan dan barangkali kita perlu sekali lagi di ingatkan bahawa "mata pena itu lebih tajam dari mata pedang".
Seniman tulen hanya akan bersuara setelah mereka di desak dengan mentaliti, di perah keresahan mereka melalui kreativiti dan jiwa seniman terlalu halus, tahap sensitiviti mereka juga terlalu mendalam.
Datuk Dr.SN A.Samad Said bukanlah sekeras Pablo Neruda yang mengkritik González Videla sehingga terpaksa bersembunyi dari buruan....
Beliau hanya anak Melayu yang menangis bila bahasa ibunda di anak tirikan.....
Janganlah tuduh lagi...


* Abang Helmy menulis email kepada saya, menerangkan kedudukan perjuangan Pak Samad setelah suara-suara sumbang mula berkompang.
Katanya :
1. Pak Samad sanggup naik pentas UMNO untuk isu ini jika dijemput - ini telah diberitahu kepada Menteri Pelajaran semasa pertemuan mereka tempoh hari.

2. Isu Pak Samad ketawa bersama Pak Menteri adalah selepas perbincangan (Pak Samad usik kerana Pak Menteri sediakan media untuk melaporkan tentang pertemuan itu - ini seakan memberikan satu merit untuk Pak Menteri kerana mahu berbincang dengan Dato Hassan & Pak Samad). Pak Samad tidak pernah dan tidak akan kompromi tentang isu PPSMI ini.

March 23, 2009

MRT

"Di Malaysia kita ada LRT,tetapi di Singapura sudah ada MRT", bicara seorang lelaki separuh usia.
"Di Malaysia pun sudah ada MRT", sanggah lelaki Cina dengan rambut yang bersisir kemas.
"Bila kerajaan buat MRT ?" Soal lelaki separuh usia tadi.
"Bukan kerajaan buat, tetapi kita buat." Jawapan itu membingungkan lelaki separuh usia.
Dia termenung, mendongak melihat langit yang cerah dan sesekali desiran ombak memukul pasir pantai, mengkhayalkan.Keriuhan anak-anak kecil bergelak ketawa sambil mengukir pasir pantai mendamaikan seketika.Sesekali tercari-cari mana letaknya "MRT" Malaysia.
Usah bingung, jawapnya.....
M = Malaysia
R = Rubber
T = Time
"Malaysia Rubber Time"

Kebanyakkan rakyat Malaysia(termasuk saya!) boleh menanjalkan waktu seperti keanjalan getah, walaupun sebenarnya waktu sesuatu yang tak ternilai....


* Port Dickson banyak mengajar erti waktu, erti kawan dan erti kesabaran.Terima kasih pada karang yang mencalarkan kulit kaki dan simbahan panas yang memeningkan kepala.

March 10, 2009

Kenapa PPSMI?



Saya harus jujur pada diri sendiri dalam melontar kata putus di dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).Saya juga secara sedar, menyedari bahawa saya seorang budak kampung yang masih sukakan jeruk mamam dan pekasam ikan sepat juga secawan kopi pekat.
Harus juga di tekankan bahawa saya sebenarnya cuba menelan keperitan hidup di kota, terketepi dan mencari hakikat sebuah kehidupan yang menuntut seribu satu macam pengorbanan tetapi di dalam isu PPSMI ini, secara alaminya, saya tidak rela mengorbankan anak bangsa saya untuk di jadikan bahan uji kaji untuk sistem pembelajaran yang akan memamah usia dan upaya mereka.Anak bangsa saya juga jangan lagi di bebalkan dengan wahyu pemerintah yang memesongkan mereka untuk meneroka dunia dan isinya hanya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu-bukan kerana bengap-tetapi kerana kegopohan sang penguasa.
Sebagai seorang kanak-kanak yang menghabiskan usia awal persekolahan di sebuah sekolah yang terasing dari jerit enjin kenderaan dan mengalami kejutan yang paling besar dalam hidup pada masa itu ketika pertama kali terpaksa berbelit lidah menyebut beberapa kerat perkataan di dalam bahasa Inggeris tanpa memahami apa maksudnya,ianya sesuatu yang cukup menyeksakan bagi saya. Pada waktu itu, hanya mata pelajaran Bahasa Inggeris sahaja yang di ajar dalam Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lainnya masih lagi menggunakan bahasa ibunda(saya lebih suka menyebut bahasa Melayu,bukan bahasa Malaysia).
Tambahan pula, ketakutan akibat sebatan rotan jika gagal menyebut perkataan asing itu tambah menggusarkan saya.Hasil dari kegusaran dan ketakutan itu, saya mula merangkak, kemudiannya sedikit berlari sebelum boleh meluncur laju menelusuri sesi demi sesi , sehingga boleh memahami dan menuturnya dengan mudah.
Memahami betapa seksanya untuk menguasai dan memahami sesuatu yang baru dengan penggunaan bahasa asing, saya sebagai seorang manusia MERDEKA,menuntut agar PPSMI di hapuskan sama sekali dan dalam masa yang sama menggesa agar pihak berwajib meningkatkan lagi tahap pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah,Di rasakan elok jika penekanan ini di berikan pada usia awal persekolahan terutamanya untuk sekolah luar bandar yang mana peratusan penguasaan Bahasa Inggeris masih mengecewakan.
Melihat jauh ke dalam konteks perlembagaan,secara sedar dan jelas dasar PPSMI telah mencabul Perlembagaan Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan 1996.Dengan jelas juga, Kementerian Pelajaran telah melanggar Akta Pelajaran Kebangsaan 1961 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti.Pusinglah berapa darjah sekalipun, ianya tetap melanggar Perlembagaan.Usah di pertikaikan perlembagaan kerana seperti selalu, pendapat yang bersandarkan perlembagaan ini akan di rubah perlahan-lahan.
Sekiranya pihak berwajid masih lagi enggan berganjak dengan dasar PPSMI, harus di tanya pada diri sendiri beberapa soalan mudah tetapi malas untuk di soal.
Pertamanya, mampukah anak si Duyuh Miah memahami dan menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik jika usianya di habiskan dengan menanam ubi dan mengejar babi? Adilkah jika membandingkan mereka dengan anak Tan Sri Tan Ban Kiat yang asyik menonton siri The Simpson?
Keduanya, dapatkah pula si Labu membantu anaknya si Busu memahami maksud perkataan Balance and Equal jika si Labu masih lagi memegang cangkul ketika jam sudah menganjak ke pukul 12 tengahari?
Adilkah mereka jika menbandingkan mereka dengan Melly anak si Musthapa yang sedang asyik berjamu selera dengan rakan kongsi dari Eropah?
Semua persoalan ini akan bercantum dan merumus kepada satu persoalan.Kenapa perlu di ajar mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris jika terbukti bahasa Melayu mampu menjadi bahasa dunia dan secara logiknya, kenapa perlu memartabatkan bahasa asing?
Tiada gunanya mencium keris jika bahasa Melayu itupun masih lagi mahu di pertaruhkan...
Berdasarkan kepada kajian oleh beberapa bijak pandai, apa lagi yang ingin di buktikan?
1- Prof. Dr. Shaharir Md Zain
2- Prof. Emeritus Dato'Isahak Haron
3- Profesor-profesor Melayu dalam bidang Sains yang menentang PPSMI

March 07, 2009

Bahasa Melayu dan Topeng Gas Pemedih Mata


“Cepat, ada rusuhan”,jerit seorang lelaki berkopiah putih,manik halus merenik-renik di mukanya.
“Mana?”Tanya pemuda yang sedang menarik lembunya masuk ke kandang,ketika awan mula mendung.Hujan akan turun bila-bila masa.Dingin sudah semakin terasa.Kampung tersusun di pinggir bandaraya Kola-Kola itu semakin becak jalannya,hujan mencurah hampir setiap petang.Lopak-lopak air jelas mengempang dan anak-anak kecil tak berbaju begitu ghairah setiap kali hujan turun.Mereka akan berpesta hingga terbatuk dan tergigil kesejukan.
“Menuju istana, ramai sekali yang memegang sepanduk”,jawab lelaki berkopiah putih tadi sambil mulutnya muncung ke arah jalan besar menuju istana.
Kandang lembu lelaki tadi betul-betul menghadap jalan besar menuju istana.Di bina dari kayu wakaf dari surau yang di robohkan 6 tahun dulu.
“Malas”,pemuda tadi menjawab sambil menutup pintu kandang lembunya dan empat ekor lembu di dalam kandang itu mendengus-dengus mahu lepas bebas.Sementara 2 ekor yang lainnya sedang galak menjilat ketul garam.
“Errr…”,lelaki berkopiah mengurut-urut janggutnya.
Sambungnya lagi “kau tak sayangkan bahasa Melayu ke?”
“Sayang,itu bahasa ibunda saya”.
“Tapi bahasa Melayu bukan untuk di politikkan”,sambung lelaki tadi sambil bersiul gembira.
"Mana kau nak pergi tu?".Laung lelaki berkopiah setelah melihat budak lelaki tadi melompat melepasi parit,entah ke mana haluannya.
"Nak pergi cari bahasa Melayu...", jawab lelaki tadi antara dengar dan tidak.
"Saya juga belum beli topeng gas pemedih mata”,jeritnya lagi meninggalkan lelaki berkopiah terpinga-pinga.

Abang Helmy,
Saya menulis artikel pendek-Bahasa Melayu dan Gas Pemedih Mata-bukan niat mencerca penyokong dan penggerak anti PPSMI.Saya cuma terasa hati bila isu ini di politikkan.Jerit tangis pejuang bahasa bukan untuk di tangguk ke kantung ahli politik tetapi untuk anak bangsanya.Saya juga terkilan bila melihat-berita jam 8-banyak sekali gas pemedih mata di lepaskan.Bahasa Melayu bukan agenda politik tetapi agenda mengembalikan kekuatan bangsa.


*Saya berada di Kampung Kota Kubang Tedoh,Gunung Keriang,Alor Setar, Kedah(kampung aku!)ketika ribuan penyokong-dan segelintir penyangak-sedang berarak menuju Istana Negara untuk menyerahkan memorandum anti-PPSMI.

March 03, 2009

152

KERANDA 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

-Usman Awang (1967)-


Kedua-dua jarum jam yang sebentar tadi bertindih, sudah tergelincir beberapa minit, meninggalkan 2-Mac-2009.
Maka, sejarah pada petang Jumaat,3-Mac-1967 kembali di ingati.Petang itu, tanggal 3-Mac-1967, kira-kira 2000 orang wakil dari 120 pertubuhan orang Melayu berhimpun di di Balai Budaya,Dewan Bahasa dan Pustaka dan kemudiannya berarak ke menuju ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan.Perarakan itu di kenali sebagai Perarakan Keranda 152.
Setelah 40 tahun, mestikah Keranda 152 kembali di usung, menuntut agar Bahasa Melayu kembali di sanjung dan menuntut menghapuskan PPSMI.Rujuk luahan Pak Samad Said.

* Apa itu 152?
Merujuk kepada Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen".
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...